Sunday 24 February 2013

Khutbah : Antara Dosa-dosa Besar


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
 قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

عن أبى بَكْرَةَ قال : قال رسولُ الله صلى الله عليه وسلم : ألا أحدِّثُكم بأكبر الكبائر ؟ قالُوا بَلَى يا رسولَ الله ، قال : الإشْرَاكُ بالله ، وعُقُوقُ الوالدَين ، قال وجَلَسَ وكان مُتَّكِئًا قال : وشَهَادةُ الزُّورِ أو قَوْلُ الزُّور ، قال : فما زَالَ رسولُ الله صلى الله عليه وسلَّم يقُولهُا حتى قُلْنَا لَيْتَهُ سَكَتَ .
(رواه الترمذى )

Yang bermaksud : Diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu akan sebesar-besar dosa daripada segala dosa?”, lalu jawap para sahabat :  “Bahkan ya Rasulallah”. Lalu sabda Nabi s.a.w : “Menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, menderhaka kedua ibu bapa". Kata Abu Bakrah : “Dan duduk tegak Rasulullah s.a.w selepas menyebut kedua-dua dosa itu padahal Baginda duduk sambil menyandar sebelumnya". Lalu Baginda bersabda lagi : “dan saksi palsu atau perkataan bohong”. Kata Abu Bakrah : “Maka sentiasalah Baginda mengulangi kata-katanya “dan saksi palsu” beberapa kali hingga berkata-kata kami di dalam hati kami mudah-mudahan Baginda berhenti daripada mengulanginya kerana kasihan akan jadi penat Baginda Nabi dengan sebab itu".                                             (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Perbuatan yang dikira sebagai dosa besar itu banyak. Namun dalam hadis yang dibacakan tadi Nabi s.a.w menyebut kepada kita tiga daripadanya. Yang pertama syirik atau kufurkan Allah, yang kedua menderhaka kedua ibu bapa, dan yang ketiganya menjadi saksi palsu.

Syirik atau kufur kepada Allah adakalanya berlaku dengan i'tiqad, dan ada kalanya dengan perbuatan, dan ada kalanya pula dengan perkataan atau lidah. Maka kufur dengan i'tiqad itu seperti beri'tiqad bahawa Allah itu tidak wujud, atau beri'tiqad bahawa bukan Allah yang mencipta alam ini, atau menafikan sifat-sifat Allah s.w.t dan sebagainya. Ada pun kufur dengan perbuatan seperti menyembah selain dari Allah, dan memijak-mijak atau membakar kitab suci al-Quran dengan tujuan untuk menghinanya, atau membuang al-Quran ke tempat najis dan sebagainya. Manakala kufur dengan perkataan itu seperti diucapkan dengan lidahnya bahawa Allah itu tiada, atau dikatakan bahawa segala isi kandungan al-Quran itu karut dan tidak sesuai lagi digunapakai dalam dunia yang serba moden pada hari ini, atau mendakwa bahawa hukuman Allah itu tidak berperikemanusiaan ,atau menafikan kerasulan dan kenabian Nabi Muhammad s.a.w, dan sebagainya. Ini adalah sebahagian daripada contoh-contoh yang menyebabkan rosaknya iman seseorang muslim.

Dosa besar yang kedua sebagaimana yang disebutkan dalam hadis tadi ialah menderhaka terhadap kedua ibu bapa. Sebagaimana Allah s.w.t memerintahkan kepada kita supaya mentaati kedua insan ini selama mana mereka tidak menyuruh kita menderhaka terhadap Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t pada ayat 14 dan 15 dalam surah Luqman,

Yang bermaksud : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya yang telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (sejak dari awal mengandung hinggalah selesai menyusukannya), dan tempoh menceraikan susuan ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kamu kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau - dengan akal sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik, dan turutilah jalan orang-orang yang kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu setiap apa yang kamu telah kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Ada di kalangan kita yang diuji oleh Allah s.w.t dengan ujian kehilangan kedua ibu bapa di saat kita masih memerlukan belaian kasih sayang dari mereka. Sebagaimana Baginda Nabi s.a.w kehilangan ayahnya di saat Baginda masih lagi berada dalam kandungan ibunya. Kemudian ketika berusia enam tahun ibunya pula meninggal dunia. Baginda hidup menumpang kasih bersama datuknya, namun tidak lama. Dua tahun kemudian datuknya pula meninggal dunia lalu baginda hidup menumpang kasih dan sayang dari bapa saudara Baginda Abu Thalib. 

