Saturday 11 August 2018

Khutbah: Membudayakan Al-Quran Dalam Kehidupan


الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون ، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،
أيها الناس اتقوا الله،  أوصيكم ونفسي بتقوى الله فقد فاز المتقون، 

قال الله تعالى: يأيها الذين  ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Mafhumnya : Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kamu melihat (memikirkan)  apa yang telah kamu sediakan (daripada bekalan amalan kamu) untuk hari esok (kiamat), dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang kamu lakukakan.

Marilah sama2 kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar taqwa, yakni dengan kita mentaati setiap titah perintahNya dan pada masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita mendapat  kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Sabda Nabi SAW,

اقرءوا القرءان فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه

Bacalah oleh kamu semua akan Al-Quran, maka sesungguhnya Al-Quran yang kamu baca akan datang memberi syafaat yakni pertolongan kepada kamu pada hari kiamat.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Al-Quran ialah Kalam Allah yang mulia, yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, melalui perantaraan Jibril AS, yang melemahkan sesiapa pun untuk mendatangkan yang seumpama dengannya, membacanya dikira satu ibadah yang sangat besar pahalanya. Sabda Nabi SAW,

من قرأ حرفا من كتاب الله فله حسنة،  فالحسنة بعشر أمثالها،  ولا أقول الم حرف،  ولكن الف حرف ولام حرف وميم حرف

Mafhumnya:  Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka dia mendapat satu kebajikan, setiap satu kebajikan digandakan 10 pahala, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, akan tetapi Alif dikira satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Ini di antara amalan yang besar ganjaran pahalanya, yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita semua. Mungkin semasa hidup kita tidak merasa betapa bernilainya pahala ini, tetapi apabila kita sudah berpindah dari alam dunia ke alam barzakh, maka pada saat itu tidak ada yang lebih berharga buat kita semua melainkan pahala daripada amalan yang kita lakukan semasa di dunia ini. Di antara amalan yang akan memberatkan timbangan kita di akhirat ialah bacaan Al-Quran.

Orang yang bersama-sama dengan Al-Quran ialah orang-orang yang mulia di sisi Allah SWT. Mereka adalah golongan VVIP di sisi Allah SWT. Sabda Nabi SAW;

خيركم من تعلم القرءان وعلمه

Semulia-mulia kamu ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.

Allah SWT meletakkan ahli Al-Quran pada kedudukan yang sangat mulia di sisiNya. Maka, kenapakah kita sebagai hamba kepadaNya masih tidak mahu merebut kedudukan dan pangkat yang mulia ini di sisiNya.

Adalah amat penting untuk kita membudayakan bacaan Al-Quran dalam kehidupan kita seharian kita. Terapkan budaya ini dalam diri anak-anak kita dan ahli keluarga kita. Jika kita masih tidak mampu membaca Al-Quran maka belajarlah untuk membacanya. Tidak ada batasan umur yang membatasi kita untuk belajar Al-Quran bahkan biarlah umur kita dan juga masa yang kita ada dihabiskan untuk Al-Quran. Allah SAW berfirman dalam sepotong hadis qudsi yang bermaksud;

Barangsiapa yang masanya disibukkan oleh Al-Quran daripada berdoa dan meminta kepada Aku, maka Aku akan memberi kepadanya anugerah yang lebih baik daripada apa yang Aku beri kepada mereka yang meminta kepada Aku.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Memberi ilmu Al-Quran kepada anak-anak adalah merupakan tanggugjawap ibu bapa. Ibu bapa akan dipertanggungjawapkan di hadapan Allah SWT tentang perkara ini. Sabda Nabi SAW,

ادبوا أولادكم على ثلاث خصال،  حب نبيكم، وحب أهل بيته،  وقراءة القرءان الكريم

Ajarkanlah atau adabkanlah anak-anak kamu dengan 3 perkara, 1. Kasih kepada Nabi kamu, 2. Kasih kepada ahli keluarga Baginda, 3. Membaca Al-Quran Al-Karim

Jika ibu bapa mampu untuk mengajar sendiri Al-Quran kepada anak-anak, maka lakukanlah kerana itulah yang terbaik. Namun jika ibu bapa tidak mampu untuk berbuat demikian, maka hantarlah anak-anak kita ke pusat-pusat pengajian Al-Quran yang pada hari ini wujud di merata-rata tempat. Samada di sekolah, di pejabat, di masjid dan surau bahkan sampai di rumah pun kadang-kadang ada kalangan guru-guru yang pergi mengajar secara peribadi. Maka tidak ada alasan untuk kita katakan bahawa "aku tidak pandai membaca Al-Quran dengan sebab tidak ada orang yang mengajar", sedangkan kelas Al-Quran wujud di merata tempat di sekeliling kita. Hanya kesedaran dari dalam diri kita sahajalah yang akan dapat memberikan kepada kita kekuatan serta kesungguhan untuk mempelajari Al-Quran.

Minbar menyeru kita semua pada hari ini, marilah sama-sama kita pastikan bahawa kita mampu membaca Al-Quran dengan kita mempelajarinya dan  jangan biarkan kita mati dalam keadaan kita jahil Al-Quran. Biarlah kita mati dalam keadaan kita sentiasa istiqamah bersama-sama Al-Quran kerana pasti ada kemuliaan buat kita di sana.

وننزل من القرءان ما هو شفآء ورحمة للمؤمنين ولا يزيد الظلمين إلا خسارا

بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم،  ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات،  فاستغروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين

No comments:

Post a Comment