Saturday 11 August 2018

Khutbah Jumaat : Bahaya Lidah


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،


Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Salah satu daripada anggota yang banyak menjerumuskan  dan menghumban seseorang manusia itu kepada kebinasaan dan kkecelakaan ialah anggota yang bernama lidah. Kerana itulah Baginda Nabi SAW sangat menekankan kepada kita supaya menjaga dan memelihara lidah dengan bersunguh-hsungguh. Antaranya sabda Nabi SAW;

قال رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنُ لَهُ الْجَنَّةَ " . هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ 

Maksudnya:

"Sesiapa yang boleh menjamin bahawa dia mampu memelihara anggota yang berada di antara dua tulang gerahamnya iaitu lidahnya, dan anggota yang berada di celah dua pahanya iaitu kemaluannya, maka aku jamin untuknya syurga"

Sabda Nabi SAW dalam hadis yang lain;

أكثر خطايا ابن آدم في لسانه

Maksudnya;

"Sebesar-besar atau sebanyak-sebanyak bahaya bagi seseorang anak Adam adalah pada lidahnya"

Perbincangan berkaitan bahaya dan kebinasaan lidah ini banyak dibincangkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab Tasawwuf. Al-Imam Al-Ghazali RH menyebut di dalam kita Bidayatul Hidayah, 

"Manakala lidah hanyalah ia diciptakan bagi kamu agar kamu dapat memperbanyakkan zikrullah dengannya, membaca kitabNya, menunjukkan makhluk Allah SWT ke arah jalanNya, dan menzahirkan apa yang terlintas di hati nurani engkau daripada keperluan agama dan dunia engkau. Maka apabila engkau menggunakan lidahmu bagi tujuan yang lain daripada tujuan asalnya, maka sesungguhnya engkau telah mengkufuri terhadap nikmat yang diberikan kepadamu. Berapa ramai manusia di akhirat yang dihumbankan ke dalam api neraka dengan sebab jenayah yang dilakukan oleh lidahnya. Maka kekanglah dan jagalah lidahmu sebaik-baiknya supaya ia tidak menjadi sebab kamu dihumbankan ke dalam api neraka."

Di antara bentuk-bentuk kejahatan dan kebinasaan lidah adalah seperti berbohong atau menipu. Begitu juga dengan menabur fitnah sesama kita, lebih-lebih lagilah di musim kita nak menghadapi pilihanraya, dan juga dalam suasana kecanggihan teknologi media sosial seperti wassap, facebook dan sebagainya. Maka jagalah lidah ketika kita berkempen atau berucap atau berkongsi sesuatu berita di media sosial kerana bimbang kita sedang menabur fitnah atau menyebarkan berita palsu yang melibatkan maruah orang lain. Hari ini kita bercakap bukan hanya melalui lidah, tetapi melalui apa yang kita tulis. Maka apa yang kita tulis dalam media sosial tersebut sebenarnya sama dengan apa yang kita ucapkan. Jangan sekali-kali kita menulis sesuatu perkara yang berunsurkan fitnah atau pembohongan, kerana semua itu akan dipertanggungjawapkan oleh Allah kepada kita di akhirat kelak.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Lidah juga boleh terjebak dengan perbuatan mencaci maki, mengumpat, menghina orang lain,  dan yang seumpama dengannya.

Kesemua sifat-sifat buruk ini merupakan antara penyebab utama kepada perpecahan serta perbalahan sesama umat Islam yang akhirnya akan  menghancurkan kesatuan umat Islam, serta memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuhnya melakukan serangan demi serangan terhadap umat Islam.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Inilah di antara penyakit-penyakit lidah yang sangat membinasakan seseorang. Oleh kerana itulah Al-Imam Al-Ghazali RH menyarankan kepada kita beberapa perkara jika kita ingin selamat daripada fitnah lidah; 

1. Kurangkan bergaul dengan manusia kecuali jika perlu, dan bergaullah dengan bahasa dan percakapan yang baik-baik sahaja
2. Bercakap sekadar keperluan sahaja, kerana apabila kita banyak bercakap, maka banyaklah salahnya, jika banyak salah maka banyaklah pula dosanya
3. Memikirkan terlebih dahulu dengan apa yang hendak kita cakapkan. Jika baik silakanlah dan teruskanlah bercakap, tetapi jika buruk, maka diamlah dan janganlah bercakap kerana itu lebih selamat buat kita.  

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Setiap daripada kita pasti akan dipertanggungjawapkan dihadapan Allah di akhirat nanti terhadap apa yang kita lakukan semasa hidup di dunia ini. Begitulah dengan lidah kita. Maka marilah sama-sama kita pelihara dan menjaga lidah kita dengan sebaik-baiknya agar ia tidak menyusahkan kita di akhirat kelak.

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ( النور 24) 

"Pada hari lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan".

 بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

2 comments:

  1. Mohon sertakan romanais bahasa arab untuk ayat al-quran.....terima kasih

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete