Tuesday 17 September 2019

Khutbah Jumaat : Jangan Tinggal Solat



اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
        ( الحشر 18 ) 
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita diberikan kejayaan dan keselamatan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Syeikh Daud Abdullah Al-Fathoni RH di dalam kitabnya “Munyatul Musolli” pada “Bab Meninggal Sembahyang Lima Waktu Dosa Besar”  menjelaskan bahawa, 

“Meninggalkan sembahyang adalah semungkar-mungkar perkara yang mungkar, sebesar-besar dosa yang ada dan sekeji-keji benda yang haram. Pihak pemerintah menanggung beban kerja yang berat dan dosa yang besar jika rakyat jelata tidak menghiraukan pekerjaan agama lebih-lebih lagilah sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat sebagaimana yang diperintahkan oleh syara’”.[3]

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muddassir ayat 42-45,
   
Yang bermaksud :  (setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?", orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;,  "Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;, "Dan Kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya.

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa orang-orang yang meninggalkan solat akan dikumpulkan di akhirat nanti bersama tokoh-tokoh penderhaka kepada Allah. Jika dia meninggalkan solat kerana disibukkan oleh harta kekayaannya, maka dia akan dikumpulkan bersama-sama Qarun. Jika dia meninggalkan solat kerana sibuk dengan kekuasaan atau pemerintahannya atau kerajaannya maka dia akan dikumpulkan bersama-sama dengan Firaun. Jika dia meninggalkan solat kerana sibuk dengan urusan pentadbiran atau parlimennya maka dia akan dikumpulkan bersama-sama dengan Haman. Jika dia meninggalkan solat kerana sibuk dengan urusan perdagangannya, maka dia akan dikumpulkan bersama-sama dengan Ubay bin Khalaf yang merupakan seorang pedagang kafir yang berjaya di Makkah. [4]

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa tersebut di dalam keterangan hadis bahawa orang yang mengerjakan solat, maka Allah SWT akan memuliakannya dengan lima perkara;

1.    Dibebaskannya daripada kehidupan yang susah
2.    Dibebaskannya dari seksaan kubur
3.    Buku catatan amalnya diberikan Allah dan diterima olehnya dengan tangan yang kanan
4.    Dia akan melalui titian sirath laksana kilat
5.    Dia akan masuk ke syurga tanpa hisab

Manakala mereka yang meninggalkan solat maka Allah SWT menjanjikan untuknya lima belas seksaan. Lima seksaan dikenakan ketika di dunia iaitu;

1.    Dicabut keberkatan umurnya
2.    Tidak ada tanda-tanda orang yang soleh di wajahnya
3.    Segala amal lain yang dilakukannya tidak akan diberi pahala
4.    Doanya tidak diangkat ke langit
5.    Dan tidak ada untuknya bahagian dari doa-doa orang yang soleh

Kemudian tiga jenis seksaan menjelang kematiannya;

1.    Matinya dalam keadaan yang hina
2.    Matinya dalam keadaan lapar
3.    Matinya dalam keadaan dahaga dan jika diberi minum kepadanya sebanyak air di lautan sekalipun pasti tidak akan dapat menghilangkan dahaganya

Kemudian tiga jenis seksaan ketika di dalam kuburnya;

1.    Kuburnya menjadi sempit sehingga remuk tulang-tulang rusuknya
2.    Dibakar di dalam kuburnya siang dan malam
3.    Akan diserahkannya kepada seekor ular yang bernama ‘Syuja’ Al-Aqra’’ , mata ular tersebut menyemburkan api, suaranya kuat laksana petir yang menyambar dan dia akan berkata, “Aku mendapat perintah dari Tuhan untuk mengajarmu kerana kesalahan kamu mensia-siakan solat Subuh sehingga terbit matahari. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan solat Zohor sehingga Asar. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu mensia-siakan solat Asar hingga Maghrib. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan solat Maghrib hingga Isya’. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan solat Isya’ hinggalah terbitnya Fajar”. Setiap kali dipatuk oleh ular tersebut maka terbenamlah dia ke dalam perut bumi sedalam 70 hasta. Maka diseksa dia di dalam kubur sehinggalah kepada hari kiamat.

Manakala seksa ketika bangun dari kubur;
1.    Dia akan melalui suasana hisab atau perhitungan yang amat berat
2.    Dia akan mendapat kemurkaan Allah SWT
3.    Allah tidak memandangnya dengan pandangan rahmat
4.    Akhirnya diseret dia untuk dihumban ke dalam api neraka

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Diceritakan oleh sebahagian ulama’ dahulu bahawa ada seorang perempuan yang mati lalu dikebumikan oleh saudaranya. Semasa pengkebumian tersebut, saudaranya tidak sedar bahawa kantung yang berisi duitnya atau dompetnya telah terjatuh ke dalam kubur tersebut sehinggalah setelah semua orang bersurai barulah saudaranya tersebut sedar bahawa dompetnya telah terjatuh ke dalam kubur tersebut. Lalu saudaranya kembali ke kubur tersebut dan menggalinya semula kubur tersebut. Belum pun dalam dia menggali, tiba-tiba terkeluar semburan api dari dalam kubur saudara perempuannya itu. Lalu dia membatalkan niatnya untuk terus menggali, dan dia terus pulang ke rumah untuk bertemu dengan ibunya. Dia bertanya kepada ibunya, “Wahai ibu, ceritakan kepadaku tentang saudara perempuanku yang meninggal itu. Apakah yang telah dia lakukan semasa dia hidup dahulu?”. Lalu ibunya bertanya, “Kenapakah kamu bertanya sedemikian?”, lalu dia berkata, “wahai ibu, aku melihat semburan api keluar dari lubang kuburnya sewaktu aku pergi untuk menggali semula kuburnya”. Lalu ibunya berkata sambil menangis, “wahai anakku, saudara perempuanmu itu selalu meringan-ringankan solatnya sehingga kadang-kadang terkeluar dari waktunya”. [5] Firman Allah SWT,
  
Yang bermaksud :  Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang ,  (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

Berkata Ibnu Abbas RA, 

“Adapun yang dimaksudkan dengan ‘wail’ itu ialah satu wadi yakni kawasan yang dalam antara dua gunung di dalam neraka jahannam. Wadi ini menjadi tempat kediaman buat mereka yang melewat-lewatkan solat dari waktunya”. [6]

Demikianlah balasan untuk mereka yang sengaja melewat-lewatkan atau menangguh-nangguhkan solatnya sehingga terkeluar daripada waktunya. Bagaimanakah pula balasan azab seksaan untuk mereka yang langsung tidak menunaikan solat?, sudah tentulah jauh lebih berat dan jauh lebih dahsyat dari itu. Oleh yang demikian, jagalah solat dalam kehidupan kita dan juga ahli keluarga kita. Letakkan solat ini sebagai satu urusan yang terpenting dalam hidup kita. Jangan kerana sibuk dengan urusan dunia maka solat diabaikan. 

Wahai saudara-saudaraku yang beriman!, beranikah lagi saudara meninggalkan atau mengabaikan solat lima waktu dengan gambaran seksaan yang telah diceritakan di dalam Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW?. Tidak seorang pun yang berani meninggalkan solat lima waktu melainkan orang itu tidak mempunyai iman. [7]

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Syeikh Daud Abdullah al-Fathoni di dalam kitabnya ‘Munyatul Musolli’ menyatakan bahawa;

“Ada beberapa orang Sahabat dan Salafus Soleh (yakni generasi awal orang-orang soleh) berkata;

“Aku tidak terdengar mana-mana Sahabat yang berkata jika meninggalkan sesuatu amalan menjadi kafir, melainkan meninggalkan solat”

