Sunday 24 February 2013

Anak-anak : Antara Ujian dan Perhiasan


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
 قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.


عَنْ أنسٍ بنِ مالك يقولُ : جَاءَ شَيْخٌ يُرِيْدُ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّم فَأبْطَأ القَوْمُ عَنْهُ أنْ يُوَسِّعُوْا لَهُ ، فَقَالَ النبىُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : لَيْسَ مِنَّا مَنْ لمْ يَرْحَمْ صَغِيْرنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيْرَنا   ( رواه الترمذى )

Yang bermaksud : Daripada Anas bin Malik r.a berkata ia, telah datang seorang lelaki tua mahu berjumpa dengan Nabi s.a.w, maka terlambat oleh para sahabat untuk memberi laluan kepadanya, maka bersabda Nabi s.a.w, “Bukan dari kalangan umatku (yang sempurna adabnya) sesiapa yang tidak mengasihani kanak-kanak (dan orang yang lebih muda darinya), (dan bukan dari kalangan umatku yang sempurna adabnya) mereka yang tidak hormatkan orang-orang tua kami”. 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Belas kasihan kepada kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat dituntut di dalam Islam. Tidak sepatutnya kita sebagai orang-orang tua menunjukkan marah sepanjang masa sehinggakan anak-anak takut dan gerun untuk mendekati kita, dan pada masa yang sama janganlah dibiarkan mereka tanpa ditegur sehingga mereka melampaui hukum syara’, melanggar adab dan tidak hormatkan orang-orang tua. Ada masa kita perlu menyayangi mereka, dan ada masanya pula mereka perlu ditegur atau dimarahi. Apabila mereka datang untuk berjumpa dengan kita maka sambutlah kedatangan mereka dengan senyuman dan hati yang terbuka. Bertanyalah kepada mereka apa yang patut ditanya, bahkan tidak salah untuk kita memeluk dan mencium mereka tanda kasih dan sayang kita kepada mereka.

Baginda Nabi s.a.w adalah contoh ikutan yang terbaik dalam apa jua keadaan. Imam al-Ghazali r.h menyebut di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin, bahawasanya Nabi s.a.w apabila pulang daripada musafir, maka kepulangan Baginda akan disambut oleh seluruh para sahabat termasuklah kanak-kanak. Hinggakan mereka sanggup pergi untuk mendapatkan Baginda di pintu masuk kota Madinah. Apabila Baginda melihat kepulangannya disambut oleh kanak-kanak, maka Baginda memberhentikan untanya dan diangkat kanak-kanak yang datang menyambutnya seberapa ramai yang boleh untuk naik bersama-samanya. Lalu berebut-rebutlah kanak-kanak untuk naik bersama-sama Nabi, ada yang duduk di hadapan dan ada yang duduk di belakang Baginda Nabi s.a.w. Bahkan Nabi s.a.w turut menyuruh para sahabat untuk sama-sama membawa kanak-kanak yang lain ke atas tunggangan mereka. Baginda sememanganya hebat di medan perang, tetapi amat menyayangi kanak-kanak bahkan bergurau dengan mereka.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Anak-anak adalah perhiasan dunia yang tidak ternilai harganya, tetapi dalam masa yang sama mereka juga adalah ujian dari Allah s.w.t. Khaulah bintu Hakim r.a (خولة بنت حكيم) menceritakan bahawa, pada suatu hari Nabi s.a.w keluar sambil memeluk salah seorang daripada cucu Baginda. Baginda bersabda,

“Sesungguhnya kamu wahai anak-anak menjadi penyebab ibu bapa kamu menjadi bakhil (kedekut untuk menafkahkan harta mereka pada jalan Allah kerana bimbang kamu hidup susah), kamu juga menjadi penyebab ibu bapa kamu takut untuk pergi berperang pada jalan Allah (kerana bimbang mereka akan mati dan kamu menjadi yatim piatu), kamu juga menjadi penyebab ibu bapa kamu jahil tentang ilmu agama (kerana masa mereka dihabiskan untuk membesar dan bermesra dengan kamu), dan sesungguhnya sekalian kamu wahai anak-anak adalah merupakan bunga-bungaan dari syurga (yakni buah hati ibu dan ayah kamu serta perhiasan hidup yang tidak ternilai harganya)”.
                 (Riwayat Imam a-Tirmizi)

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Sebahagian daripada kebinasaan buat mereka yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak ialah, bahawasanya isteri dan anak-anak menjadi penyebab kita lalai dari mengingati Allah s.w.t dan akhirat. Ini adalah kerana masa hidup kita lebih banyak dihabiskan untuk mencari kesenangan dan harta dunia demi untuk memastikan anak-anak dan isteri hidup mewah tanpa memikirkan bekalan untuk dibawa ke akhirat yang kekal selamanya. Berkata seorang cerdik pandai Abu Sulaiman Ad-Durrani (أبى سليمان الدرانى) ,

مَا شَغَلَكَ عَنِ اللهِ مِنْ أهْلٍ وَمَالٍ وَوَلَدٍ فَهُوَ عَلَيْكَ مَشْئُوْمٌ

Yang bermaksud : Setiap apa yang kamu miliki yang menyibukkan kamu dari mengingati Allah samaada isterimu, hartamu dan anak-anakmu maka semua itu membawa kecelakaan ke atasmu.

Kata-kata Abu Sulaiman ini dikuatkan lagi dengan firman Allah s.w.t pada ayat 9 dalam surah al-Munafiqun,

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya), dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Sebahagian daripada nikmat kurniaan anak-anak pada hari qiamat ialah, apabila mati anak-anak di saat mereka masih kecil, maka anak-anak itu akan menarik tanggan kedua ibu bapanya untuk bersama-samanya ke syurga. Bersabda Nabi s.a.w,
إنَّ الطِّفْلَ يَجُرُّ بِاَبَوَيْهِ إلى الجَنّةِ

Yang bermaksud : Bahawa sesungguhnya kanak-kanak kecil yang mati itu akan menarik tangan kedua ibu bapanya masuk ke dalam syurga bersama-samanya.
Tersebut di dalam satu khabar bahawasanya pada hari qiamat kelak, setiap anak-anak orang Islam akan berhimpun di satu tempat. Maka Allah s.a.w menyuruh para malaikatNya untuk membawa kanak-kanak tersebut ke dalam syurga tanpa dihisab akan mereka. Maka menyuruh oleh malaikat akan anak-anak tersebut masuk ke dalam syurga, lalu berkata kanak-kanak tersebut kepada para malaikat, “Di mana ibu dan ayah kami?”, lalu jawap para malaikat, “Sesungguhnya ibu dan ayah kamu tidak dapat bersama-sama kamu masuk ke dalam syurga disebabkan dosa-dosa mereka yang banyak”, maka berkata kanak-kanak tersebut, “Sesungguhnya ibu dan ayah kami telah sabar di atas kematian kami dahulu kerana mengharapkan pahala pada hari ini”, maka menjerit-jeritlah anak-anak tersebut di pintu syurga. Lalu Allah s.w.t bertanya kepada para malaikatNya sedangkan Dia lebih mengetahuinya, “Siapakah yang menjerit-jerit itu?”, lalu jawap para malaikat, “Ya Allah, yang menjerit-jerit itu adalah anak-anak orang Islam yang mati kecil, mereka enggan masuk ke syurga melainkan ibu dan ayah mereka turut bersama-sama mereka masuk ke dalam syurga”. Maka berfirman Allah kepada anak-anak tersebut, “Ambillah kamu akan tangan ibu dan ayah kamu dan masuklah kamu bersama-sama mereka ke dalam syurga”.        (Petikan dari kitab Muhimmah Fi I’lmi al-Hadis)

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Anak-anak adalah anugerah dari Allah. Mereka adalah amanah yang diserahkan kepada kita untuk kita didik dan asuh mereka supaya taat dan patuh kepada Allah dan rasulNya. Apa yang pasti amanah ini pasti akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Ajarlah mereka mencintai Allah. Kenalkan mereka siapa Rasulullah. Didiklah mereka untuk membaca kitab Allah. Inilah penentu untuk mereka mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Jangan kita hanya berdukacita jika anak-anak tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR, SPM atau sebagainya, tetapi tidak pernah merasa dukacita jika anak kita buta al-Quran dan tidak solat. Berpesanlah kepada mereka agar jangan mengabaikan solat lima waktu. Inilah antara perintah Allah s.w.t kepada kita melalui firmannya dalam surah Thahaa ayat 132,

  
Yang bermaksud : Dan perintahkanlah ahli keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

 بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment