Tuesday 17 September 2019

Khutbah Jumaat : Berinfaqlah Selagi Mampu


الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون،  أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له،  وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،

فيا أيها المؤمنون،  اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله فقد فاز المتقون،

قال الله تعالى:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

"Wahai sekalian manusia yang beriman, bertaqwalah kamu semua kepada Allah, dan hendaklah setiap kami melihat (memikirkan) apakah yang telah kamu sediakan untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Allah SWT menyuruh kita semua untuk sama-sama mencari bekalan di akhirat melalui kesenangan dunia yang Allah kurniakan kepada kita. Firman Allah SWT:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ 

القصص77)

Maksudnya:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu di dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan "

Allah SWT mengajar kepada kita semua beberapa perkara dalam ayat yang dibacakan tadi.

Pertamanya;

Allah SWT menyuruh kita semua untuk sama-sama mencari bekal pahala akhirat melalui kesenangan dan kemewahan dunia yang Allah SWT kurniakan kepada kita. 

Sebagai contoh, Allah kurniakan kepada kita rezeki dalam bentuk duit ringgit. Maka dengan duit ringgit tadi kita belanjakan kepada jalan Allah seperti bersedekah, berwaqaf, dan sebagainya untuk mencari pahala akhirat. 

Paling tidak pun seminggu sekali setiap Jumaat kita sumbangkan ke dalam tabung masjid kita sebanyak yang kita mampu. Maka ini akan menjadi bekal pahal kita di akhirat sana. 

Rata-rata kutipan tabung masjid-masjid di negeri kita pada hari ini alhamdulillah, nampaknya ada peningkatan dari tahun-tahun yang lalu. Namun alangkah baiknya, jika kita dapat meningkatkannya lagi dari masa ke semasa. Sumbangan kita  semua akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak masjid, insyaAllah. 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Ramadhan sudah hampir sebulan pergi meninggalkan kita. Tidak bererti kebajikan kita hanya terhenti setakat Ramadhan sahaja bahkan sepatutnya amal kebajikan kita teruskan juga pada bulan-bulan yang lain. 

Dengan duit yang kita ada maka kita buatkan kebajikan, berilah dan infaqlah sebanyak-sebanyaknya untuk kebajikan bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi juga pada bulan-bulan yang lain. 

Rata-rata masjid menyediakan tabung sumbangan dan derma demi untuk menggalakkan anak-anak qaryah sama-sama melakukan kebajikan.

Berilah sumbangan untuk sama-sama kita menghidupkan masjid dan surau kita dengan pelbagai program. Tunjukkan sokongan kita semua, walaupun hanya dengan seringgit namun ianya sudah cukup untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa menyokong program-program kebajikan yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Perkara kedua yang Allah SWT ajarkan kepada kita dalam ayat yang dibacakan tadi ialah jangan kita lupa tentang dan bahagian kita di dunia. Ini bermakna kita disuruh untuk bekerja dan berusaha mencari kekayaan dan kehidupan dunia. Tetapi jangan sampai lupa akan akhirat, atau jangan sampai lupakan tanggungjawap kita dengan Allah SWT terutamanya solat kita. Maka apabila kita telah mendapat kemewahan dunia, kita cari pulak akhirat dengan cara membelanjakan kemewahan tersebut pada jalan Allah SWT.

Perkara ketiga yang Allah SWT ajarkan kepada kita dalam ayat yang dibacakan tadi ialah, berbuat baiklah sesama makhluk, terutamanya sesama manusia sebagaimana Allah SWT telah berbuat kebaikan yang banyak kepada kita semua. Kebaikan sesama manusia boleh dilakukan dalam berbagai cara, mungkin dalam kebaikan dalam bentuk kewangan, tenaga, buah fikiran, masa, dan sebagainya. Selama mana kita mampu untuk melakukan kebaikan maka lakukanlah, kerana kebaikan walau sekecil mana sekalipun tetap akan dibalas dengan kebaikan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Perkara keempat yang diajar oleh Allah SWT kepada kita semua melalui ayat tadi ialah jangan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini, kerana Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan kerosakan. 

Memang tidak dinafikan, punca berlakunya kerosakan, kehancuran, peperangan, kemusnahan adalah tangan-tangan manusia itu sendiri. Demi kepentingan diri, demi kepuasan nafsu, demi mengaut kekayaan dan keuntungan, maka manusia sanggup merosakkan bumi Allah samada melalui pembunuhan, peperangan, pencemaran, makan rasuah dan sebagainya.

Maka Allah SWT menegaskan bahawa Dia tidak suka kepada mereka yang melakukan kerosakan. Maka kita sebagai manusia yang menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini, sepatutnya kita mengindahkan bumi dan menyelamatkan muka bumi ini daripada kemusnahan, bukan sebaliknya. 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Bersempena dengan kita baru sahaja meninggalkan bulan Ramadhan dan kita masih lagi berada di bulan Syawwal, marilah sama-sama kita tanamkan keazaman yang kuat dalam diri kita masing-masing bahawa kita akan memanfaatkan tarbiah Ramadhan baru-baru ini dengan sebaik mungkin.  

Semoga kita semua diberi kekuatan oleh Allah untuk terus istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, semoga kita akan terus menjadi seorang manusia yang sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk sentiasa menjunjung titah perintahNya dan meninggalkan setiap laranganNya.

Semoga Ramadhan baru-baru ini pergi bersama-sama dengan keampunan dari Allah untuk kita semua. 


بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم،  ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم،  وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم،  أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين

No comments:

Post a Comment