Kata Syeikh Daud Abdullah Fathoni lagi,

“Kita wajib memaksa ahli keluarga, anak-anak dan orang-orang di bawah jagaan kita supaya mendirikan solat dan jangan biarkan mereka menguzurkan diri. Dan bagi mereka yang tidak mematuhi suruhan maka hendaklah kita menakutkan mereka, memaksa dan memarahi mereka dengan bersungguh-sungguh seolah-olah mereka telah merosakkan harta benda milik kita. Jika kita tidak bertindak demikian maka kita dikira sebagai orang yang meringan-ringankan tuntutan Allah dan RasulNya. Sesungguhnya orang yang mengabaikan tuntutan Allah lebih-lebih lagilah solatnya, maka orang ini tidak ada kebajikan darinya serta tidak ada keberkatan untuk kita hidup bersama-sama dengannya kerana mereka ini telah melanggar perintah Allah dan rasulNya”. [8]

وأمر أهلك بالصلوة واصطبر عليها، لا نسئلك رزقا نحن نرزقك والعاقبة للتقوى
  
Yang bermaksud : dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Thahaa 132)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Hakikat Kehidupan


الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق،  ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون،  أشهد أن لآ إله إلا الله وحده لا شريك له،  وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا ونبينا محمد، وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،  


فيا أيها الحاضرون، اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله، فقد فاز المتقون،

قال الله تعالى،

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

ياأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Mafhumnya;

"Wahai sekalian manusia yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kamu melihat apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok, dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah (swt) dengan sebenar-benar taqwa, mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hambanya yang berjaya di dunia dan di akhirat.

بسم الله الرحمن الرحيم

تبارك الذي بيده الملك وهو على كل شيء قدير،  الذي خلق الموت والحيوة ليبلوكم أيكم أحسن عملا وهو العزيز الغفور

سورة الملك 1-2
Mafhumnya;

Maha Suci Allah yang menguasai segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Setiap daripada kita pasti melalui beberapa peringkat kehidupan. Sebahagian ulama membahagikan kehidupan kita ini kepada lima fasa atau peringkat. 

Peringkat yang pertama ialah peringkat alam benih atau alam zar (ذر) yang bermula sejak daripada Allah menciptakan Nabi Adam (as) dan kemudiannya diletakkan setiap benih anak cucu Adam di dalam sulbi datuk kita Nabi Adam (as). Semasa kita berada di dalam peringkat ini, Allah (swt) telahpun mengambil akujanji daripada kita semua. Akujanji tersebut adalah sebagai pengakuan kita terhadap keimanan kita kepada Allah (swt). Firman Allah (swt);

وإذ أخذ ربك من بني آدم من ظهورهم ذريتهم وأشهدهم على أنفسهم ألست بربكم قالوا بلى شهدنا أن تقولوا يوم القيامة إنا كنا عن هذا غافلين

سورة الأعراف 172

Mafhumnya;

Dan ingatlah ketika Tuhanmu memgeluarkan dari sulbi anak cucu Adam keturunan mereka, dan Allah mengambil penyaksian daripada mereka, bukankah aku ini Tuhan kamu?, maka mereka berkata, bahkan Engkau adalah Tuhan kami, kami bersaksi. (Kami lakukan sedemikian) agar di hari kiamat nanti kamu tidak mengatakan "sesungguhnya ketika itu kami lalai terhadap perkara ini".

Peringkat yang kedua pula bermula sejak daripada kita dilahirkan ke dunia ini sehinggalah kita mati, iaitulah fasa kehidupan dunia yang kita sedang berada hari ini. Maka sekarang ini kita sedang berada pada peringkat kehidupan yang kedua. Inilah peringkat atau fasa yang amat penting kerana ia menjadi penentu kepada kehidupan kita yang lagi tiga fasa. Jika sekiranya kita berjaya mengharungi kehidupan dalam fasa yang kedua ini dengan baik dan berjaya, maka kita akan selamat pada fasa-fasa yang berikutnya. Namun jika sekiranya fasa yang kedua ini disalahgunakan dan tidak dimanfaatkan untuk mencari bekal yang secukupnya, maka kita akan menderita dalam fasa-fasa yang berikutnya. Orang yang cerdik dan berakal sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang yang ada ini yang hanya sekali sahaja demi untuk kebahagian hidup di akhirat sana.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi, 

Peringkat yang ketiga ialah alam barzakh atau alam kubur. Peringkat ini bermula apabila kita mati dan meninggalkan dunia ini sehinggalah kita dibangkitkan semula untuk dibicarakan di hadapan Allah (swt).

