Wednesday 13 February 2013

Khutbah : Zakat : Satu Tuntutan Untuk Berkorban


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ، 
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
.
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah s.w.t pada ayat 34-35 dalam Surah at-Taubah [1];

  
Yang bermaksud :  Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan Ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam), dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu di dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.

Di antara ciri-ciri manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT ialah dia sentiasa melaksanakan apa jua suruhan dan perintah dari Allah SWT sekalipun terpaksa mengorbankan harta dan jiwanya demi meraih keredhaan Allah SWT. Allah SWT berjanji akan menggantikan setiap pengorbanan jiwa dan harta yang dilakukan oleh hamba-hambanya dengan syurga dan kenikmatannya. Firman Allah SWT pada ayat 111 dalam Surah At-Taubah;

  
Yang bermaksud :  Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

Di antara bentuk pengorbanan harta yang dituntut kita melaksanakannya untuk mencapai keredhaan Allah SWT ialah zakat dan sedekah. Zakat ialah satu ibadah harta benda dari seorang muslim. Orang Islam yang mempunyai sumber kehidupan atau memiliki harta benda yang tertentu diwajibkan untuk mengeluarkan bahagiannya kepada orang yang mustahak menerimanya menurut ketetapan hukum atau syariat. [3]

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

عن ابن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إلاه إلا الله وأن محمدا رسول الله ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة فإذا فعلوا ذلك عصموا مني دمائهم وأموالهم إلا بحق الإسلام وحسابهم على الله تعالى . متفق عليه.

Yang bermaksud : Aku diperintahkan (oleh Allah) supaya memerangi manusia hingga mereka mengucap bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maka apabila mereka berbuat yang demikian itu terpeliharalah mereka itu daripadaku darah mereka dan harta mereka kecuali dengan hak Islam dan hisab mereka atas Allah SWT. [4]

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Zakat disyariatkan bertujuan untuk mendidik diri kita supaya bersifat pemurah dan prihatin terhadap kesusahan dan penderitaan yang ditanggung oleh orang lain. Allah SWT juga memfardhukan ibadah zakat kepada hamba-Nya adalah sebagai penyucian harta dan dosa-dosa orang yang kaya dan memenuhi keperluan sara hidup bagi yang miskin. Ianya juga merupakan pengikat hubungan persaudaraan sesama Islam. Orang yang kaya akan membelanjakan  sebahagian hartanya kepada orang-orang fakir dan miskin, dan orang-orang fakir dan miskin pula akan mendoakan kebaikan kepada orang kaya yang pemurah. Ini akan menghilangkan perasaan hasad, benci, cemburu, dan marah si miskin kepada si kaya.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Di dalam sebuah Hadith, Nabi SAW menceritakan tentang kelebihan orang yang bersikap prihatin kepada golongan fakir dan miskin. Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

ما من يوم يصبح العباد فيه إلا وملكان ينزلان ، فيقول أحدهما : اللهم أعط منفقا خلفا ، ويقول الآخر : اللهم أعط ممسكا تلفا .
Maksudnya : Tidak ada satu hari yang berpagi-pagi padanya oleh hamba-hamba melainkan ada dua malaikat yang turun kepadanya, maka salah dari kedua berkata (berdoa), “Ya Allah berilah kepada orang-orang yang berbelanja (bersedekah atau berzakat) akan gantinya (yakni ganti kepada harta yang telah disedekah atau dizakatkan)”, dan yang seorang lagi pula berkata (berdoa), “ya Allah berilah kepada orang yang bakhil akan kebinasaan”. [5]
OIeh itu, jangan berasa rugi apabila kita berzakat atau bersedekah. Jangan sekali-kali kita berkira-kira untuk berzakat. Yakinlah!, harta yang kita zakatkan dengan ikhlas akan dirahmati oleh Allah dan bermanfaat kepada diri kita di dunia dan akhirat.

Sebaliknya, jika sekiranya kita bersikap bakhil dan mementingkan diri sendiri, Allah SWT memberi ingatan dan ancaman kepada mereka sepertimana firman-Nya yang cukup keras di dalam surah Al-Haaqqah ayat 30 - 34:

Maksudnya :  (lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): " Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, - "Kemudian bakarlah dia di dalam neraka jahiim; - "Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! - "Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha besar, - "Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin. [6]



Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda Nabi SAW menjelaskan tentang seksaan yang dijanjikan Allah kepada golongan yang tidak mahu berzakat. Sabda Nabi SAW,

من أتاه الله مالا فلم يؤد زكاته مثل له يوم القيامة شجاعا أقرع ، له زبيبتان يطوقه يوم القيامة ، ثم يأخذ بلهزمتيه ثم يقول : أنل مالك ، أنا كنزك ثم تلا : ( أل-عمران 180)

Maksudnya : Barangsiapa yang diberikan harta oleh Allah, kemudian dia tidak mengeluarkan zakatnya, akan dirupakan baginya pada hari kiamat kelak seekor ular yang botak kepalanya (ular yang ketiadaan rambut kerana terlampau lama hidupnya dan banyak pula racunnya) lagi mempunyai dua tompok hitam di atas dua matanya yang membelitkannya pada hari kiamat, kemudian dia menyentuh dengan dua belah mulutnya seraya berkata : “aku ini harta engkau, aku ini perbendaharaan engkau. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat al-Quran yang bermaksud, “dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan apa yang telah diberikan kepada mereka dari kelebihan itu, menyangka bahawa ia baik bagi mereka, bahkan ianya jahat (buruk) bagi mereka. Akan digantungkan di leher mereka apa yang mereka bakhilkan dengan dia pada hari kiamat”. [7]

Betapa kerasnya azab seksaan yang dijanjikan oleh Allah kepada manusia yang enggan mematuhi perintahnya. Pastinya kita selaku insan yang kerdil dan lemah ini, tiada ada daya dan upaya untuk menanggung azab dan seksa neraka yang tidak terperi sakitnya. Takutlah wahai manusia dengan azab Allah !, semoga Allah menyelamatkan kita semua dari bencana buruk azab neraka.

Oleh itu, marilah kita berazam mulai saat ini, pastikan harta-harta kita seperti emas, perak, hasil pendapatan, wang simpanan, perniagaan, pertanian dan penternakan ke semuanya itu kita akan sucikan dengan menunaikan zakat sebagai bukti ketaatan, tanggungjawab dan amanah kita terhadap rezeki kurniaan Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Berdasarkan kepada perkembangan semasa, sebenarnya tahap kesedaran umat Islam di Negara kita dan di negeri Kedah khususnya untuk menunaikan kewajipan zakat semakin meningkat setiap tahun. Ini dapat dibuktikan melalui jumlah kutipan dan agihan zakat yang sentiasa bertambah dari setahun ke setahun. Namun demikian, masih ada kalangan umat Islam yang masih enggan untuk mengeluarkan zakat sekalipun telah cukup syarat-syaratnya. Apakah punca yang menyebabkan masih ramai umat Islam yang belum melaksnakan ibadah zakat?. Sedarkah kita bahawa sebenarnya di dalam harta kita, ada hak fakir miskin yang wajib kita keluarkan?. Usaha­-usaha dakwah yang dijalankan oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah khususnya wajar disokong dan dibantu dengan penglibatan semua pihak untuk meningkatkan tahap kesedaran umat Islam terhadap kewajipan zakat. Badan-badan Dakwah, NGO Islam, Masjid, Media Elektronik, Percetakan dan Para Pendakwah Islam harus menggembleng tenaga memainkan peranan dalam usaha untuk memahamkan masyarakat tentang kewajipan berzakat. Sekiranya tahap kesedaran umat Islam meningkat terhadap kewajipan zakat, maka peranan zakat sebagai Penjana Ekonomi Masyarakat Islam dan Pemangkin Kebajikan dan pembelaan umat Islam akan dapat direalisasikan dalam kehidupan kita hari ini.

Keprihatinan semua pihak akan memberi kefahaman dan kesedaran terhadap umat Islam tentang kepentingan untuk menunaikan zakat dan seterusnya menjadikan kehidupan kita lebih sejahtera dan diberkati Allah apabila setiap golongan manusia mendapat hak mereka dengan sempurna.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Marilah kita segera menunaikan kewajipan berzakat. Selamatkanlah diri kita dan keluarga kita dari azab api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batu. Sesungguhnya dengan berzakat akan melindungi diri dan keluarga kita daripada bala dan bencana di dunia dan azab di akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.


Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



[1] Surah at-Taubah ayat 34-35
[2] Surah At-Taubah ayat 111
[3] Kitab Hadis 40 MS 81
[4] Kitab Hadis 40 MS 160, Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
[5] Sumber Kitab Hadis 40 MS 84

[6] Surah Al-Haaqqah ayat 30-34
[7] Sumber Kitab Hadis 40 MS 85   

No comments:

Post a Comment