Saturday 11 August 2018

Khutbah: Matlamat Hidup

الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون ، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،
أيها الناس اتقوا الله،  أوصيكم ونفسي بتقوى الله فقد فاز المتقون، 

قال الله تعالى: يأيها الذين  ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Mafhumnya : Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kamu melihat ( memikirkan)  apa yang telah kamu sediakan untuk hari esok ( kiamat ), dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang kamu lakukakan.

Marilah sama2 kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar taqwa, yakni dengan kita mentaati setiap titah perintahNya. Pada masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita mendapat  kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Sabda Nabi SAW,

أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ ، أَتَى  النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ ، يُقْرِئُكَ السَّلامَ ، وَيَقُولُ لَكَ :  " عِشْ مَا شِئْتَ فَإِنَّكَ مَيِّتٌ ،  وَأَحْبِبْ مَنْ شِئْتَ فَإِنَّكَ مُفَارِقُهُ ، وَاعْمَلْ مَا شِئْتَ فَإِنَّكَ مُجَازٍ بِهِ ، وَاعْلَمْ أَنَّ شَرَفَ الْمُؤْمِنِ قِيَامُهُ بِاللَّيْلِ ، وَعِزَّهُ اسْتِغْنَاؤُهُ عَنِ النَّاسِ "

Maksudnya,

Telah datang Jibril AS kepada Nabi SAW lalu berkata Jibril, " Wahai Muhammad  hiduplah sebagaimana kamu inginkan tetapi ingat bahawa kamu akan mati. Buatlah apa yang kamu mahukan tetapi ingat bahawa kamu akan dibalas oleh Allah setiap apa yang kamu lakukan. Sayangilah siapa pun yang kamu mahu tetapi ingat bahawa suatu hari kamu akan berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa kemuliaan seseorang mukmin itu apabila dia bangun beribadah pada malam hari, dan ketinggiannya apabila kaya daripada bergantung sesama manusia".

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Baginda Nabi SAW telah menyampaikan satu peringatan yang sangat penting buat kita semua di dalam hadis yang dibacakan tadi. Beberapa perkara telah dinyatakan oleh Baginda SAW.

1. Ingatlah bahawa kita semua akan menghadapi kematian. Walausiapa pun kita, samada kaya atau miskin, rakyat atau pemerintah, orang kampung atau orang pekan, muda atau tua, yang pasti kita akan mengahadapi saat kematian yang dijanjikan oleh Allah SWT. Oleh yang demikian sementara kita masih diberi peluang untuk hidup, maka gunakanlah kehidupan ini pada jalan yang Allah redho. Jangan bazirkan atau sia-siakan umur yang Allah pinjamkan kepada kita. Umur kita adalah amanah yang akan disoal oleh Allah diakhirat nanti.

2. Apa yang kita buat ketika hidup ini, samada baik atau jahat, maka akan diberi balasan oleh Allah SWT. Yang baik akan diberi balasan yang baik, manakala yang jahat akan dibalas dengan balasan yang buruk. Maka Nabi SAW memberi ingat kepada kita, kamu nak hidup macam mana pun hiduplah, tetapi satu perkara yang mesti kamu ingat baik-baik ialah, apa yang kamu buat ketika kamu hidup di atas dunia ini tidak akan terlepas daripada balasan Allah SWT di akhirat sana. Maka berfikirlah sehabis-habisnya sebelum kita bertindak untuk melakukan sesuatu perkara.

3. Nabi SAW memberi ingat kepada kita tentang kematian. Kita dituntut untuk sayang menyayangi dan kasih mengasihi antara satu sama lain. Nabi memberi ingat kepada kita, walau siapa pun yang kita kasih, walau siapa pun yang kita sayang, suatu hari kita pasti akan berpisah dengannya iaitu berpisah dengan kematian. Samada kita yang meninggalkannya, atau dia yang meninggalkan kita. Ini adalah suatu perkara yang pasti. Oleh yang demikian, sementara kita hidup, berbuat baiklah sesama kita. Berkasih sayanglah sesama kita. Mudah-mudahan apabila kita mati, orang akan mengenagkan kita dengan kebaikan dan bukannya dengan keburukan dan kejahatan.

4. Seterusnya Baginda Nabi SAW menjelaskan tentang kelebihan ibadah yang dilakukan pada malam hari atau qiamullail. Ini adalah waktu yang paling tenang untuk kita sujud dan mendekatkan diri kepada Allah. 
قال صلى الله عليه وسلم : واعلم أنك لن تسجد لله سجدة إلا رفع الله لك بها درجة , وحط عنك بها خطيئة (الحديث رواه الإمام أحمد وغيره، وصححه الأرناؤوط)

Maksudnya:  Ketahui olehmu bahawasanya tidak engkau kepada Allah sekali sujud melainkan Allah akan mengangkat kedudukanmu satu darjat, dan akan menghapuskan bagimu satu dosa.
 
Bangunlah di sepertiga akhir pada tiap-tiap malam kerana inilah waktu dan masa yang Allah limpahkan rahmat dan keampunanNya dan inilah juga waktu yang sangat dimustajabkan doa. Orang yang istiqamah beribadah pada malam hari, akan diangkat darjatnya di sisi Allah serta dimuliakan oleh Allah SWT.

5. Kekayaan seseorang manusia bukanlah diukur dari segi harta yang dimilikinya, tetapi orang kaya yang diiktiraf oleh Baginda Nabi SAW ialah mereka yang tidak bergantung sesama manusia. Orang yang Allah pelihara dirinya daripada sifat meminta-minta kepada manusia, atau Allah beri kepadanya sifat qanaah yakni cukup dengan apa yang ada di dalam tangannya, maka inilah orang yang kaya di sisi Nabi SAW walaupun di sisi manusia dia adalah orang yang miskin dan tidak memiliki harta. Tetapi jika sekiranya sifatnya suka minta-minta dan suka bergantung sesama manusia, maka dia adalah orang yang miskin di sisi Nabi SAW sekalipun dia pada pandangan manusia memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah.  

Marilah sama-sama kita bermuhasabah memikirkan keadaan diri kita. Apakah keadaan cara hidup kita semakin bertambah baik di sisi Allah ataupun sebaliknya. Apakah setiap hari semakin bertambah amalan baik kita, ataupun sebaliknya. 

Apa yang sepatutnya berlaku ialah, apabila umur semakin bertambah, dan masa untuk kita semakin dekat maka semakin bertambahlah bekalan amal kebajikan yang kita lakukan. Namun jika yang semakin bertambah ialah amal maksiat, maka cepat-cepatlah balik kepada Allah sebelum kita terlambat.

Manusia yang cerdik ialah, mereka yang berpenat lelah di atas dunia ini untuk bekerja mencari bekal yang akan digunakan di akhirat kelak. 

بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم،  ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات،  فاستغروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين

No comments:

Post a Comment