الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ ، لِيُظْهِرَهُ
عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ
لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ
أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ
وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ،
أَمَّا
بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang
bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah
(dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah
setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk
menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah,
sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Saya
berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati
segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap
larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia
mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada
Allah s.w.t.
Sidang
Jumaat yang dihormati sekalian,
Sabda
Nabi SAW,
عن أبى رقية تميم بن أوس الداري رضى الله عنه أن
النبى صلى الله عليه وسلم قال : الدين النصيحة ، قلنا لمن ؟ ، قال : لله ، ولكتابه
، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم .[1]
Maksudnya
: Diriwayatkan daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Daariy RA bahawasanya
Nabi SAW telah bersabda : “Agama itu nasihat”. Kami berkata, “Bagi siapa?”.
Sabda Nabi SAW, “Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi RasulNya, dan bagi Imam
(pemerintah) kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka”.
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Pada
hadis tersebut Rasulullah SAW
menerangkan perkara yang berkenaan nasihat dalam agama. Kata Rasulullah
SAW agama itu adalah nasihat. Kenyataan Nabi SAW mencetuskan pertanyaan
daripada para sahabat kerana mereka ingin mengetahui kepada siapakah nasihat
itu dalam hubungan dengan agama?. Rasulullah SAW menjelaskan kepada para
sahabat tentang maksud nasihat. Perkataan nasihat mengandungi maksud supaya
yang dinasihati mendapat keuntungan atau faedah serta kebaikan.
Pertamanya
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa nasihat bagi Allah SWT yang bererti beriman
kepadaNya menurut pengertian yang sebenar tanpa mensyirikkanNya dengan sesuatu
yang lain. Melaksanakan setiap titah perintahNya serta meninggalkan setiap
laranganNya. Mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakanNya dengan menggunakan
setiap nikmat pada jalan yang diredhoi oleh Allah SWT.
Keduanya
Rasulullah SAW menyebut nasihat bagi kitabnya ialah beriman dengan al-Quran
serta kitab-kitab yang diturunkan tanpa meraguinya walaupun satu ayat. Berusaha
mempelajari al-Quran serta menjadikan al-Quran sebagai kitab bacaan harian dan
panduan serta rujukan dalam kehidupan. Sabda Nabi SAW,
اقرؤوا القرءان فإنه يأتى يوم القيامة شفيعا
لأصحابه .
Maksudnya
: Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat
sebagai syafaat kepada pembacanya.
Setelah
kita mampu untuk membaca al-Quran dengan baik maka ajarkanlah al-Quran kepada
orang lain agar mereka juga mampu membaca al-Quran sebagaimana kita. Sabda Nabi
SAW,
خيركم من تعلم القرءان وعلمه
Maksudnya
: Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya
kepada manusia.
Seterusnya
berusaha untuk memahaminya dan apa yang paling penting ialah mengamalkan serta
menegakkan setiap isi kandungannya tanpa meraguinya walau sedikit pun.
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Nasihat
yang ketiga adalah untuk untuk Rasulullah SAW iaitu membenarkan risalahnya,
beriman dengan semua perkara yang didatangkan oleh Baginda sama ada melalui
al-Quran mahupun as-Sunnah. Seterusnya mencintai dan mengasihi Baginda Nabi
SAW. Firman Allah SWT,
Maksudnya
: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka
ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.
dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [2]
Nasihat
untuk Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda menuntut kita semua untuk
mengkaji sirah perjalan hidup Baginda Nabi SAW, berakhlak serta beradab dengan
akhlak dan adab-adabnya. Begitu juga menolak dan menentang setiap tuduhan jahat
yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap keperibadian Rasulullah SAW.
Mencintai mereka yang mencintai Baginda dan memusuhi mereka yang memusuhi
Baginda SAW.
Seterusnya
Baginda menyebut nasihat untuk para imam muslimin. Yang dimaksudkan dengan imam
muslimin ialah para pemerintah umat Islam dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh
mereka. Termasuk juga dalam pengertian imam muslimin ialah para ulama.
Nasihat
untuk golongan ini ialah dengan kita menyukai serta menyokong kebaikan dan
keadilan mereka. Bukannya kita mencintai mereka kerana kepentingan peribadi
mereka ataupun untuk kepentingan peribadi kita. Bahkan apa yang kita mahukan
ialah kebaikan ummah berada di bawah kepimpinan mereka yang adil dan taat
kepada Allah dan RasulNya.
