Saturday 11 August 2018

KHUTBAH: ANTARA ULAMA' DAN UMARA'

الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق،  ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون،  أشهد أن لآ إله إلا الله وحده لا شريك له،  وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا ونبينا محمد، وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،  

فيا أيها الحاضرون، اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله، فقد فاز المتقون،

قال الله تعالى،

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

ياأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Mafhumnya;

"Wahai sekalian manusia yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kamu melihat apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok, dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah (swt) dengan sebenar-benar taqwa, mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hambanya yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Ulama' dan umara' yakni pemimpin adalah merupakan dua golongan manusia yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Kedua-dua golongan ini perlu bersatu dan bernaung di bawah naungan yang satu iaitu di bawah naungan agama atau "Ad-Din". Kedua-dua golongan ini juga adalah merupakan pewaris kepada Nabi Muhammad (saw). Ulama' mewarisi ilmu daripada Nabi, manakala umara' pula mewarisi kepimpinan atau politik daripada Nabi. Ilmu dan politik tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada Islam, begitu jugalah ulama' dan umara'. Merekalah 'ilmu' dan 'politik' bagi seluruh umat Islam.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Ulama' merupakan golongan yang memikul amanah dari Allah untuk menyampaikan ilmu, mendidik serta membimbing umat manusia ke jalan yang benar. Tanpa ulama' manusia akan menjadi jahil dan sesat, dan akhirnya mereka akan bertindak dalam menguruskan kehidupan mereka mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata. Rasulullah (saw)  pernah menyifatkan para ulama' seperti bintang-bintang di langit dengan sabdanya yang bermaksud :

"Bandingannya para ulama' di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit. Ia menjadi pedoman atau panduan dalam kegelapan di laut dan di darat. Jika bintang-bintang itu pudar , maka mereka yang berpandukannya juga akan sesat". 

(Riwayat Imam Ahmad)

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Umara' atau pemerintah pula adalah suatu keperluan yang pasti bagi umat manusia. Tanpa umara'  masyarakat akan menjadi kacau bilau, malah syariat tidak akan dapat ditegakkan atau dilaksanakan. Rasulullah (saw) pernah menyatakan bahawa umara' merupakan perisai kepada ummah. Sabda baginda yang bermaksud: 

"Sesungguhnya seorang pemimpin itu adalah perisai, rakyat akan berperang di belakangnya dan berselindung di sebaliknya. Apabila dia memerintahkan rakyatnya untuk bertaqwa kepada Allah serta bertindak adil, maka dia akan mendapat pahala. Tetapi jika dia memerintah dengan selain daripada itu, maka dia akan mendapat akibat yang buruk hasil dari perbuatannya itu".

(Riwayat Muslim, 9/376, no:  3428)

Di antara ciri-ciri yang perlu ada pada diri seseorang ulama' ialah; 

1. Ulama' jangan sesekali merasa hina atau tersisih. Ini kerana mereka adalah golongan yang mulia. Masyarakat jangan sesekali memperkecil-kecilkan atau merendah-rendahkan kedudukan mereka. Ini kerana mereka adalah merupakan golongan mulia dan yang wajib dihormati oleh seluruh masyarakat.

2. Ulama' jangan sesekali tunduk kecuali kepada kebenaran. Jangan tunduk kepada kuasa atau kebatilan. Para ulama' perlu menyatakan kebenaran walaupun kebenaran itu pahit untuk diperkatakan.

3. Ulama' jangan takut kepada pemimpin yang berkuasa dalam menyatakan kebenaran. Para ulama' mesti sentiasa memberi nasihat dan panduan serta tunjuk ajar kepada pemimpin atau umara'. Jangan sesekali lari dan membiarkan kejahatan dan kezaliman berleluasa dan bermaharajalela. Maka ulama' tidak boleh meninggalkan umara' berseorangan dalam memimpin masyarakat.

Inilah sebahagian daripada ciri-ciri yang sepatutnya ada dalam diri ulama'.

Antara contoh terbaik ulama' ialah Al-Imam Malik bin Anas (rh). Seorang Imam dan ulama' yang tegas dalam menyatakan kebenaran. Sentiasa menjaga kemuliaan ilmu dan jati diri sebagai seorang ulama'. Beliau bukan saja disegani dan dihormati dengan ketinggian ilmunya, bahkan digeruni oleh khalifah dan umara' ketika itu. 

Manakala antara contoh yang terbaik di kalangan umara' atau pemimpin pula adalah Saidina Umar bin Al-Khattab (ra). Sentiasa menjaga syariat Allah (swt) serta menjaga hubungannya dengan Allah dan sesama manusia. Merendah diri dan tidak pernah merasakan jawatan khalifah atau ketua yang dimilikinya sebagai satu kemegahan dan kebanggaan. Bahkan merasakan ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dijaga, dipikul, dipelihara dan dijalankan serta dilaksanakan dengan baik.

Saidina Umar Al-Khattab (ra) pernah memberi nasihat kepada gabenornya, Abu Musa Al-Asy'ari (ra) ;

"Pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia dan gembira dengannya. Manakala pemimpin yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dengannya. Ingat, jangan hidup mewah. Kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingan kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila berada di padang rumput yang menghijau ia akan makan dengan banyaknya sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya, kerana ia akan disembelih untuk dimakan oleh tuannya".

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Ulama' dan umara' disifatkan secara bersama sebagai faktor kebaikan ummah. Sabda Rasulullah (saw) ;

اثنان من الناس اذا صلحا صلح الناس، واذا فسدا فسد الناس, العلماء والأمراء.

''Ada dua golongan di dalam kalangan manusia, apabila mereka baik maka seluruh manusia akan menjadi baik, apabila mereka rosak maka seluruh manusia akan menjadi rosak, iaitulah ulama' dan umara'''

Pesanan buat para ulama' dan umara'. Renungi dan amatilah petikan daripada kata-kata Hujjatu Al-Islam, Al-Imam Al-Ghazali (rh) ;

''Sesungguhnya rakyat rosak disebabkan pemerintah (yang zalim), dan pemerintah pula rosak disebabkan ulama' (yang jahat). Sementara ulama' pula akan rosak jika mereka tamakkan harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar''.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

والعصر، إن الإنسان لفي خسر، إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر

بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات، والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه فيا فوز المستغفرين، ويا نجاة التائبين.

No comments:

Post a Comment