اَلْحَمْدُ
ِللهِ الَّذِى خَلقَ الموْتَ وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا،
َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ
أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ
عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ
بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا
بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى
اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang bermaksud: Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan
apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku sidang jumaat yang
dikasihi,
Saya berpesan kepada diri saya dan
tuan-tuan, marilah sama-sama kita
bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan tunduk dan patuh kepada segala titah
perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan
tegahanNya. Sesungguhnya kejayaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat
adalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya.
Yang bermaksud : Iaitu mereka
yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka
mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dan
(ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj 41)
Saudara-saudaraku sidang jumaat yang
dikasihi,
Pada
suatu hari ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa sewaktu beliau
menjadi Khalifah Islam, seorang tokoh ilmuan yang terkenal pada ketika itu
iaitu ‘Abdullah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari telah berkata kepadanya, “Lihatlah kamu ke arah Ka’bah.” Lalu Harun al-Rasyid
menjawab: “Ya, aku sedang melihat
ke arah sana.”
Kata ‘Abdullah lagi: “Berapakah
jumlah manusia yang sedang engkau lihat?” Jawab Harun al-Rasyid: “Tiada siapa yang mampu membilangnya
(kerana terlalu ramai).”
Kata
‘Abdullah lagi: “Berapakah
jumlah manusia yang seperti mereka?” Jawab Harun al-Rasyid: “Hanya Allah yang mampu
menghitungnya.” Lalu kata ‘Abdullah: “Ketahuilah engkau bahawa sesungguhnya setiap mereka
itu hanya akan disoal pada hari kiamat nanti tentang diri mereka sahaja, tetapi
engkau akan disoal tentang dirimu dan juga tentang diri mereka semua, maka berhati-hatilah
engkau tentang nasibmu di akhirat nanti.” Mendengar kata-kata
‘Abdullah itu maka terduduk lalu menangislah Khalifah Harun al-Rasyid kerana mengenangkan
masa depan nasibnya di akhirat kelak.
Saudara-saudaraku sidang jumaat yang
dikasihi,
Menjadi
khalifah atau pemimpin bererti seseorang itu telah memikul satu bebanan atau
tanggungjawab yang amat berat dan terpaksa berhadapan dengan soal jawap di
hadapan Allah s.w.t di akhirat nanti, dia bukan sahaja bertanggungjawab
terhadap dirinya tetapi juga akan turut disoal tentang mereka yang dipimpinnya.
Ianya menimbulkan ketakutan dan rasa gerun di dalam setiap hati mereka yang menyedari betapa besarnya bebanan
yang terpaksa mereka tanggung apabila mereka berkuasa. Namun bagi mereka yang
tidak sedarkan diri, kedudukan dan kekuasaan adalah satu kegilaan bahkan
menjadi rebutan buat mereka. Sehinggakan kadang-kadang harga diri, bahkan agama
pun sanggup dipertaruhkan demi untuk mendapatkan kedudukan dan kekuasaan yang
diimpikan. Ada
yang melihatnya sebagai amanah Allah, namun tidak kurang pula yang melihat ianya
sebagai satu kesempatan dan peluang untuk mereka mencapai kemasyhuran,
kedudukan serta mengaut kekayaan sebanyak mungkin.
Saudara-saudaraku
sidang jumaat yang dikasihi,
Khalifah
‘Umar bin Abdul ‘Aziz, seorang pemimpin Islam yang telah berjaya melakarkan
sejarahnya yang tersendiri walaupun mengikut catatan sejarahnya beliau hanya sempat
memerintah selama dua tahun sahaja, tetapi beliau telah berjaya mengukir
namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah yang tetap dikenang sehingga
ke hari ini. Hubungan jiwanya yang mengharapkan habuan dan balasan yang kekal
di sisi Allah pada hari akhirat kelak telah menjadikan kepimpinannya penuh
dengan keadilan dan mengundang rahmat dari Allah s.w.t yang mencurah-curah. Sekalipun
pakaiannya hanyalah dari kain murahan, kehidupannya amatlah sederhana walaupun hidupnya
dikelilingi dengan segala jenis kemewahan tetapi keadilannya tidak dapat dibeli
dengan apa-apa harga sekali pun. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan
harga pakaian atau kediaman seseorang khalifah atau pemimpin dengan kenangan
yang indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah telah banyak
menghasilkan sejarah hitam buat mereka. Ini kerana, sejarah indah hanya akan
mengingati keadilan dan kejujuran mereka.
Saudara-saudaraku
sidang jumaat yang dikasihi,
Terasa
amat sebak apabila kita membaca kisah Khalifah ‘Umar bin ‘Abd ‘Aziz ketika
beliau dilantik menjadi khalifah. Jelas di wajahnya perasaan sedih dan hiba
walaupun pada tanggapan orang lain dia sepatutnya bergembira dengan pangkat dan
kedudukan yang telah diberikan kepadanya. Ketika para pembesar negeri ternanti-nanti
kemunculannya di khalayak ramai setelah beliau baru dilantik menjadi khalifah,
mereka bertanya kepada anaknya, “Kenapa ayahmu belum keluar untuk bertemu
dengan kami?”. Lalu jawap anaknya: “Sejak
ayahku dilantik menjadi khalifah, beliau terus bersendirian bersolat dan
menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke
janggutnya, dan apabila ibuku bertanya kepadanya dia berkata: “Wahai Fatimah!
Aku telah dikalungkan dengan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa.
Maka aku sedang memikirkan tentang nasib rakyatku yang fakir, mereka yang kelaparan,
mereka yang sakit lagi menderita, orang-orang kampung yang susah, mereka yang
dizalimi dan dipaksa, tawanan perang, orang tua yang uzur, mereka yang mempunyai
ahli keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit, dan seumpama mereka yang
berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku sedar bahawa Tuhanku akan
bertanya kepadaku mengenai mereka semua pada hari kiamat kelak, tetapi aku
bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawab setiap soalan itu, lalu aku
pun menangis kerana mengenangkan nasibku di akhirat nanti”
(Mahmud
al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144)
Saudara-saudaraku
sidang jumaat yang dikasihi,
Terasa
kerinduan yang amat sangat untuk kita melihat dan memiliki pemimpin yang penuh
dengan keikhlasan dan kejujuran seperti ini. Alangkah indahnya dunia ini jika
kita dikurniakan pemimpin yang takutkan Allah serta sanggup meletakkan keadilan
mengatasi segala-galanya walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri mereka.
Lihatlah
bagaimana sikap yang ditunjukkan oleh Khalifah ‘Umar al-Khattab ketika beliau
berkuasa sebagai khalifah, lalu berlaku perselisihan antara beliau dengan
seorang yahudi yang merupakan rakyat di bawah pemerintahannya. Petikaian
berlaku apabila yahudi berkenaan hendak
menjualkan kudanya, lalu ‘Umar yang nampaknya berminat dengan kuda tersebut
mencubanya sehingga cacat kuda yahudi itu. Lalu ‘Umar berkata kepada yahudi itu
“Carilah seseorang yang
dapat menghakimi kes ini”. Yahudi itu berkata, “Aku redha dengan Shuraih al-‘Iraqi
sebagai hakim”. Shuraih al-‘Iraqi adalah seorang sahabat yang
bertakwa lagi bijaksana dalam penghakiman, dan apabila diangkat kes ini kepada
Shuraih lalu dia berkata kepada ‘Umar yang merupakan khalifah yang berkuasa
pada waktu itu, “Wahai ‘Umar,
engkau telah mengambilnya dalam keadaan yang elok dan engkau bertanggungjawap
ke atasnya maka hendaklah engkau pulangkannya semula dalam keadaan yang elok
dan tidak cacat”. Di atas ketegasan Shuraih menegakkan keadilan
sekalipun melibatkan peribadi ‘Umar maka Shuraih telah dilantik menjadi hakim
besar pada ketika itu.
(Ibn
Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqq’in, 1/109)
Setelah
mendengar beberapa kisah tentang keadilan dan juga ketelusan khalifah-khalifah
Islam yang terdahulu maka tidak hairanlah mengapa umat ini amat merindui dan
mencintai suasana pemerintahan mereka terutamanya Khalifah ‘Umar al-Khattab
r.a. Beliau juga pernah berkata kepada Abu Musa al-‘Asy’ari sewaktu beliau
dilantik menjadi Gabenor, “Wahai
Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang daripada orang ramai,
melainkan Allah s.w.t menjadikan engkau yang paling berat menanggung beban di antara
mereka”.
Saudara-saudaraku
sidang jumaat yang dikasihi,
Justeru
itulah keadilan dan kesaksamaan adalah teras utama kepada pemerintahan dalam
Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil
maka ribuan manusia menganut Islam atau paling tidak pun mereka ingin
berlindung di bawah pemerintahan Islam. Namun, apabila umat Islam gagal untuk mempamerkan
sistem dan perlaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka bukan umat
Islam sahaja yang tidak mahu menerima Islam, bahkan mereka yang bukan Islam pun
tidak memandang hormat kepada Islam.
Jika
ada khalifah atau pemimpin yang menangis di dunia ini kerana mengenangkan nasib
mereka di akhirat, maka rakyat akan tersenyum gembira disebabkan keadilan dan
kasih sayang yang mereka nikmati daripada pemimpin-pemimpin mereka, dan pemimpin-pemimpin
ini pula tidak akan menangis lagi di akhirat kelak. Namun, jika ada khalifah
atau pemimpin yang asyik ketawa dan bergembira di dunia ini sedangkan rakyat mereka
menangis menderita, maka pemimpin-pemimpin ini dibimbangi akan menangis besar
di akhirat nanti.
Yang
bermaksud : Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) menyangka Allah itu lalai
terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim, Sesungguhnya Allah
hanya melambatkan balasan buat mereka hingga ke suatu hari yang padanya
terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun dan gementar melihat keadaan
yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke
padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip,
dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas). (Ibrahim 42-43)
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ
بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ
وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ
هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ
الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ,
وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ
الرَّحِيْمُ.