Nasihat
buat mereka juga bermakna kita menolong mereka selama mana mereka berada ada
jalan kebenaran dan memperbetulkan mereka jika sekiranya mereka lari dari jalan
yang sebenar. Saidina Umar al-Khattab RA dengan tegasnya menyampaikan ucapan
sulungnya sewaktu dilantik sebagai khalifah yang kedua yang antara isi
ucapannya ialah,
“Dalam menunaikan tugas ini (sebagai khalifah), kitab
suci al-Quran adalah panduanku dan aku akan menuruti jejak langkah yang dilalui
oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq RA. Sehubungan dengan itu maka aku
memerlukan bantuan dari kamu semua. Sekiranya aku di atas jalan yang benar maka
turutilah dan taatilah aku, tetapi sekiranya aku menyimpang dari jalan
kebenaran maka hendaklah kamu perbetulkan aku agar aku tidak kehilangan arah” [3]
Jika
umat manusia menjadi seperti tunggul kayu, tidak melaksanakan tugas menasihati
dan menegur pemerintah, dan pemerintah pula menjadi toghut (melampau) tidak
lagi menerima teguran dan nasihat dari rakyat jelata ini bererti kehinaan,
kehancuran dan kekalahan akan menimpa ke atas mereka. Sebagai pemerintah maka
apabila dia ditegur sekalipun teguran itu datang dari rakyat atau orang bawahan
maka terimalah teguran itu dengan baik jika teguran itu teguran yang benar.
Sejarah
menceritakan bagaimana Rasulullah SAW sendiri bersedia menerima teguran dan
nasihat dari para sahabatnya. Sebagai contoh apa yang berlaku dalam peristiwa
peperangan Badar al-Kubra. Apabila Baginda Rasulullah SAW memilih kawasan mata
air yang paling dekat sebagai kubu mereka lalu seorang sahabat yang bernama
al-Hubbab bin al-Munzir RA datang bertemu dengan sambil melontarkan
pandangannya, “Ya Rasulallah, apakah tempat yang kita singgah ini telah
ditetapkan oleh Allah (wahyu) yang tidak dapat kita pertikaikan lagi atau ianya
hanya semata-mata satu pandangan dan strategi kamu dalam peperangan?”, lalu
jawap Nabi SAW, “bahkan ianya adalah pandangan dan strategi dalam peperangan”.
Lalu tegas al-Hubbab lagi, “Ya Rasulallah, ini bukanlah tempat yang sesuai
untuk disinggahi, ayuh bawalah tentera-tentera Islam beredar hingga sampai ke
kawasan mata air yang paling hampir dengan kaum Quraisy lalu kita singgah di
situ dan kita musnahkan telaga-telaga yang ada di belakangnya. Kemudian kita
bina satu kolam yang kita penuhkan dengan air. Nanti kita akan memerangi mereka
dalam keadaan kita dapat minum dan mereka tidak dapat minum”. Lalu jawap Nabi
SAW, “ wahai Hubbab sesungguhnya kamu telah memberi pandangan yang baik”. Lalu
diarahkan tentera Islam ke tempat tersebut. [4]
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Yang
terakhir kata Nabi SAW, nasihat untuk sekalian kaum muslimin iaitu dengan
memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada mereka demi kepentingan serta kebaikan akhirat
dan dunia mereka. Apa yang menyedihkan ialah umat Islam hari ini memandang remeh
di dalam melaksanakan hak an-Nasihah terhadap saudara Islam yang lain khususnya
dalam masalah bekalan mereka menuju ke akhirat. Menjadi tugas kita untuk memperbetulkan
apa yang tidak betul dan memperelokkan apa yang tidak elok. Dengan itu
an-Nasihah akan berperanan dalam masyarakat Islam sebagai penutup keaiban,
penyekat kepada kecacatan, pencegah kemungkaran serta melahirkan kebaikan dan
keberkatan dari Allah SWT.
Walau
bagaimanapun, seseorang itu hendaklah memberi nasihat dan menegur saudaranya
secara rahsia kerana sesiapa yang menutup keaiban saudaranya maka Allah SWT
akan menutup keaibannya. Sebahagian ulama berkata, “Sesiapa yang menegur
saudaranya dengan sesuatu perkara yang hanya diketahui olehnya dan saudaranya
sahaja, maka itu adalah nasihat. Sesiapa yang menegur saudaranya di hadapan
khalayak ramai maka sesungguhnya dia telah mengaibkannya”. [5]
Fudhail
bin I’yadh menegaskan bahawa, “Mu’min yang sebenar ialah mereka yang menutup
keaiban dan memberi nasihat, tetapi si jahat ialah mereka yang membuka keaiban
dan memalukan saudaranya”.
Dalam
sesebuah masyarakat itu ada beberapa golongan yang masing-masing dengan
tanggungjawab masing-masing. Ada imam yakni pemerintah atau kerajaan yang
dipatuhi, ada pemimpin-pemimpin yang diikuti, ada ulama’-ulama’ yang dituruti
dan ada rakyat jelata yang mentaati. Maka semuanya perlu kepada nasihat menasihati,
hormat menghormati dan sayang menyayangi agar hidup kita diberkati dan
dirahmati.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ
العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ
فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment