Monday 22 July 2013

Khutbah : Ramadhan : Kehilangan Yang Sepatutnya Ditangisi



اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ خَلَقَ السَّموَاتِ وَالأَرْضِ، وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّوْرَ، ثُمَّ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَّعَلَى أَلِهِ وأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍِِ اِلىَ َيْومِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله, إِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat). dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan kita melaksanakan setiap  titah-perintahNya dan dalam masa yang sama kita tinggalkan setiap larangan dan tegahanNya.Moga-moga kehidupan kita akan sentiasa dinaungi rahmat olehNya, dan semoga kita tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang berjaya di dunia dan juga di akhirat.

Sudah hampir sebulan Ramadhan 1434 hijriah meninggalkan kita bersama 1001 kenangan, sama ada kita sedar atau pun tidak, Ramadhan 1434 hijriah tetap pergi dan tidak akan kembali.Beruntunglah bagi mereka yang benar-benar menghayatinya, dan amat rugilah bagi mereka yang langsung tidak memperdulikan kedatangannya.Apakah masih ada peluang untuk kita bertemu  dengan Ramadhan 1435 hijriah?, hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahuinya, akan tetapi, kita sentiasa mengharapkan agar masih ada peluang untuk kita bertemu Ramadhan yang akan datang agar dapat kita perbaiki setiap kekurangan dan kesilapan kita pada Ramadhan yang telah lalu.

Saudara-saudaraku yang dirahmati Allah,

Kita mengharapkan kesan daripada sebulan Ramadhan yang lalu akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang lebih baik dari yang sebelumnya.Selain itu, diharapkan dengan  berlalunya Ramadhan bersama-sama proses tarbiah atau pendidikan yang telah dilalui akan mampu untuk menjadi bekalan bagi menghadapi 11 bulan yang seterusnya. Gunakanlah segala hasil tarbiah Ramadhan yang lalu untuk menyemarakkan lagi semangat beribadah dan bermujahadah. Pastikan kita sentiasa berterusan mengunjungi masjid dan surau  untuk menunaikan solat berjamaah, mengikuti kelas-kelas pengajian, tadarrus al-Quran dan amalan-amalan kebajikan sehingga dapat membentuk diri dan umat Islam yang mantap iman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Insya’Allah, jika perkara ini dapat kita teruskan, kita akan menjadi masyarakat yang aman bahagia dan sentiasa mendapat naungan rahmat dan berkat dari Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t;


Maksudnya: Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka buat mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Hadirin yang dimuliakan,

Jika sebulan yang lalu, yakni ketika kita berpuasa, kita mampu untuk meninggalkan perangai-perangai buruk yang selama ini menjadi tabiat kita kerana bimbang akan hilang pahala puasa, kenapa tidak kita teruskan amalan ini walaupun bukan dalam bulan puasa.Jika ketika berpuasa kita takut untuk mengumpat, takut untuk melihat kepada perkara-perkara yang ditegah, takut untuk memakai pakaian yang mendedahkan aurat, takut untuk melewat-lewatkan solat dari waktunya, alangkah baiknya jika sekiranya perangai yang baik ini diteruskan walaupun dalam bulan-bulan yang lain, dan inilah hasil yang sepatutnya kita dapat daripada penat lelah kita berpuasa, menahan perut tanpa makan dan minum selama sebulan, kerana sememangnya Ramadhan adalah merupakan satu bulan yang dikhususkan oleh Allah s.w.t untuk mendidik manusia agar menjadi hambaNya baik dan bertaqwa.

Saudara-saudaraku yang dikasihi sekelian,

Apa yang amat menyedihkan kita ialah, setiap kali menjelang musim perayaan kematian akibat kemalangan di jalanraya pasti tidak dapat dielakkan.Setiap kali tiba musim perayaan angka kematian akibat kecelakaan dijalanraya  pasti meningkat, paling tidak pun sukar untuk dikurangkan.Dengan keadaan jalan yang boleh dikatakan antara yang terbaik, kemudahan-kemudahan yang berbagai dan keadaan kenderaan yang semakin canggih, kita merasa pelik kenapa masalah ini gagal untuk diatasi.Jangan terlalu mudah untuk menyalahkan takdir.

Mungkin faktor utama yang menjadi menyumbang kepada bencana ini ialah sikap pemandu dan pengguna jalanraya itu sendiri.Sikap tidak sabar, tergesa-gesa, tidak ada pertimbangan dan enggan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,  inilah antara penyumbang yang membawa kepada berlakunya kemalangan dan sebagainya.Masalah ini tidak mungkin akan dapat diatasi sampai bila-bila pun selagi mana sikap dan mentaliti kita tidak berubah.Kita mengharapkan Ramadhan yang baru sahaja berlalu akan dapat mengubah diri kita dan masyarakat seluruhnya, dan akhirnya tidak akan ada lagi saudara-saudara kita yang akan menjadi mangsa nahas jalanraya akibat sikap dan perangai buruk pemandu dan juga pengguna-pengguna jalanraya.

Mimbar juga ingin menyeru kepada golongan muda-mudi khususnya yang masih lagi melibatkan diri dengan  gejala rempit, ganja dan sebagainya agar kembalilah ke jalan yang benar.Tidak ada untungnya kita menjadi sampah dalam masyarakat, bahkan masyarakat akan memandang hina terhadap kita dan juga keluarga kita.Gunakanlah akal dan juga tenaga muda yang dikurniakan oleh Allah s.w.t untuk sama-sama kita menabur jasa kepada agama, bangsa dan negara.Jika ini dapat dilakukan, hidup kita akan dijulang, mati kita nanti akan dikenang.

Selain pihak berkuasa, ibu bapa, ahli keluarga serta masyarakat setempat juga mempunyai peranan yang amat penting  untuk memastikan anak-anak, ahli keluarga dan masyarakat kita bebas dari gejala-gejala yang tidak sihat ini.Jangan hanya meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak berkuasa semata-mata, sedangkan kita sebagai ibu bapa dan masyarakat langsung tidak memperdulikan kegiatan anak-anak kita.Baik atau buruk masa depan tanahair kita berada ditangan mereka.Bayangkan apa yang akan terjadi terhadap tanahair kita jika sekiranya suatu hari nanti tanahair ini dipimpin oleh mereka yang telah rosak akhlaknya.Ambillah peluang masa yang masih diberikan oleh Allah ini untuk sama-sama kita memperbaiki setiap kekurangan dan kelemahan yang ada demi agama, bangsa dan tanahair kita

  

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.





No comments:

Post a Comment