Saturday 29 September 2012

Khutbah : Syukur Merdeka


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ َإِلهَ إِلاَّالله ُوَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ، َالَمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الصَّادِقُ الْوَعْدُ الاَمِيْنُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوقِيْنَ، وَعَلى أَلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله،ِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون 

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar, kerana taqwa itulah sebaik-baik bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah. Berbahagialah mereka yang bertaqwa kepadaNya, kerana sesungguhnya kebahagian dan kejayaan hidup sama ada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat adalah ditentukan oleh ketakwaan dan keimanan kita kepadaNya.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud : Dan Allah s.w.t membuat suatu perbandingan, sebuah negeri yang penduduknya hidup aman dan damai lagi tenteram, sumber rezekinya datang dengan mewah dari segenap tempat, kemudian penduduknya kufur terhadap nikmat-nikmat Allah itu, lalu Allah s.w.t menimpakan kelaparan dan ketakutan ke atas mereka yang meliputi keseluruhannya disebabkan kekufuran yang telah mereka lakukan.                                                       (An-Nahl 112)

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Ayat 112 yang dipetik daripada Surah An-Nahli itu tadi menceritakan kepada kita tentang sebuah negeri iaitu Makkah, yang mana penduduknya hidup dalam keadaan aman dan damai, mewah dengan berbagai sumber rezeki yang datang dari segenap penjuru negeri. Namun kemewahan dan keamanan yang mereka kecapi tidak kekal lama apabila penduduknya kufur dan menolak risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, dan bukan sekadar menolak sahaja, bahkan Nabi dan para sahabat menerima tentangan yang cukup hebat dari kaum musyrikin Makkah  sehingga memaksa Nabi bersama para sahabat berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah, lalu Allah s.w.t menimpakan bala’ kelaparan disebabkan kekurangan sumber makanan, dan mereka juga ditimpakan bala’ ketakutan akibat daripada peperangan Badar dan beberapa peperangan yang lain sebagai balasan terhadap kekufuran mereka terhadap nikmat Allah dan penentangan yang telah mereka lakukan terhadap Rasulullah s.a.w.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Pada tanggal 31 Ogos 1957 Tanah Melayu diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka daripada penjajah. Namun kemerdekaan tersebut hanya dapat dicapai setelah hampir 446 tahun Tanah Melayu dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Tanah air kita pernah dijajah oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan British buat kali yang keduanya bermula dari tahun 1511 yakni selepas kejatuhan Kota Melaka sehinggalah kemerdekaan dapat dicapai pada tahun 1957.

Beberapa faktor kejatuhan Empayar Kota Melaka pada tahun 1511 dicatatkan di dalam buku-buku sejarah. Mengikut fakta sejarah, antara sebab-sebab kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis ialah kelalaian dan ketidakcekapan pemimpin pada ketika itu, amalan rasuah yang berleluasa di kalangan pemimpin dan rakyat, wujudnya musuh dalam selimut, berleluasanya perasaan hasad dengki, fitnah memfitnah, kelemahan pertahanan atau ketenteraan daripada menghadapi serangan musuh. Kesan daripada gabungan faktor-faktor tersebut maka bermulalah era penjajahan kuasa asing ke atas Tanah Melayu apabila Kota Melaka akhirnya berjaya ditawan oleh Portugis.

Tanggal 31 Ogos tahun 2012 yang lalu, Negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-55, iaitu lebih kurang 1/8 daripada tempoh 446 tahun Negara kita dijajah. Syukur yang tidak terhingga kita panjatkan kehadrat Allah s.w.t di atas nikmat kemerdekaan dan keamanan yang telah kita kecapi selama ini. Tidak dilupakan juga setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pejuang-pejuang dan wira-wira negara yang telah berkorban harta benda dan nyawa mereka demi memastikan tanah air tercinta bebas daripada cengkaman penjajah. Semoga Allah memberi sebaik-baik balasan buat mereka di sana.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Sudah menjadi sifat semulajadi manusia, apabila ditimpa sesuatu musibah ataupun kesusahan maka kita akan segera ingat dan kembali kepada Allah s.w.t serta sentiasa menyebut-nyebut namaNya, tetapi jika musibah atau kesusahan itu hilang dan kita diberi sedikit  kesenangan dan kemewahan, manusia mudah lupa diri dan jarang sangat untuk mengingati Allah, bahkan ada yang lupa terus bahawa dirinya adalah hamba kepada Tuhan yang Maha Esa. Ibarat kacang lupakan kulit. Sikap dan perangai buruk manusia ini dijelaskan oleh Allah s.w.t melalui firmanNya,

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
 
Yang bermaksud : Dan apabila seseorang manusia itu ditimpa kesusahan, maka dia akan berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri. Tetapi setelah Kami menghilangkan atau memalingkan kesusahan itu daripadanya serta memberi kepadanya kesenangan, dia terus kembali dengan perangai lamanya (yakni sikap buruknya) seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami memohon agar dihapuskan kesusahan yang menimpanya. Demikianlah, orang yang melampaui batas itu sentiasa memandang baik terhadap keburukan yang mereka lakukan.                                                                                                              ( Yunus 12 )

Ayat 12 dari Surah Yunus ini memberi peringatan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan juga mensyukuri nikmatNya sama ada ketika kita senang mahupun susah, sama ada semasa kita dijajah dan lebih-lebih lagilah setelah kita mencapai kemerdekaan. Jangan hanya bila ditimpa kesusahan barulah kita ingat dan menyebut-nyebut namaNya tetapi apabila kita diberi sedikit kesenangan dan kemerdekaan langsung kita lupa kepadaNya.

Apabila manusia lupa kepada Allah s.w.t, maka Allah akan menguji dengan menambahkan lagi kesenangan dan kemewahan sehingga apabila manusia dalam keadaan lalai dan leka dengan kemewahan dan kesenangan tersebut, lalu Allah s.w.t merampas kembali nikmat tersebut dalam keadaan mengejut. Allah s.w.t menjelaskan keadaan ini dalam firmanNya pada ayat 44 dalam Surah Al-Ana’m:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Maksudnya : Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

Sidang jumaat yang dikasihi,

Kita boleh dikatakan amat bertuah dan sememangnya kita bertuah jika dibandingkan dengan rakyat di negara-negara yang lain. Mereka terpaksa hidup dalam suasana peperangan, rusuhan, perang saudara, bencana alam dan sebagainya, sedangkan kita di Malaysia hidup dalam keadaan yang cukup aman dan selesa, mewah dengan segala jenis nikmat dunia, lebih-lebih lagi setelah lebih 50 tahun Negara merdeka. Berbagai-bagai nikmat kemewahan hidup yang kita kecapi. Amat malang sekali jika segala nikmat yang kita kecapi selama ini tidak disyukuri yakni tidak digunakan dengan sebaiknya, kerana satu perkara yang perlu kita ingat bahawa, tidak ada sesuatu pun yang kekal di atas muka bumi ini melainkan Allah s.w.t. Dia yang memberi keamanan dan kesenangan kepada kita dan Dia juga berhak mengambil balik keamanan dan kemerdekaan pada bila-bila masa sahaja jika nikmat keamanan dan kemerdekaan yang diberikan tidak disyukuri dan tidak digunakan dengan sebaiknya. Firman Allah s.w.t,

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم 

Yang bermaksud : Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu, "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur di atas nikmat kurniaanku, nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur atau ingkar maka sesungguhnya azabKu amatlah keras".                (Ibrahim 7)


Sidang jumaat moga-moga dirahmati Allah,

Bergembira menyambut kemerdekaan sebagai tanda kita bersyukur tidaklah menjadi kesalahan. Demikian juga kita dibolehkan berhibur dengan aturan yang diizinkan oleh syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah diajak anak-anak muda berkumpul sambil melaung-laungkan kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi hanya sekadar untuk leka dengan hiburan yang melampau, percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, mengabaikan solat dan sebagainya. 

Perhimpunan-perhimpunan sepeerti ini jika hanya untuk meramaikan anak-anak muda atau hanya untuk melihat hiburan-hiburan yang melalaikan semata-mata sementara menunggu detik 12 malam, tentu tidak mencapai matlamatnya. Kita mengharapkan bersempena dengan 55 tahun Negara merdeka, maka masyarakat kita akan lebih merdeka dalam erti kata yang sebenar iaitu merdeka yang benar-benar diredhoi oleh Allah s.w.t. Alangkah baiknya jika kita sambut kemerdekaan ini dengan mengadakan solat hajat, bacaan yasin, tahlil dan doa’ untuk para pejuang kemerdekaan dan mereka yang telah berjasa kepada negara. Bukankah itu lebih membuktikan bahawa kita amat menghargai nikmat kemerdekaan ini dan juga jasa-jasa mereka. Jangan sekali-kali kita terikut dengan budaya songsang yang diamalkan oleh masyarakat barat kerana mereka sememangnya mahu merosakkan akidah dan akhlak anak-anak bangsa kita. Sama-samalah kita menadah tangan memohon kepada Allah s.w.t agar nikmat kemerdekaan ini akan terus kita nikmati untuk selamanya dan sama-sama juga kita pohon kepadaNya agar sejarah penjajahan kuasa asing tidak akan berulang lagi di tanah air kita . Amin Ya Rabbal A’lamin.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Yang bermaksud : Dan jika sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, tentu Kami akan membuka kepada mereka (pintu rezeki Kami) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.                                (Al-A’raf 96)

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ. 



No comments:

Post a Comment