Wednesday 13 February 2013

Khutbah : Berbekallah Untuk Akhirat


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ، 
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 187 surah al-A’araf[1]:

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”  

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Perjalanan masa yang begitu pantas berlalu sepatutnya mengetuk hati kita untuk sama-sama bermuhasabah menghitung diri tentang persiapan bekalan akhirat kita dan usaha dalam memohon keampunan daripada Allah atas segala dosa yang dilakukan. Beberapa bulan yang lalu dunia dihebohkan setelah tercetusnya ramalan Qiamat yang dijangkan berakhir pada bulan Disember 2012. Namun semua itu hanyalah kepercayaan karut yang ternyata sesat lagi menyesatkan.

Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari Qiamat sewajibnya tidak merasa panik dan takut dengan ramalan ini kerana kita yakin bahawa tarikh Qiamat yang sebenar hanya diketahui oleh Allah s.w.t. Sebaliknya kita mesti berebut-rebut untuk menambahkan bekalan akhirat dan bukannya sibuk mencari tarikh Qiamat kerana banyak tanda-tanda Qiamat samada besar atau kecil telah berlaku pada zaman kita. Ikutlah arahan Allah dan rasulNya dalam berdepan dengan Qiamat dan jauhi segala larangannya serta jangan termasuk dalam golongan yang menjadi tanda Qiamat iaitu pemimpin yang khianat, anak yang derhaka terhadap ibubapa, peniaga yang menipu dan sebagainya. Jadikan Nabi s.a.w sebagai ikutan dan orang-orang yang soleh sebagai teman agar kita dibangkitkan di akhirat nanti bersama dengan mereka.

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ السَّاعَةِ فَقَالَ : مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا ؟ قَالَ : لَا شَيْءَ إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ، قَالَ أَنَسٌ : فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ ، قَالَ أَنَسٌ : فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ . ( رواه البخاري ومسلم (

Maksudnya : Anas bin Malik r.a berkata bahawa ada seorang arab badwi bertanya kepada Nabi s.a.w : “Bilakah berlakunya Kiamat?” Rasulullah s.a.w bersabda, “Apakah persiapan engkau untuk menghadapinya?” Lelaki itu menjawab, “Tiada sesuatu amalan pun kecuali aku mencintai Allah dan RasulNya.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Engkau akan tetap bersama orang yang engkau cintai. Anas telah berkata : Maka tiada apa yang lebih menggembirakan kami dengan suatu yang diucapkan oleh Nabi iaitu engkau akan tetap bersama orang yang kamu cintai. Seterusnya Anas berkata : Maka aku mencintai Nabi s.a.w, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan aku berharap agar dapat bersama-sama mereka semata-mata perasaan cinta terhadap mereka walaupun aku tidak beramal sebagaimana amalan mereka. [2]

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam Surah Yaasin ayat 48-49:

Maksudnya : Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): ” Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”, Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). [3]

Kita jangan menjadi umat yang sibuk mencari tarikh Qiamat dan hanya melihat sahaja tanda-tanda Qiamat berlaku di depan mata tanpa mengambil iktibar serta pengajaran disebalik tanda-tanda Qiamat tersebut. Kedahsyatan tentang Qiamat banyak disebut di dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, antaranya pekikan kuat yang menyebabkan semua hancur musnah. Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Umar yang berkata:

“Sebenarnya sangkakala akan ditiup ketika manusia berada di jalan, majlis-majlis dan pasar-pasar. Ketika itu sehelai kain masih berada di tangan dua orang yang sedang tawar-menawar, tiba-tiba mereka terkejut.” Ibnu Kathir berkata: “Mereka tidak menunggu kecuali satu teriakan sahaja. Ketika ditiupkan sangkakala, manusia masih lagi bertengkar, tawar-menawar di pasar-pasar. Malaikat Israfil diperintahkan Allah SWT meniup dengan kuat dan berterusan, tidak satu makhluk yang terkecuali mendengarnya lantas semuanya dibangkitkan dan berkumpul di hari kiamat.”

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Qiamat akan berlaku ketika dua orang masih merentang sehelai kain dalam proses tawar-menawar hingga kedua-duanya tidak sempat lagi meneruskan urusan jual belinya, apatah lagi melipat semula kainnya itu”.

Qiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyimen kolahnya sebelum sempat mengisi air di dalamnya, seseorang membawa susu kambingnya tanpa sempat meminumnya, seseorang baru menyuap makanan ke dalam mulutnya sebelum sempat dia mengunyahnya. Ketika itu mereka tidak lagi berpeluang membuat pesanan wasiat kepada seseorang di kalangan ahli keluarganya. Begitu juga dengan seseorang yang berpisah dengan keluarga tidak sempat lagi untuk berkumpul semula. Pekikan itu datang dengan mendadak sehingga mereka akan mati kelaparan di mana sahaja ketika itu. Marilah sama-sama kita menginsafi betapa kerdilnya kita yang akan melalui peringkat perjalanan yang jauh, bermula daripada kehidupan dunia menuju ke alam kubur seterusnya dibangkitkan menjadi hamba Allah yang perlu taat dan patuh kepada perintah-Nya. Ini kerana kebahagiaan yang hakiki ialah apabila seseorang selamat dari neraka Allah dan dapat menghuni syurga-Nya

 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ ، فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ ، فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ : يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ ، إِلَّا الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ .

Maksudnya : Tidak berlaku Qiamat sehingga orang Islam memerangi kaum yahudi maka mereka akan diperangi oleh orang Islam sehingga yahudi akan bersembunyi di sebalik batu dan pokok lalu berkatalah batu atau pokok :Wahai orang Islam Wahai hamba Allah! ini dia yahudi dibelakangku maka datanglah dan bunuhlah dia, melainkan pokok gharqad maka sesungguhnya ia merupakan pokok yahudi.

Antara tanda Qiamat juga apabila para pejuang Islam akan memerangi yahudi habis-habisan sehingga musuh terpaksa bersembunyi di sebalik pokok dan batu, di mana batu dan pokok turut memberitahu tentang kedudukan musuh untuk dibunuh oleh umat Islam. Keyakinan yang diberitahu oleh Nabi s.a.w ini pasti berlaku bukan dengan hanya menunggu sebagai penonton sebaliknya meneruskan perjuangan dan memberi sokongan kepada perjuangan umat Islam di bumi Palestin. Bumi Palestin adalah bumi umat Islam seluruhnya dan kita sepatutnya bersama-sama dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka unutk membebaskan bumi barakah itu.

 Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 65 surah al-Anfal:
 
 Maksudnya: Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. [4]

Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, di rumah Allah yang mulia marilah sama-sama kita terus mengecam dan mengutuk kekejaman zionis Yahudi dan sekutunya yang terus menerus saban hari membunuh dan menindas umat Islam di bumi Palestin. Perbanyakkan doa kepada Allah dalam menghancurkan musuh, dan semoga Allah memberikan kemenangan yang besar kepada pejuang Islam. Di samping itu sama-samalah kita hulurkan bantuan yang berbentuk kewangan dan sebagainya. Kita juga mesti berusaha dalam memboikot syarikat yang jelas memberi sumbangan besar kepada zionis yahudi seperti Coca-cola, McDonald’s, syarikat-syarikat rokok dan sebagainya agar dapat memberi tekanan supaya mereka menghentikan bantuan kepada kezaliman yahudi Israel. Dunia telah menyaksikan bagaimana boikot telah menyebabkan banyak syarikat dan barangan yang sebelum ini memberi sumbangan kepada zionis yahudi dalam membunuh umat Islam dan meruntuhkan Masjid Aqsa telah menarik balik sokongan dan sumbangan. Amerika Syarikat sendiri terpaksa membuat undang-undang bagi mendenda syarikat yang memboikot Israel kerana bimbang sekutunya akan lenyap dari muka bumi. 

Bangkitlah wahai umat Islam. Jangan terus membiarkan saudara kita menangis hiba ketika kita sedang bergelak ketawa, jangan biarkan saudara kita memekik kesakitan di saat kita menjerit serta bertempik kegembiraan. 
  
Yang bermaksud :  Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. [5]

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.




[1] Surah al-A’raf 187
[2] Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
[3] Surah Yaasin ayat 48-49
[4] Surah Al-Anfal ayat 65
[5] Surah Al-Isra’ ayat 1

No comments:

Post a Comment