Monday 22 July 2013

Khutbah : Ramadhan Tetamu Istimewa



اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ جَعَلَ رَمَضَانَ شَهْرًا مُبَارَكً وَفَرَضَ فِيْهِ الصِّيَامَ وَأَعَدَّ فِيْهِ فَضْلاً كَبِيْرًا وَأَجْرًا عَظِيْمًا أَحْمَدُهُ سُبْحَانَهُ وَأَشْكُرُهُ عَلَى جَزِيْلِ إِنْعَامِهِ وَإِفْضَالِهِ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْن.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،      

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Marilah sama-sama kita melaksanakan segala perintah Allah dan dalam masa yang sama kita menjauhi serta meninggalkan setiap larangannya. Mudah-mudahan kita akan mendapat kebaikan di dunia, kebaikan di akhirat dan dipelihara daripada azab api neraka.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, setiap detik dan saat akan tetap berlalu meninggalkan kita. Setiap saat dan ketika akan menjadikan kita semakin tua, di mana hari ini usia kita lebih tua dari semalam, dan semakin cepat masa berlalu maka semakin cepat kita akan meninggalkan dunia ini menuju ke alam baqa’. Keadaan ini akan berterusan tanpa mempersoalkan sama ada kita bersedia ataupun tidak. Begitu juga dengan perjalanan masa, hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Di mana sekarang kita telah pun berada di sepuluh yang akhir Ramadhan dan apa yang pastinya, Ramadhan 1428 hijriah akan meninggalkan kita  tidak berapa lama lagi.
                                 
Bulan Ramadhan, satu bulan yang diibaratkan seolah-olah bulan pemberian istimewa daripada Allah s.w.t buat umat Islam seluruhnya, di mana setiap pahala amalan digandakan dan dibayar dengan ganjaran yang cukup besar. Dan apa yang paling penting ialah, Ramadhan mampu untuk menjadikan kita hamba yang benar-benar bertaqwa kepada Tuhannya jika sekiranya Ramadhan dihayati dengan sebaiknya. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi:

Yang bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu menjadi hamba yang bertaqwa."

Saudara-saudaraku sidang hadirin yang dirahmati Allah,
Sepuluh yang akhir daripada Ramadhan adalah merupakan kemuncak kepada setiap Ramadhan. Siti Aisyah r.a pernah menceritakan bahwasanya Nabi s.a.w memberitahu kepada kita agar sama-sama mencari lailatul qadar dalam 10 yang akhir ini. Inilah amalan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w setiap kali Ramadhan dan Nabi s.a.w sendiri tidak pernah melepaskan peluang keemasan ini.

Satu keistimewaan buat umat Muhammad yang bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah di dalam bulan Ramadhan, terutamanya dalam sepuluh yang akhir, ganjaran yang begitu besar menanti buat mereka. Mimbar hari ini mengajak saya dan tuan-tuan marilah sama-sama kita rebut peluang istimewa ini dan jangan terlalu mengharapkan Ramadhan hadapan kerana belum tentu ada peluang untuk kita bertemu dengannya.   

Sidang jumaat yang berbahagia,
Ramadhan adalah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Apa tidaknya, sesungguhnya segala dosa yang dilakukan akan mendapat keampunan dari Allah bagi hamba-Nya yang melakukan ibadah pada bulan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta dengan penuh pengharapan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ."

Yang bermaksud : " Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah s.w.t maka diampunkan bagi-nya segala dosa yang telah lalu ".
        (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Saudara-saudaraku  sidang jumaat yang dirahmati Allah
Takwa adalah matlamat utama yang mesti dicapai oleh setiap orang yang berpuasa. Namun sebenarnya perkataan takwa amat mudah untuk diungkapkan, tetapi pada hakikatnya adalah amat sukar untuk diperolehi. Justeru itu, bersempena bulan Ramadan yang mulia ini hendaklah kita sama-sama berusaha meningkatkan serta menghidupkan seberapa banyak amalan yang boleh mendekatkan diri kita dengan Allah s.w.t, seperti bertadarus al-Quran, mendirikan solat taraweh secara berjamaah, memperbanyakkan amalan bersedekah kepada mereka yang memerlukan, berzakat dan sebagainya. Lebih-lebih lagi dalam suasana kita menuju kepada 10 yang akhir daripada Ramadhan, dan dalam masa yang sama kita menjauhi dari melakukan sebarang bentuk maksiat yang boleh menjejaskan ibadah puasa kita.

Jangan kita menjadi seperti golongan yang mengaku mereka berpuasa, mereka tidak makan dan tidak minum seperti mana orang lain berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa balasan faedah dari puasa mereka melainkan lapar dan dahaga semata-mata. Ini jelas disebut oleh Baginda Nabi s.a.w,

" رُبَّ صَآئِمٍ لَّيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوْعُ وَالْعَطْشُ "

Yang bermaksud : " Berapa ramai orang yang berpuasa dari kalangan kamu, tetapi tidak mendapat sesuatupun dari puasanya melainkan  lapar dan dahaga semata-mata ”
      ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Ramadhan bukanlah merupakan bulan untuk kita bermewah-mewah dengan pelbagai jenis menu dan juadah, seperti mana tanggapan segelintir masyarakat yang jahil. Mereka berbelanja untuk membeli makanan pada bulan puasa lebih dari belanja mereka pada bulan-bulan biasa. Bukan ini tujuan dan matlamat Ramadhan, dan bukan ini hasil yang sepatutnya kita dapat setelah sepanjang hari kita menahan perut tanpa makan dan minum. Kita mengharapkan Ramadhan akan dapat mendidik kita supaya menjadi manusia yang sederhana sama ada dalam soal berbelanja mahupun dalam apa jua hal sekalipun.

Marilah sama-sama kita renungi dan menginsafi kesusahan dan keperitan yang ditanggung oleh umat-umat Islam  di negara-negara yang lain, yang menghadapi bencana alam, kebuluran, penindasan, peperangan dan kemiskinan tetapi mereka masih mampu melaksanakan ibadat puasa dengan cukup sempurna hanya dengan  berbekalkan keimanan yang teguh serta kepercayaan terhadap janji-janji Allah.

Cuba kita kenangkan nasib mereka sejenak setiap kali kita berbelanja membeli juadah berbuka puasa yang terdiri daripada berbagai jenis makanan sehinggakan tidak mungkin mampu dapat dihabiskan oleh perut kita ini. Bayangkan anak-anak kecil mereka, kaum wanita yang lemah dan wargatua mereka yang terpaksa menghadapi kesusahan dan keperitan tersebut, sedangkan dalam masa yang sama kita begitu mewah berbuka puasa sehinggakan tidak mampu untuk bangun dari tempat makan kerana penat menghabiskan makanan dan melayan hawa nafsu yang buruk.

Saudara-saudara sidang jumaat yang dikasihi,
Sudah menjadi adat dan resam kehidupan, setiap pertemuan pasti akan diakhiri dengan perpisahan. Demikianlah pertemuan kita bersama Ramadhan 1428 Hijriah. Ramadhan kali ini akan pergi meninggalkan kita bersama 1001 kenangan seperti mana Ramadhan- Ramadhan yang telah lalu, dan belum tentu kita akan dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang, dan kalaulah kita mengerti betapa istimewanya Ramadhan, nescaya kita tidak akan sanggup berpisah dengannya. Ini pernah dijelaskan oleh Baginda Nabi s.a.w,

لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا رَمَضَانُ لَتَمَنَّتْ أُمَّتِيْ أَنْ تَكُوْنَ السَّنَةُُ كُلُّهَا رَمَضَانَ

Yang bermaksud : Jika sekiranya umatku mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan nescaya mereka akan mengharapkan agar sepanjang tahun itu dijadikan Ramadhan.  ( Riwayat Al-Baihaki )


Yang bermaksud : " (masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan dan padanya diturunkan Al-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan ( atau mengetahuinya ) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu, dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”.                                             ( Surah al-Baqarah ayat  : 185 )


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بالقُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

No comments:

Post a Comment