Saturday 11 August 2018

Khutbah: Maqasid Syariah


الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون ، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،
أيها الناس اتقوا الله،  أوصيكم ونفسي بتقوى الله فقد فاز المتقون، 

قال الله تعالى: يأيها الذين  ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Mafhumnya : Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kamu melihat ( memikirkan)  apa yang telah kamu sediakan untuk hari esok ( kiamat ), dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang kamu lakukakan.

Marilah sama2 kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar taqwa, yakni dengan kita mentaati setiap titah perintahNya. Pada masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita mendapat  kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT,

لا يأتيه الباطل من بين يديه ولا من خلفه تنزيل من حكيم حميد - فصلت 42
Maksudnya:  Al-Quran itu ialah kitab yang tidak datang kepadanya oleh kebatilan baik dari depan, mahupun dari belakang, yang diturunkan daripada Tuhan yang maha bijaksana lagi maha terpuji.

Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT. Tidak ada agama lain yang diterima di sisi Allah SWT selain dari agama Islam. Untuk menyempurnakan agama ini, maka Allah SWT mengutuskan seorang Rasul untuk menyampaikan agama ini kepada umat akhir zaman. Dibekalkan bersama-sama Rasul yang diutuskan ini kitab suci Al-Quran Al-Karim sebagai panduan dan kita hidayah. Ini ada mukjizat yang kekal, yang dkurniakan oleh Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Barangsiapa yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupannya, maka dia diberi petunjuk oleh Allah dan selamatlah dia di dunia dan di akhirat. Namun barangsiapa yang mengengkari Al-Quran, maka celakalah dia dan rugilah hidupnya di dunia dan di akhirat. Apa yang disampaikan oleh Allah di dalam Al-Quran adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. Allah SWT ingin memudahkan kita dan bukan menyusahkan. Dia lebih mengetahui tentang apa yang baik dan apa yang buruk untuk kita, maka diturunkannya syariat sebagai jalan hidup kita. Firman Allah SWT,

يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر

Saudara-saudaraku sidang Jumaat sekalian,    

Islam menggariskan kepada kita 5 asas utama yang perlu dipelihara dan dijaga bersama demi menjaga kebaikan umat manusia. 

1. Memelihara agama, kerana ini adalah yang paling utama sehinggakan mereka yang murtad diancam dengan ancaman yang keras. Firman Allah SWT,

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ 

Dan sabda Nabi SAW,

 من بدّل دينه فاقتلوه - رواه البخاري في صحيحه 


2. Memelihara nyawa, maka Islam mengharamkan sekeras-kerasnyanya perbuatan jenayah membunuh diri atau membunuh orang lain. Ini kerana nyawa adalah hak milik Allah SWT. Maka apa juga perbuatan yang boleh mengancam nyawa seseorang atau nyawa diri sendiri adalah sangat-sangat dilarang oleh Islam. Firman Allah SWT,

وما كان لمؤمن أن يقتل مؤمنا إلا خطئا

Dan juga firman Allah SWT,

ولا تقتلوا أنفسكم إن الله كان بكم رحيما

3. Memelihara akal. Ini adalah antara nikmat besar yang Allah SWT berikan kepada manusia. Ini jugalah yang membezakan antara kita dengan haiwan dan makhluk yang lain. Maka Allah memerintahkan kita untuk memelihara serta menjaga akal kita dengan sempurna serta diharamkan apa jua perbuatan yang boleh menyebabkan hilangnya akal seperti minum arak atau apa jua yang memabukkan dan boleh merosakkan fungsi akal. 

Maka syarak mengharamkan apa jua yang memabukkan kerana ianya boleh menghilangkan akal. Apabila akal sudah hilang dan tidak waras, maka manusia tidak lagi sempurna sifatnya. Ada anak yang sanggup membunuh ibu bapanya sendiri disebabkan hilang akalnya kerana dadah  dan sebagainya. Berapa banyak kes yang kita baca dan kita dengar akhir-akhir ini yang melibatkan jenayah rompak, bunuh, sumbang mahram dan sebagainya yang berpunca daripada akal yang sudah rosak. Firman Allah SWT,

يأيها الذين ءامنوا إنما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون

4. Memelihara harta, maka Allah SWT mengharamkan kita memakan atau mengambil harta atau hakmilik orang lain secara batil samada dalam bentuk mencuri, menipu, mengambil rasuah, mengambil riba dan sebagainya. Ini adalah bentuk pengambilan harta secara batil yang diharamkan oleh Allah SWT. Harta yang diperolehi dengan cara sebegini sememangnya tidak ada keberkatan dari Allah SWT, bahkan di akhirat mereka akan dipertanggungjawapkan di hadapan Allah tentang harta-harta ini. Allah akan menyoal mereka dari manakah datangnya harta ini, dan ke manakah harta ini dibelanjakan. Hisab akan menjadi sukar di hadapan Allah, bahkan kesudahannya adalah neraka. Firman Allah SWT,

ولا تأكلوا أموالكم بين بالباطل

5. Memelihara nasab keturunan, maka Allah SWT mengharamkan perbuatan zina, kerana zina akan merosakkan dan mencemarkan keturunan. Bahkan Allah menggambarkan kepada kita bahawa zina ini adalah satu perbuatan yang keji, dan kesannya adalah amat buruk samada terhadap individu yang berzina atau masyarakat seluruhnya. 

Lihat kesannya apabila lahirnya anak hasil penzinaan, maka syarak tidak mengizinkan anak tersebut dinasabkan kepada si ayahnya kerana akan membawa kesan buruk yang lebih besar dan  berpanjangan apabila melibatkan harta pusaka dan juga wali dalam perkahwinan. Alasan untuk menutup malu dan aib bukanlah alasan yang kuat kerana syariat Islam jelas menunjukkan larangan membin atau membintikan kepada selain bapa yang sah melalui perkahwinan. 

Kita sebenarnya kena melihat kepada punca berlakunya musibah ini. Tidak lain dan tidak bukan, ianya berpunca daripada perbuatan zina yang berleluasa sehinggakan mereka yang berzina seolah-olah tidak takut akan balasan dari Allah SWT. Selama mana punca kepada masalah ini gagal kita bendung dan kita rawat, maka selama itulah kita akan dihantui oleh musibah ini, bahkan akan bertambah dahsyat dari masa ke semasa. 

Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam secara keseluruhan demi kebahagiaan hidup kita di dunia dan juga di akhirat. Tidak akan ada cara yang lain yang dapat menyelamatkan kita semua baik di dunia dan di akhirat, melainkan dengan cara kita tunduk dan patuh kepada perintah dan hukum Allah SWT.

بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم،  ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات،  فاستغروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين

No comments:

Post a Comment