اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ خَلَقَ السَّموَاتِ وَالأَرْضِ، وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّوْرَ، ثُمَّ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَّعَلَى أَلِهِ وأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍِِ اِلىَ َيْومِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله, إِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah
kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan
hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan
untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat). dan bertaqwalah kepada Allah,
Sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita tingkatkan
ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan kita melaksanakan setiap titah-perintahNya dan dalam masa yang sama
kita tinggalkan setiap larangan dan tegahanNya.Moga-moga kehidupan kita akan
sentiasa dinaungi rahmat olehNya, dan semoga kita tergolong dikalangan hamba-hambaNya
yang berjaya di dunia dan juga di akhirat.
Sudah hampir sebulan Ramadhan 1434
hijriah meninggalkan kita bersama 1001 kenangan, sama ada kita sedar atau pun
tidak, Ramadhan 1434 hijriah tetap pergi dan tidak akan kembali.Beruntunglah
bagi mereka yang benar-benar menghayatinya, dan amat rugilah bagi mereka yang
langsung tidak memperdulikan kedatangannya.Apakah masih ada peluang untuk kita
bertemu dengan Ramadhan 1435 hijriah?, hanya
Allah s.w.t sahaja yang mengetahuinya, akan tetapi, kita sentiasa mengharapkan
agar masih ada peluang untuk kita bertemu Ramadhan yang akan datang agar dapat
kita perbaiki setiap kekurangan dan kesilapan kita pada Ramadhan yang telah
lalu.
Saudara-saudaraku
yang dirahmati Allah,
Kita mengharapkan kesan daripada
sebulan Ramadhan yang lalu akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang lebih
baik dari yang sebelumnya.Selain itu, diharapkan dengan berlalunya Ramadhan bersama-sama proses
tarbiah atau pendidikan yang telah dilalui akan mampu untuk menjadi bekalan
bagi menghadapi 11 bulan yang seterusnya. Gunakanlah segala hasil tarbiah
Ramadhan yang lalu untuk menyemarakkan lagi semangat beribadah dan bermujahadah.
Pastikan kita sentiasa berterusan mengunjungi masjid dan surau untuk menunaikan solat berjamaah, mengikuti
kelas-kelas pengajian, tadarrus al-Quran dan amalan-amalan kebajikan sehingga
dapat membentuk diri dan umat Islam yang mantap iman dan bertaqwa kepada Allah
s.w.t. Insya’Allah, jika perkara ini dapat kita teruskan, kita akan menjadi masyarakat
yang aman bahagia dan sentiasa mendapat naungan rahmat dan berkat dari Allah
s.w.t. Firman Allah s.w.t;
Maksudnya: Dan sekiranya penduduk negeri itu,
beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka buat mereka (pintu pengurniaan)
Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan
(Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang
mereka telah usahakan.
Hadirin yang dimuliakan,
Jika sebulan yang lalu, yakni ketika
kita berpuasa, kita mampu untuk meninggalkan perangai-perangai buruk yang
selama ini menjadi tabiat kita kerana bimbang akan hilang pahala puasa, kenapa
tidak kita teruskan amalan ini walaupun bukan dalam bulan puasa.Jika ketika berpuasa
kita takut untuk mengumpat, takut untuk melihat kepada perkara-perkara yang
ditegah, takut untuk memakai pakaian yang mendedahkan aurat, takut untuk
melewat-lewatkan solat dari waktunya, alangkah baiknya jika sekiranya perangai
yang baik ini diteruskan walaupun dalam bulan-bulan yang lain, dan inilah hasil
yang sepatutnya kita dapat daripada penat lelah kita berpuasa, menahan perut
tanpa makan dan minum selama sebulan, kerana sememangnya Ramadhan adalah
merupakan satu bulan yang dikhususkan oleh Allah s.w.t untuk mendidik manusia
agar menjadi hambaNya baik dan bertaqwa.
Saudara-saudaraku
yang dikasihi sekelian,
Apa yang amat menyedihkan kita
ialah, setiap kali menjelang musim perayaan kematian akibat kemalangan di
jalanraya pasti tidak dapat dielakkan.Setiap kali tiba musim perayaan angka
kematian akibat kecelakaan dijalanraya pasti
meningkat, paling tidak pun sukar untuk dikurangkan.Dengan keadaan jalan yang
boleh dikatakan antara yang terbaik, kemudahan-kemudahan yang berbagai dan
keadaan kenderaan yang semakin canggih, kita merasa pelik kenapa masalah ini
gagal untuk diatasi.Jangan terlalu mudah untuk menyalahkan takdir.
Mungkin faktor utama yang menjadi
menyumbang kepada bencana ini ialah sikap pemandu dan pengguna jalanraya itu
sendiri.Sikap tidak sabar, tergesa-gesa, tidak ada pertimbangan dan enggan
mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, inilah antara penyumbang yang membawa kepada
berlakunya kemalangan dan sebagainya.Masalah ini tidak mungkin akan dapat
diatasi sampai bila-bila pun selagi mana sikap dan mentaliti kita tidak
berubah.Kita mengharapkan Ramadhan yang baru sahaja berlalu akan dapat mengubah
diri kita dan masyarakat seluruhnya, dan akhirnya tidak akan ada lagi
saudara-saudara kita yang akan menjadi mangsa nahas jalanraya akibat sikap dan
perangai buruk pemandu dan juga pengguna-pengguna jalanraya.
Mimbar juga ingin menyeru kepada
golongan muda-mudi khususnya yang masih lagi melibatkan diri dengan gejala rempit, ganja dan sebagainya agar
kembalilah ke jalan yang benar.Tidak ada untungnya kita menjadi sampah dalam
masyarakat, bahkan masyarakat akan memandang hina terhadap kita dan juga
keluarga kita.Gunakanlah akal dan juga tenaga muda yang dikurniakan oleh Allah s.w.t
untuk sama-sama kita menabur jasa kepada agama, bangsa dan negara.Jika ini dapat
dilakukan, hidup kita akan dijulang, mati kita nanti akan dikenang.
Selain pihak berkuasa, ibu bapa, ahli
keluarga serta masyarakat setempat juga mempunyai peranan yang amat penting untuk memastikan anak-anak, ahli keluarga dan
masyarakat kita bebas dari gejala-gejala yang tidak sihat ini.Jangan hanya
meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak berkuasa semata-mata, sedangkan kita
sebagai ibu bapa dan masyarakat langsung tidak memperdulikan kegiatan anak-anak
kita.Baik atau buruk masa depan tanahair kita berada ditangan mereka.Bayangkan
apa yang akan terjadi terhadap tanahair kita jika sekiranya suatu hari nanti
tanahair ini dipimpin oleh mereka yang telah rosak akhlaknya.Ambillah peluang
masa yang masih diberikan oleh Allah ini untuk sama-sama kita memperbaiki
setiap kekurangan dan kelemahan yang ada demi agama, bangsa dan tanahair kita
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى
وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ
مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ
قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ
الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ,
فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.