Pada fasa yang ketiga inilah bermulanya saat azab ataupun nikmat. Saidina Uthman Al-Affan (ra) menangis ketika berada di atas perkuburan. Apabila ditanya kepada beliau apakah sebabnya beliau menangis, maka jawap beliau bahawa Nabi (saw) bersabda:

Kubur adalah awal2 persinggahan akhirat, barangsiapa selamat di dalamnya, maka yang selepasnya akan menjadi mudah baginya. Namun jika dia tidak selamat di dalamnya, maka yang selepas daripada itu akan menjadi lebih sukar baginya.

Riwayat Al-Tirmizi

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Fasa yang keempat pula bermula sejak kita dibangkitkan dari kubur dan dibawa untuk dibicarakan di Mahsyar. Ini juga merupakan saat yang amat menyeksakan buat mereka yang tidak beramal ketika hidup di dunia. Adapun orang-orang yang soleh dan taat kepada Allah, akan dipermudahkan oleh Allah (swt) segala urusannya di Mahsyar.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat sekalian,

Fasa kehidupan kita yang terakhir adalah samada syurga ataupun neraka. Inilah kesudahan fasa kehidupan bagi setiap daripada kita. Syurga yang merupakan tempat yang penuh dengan segala kenikmatan dan kesedapan sudah semestinya untuk mereka yang beriman dan taat kepada Allah dan Rasulnya. Sedangkan neraka merupakan tempat yang penuh dengan segala bentuk azab dan seksaan yang disediakan untuk mereka yang kufur dan derhaka kepada Allah (swt). Inilah kesudahan dalam segala kehidupan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Orang yang cerdik dan berakal pasti akan mempersiapkan dirinya dengan amal yang secukupnya sebagai bekalan untuk hidup bahagia di akhirat sana.  Marilah sama-sama kita persiapkan diri dengan amal yang secukupnya. Dunia bukanlah tempat untuk kita bersuka ria dan berseronok sehingga lupa tanggungjawap kita. Bersusah-susah lah dengan beramal di dunia agar kita hidup bahagia di akhirat sana.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

والعصر، إن الإنسان لفي خسر، إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر


بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات، والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه فيا فوز المستغفرين، ويا نجاة التائبين.

Khutbah Jumaat : Jangan Jadi Orang Muflis



اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

        ( الحشر 18 ) 

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah SWT dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita diberikan kejayaan dan keselamatan hidup di dunia dan juga di akhirat.


( رواه مسلم والترمذي )

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أتدرون ما المفلس؟" قالوا: المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع فقال:" إن المفلس من أمتي من يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة، ويأتي وقد شتم هذا وقذف هذا وأكل مال هذا وسفك دم هذا و ضرب هذا فيعطى هذا من حسناته، وهذا من حسناته فإن فنيت حسناته قبل أن يقضي ما عليه أُخذ من خطاياهم فطرحت عليه ثم طرح في النار".

Maksudnya,

"Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?", lalu jawap para sahabat, "orang yang muflis di kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta". Lalu kata Nabi SAW, "sesungguhnya mereka yang muflis di kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala dari solatnya, puasa dan zakatnya. Namun dalam masa yang sama dia juga membawa dosa memaki hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencedera sesama manusia. Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu, maka jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya maka diambil dosa-dosa manusia tersebut lalu ditanggungkan ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka".

Allah SWT menyuruh kita mencari bekal sebanyak mungkin untuk dibawa balik ke akhirat sana, dan sebaik-baik bekalan itu ialah ketaqwaan kita kepada Allah SWT.  Maka kita disuruh beramal dan melakukan kebajikan sebanyak mungkin, mudah-mudahan semua itu akan menjadi bekalan untuk kita hidup di akhirat sana. 