Ada pula di kalangan kita yang diuji oleh Allah dengan dilanjutkan usia kedua orang tua kita atau salah seorang dari mereka sehingga  mencecah usia nyanyuk dan berada di dalam peliharaan kita. Apakah kita mampu berkhidmat dan berbakti kepada mereka sebagaimana mereka memelihara dan membesarkan kita sewaktu kita kecil dulu. Beruntunglah mereka yang berjaya mengharungi ujian ini, namun ramai yang gagal menghadapinya kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia mereka.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Yang ketiga ialah menjadi saksi yang palsu. Inilah antara perkara yang banyak berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini akibat daripada kejahilan dan tidak takut kepada hukuman Allah s.w.t. Apabila berlaku perebutan harta atau apa jua jenis perebutan, lalu diupah seseorang untuk menjadi saksi yang palsu di hadapan hakim dengan tujuan untuk mendapatkan harta tersebut, maka orang yang sanggup menjadi  saksi palsu itu telah melakukan dosa yang besar kerana telah mengubah yang benar menjadi salah, atau yang salah menjadi benar. Hinggakan orang yang sepatutnya berhak ke atas sesuatu itu hilang haknya disebabkan penyaksian yang palsu. Nabi s.a.w memberi amaran yang keras kepada golongan ini melalui sabdanya dalam sebuah hadis riwayat Abi Daud,

أنَّ النبىَّ صلى الله عليه وسلم قَامَ خَطِيْبًا فقال : أيها الناسُ ! عَدَلَتْ شَهَادَةُ الزُّوْرِ الإشْرَاكَ بِاللهِ ، ثُمَّ قَرَأ : فَاجْتَنِبُوْا الرِّجْسَ مِنَ الأوْثَانِ وَاجْتَنِبُوْا قَوْلَ الزُّوْرِ .

Yang bermaksud : Bahawasanya Nabi s.a.w bangun menyampaikan khutbahnya, bersabda Nabi s.a.w : “Telah bersamaan dosa saksi palsu itu akan dosa syirikkan Allah. Kemudian Baginda membaca firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Dan jauhkanlah sekalian kamu menyembah berhala, dan jauhkan oleh sekalian kamu daripada saksi palsu”.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Al-Hafiz Az-Zahabiy Rahmatullahi A’laihi telah berkata : “Sesungguhnya menjadi saksi palsu itu menyebabkan beberapa dosa besar,

1.    Berbohong dan menipu, kerana firman Allah s.w.t :إن الله لا يهدى من هو مسرف كذَّاب  yang bermaksud : “Bahawasanya Allah tidak akan memeri hidayah akan mereka yang melampau dan pembohong”.
2.    Menzalimi ke atas orang yang mengupahnya untuk menjadi saksi palsu kerana menyebabkan dia mendapatkan sesuatu yang bukan hak miliknya.
3.    Menzalimi ke atas orang yang menjadi mangsa kerana menjadi penyebab dia kehilangan hak yang sepatut menjadi miliknya.
4.    Dia mengharuskan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Apabila manusia hidup dengan berpandukan hidayah dan ilmu pengetahuan maka dunia akan aman tenteram di bawah naungan rahmat dan keberkatan Allah s.w.t. Namun apabila kejahilan menguasai kehidupan manusia maka akan hilanglah ketenangan dalam kehidupan dan dunia sudah tidak selamat untuk didiami. Kejahilanlah yang menyebabkan manusia meringan-ringankan perintah Allah, ibu bapa tidak ditaati bahkan mereka dilayan seperti binatang, maksiat berleluasa, penyaksian palsu sudah menjadi satu bidang kerjaya demi untuk mendapatkan kesenangan dunia. Apabila semua ini berleluasa maka tidak ada lagi ketenangan dan keamanan. Jenayah bunuh berlaku pada setiap hari, bahkan manusia bukan setakat sanggup membunuh tetapi membakar mayat yang mereka bunuh dan diberi makan kepada binatang liar. Itulah realiti yang terpaksa kita hadapi pada hari ini akibat  membelakangkan perintah serta hukuman Allah s.w.t. Masih belum terlambat untuk kita sama-sama kembali mentaati perintah dan melaksanakan hukum Allah s.w.t demi mendapat keredhoaan Allah s.w.t di dunia dan juga di akhirat.

  
Yang bermaksud : Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) berbuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.                                                                  (Al-Ana’m 151)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ







No comments:

Post a Comment