Saturday 11 August 2018

Khutbah : Hakikat Kehidupan

الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق،  ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون،  أشهد أن لآ إله إلا الله وحده لا شريك له،  وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا ونبينا محمد، وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،  


فيا أيها الحاضرون، اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله، فقد فاز المتقون،

قال الله تعالى،

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

ياأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Mafhumnya;

"Wahai sekalian manusia yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kamu melihat apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok, dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah (swt) dengan sebenar-benar taqwa, mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hambanya yang berjaya di dunia dan di akhirat.

بسم الله الرحمن الرحيم

تبارك الذي بيده الملك وهو على كل شيء قدير،  الذي خلق الموت والحيوة ليبلوكم أيكم أحسن عملا وهو العزيز الغفور

سورة الملك 1-2
Mafhumnya;

Maha Suci Allah yang menguasai segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Setiap daripada kita pasti melalui beberapa peringkat kehidupan. Sebahagian ulama membahagikan kehidupan kita ini kepada lima fasa atau peringkat. 

Peringkat yang pertama ialah peringkat alam benih atau alam zar (ذر) yang bermula sejak daripada Allah menciptakan Nabi Adam (as) dan kemudiannya diletakkan setiap benih anak cucu Adam di dalam sulbi datuk kita Nabi Adam (as). Semasa kita berada di dalam peringkat ini, Allah (swt) telahpun mengambil akujanji daripada kita semua. Akujanji tersebut adalah sebagai pengakuan kita terhadap keimanan kita kepada Allah (swt). Firman Allah (swt);

وإذ أخذ ربك من بني آدم من ظهورهم ذريتهم وأشهدهم على أنفسهم ألست بربكم قالوا بلى شهدنا أن تقولوا يوم القيامة إنا كنا عن هذا غافلين

سورة الأعراف 172

Mafhumnya;

Dan ingatlah ketika Tuhanmu memgeluarkan dari sulbi anak cucu Adam keturunan mereka, dan Allah mengambil penyaksian daripada mereka, bukankah aku ini Tuhan kamu?, maka mereka berkata, bahkan Engkau adalah Tuhan kami, kami bersaksi. (Kami lakukan sedemikian) agar di hari kiamat nanti kamu tidak mengatakan "sesungguhnya ketika itu kami lalai terhadap perkara ini".

Peringkat yang kedua pula bermula sejak daripada kita dilahirkan ke dunia ini sehinggalah kita mati, iaitulah fasa kehidupan dunia yang kita sedang berada hari ini. Maka sekarang ini kita sedang berada pada peringkat kehidupan yang kedua. Inilah peringkat atau fasa yang amat penting kerana ia menjadi penentu kepada kehidupan kita yang lagi tiga fasa. Jika sekiranya kita berjaya mengharungi kehidupan dalam fasa yang kedua ini dengan baik dan berjaya, maka kita akan selamat pada fasa-fasa yang berikutnya. Namun jika sekiranya fasa yang kedua ini disalahgunakan dan tidak dimanfaatkan untuk mencari bekal yang secukupnya, maka kita akan menderita dalam fasa-fasa yang berikutnya. Orang yang cerdik dan berakal sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang yang ada ini yang hanya sekali sahaja demi untuk kebahagian hidup di akhirat sana.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi, 

Peringkat yang ketiga ialah alam barzakh atau alam kubur. Peringkat ini bermula apabila kita mati dan meninggalkan dunia ini sehinggalah kita dibangkitkan semula untuk dibicarakan di hadapan Allah (swt).

Pada fasa yang ketiga inilah bermulanya saat azab ataupun nikmat. Saidina Uthman Al-Affan (ra) menangis ketika berada di atas perkuburan. Apabila ditanya kepada beliau apakah sebabnya beliau menangis, maka jawap beliau bahawa Nabi (saw) bersabda:

Kubur adalah awal2 persinggahan akhirat, barangsiapa selamat di dalamnya, maka yang selepasnya akan menjadi mudah baginya. Namun jika dia tidak selamat di dalamnya, maka yang selepas daripada itu akan menjadi lebih sukar baginya.

Riwayat Al-Tirmizi

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Fasa yang keempat pula bermula sejak kita dibangkitkan dari kubur dan dibawa untuk dibicarakan di Mahsyar. Ini juga merupakan saat yang amat menyeksakan buat mereka yang tidak beramal ketika hidup di dunia. Adapun orang-orang yang soleh dan taat kepada Allah, akan dipermudahkan oleh Allah (swt) segala urusannya di Mahsyar.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat sekalian,

Fasa kehidupan kita yang terakhir adalah samada syurga ataupun neraka. Inilah kesudahan fasa kehidupan bagi setiap daripada kita. Syurga yang merupakan tempat yang penuh dengan segala kenikmatan dan kesedapan sudah semestinya untuk mereka yang beriman dan taat kepada Allah dan Rasulnya. Sedangkan neraka merupakan tempat yang penuh dengan segala bentuk azab dan seksaan yang disediakan untuk mereka yang kufur dan derhaka kepada Allah (swt). Inilah kesudahan dalam segala kehidupan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Orang yang cerdik dan berakal pasti akan mempersiapkan dirinya dengan amal yang secukupnya sebagai bekalan untuk hidup bahagia di akhirat sana.  Marilah sama-sama kita persiapkan diri dengan amal yang secukupnya. Dunia bukanlah tempat untuk kita bersuka ria dan berseronok sehingga lupa tanggungjawap kita. Bersusah-susah lah dengan beramal di dunia agar kita hidup bahagia di akhirat sana.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

والعصر، إن الإنسان لفي خسر، إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر


بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات، والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه فيا فوز المستغفرين، ويا نجاة التائب

No comments:

Post a Comment