Namun di sana akan terdapat satu golongan manusia yang pahala amal kebajikan yang diusahakannya di dunia tidak diberikan kepadanya, tetapi diberikan kepada orang lain. Bahkan lebih dahsyat dari itu, dia terpaksa pula menanggung dosa-dosa yang dilakukan oleh orang lain. Golongan ini yang digelar oleh Baginda Nabi SAW sebagai golongan yang muflis di akhirat sana. 

Pada asalnya banyak pahala yang dibawa balik ke akhirat sana samada pahala dari solatnya, puasanya, zakatnya dan juga kebajikan-kebajikan yang lain. Namun semuanya habis diberikan kepada orang lain disebabkan dosa-dosa yang dia lakukan terhadap mereka. Manusia semua akan menuntut pembalasan daripadanya di atas setiap kezaliman yang dilakukannya ketika di dunia dahulu.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Antara dosa sesama manusia sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi tadi ialah dosa yang disebabkan oleh lidah. Lidah yang tidak bertulang ini kadang-kadang disalahgunakan untuk memaki hamun, mencela, memfitnah, dan menuduh orang lain dengan tuduhan yang jahat. Begitu juga mengadu domba, mengumpat dan yang seumpamanya.

Dosa sesama manusia yang kedua pula ialah mengambil hakmilik orang lain tanpa kebenaran atau dengan cara yang salah dan zalim, samada mencuri, menipu, merampas, meragut, menyamun dan sebagainya. Walaupun nilai yang diambil itu mungkin sedikit sahaja, namun tetap akan dituntut oleh tuannya di akhirat kelak. Mungkin di dunia kita terlepas daripada hukuman, tetapi di akhirat kelak tidak akan ada ruang untuk seseorang yang bersalah melarikan diri daripada hukuman Allah SWT.

Dosa ketiga sesama manusia ialah menumpahkan darah atau membunuh ataupun memukul dan mencederakannya. Berapa banyak kes-kes pukul dan bunuh yang kita dengar dan baca saban hari berlaku di dalam dunia hari ini termasuklah di dalam negara kita. Pembunuhan berlaku secara berleluasa seolah-olah nyawa sudah tidak bernilai lagi, sehinggakan nyawa mereka yang tidak bersalah turut menjadi mangsa. Kadang-kadang si pembunuh mungkin terlepas daripada hukuman dunia mungkin disebabkan kelemahan undang-undang ciptaan manusia, mungkin juga disebabkan pengaruh kuasa atau wang ringgit dan sebagainya. Namun yakinlah di akhirat sana mereka sama sekali tidak akan dapat melepaskan diri daripada hukuman dan balasan Allah SWT yang sudah tentunya jauh lebih dahsyat daripada hukuman dunia. 

Buat mereka yang bersekongkol atau merelakan kezaliman yang berlaku juga tidak akan terlepas daripada balasan Allah SWT. Keadilan wajib ditegakkan lebih-lebih apabila kita berkuasa. Maka jangan sekali-sekali kita membiarkan diri kita termasuk dalam kalangan mereka yang bersekongkol dengan sebarang bentuk kezaliman. 

Firman Allah SWT,

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

 (113) هود

Maksudnya,

"Dan janganlah kamu cenderung (memihak atau bersekongkol) dengan orang-orang yang berlaku zalim, maka (jija kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Allah SWT mengharamkan kezaliman ke atas diriNya, dan Allah SWT juga mengharamkan kezaliman sesama makhlukNya. Oleh kerana itulah, jika seseorang itu dizalimi pasti dia akan dibela oleh Allah SWT sekalipun tidak ada seorang pun manusia yang mahu membelanya. Sudah tentulah pembelaan dari Allah lebih mulia. Maka jangan sekali-kali kita melakukan kezaliman terhadap sesama manusia, kerana doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT dan sudah pastinya dia akan dibela oleh Allah, maka orang yang menzaliminya tidak akan dapat lari daripada hukuman dan balasan dari Allah SWT. Sabda Nabi SAW,

عن ابن عباس أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بعث معاذ بن جبل إلى اليمن فقال : اتق دعوة المظلوم فإنها ليس بينها وبين الله حجاب

Maksudnya,

"Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi. Maka sesungguhnya tidak ada hijab atau penghalang di antara doa orang yang dizalimi dengan Allah SWT"


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Bekalan Akhirat


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ،  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

قال الله تعالى:

أعوذ بالله من الشيطن الرجيم

يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap daripada kamu melihat (memikirkan) apa yang telah kamu sediakan (daripada bekalan amalan kamu) untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Dunia adalah tempat untuk kita beramal dan bekerja bagi mencari bekalan sebanyak mungkin untuk dibawa bersama-sama kita ke alam akhirat sana. Setiap daripada kita diberikan tempoh masa dan peluang yang secukupnya untuk sama-sama kita memastikan bahawa kita tidak pulang ke akhirat sana dengan tangan yang kosong atau dengan tanpa sebarang bekalan pahala.

Masa dan peluang yang diberikan kepada kita inilah yang disebutkan sebagai umur kita. Umur juga adalah merupakan masa dan tempoh yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita semua untuk kita sama-sama mencari bekalan akhirat dan bukannya untuk dibazirkan pada perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah. 

Nabi SAW sentiasa memberi peringatan dan amaran kepada kita semua agar kita semua sentiasa tidak melupakan akhirat kerana dunia bukanlah tempat kesudahan buat kita. Sabda Nabi SAW:

عن عبد الله بن عمر بن الخطاب رضي الله تعالى عنهما قال: أخذ رسول الله صلى الله عليه وسلم بمنكبي فقال: كن في الدنيا كأنك غريب، أو عابر سبيل ، وكان ابن عمر رضي الله عنهما يقول: إذا أصبحت فلا تنتظر المساء، وإذا أمسيت فلا تنتظر الصباح، وخذ من صحتك لمرضك، ومن حياتك لموتك.             (رواه البخاري)

Diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar RA katanya;

"Satu hari Rasulullah SAW memegang akan bahuku pada sambil berkata kepadaku, "Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah kamu adalah seorang pedagang (perantau yang sedang berada di negeri orang), atau seolah-olah kamu adalah seorang yang sedang melalui satu jalan (yang pergi ke sesuatu tempat bukan untuk terus tinggal di sana). Kemudian berkata Ibnu Umar RA : "Apabila engkau hidup di waktu pagi maka janganlah engkau menanti-nanti waktu petang, dan apabila engkau hidup di waktu petang, jangan pula engkau menanti-nanti waktu pagi. Rebutlah peluang masa sihatmu untuk beribadah sebelum datangnya masa sakitmu, dan rebutlah peluang masa hidupmu untuk beramal sebelum datangnya saat kematianmu".

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Satu perumpamaan yang begitu cantik diberikan oleh Baginda Nabi SAW kepada kita semua untuk sama-sama kita fikir dan renungkan. Demikianlah hakikat kehidupan kita semua di atas dunia ini. Dunia bukanlah negeri kita untuk selama-lamanya. Dunia bukanlah tempat tinggal kita yang kekal abadi. Dunia bukanlah kesudahan kita, tetapi dunia adalah tempat yang hanya bersifat sementara dan sebentar sahaja. Sebagaimana kita kadang-kadang bermusafir atau berjalan atau bercuti ke negeri orang, maka sampai ketika dan masanya kita tetap akan pulang dan balik ke negeri atau kampung halaman kita kerana di sanalah rumahtangga dan kehidupan kita.

Demikianlah hidup kita di dunia ini, yang mana kita pada saat dan ketika ini sedang dalam keadaan bermusafir sebenarnya. Apabila tiba saat dan ketikanya, kita akan balik ke kampung halaman kita yang sebenar iaitulah akhirat dan di sanalah kita akan hidup kekal buat selamanya.

Sebagaimana orang yang bermusafir atau bercuti, pastinya akan membawa bekalan dan barangan atau buah tangan yang dibelinya ketika dia berada di negeri orang, maka demikianlah kita yang datang ke dunia. Sudah tentunya ada bekalan atau buah tangan yang kita bawa balik bersama, samada bekalan tersebut adalah amal-amal yang soleh atau amal-amal yang buruk. 

Kita juga dipesan agar menggunakan masa sihat kita dengan sebaiknya sebelum datangnya masa sakit. Kerana ramai di kalangan manusia yang mensia-siakan masa sihatnya. Masa sihatnya dihabiskan pada perkara yang tidak mendatangkan manfaat bahkan banyak dihabiskan pada amal yabg sia-sia dan dosa. Dalam sepotong hadis Nabi SAW,

عن ابن عباس رضي الله عنهما  قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : نعمتان مَغبون فيهما كثيرٌ من الناس؛ الصحة والفراغ 

رواه البخاري

"Dua nikmat yang sering diabaikan dan disia-siakan oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang"

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Orang yang cerdik dan bijak tidak akan balik ke akhirat dengan tangan yang kosong, bahkan dia akan memastikan bahawa bekalan yang dibawanya adalah pahala yang mencukupi untuk menampung kehidupan yang panjang. Namun bagi orang yang bodoh dan yang terpedaya dengan kehidupan dunia, maka apa yang dibawanya adalah daripada amal-amal yang sia-sia, bahkan apa yang lebih buruk lagi ialah apa yang dibawanya adalah dari amal-amal dosa yang semestinya akan menjadi beban ke atas dirinya di akhirat sana. 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Jika sekiranya kita balik ke akhirat sana dengan tangan yang kosong, atau dengan amal-amal dosa, maka pastinya kita menyesal dan kecewa di akhirat sana. Maka sudah pasti penyesalan tersebut tidak akan berguna lagi.

Maka sementara masih ada masa dan peluang yang diberikan oleh Allah kepada kita, sama-samalah kita gunakan dengan sebaik mungkin agar masa dan peluang yang ada ini tidak kita sia-siakan. Orang yang cerdik ialah mereka yang telah bersiap sedia untuk menghadapi kehidupan di akhirat sana dengan bekal yang secukupnya.

بسم الله الرحمن الرحيم

وَالْعَصْرِ
إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Mafhumnya:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati dengan kebenaran, dan nasihat-menasihati dengan kesabaran"

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Berinfaqlah Selagi Mampu


الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون،  أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له،  وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،

فيا أيها المؤمنون،  اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله فقد فاز المتقون،

قال الله تعالى:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

"Wahai sekalian manusia yang beriman, bertaqwalah kamu semua kepada Allah, dan hendaklah setiap kami melihat (memikirkan) apakah yang telah kamu sediakan untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Allah SWT menyuruh kita semua untuk sama-sama mencari bekalan di akhirat melalui kesenangan dunia yang Allah kurniakan kepada kita. Firman Allah SWT:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ 

القصص77)

Maksudnya:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu di dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan "

Allah SWT mengajar kepada kita semua beberapa perkara dalam ayat yang dibacakan tadi.

Pertamanya;

Allah SWT menyuruh kita semua untuk sama-sama mencari bekal pahala akhirat melalui kesenangan dan kemewahan dunia yang Allah SWT kurniakan kepada kita. 

Sebagai contoh, Allah kurniakan kepada kita rezeki dalam bentuk duit ringgit. Maka dengan duit ringgit tadi kita belanjakan kepada jalan Allah seperti bersedekah, berwaqaf, dan sebagainya untuk mencari pahala akhirat. 

Paling tidak pun seminggu sekali setiap Jumaat kita sumbangkan ke dalam tabung masjid kita sebanyak yang kita mampu. Maka ini akan menjadi bekal pahal kita di akhirat sana. 

Rata-rata kutipan tabung masjid-masjid di negeri kita pada hari ini alhamdulillah, nampaknya ada peningkatan dari tahun-tahun yang lalu. Namun alangkah baiknya, jika kita dapat meningkatkannya lagi dari masa ke semasa. Sumbangan kita  semua akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak masjid, insyaAllah. 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Ramadhan sudah hampir sebulan pergi meninggalkan kita. Tidak bererti kebajikan kita hanya terhenti setakat Ramadhan sahaja bahkan sepatutnya amal kebajikan kita teruskan juga pada bulan-bulan yang lain. 

Dengan duit yang kita ada maka kita buatkan kebajikan, berilah dan infaqlah sebanyak-sebanyaknya untuk kebajikan bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi juga pada bulan-bulan yang lain. 

Rata-rata masjid menyediakan tabung sumbangan dan derma demi untuk menggalakkan anak-anak qaryah sama-sama melakukan kebajikan.

Berilah sumbangan untuk sama-sama kita menghidupkan masjid dan surau kita dengan pelbagai program. Tunjukkan sokongan kita semua, walaupun hanya dengan seringgit namun ianya sudah cukup untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa menyokong program-program kebajikan yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Perkara kedua yang Allah SWT ajarkan kepada kita dalam ayat yang dibacakan tadi ialah jangan kita lupa tentang dan bahagian kita di dunia. Ini bermakna kita disuruh untuk bekerja dan berusaha mencari kekayaan dan kehidupan dunia. Tetapi jangan sampai lupa akan akhirat, atau jangan sampai lupakan tanggungjawap kita dengan Allah SWT terutamanya solat kita. Maka apabila kita telah mendapat kemewahan dunia, kita cari pulak akhirat dengan cara membelanjakan kemewahan tersebut pada jalan Allah SWT.

Perkara ketiga yang Allah SWT ajarkan kepada kita dalam ayat yang dibacakan tadi ialah, berbuat baiklah sesama makhluk, terutamanya sesama manusia sebagaimana Allah SWT telah berbuat kebaikan yang banyak kepada kita semua. Kebaikan sesama manusia boleh dilakukan dalam berbagai cara, mungkin dalam kebaikan dalam bentuk kewangan, tenaga, buah fikiran, masa, dan sebagainya. Selama mana kita mampu untuk melakukan kebaikan maka lakukanlah, kerana kebaikan walau sekecil mana sekalipun tetap akan dibalas dengan kebaikan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Perkara keempat yang diajar oleh Allah SWT kepada kita semua melalui ayat tadi ialah jangan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini, kerana Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan kerosakan. 

Memang tidak dinafikan, punca berlakunya kerosakan, kehancuran, peperangan, kemusnahan adalah tangan-tangan manusia itu sendiri. Demi kepentingan diri, demi kepuasan nafsu, demi mengaut kekayaan dan keuntungan, maka manusia sanggup merosakkan bumi Allah samada melalui pembunuhan, peperangan, pencemaran, makan rasuah dan sebagainya.

Maka Allah SWT menegaskan bahawa Dia tidak suka kepada mereka yang melakukan kerosakan. Maka kita sebagai manusia yang menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini, sepatutnya kita mengindahkan bumi dan menyelamatkan muka bumi ini daripada kemusnahan, bukan sebaliknya. 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Bersempena dengan kita baru sahaja meninggalkan bulan Ramadhan dan kita masih lagi berada di bulan Syawwal, marilah sama-sama kita tanamkan keazaman yang kuat dalam diri kita masing-masing bahawa kita akan memanfaatkan tarbiah Ramadhan baru-baru ini dengan sebaik mungkin.  

Semoga kita semua diberi kekuatan oleh Allah untuk terus istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, semoga kita akan terus menjadi seorang manusia yang sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk sentiasa menjunjung titah perintahNya dan meninggalkan setiap laranganNya.

Semoga Ramadhan baru-baru ini pergi bersama-sama dengan keampunan dari Allah untuk kita semua. 


بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم،  ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم،  وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم،  أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين