Monday 22 July 2013

Khutbah : Jihad Di Sepuluh Akhir Ramadhan




اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ جَعَلَ رَمَضَانَ شَهْرًا مُبَارَكً وَفَرَضَ فِيْهِ الصِّيَامَ وَأَعَدَّ فِيْهِ فَضْلاً كَبِيْرًا وَأَجْرًا عَظِيْمًا أَحْمَدُهُ سُبْحَانَهُ وَأَشْكُرُهُ عَلَى جَزِيْلِ إِنْعَامِهِ وَإِفْضَالِهِ.
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْن.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،      
.


Marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan kita mengerjakan segala titah perintahNya dan dalam masa yang sama kita meninggalkan  segala laranganNya dan tegahanNya. Mudah-mudahan setiap amalan kita akan dibalas oleh Allah dalam bentuk kejayaan hidup di dunia dan ganjaran syurga di akhirat dan seterusnya diampunkan dosa-dosa kita.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Sedar atau tidak sedar, kita kini sudah berada di penghujung Ramadhan, ada baiknya jika kita renungkan kembali, apakah kita pasti bahawa ibadah puasa yang telah kita lakukan selama hampir sebulan ini akan diterima oleh Allah s.w.t ataupun sebaliknya? Apakah kita masih melakukan perkara-perkara yang mencacatkan ibadah puasa? Apakah puasa kita layak diberi ganjaran pahala oleh Allah? atau kita hanya mendapat lapar dan dahaga tanpa sebarang pahala?.

Sesungguhnya hanya diri kita sendiri yang dapat menilai kualiti ibadah puasa yang telah kita lakukan. Ini kerana ibadah puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW :

" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ اِيْمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ".

Maksudnya : " Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu " .                               ( Riwayat Bukhari dan Muslim )


Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Salah satu hikmah diwajibkan kita berpuasa ialah untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Firman Allah SWT  dalam surah al-Baqarah ayat 183 :

Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa " .

Berdasarkan Firman Allah ini, jelaslah kepada kita bahawa kesan puasa bagi orang yang beriman ialah akan bertambah ketakwaannya kepada Allah. Justeru, setelah hampir sebulan kita berpuasa, apakah kita merasai takwa kita bertambah atau berkurang?. Apakah jiwa kita semakin bersemangat untuk membanyakkan amal ibadah atau jiwa kita semakin lalai dan meringankan ibadah?. Apakah pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan ini, kita semakin banyak membaca al-Quran,  banyak bersedekah,  beriktikaf,  banyak berzikir dan beristighfar? ataupun pada sepuluh yang akhir ini  kita lebih banyak menghabiskan masa dengan membeli-belah, membuat persiapan hari raya yang berlebihan,  meninggalkan sembahyang terawih,  kurang membaca al-Quran dan berbual-bual kosong sehingga melupakan kelebihan di akhir Ramadhan?.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Adalah sungguh bijak bagi kita merebut segala peluang yang Allah sediakan pada hari-hari terakhir Ramadan daripada kita mensia-siakan baki sepuluh akhir Ramadan. Ini kerana kita tidak pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak menyambut Ramadan pada tahun hadapan. Kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan satu malam yang nilai keberkatan dan ganjaran pahala pada malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadar :

Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu,  turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut ) . Sejahteralah malam ( yang barakah ) itu hingga terbit fajar " .    (Surat al-Qadar ayat  :1-5 )

Kita akan merasa kesal jika mensia-siakan peluang keemasan yang Allah sediakan kepada kita iaitu malam Lailatul Qadar. Kerana segala amal ibadah yang dilakukan pada malam tersebut, ganjaran  berlipat kali ganda. Janganlah kita seolah-olah merasakan amal ibadah kita telah banyak sehingga mengabaikan malam tersebut. Malam Lailatul Qadar adalah malam untuk kita melipatgandakan amal ibadah dan mengumpul sebanyak-banyaknya pahala sebagai bekalan ketika bertemu Allah di akhirat kelak. Sedangkan Rasulullah s.a.w. . Sendiri menanti-nanti malam tersebut dan melipatgandakan amalan Baginda, inikan lagi kita sebagai hamba yang banyak melakukan dosa dan sedikit amal. Dalam sebuah Hadis ada menyatakan bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata :

"كَانَ النَِّبيُّ (ص) إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْياً لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ"

Maksudnya : " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga " .
( Hadis riwayat bukhari )
  
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Lailatul Qadar adalah malam yang dianugerahkan Allah kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. dan tiada siapa yang tahu dengan secara tepatnya bilakah berlakunya malam tersebut walau diri Baginda sendiri. Sungguhpun demikian, Baginda menasihatkan umatnya supaya sentiasa memperbanyakkan amal ibadah khususnya pada malam-malam ganjil pada akhir Ramadan. Sabda Baginda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari :

"تَحَرَّواْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ".

Maksudnya :  " Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan " .                        ( Hadis riwayat bukhari )

Justeru, langkah yang terbaik supaya kita tidak terlepas peluang keemasan malam tersebut maka hedaklah kita terus beristiqamah melakukan amal ibadah dan memperbanyakkan lagi pada sepuluh malam terakhir terutama pada malam-malam yang ganjil. Janganlah pula kita terlalu sibukkan diri dengan mementingkan persediaan menyambut hari raya sehingga melupakan dan meringan-ringan amal ibadah .


Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Kita semua menyedari bahawa pada waktu dan saat begini, kemeriahan menyambut awal Syawal atau hari raya semakin dirasai. Masing-masing sudah mula merancang perjalanan untuk pulang ke kampung atau membuat persiapan menyambut hari lebaran. Sememangnya agama Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan hari raya. Ini kerana hari raya adalah hari kemenangan kita umat Islam melaksanakan rukun Islam ketiga dan berjaya menumpaskan hawa nafsu dan godaan syaitan.

Cuma kita diberi peringatan agar jangan mengabaikan nilai dan roh Ramadan sehingga seolah-olah ibadah puasa yang kita kerjakan langsung tiada memberi kesan yang baik kepada diri kita. Sawajarnya sembahyang terawih yang dikerjakan setiap malam Ramadan dapat membiasakan kita mengamalkan sembahyang-sembahyang sunat yang lain. Kesabaran menahan lapar dan dahaga sepanjang siang Ramadan juga sawajarnya menjadikan diri kita lebih sabar menjalani liku-liku kehidupan. Latihan kesabaran tersebut dapat membuang sikap panas baran, gopoh-gapah dan mementingkan diri sendiri yang mungkin menjadi kebiasaan kita sebelum ini . Begitu juga dengan berpuasa akan dapat mengembalikan kesihatan tubuh badan yang mungkin sebelum ini kita tidak berkesempatan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Sesungguhnya  masih belum terlewat untuk kita kembali memanfaatkan bulan Ramadan ini dengan mengamalkan amalan-amalan berikut :

  1. Berusaha membanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadan ini seperti sembahyang terawih,  membaca al-Quran, beriktikaf dan bersedekah .
  2. Berusaha mendapat kelebihan Lailatul Qadar dan keberkatan-Nya terutama pada malam sepuluh terakhir Ramadan.

  1. Sentiasa memohan keampunan dari Allah dan bembebasan dari azab api neraka.

  1. Menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah untuk diri dan tanggungannya kita.

Akhir sekali, mimbar Jumaat hari ini ingin menyeru para jamaah dan seluruh umat Islam supaya peningkatan ibadah yang kita lakukan sepanjang Ramadan diteruskan. Begitu juga kemuliaan syakhsiah kita perlulah dipelihara. Janganlah pula kita bertukar perwatakan sebaik sahaja berakhirnya Ramadan. Seterusnya kepada yang ingin pulang menyambut hari raya dikampung, utamakan keselamatan ketika memandu dan jangan memandu mengikut perasaan, memandulah dengan mengikut peraturan dan undang-undang, janganlah kita cuai dan memandu dengan melebihi had laju yang dibenarkan kerana ia boleh mengundang kecelakaan dan membunuh disebabkan oleh kecuaian dan sikap ego kita sewaktu memandu. Sayangilah nyawa keluarga dan para pengguna jalan raya yang lain. Marilah  kita berusaha untuk mengelakkan kemalangan dengan memandu secara berhemah, berdisiplin dan bertimbang rasa. Di samping sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah memohan keselamatan dan keberkatan sepanjang perjalanan kita.

 
Maksudnya : " dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada-mu mengenai aku, maka ( beritahu kepada mereka ) sesungguhnya aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada Mereka ), aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku ( dengan mematuhi perintahku ), dan hendaklah mereka beriman kepada aku supaya mereka menjadi baik serta betul " .                               ( Surah al-Baqarah ayat: 186 )


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

1 comment: