اَلْحَمْدُ
ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى
كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ
لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ
وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا
مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا،
وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ
إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا
بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى
اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang dia
telah sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Firman
Allah SWT:
Yang bermaksud
: (dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang
demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan
dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap
takabbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!".
Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya,
(dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya:
"Tuhanku telah menghinakan daku!"
(Al-Fajr: 15-16).
Meneliti
kandungan ayat di atas Allah SWT telah memandu kita dalam memahami situasi
kehidupan manusia dengan lebih tepat dan betul. Ini kerana sememangnya manusia
sering menyalah tafsirkan apa yang terjadi di sekelilingnya. Antara perkara
yang disalah tafsirkan ialah soal kaya dan miskin, senang dan susah.
Dua
ayat yang dipetik dari surah Al-Fajr di atas secara jelas telah mendedahkan kepada
kita tentang dua golongan manusia yang selalunya wujud dalam masyarakat.
Golongan itu ialah:
Pertama:
Golongan yang dikurniakan kekayaan. Golongan ini adalah lapisan masyarakat yang
hidup dalam keadaan serba mewah dan memiliki wang yang serba cukup untuk
membeli apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Sebahagian mereka mendakwa
bahawa nikmat kekayaan yang mereka miliki ini adalah merupakan tanda kemuliaan
dan rahmat Tuhan kepada mereka.
Oleh
itu biasanya golongan ini akan sentiasa mempamerkan kelebihan mereka dari sudut
kebendaan sama ada kenderaan, pakaian, makanan mahupun tempat kediaman mereka.
Mereka juga hidup di kawasan yang setaraf dengan mereka yang agak jauh daripada
golongan miskin.
Termasuk
di dalam golongan ini ialah mereka yang dikurniakan kedudukan dan kemenangan
dalam merebut jawatan pemimpin dalam sesebuah organisasi mahupun negara. Sebahagian
mereka mendakwa bahawa kedudukan tinggi ini adalah hasil kebenaran yang mereka
perjuangkan. Pihak yang kalah pula didakwa sebagai tanda kesalahan dan tidak
mendapat keberkatan dari Allah SWT.
Daripada
aspek sebuah masyarakat dan negara, kekayaan dan sumber alam yang melimpah ruah
juga didakwa sebagai lambang rahmat dan punca kemajuan negara. Justeru para
pemimpin seringkali mengaitkan kekayaan tersebut sebagai bukti kebaikan dan
kebijaksanaan memerintah negara. Inilah pegangan kebanyakan mereka yang salah
pemikiran dan fahamannya.
Namun
demikian Allah s.w.t. telah membetulkan persepsi di atas dengan firman-Nya yang
bermaksud:
"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu
dia dimuliakan-Nya dan diberikan kesenangan, Maka dia akan berkata: “Tuhanku telah
memuliakanku”. (Al-Fajr:15)
Ayat
ini menjelaskan tabiat majoriti manusia yang menilai kekayaan dan kesenangan
yang dimiliki sama ada dari aspek material mahupun pangkat sebagai satu
kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, sedangkan semuanya adalah
merupakan satu ujian kepada mereka.
Allah
SWT sedang menguji golongan ini apakah kekayaan yang diberikanNya itu diurus
berpandukan syariat Allah ataupun sebaliknya? Seperti yang dihuraikan oleh Dr
Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsirnya Al-Munir bahawa Allah SWT menempelak
mereka yang membuat dakwaan seperti di atas. Kerana pada hakikatnya kemuliaan
di sisi Allah bukanlah diukur dari sudut kekayaan dan kemewahan tetapi kemuliaan
di sisi Allah diukur menurut ketaqwaan dan keimanan seseorang seperti yang
dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya.
Jika
kaya sepatutnya seseorang itu bersyukur dengan menambahkan lagi amal kebajikan
dan ibadah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di dalam tafsirnya. Ini
kerana kekayaan dan kesenangan biasanya akan menghanyutkan manusia dan membawa
mereka kepada kekufuran.
Lihat
sahaja apa yang berlaku kepada Qarun. Akibat dari kekayaan yang melimpah ruah
serta melampau yang dikurniakan kepadanya telah menjerumuskannya ke lembah
kekufuran kepada Allah.
Firman
Allah SWT;
Yang Bermaksud
: Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa, maka ia berlaku aniaya
terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta
yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat.
(Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga!
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Surah Al-Qasas :76
Juga
apa yang berlaku kepada Firaun! Hasil segala kesenangan, kekayaan dan kedudukan
yang dimilikinya menyebabkan dia kufur kepada Allah. Malah dengan angkuh dia mengaku
dirinya sebagai Tuhan yang amat berkuasa.
Sebagai
muslim sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat kekayaan dan kesenangan adalah
ujian yang amat sukar untuk dihadapi oleh manusia. Ini kerana biasanya golongan
kayalah yang selalunya hanyut dengan kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja
demi menjamin keselamatan harta benda mereka.
Dalam
sejarah kebangkitan Islam kita dapati golongan yang paling kuat menentang
dakwah Nabi Muhammad SAW adalah datang dari kalangan bangsawan dan mereka yang
berkedudukan di dalam masyarakat. Ini kerana kekayaan menyebabkan mereka
sombong dan bongkak lantas tidak mahu menerima kebenaran.
Kedua:
Golongan kedua pula ialah golongan miskin. Biasanya golongan ini mempunyai
tanggapan bahawa kesempitan hidup dan kesusahan yang menimpa mereka adalah
merupakan satu bentuk penghinaan yang telah ditakdirkan ke atas mereka.
Selalunya
mereka akan merasa rendah diri, tidak mahu berusaha dan sering meminta-minta.
Akibat dari tanggapan sedemikian menyebabkan adanya kalangan golongan miskin
yang tidak mahu mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana mereka buruk sangka
kepada-Nya.
Justeru
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
"Hampir-hampir kefakiran boleh membawa kepada
kekufuran".
Allah
telah menyatakan bahawa kemiskinan bukanlah tanda kebencian Tuhan atau
penghinaan tetapi ia merupakan satu bentuk ujian kepada manusia. Sama ada ia
dapat bersabar atau sebaliknya di dalam berhadapan dengan ujian ini. Firman
Allah SWT,
Yang bermaksud
: "Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia
berkata: “Tuhanku menghinakanku”. (Al-Fajr: 16).
Ujian
berbentuk kemiskinan juga amat sukar dihadapi oleh manusia kerana dengannya
menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada manusia yang lain dan hilang
pergantungan dengan Allah Tuhan Yang Maha Pencipta.
Kemiskinan
boleh menyebabkan seseorang itu melakukan apa sahaja demi mendapat sesuap nasi.
Meskipun apa yang dilakukan adalah haram. Kemiskinan juga boleh menjadikan
seseorang menurut apa sahaja kehendak orang yang berkuasa ke atasnya meskipun jelas
ia adalah bertentangan dengan syariat Allah.
Di
dalam sejarah tamadun manusia pemerintah yang kejam dan zalim menjadikan
kemiskinan sebagai senjata untuk mengongkong dan memeras ugut rakyat agar terus
memberikan sokongan kepadanya.
Kesimpulannya,
kekayaan dan kemiskinan kedua-duanya adalah merupakan ujian kepada manusia di
dunia ini. Bagi yang kaya, kekayaan boleh menghanyutkan mereka dalam arus
kemurkaan Allah. Namun sebaliknya, jika kekayaan digunakan sebaik-baiknya, ia
boleh menjadi pendorong kepada ketakwaan kepada Allah SWT.
Sebabnya,
dengan kekayaan akan memberikan seseorang ruang seluas-luasnya untuk bersedekah
dan mendermakan harta ke jalan meningkatkan syiar Islam. Kemiskinan pula boleh
menjadikan seseorang terdorong melanggar larangan Allah semata-mata untuk
memperolehi harta kekayaan.
Namun
kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang sentiasa insaf, ingat kepada Allah
dan bergantung dengan-Nya sepanjang masa. Malah Rasulullah SAW amat suka
berdampingan dengan golongan miskin kerana ia boleh melembutkan hati dan
menyuburkan sifat tawaduk dan rendah diri.
بَارَكَ اللهُ لِيْ
وَلَكُمْ بالقُرْءَانِ العَظِيْمِ،
وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ،
وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ
قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ
المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ،
فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment