Tuesday 17 September 2019

Khutbah Jumaat : Jangan Jadi Orang Muflis



اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

        ( الحشر 18 ) 

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah SWT dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita diberikan kejayaan dan keselamatan hidup di dunia dan juga di akhirat.


( رواه مسلم والترمذي )

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أتدرون ما المفلس؟" قالوا: المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع فقال:" إن المفلس من أمتي من يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة، ويأتي وقد شتم هذا وقذف هذا وأكل مال هذا وسفك دم هذا و ضرب هذا فيعطى هذا من حسناته، وهذا من حسناته فإن فنيت حسناته قبل أن يقضي ما عليه أُخذ من خطاياهم فطرحت عليه ثم طرح في النار".

Maksudnya,

"Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?", lalu jawap para sahabat, "orang yang muflis di kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta". Lalu kata Nabi SAW, "sesungguhnya mereka yang muflis di kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala dari solatnya, puasa dan zakatnya. Namun dalam masa yang sama dia juga membawa dosa memaki hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencedera sesama manusia. Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu, maka jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya maka diambil dosa-dosa manusia tersebut lalu ditanggungkan ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka".

Allah SWT menyuruh kita mencari bekal sebanyak mungkin untuk dibawa balik ke akhirat sana, dan sebaik-baik bekalan itu ialah ketaqwaan kita kepada Allah SWT.  Maka kita disuruh beramal dan melakukan kebajikan sebanyak mungkin, mudah-mudahan semua itu akan menjadi bekalan untuk kita hidup di akhirat sana. 

Namun di sana akan terdapat satu golongan manusia yang pahala amal kebajikan yang diusahakannya di dunia tidak diberikan kepadanya, tetapi diberikan kepada orang lain. Bahkan lebih dahsyat dari itu, dia terpaksa pula menanggung dosa-dosa yang dilakukan oleh orang lain. Golongan ini yang digelar oleh Baginda Nabi SAW sebagai golongan yang muflis di akhirat sana. 

Pada asalnya banyak pahala yang dibawa balik ke akhirat sana samada pahala dari solatnya, puasanya, zakatnya dan juga kebajikan-kebajikan yang lain. Namun semuanya habis diberikan kepada orang lain disebabkan dosa-dosa yang dia lakukan terhadap mereka. Manusia semua akan menuntut pembalasan daripadanya di atas setiap kezaliman yang dilakukannya ketika di dunia dahulu.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Antara dosa sesama manusia sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi tadi ialah dosa yang disebabkan oleh lidah. Lidah yang tidak bertulang ini kadang-kadang disalahgunakan untuk memaki hamun, mencela, memfitnah, dan menuduh orang lain dengan tuduhan yang jahat. Begitu juga mengadu domba, mengumpat dan yang seumpamanya.

Dosa sesama manusia yang kedua pula ialah mengambil hakmilik orang lain tanpa kebenaran atau dengan cara yang salah dan zalim, samada mencuri, menipu, merampas, meragut, menyamun dan sebagainya. Walaupun nilai yang diambil itu mungkin sedikit sahaja, namun tetap akan dituntut oleh tuannya di akhirat kelak. Mungkin di dunia kita terlepas daripada hukuman, tetapi di akhirat kelak tidak akan ada ruang untuk seseorang yang bersalah melarikan diri daripada hukuman Allah SWT.

Dosa ketiga sesama manusia ialah menumpahkan darah atau membunuh ataupun memukul dan mencederakannya. Berapa banyak kes-kes pukul dan bunuh yang kita dengar dan baca saban hari berlaku di dalam dunia hari ini termasuklah di dalam negara kita. Pembunuhan berlaku secara berleluasa seolah-olah nyawa sudah tidak bernilai lagi, sehinggakan nyawa mereka yang tidak bersalah turut menjadi mangsa. Kadang-kadang si pembunuh mungkin terlepas daripada hukuman dunia mungkin disebabkan kelemahan undang-undang ciptaan manusia, mungkin juga disebabkan pengaruh kuasa atau wang ringgit dan sebagainya. Namun yakinlah di akhirat sana mereka sama sekali tidak akan dapat melepaskan diri daripada hukuman dan balasan Allah SWT yang sudah tentunya jauh lebih dahsyat daripada hukuman dunia. 

Buat mereka yang bersekongkol atau merelakan kezaliman yang berlaku juga tidak akan terlepas daripada balasan Allah SWT. Keadilan wajib ditegakkan lebih-lebih apabila kita berkuasa. Maka jangan sekali-sekali kita membiarkan diri kita termasuk dalam kalangan mereka yang bersekongkol dengan sebarang bentuk kezaliman. 

Firman Allah SWT,

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

 (113) هود

Maksudnya,

"Dan janganlah kamu cenderung (memihak atau bersekongkol) dengan orang-orang yang berlaku zalim, maka (jija kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Allah SWT mengharamkan kezaliman ke atas diriNya, dan Allah SWT juga mengharamkan kezaliman sesama makhlukNya. Oleh kerana itulah, jika seseorang itu dizalimi pasti dia akan dibela oleh Allah SWT sekalipun tidak ada seorang pun manusia yang mahu membelanya. Sudah tentulah pembelaan dari Allah lebih mulia. Maka jangan sekali-kali kita melakukan kezaliman terhadap sesama manusia, kerana doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT dan sudah pastinya dia akan dibela oleh Allah, maka orang yang menzaliminya tidak akan dapat lari daripada hukuman dan balasan dari Allah SWT. Sabda Nabi SAW,

عن ابن عباس أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بعث معاذ بن جبل إلى اليمن فقال : اتق دعوة المظلوم فإنها ليس بينها وبين الله حجاب

Maksudnya,

"Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi. Maka sesungguhnya tidak ada hijab atau penghalang di antara doa orang yang dizalimi dengan Allah SWT"


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment