Wednesday 26 September 2012

Khutbah : Hudud : Antara Perintah Dan Hikmah


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم، 
 
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat yang ke-3 :

Yang bermaksud : Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik, pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu, pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Islam adalah agama yang serba lengkap dan sempurna dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia di atas muka bumi ini. Segala hukum dan ketetapan yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan umat manusia. Sebagai hamba kepadaNya maka kita wajib meyakini bahawa hukum-hukum ini bukanlah untuk menyusahkan atau menambah bebanan ke atas kita,  tetapi sebaliknya ia adalah untuk menjamin keamanan serta keselamatan hidup buat kita bersama di dunia dan juga di akhirat. 

Jika kita memikirkan pada kejadian alam ini, maka semuanya diciptakan oleh Allah SWT untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga dengan ketetapan hukum-hukum syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang kesudahan yang baik yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan atau tegahan, biasanya ia akan diakhiri dengan kesudahan yang buruk yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan ibadah puasa, antara tujuan daripada pensyariatannya adalah supaya dapat melahirkan manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam di samping ianya juga baik untuk kesihatan. Begitu juga dengan hukum hudud seperti potong tangan bagi kesalahan mencuri adalah bertujuan supaya terpeliharanya harta daripada diceroboh sesuka hati oleh pihak lain. Terdapat 6 prinsip penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu [1] memelihara agama atau aqidah, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara maruah [5] memelihara akal dan yang ke [6] memelihara harta.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 48 surah an-Nisa’ :
  
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.

Perkara yang paling penting yang wajib kita jaga dan pelihara ialah aqidah daripada sesat atau rosak. Pada hari ini berbagai masalah dan perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat Islam jahil dengan agama mereka sendiri. Aqidah seseorang akan rosak melalui 3 cara iaitu [1] Melalui I’tiqad (kepercayan), antaranya dengan meyakini sesuatu perkara yang membatalkan iman, syak pada perkara yang yang wajib beriman dengannya, dan syak pada perkara yang dinyatakan oleh agama secara qati’e (putus). [2] Melalui Perkataan, antaranya mendustakan Allah dan Rasul dan perkara yang wajib beriman dengannya, mencela Allah atau Rasul, engkar terhadap perkara yang nyata wajib dengan dalil qati’e (putus), menghalalkan perkara yang nyata haram atau mengharamkan perkara yang nyata halal dengan dalil qati’e (putus), mempersenda atau mempermain-mainkan agama, dan berkata dengan suatu yang menyebabkan syirik atau kufur. [3] Melalui Perbuatan, antaranya menyembah berhala, memijak kitab suci al-Quran dengan niat menghinanya, menyertai upacara pengibadatan agama lain dan sebagainya.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 33 surah al-Isra’ :

Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

Perkara kedua yang wajib kita jaga ialah memelihara diri daripada membunuh orang lain tanpa hak atau membunuh diri sendiri. Setiap hari kita dilaporkan dengan kes pembunuhan seolah-olah nyawa sudah tidak ada nilainya. Ini termasuklah jenayah membunuh diri.  Kebanyakan kes bunuh diri adalah berpunca dari putus asa dalam menyelesaikan masalah seperti masalah hutang, masalah di tempat kerja, masalah dalam rumahtangga dan sebagainya. Islam memandang berat jenayah ini di mana Nabi Muhammad SAW telah banyak memberi amaran yang keras terhadap mereka yang membunuh dirinya sendiri sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,: 

“Sesiapa yang terjun dari bukit untuk membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun untuk membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.”
                                                                                           (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat moga-moga dirahmati Allah,

Firman Allah pada ayat ke-2 dalam surah an-Nuur:
   
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Islam begitu mementingkan pemeliharaan terhadap zuriat keturunan dengan mewajibkan kita menghalang dan menutup semua pintu yang membawa kepada penzinaan termasuklah pergaulan bebas, cara berpakaian dan sebagainya. Kita begitu bimbang apabila jenayah pembuangan bayi kembali menghantui masyarakat. Setiap hari pasti akan ada kes-kes yang baru yang dilaporkan oleh media-media tempatan tentang masalah ini seolah-olah ianya tidak ada kesudahan. Sayyidina Umar Ibni Al-Khattab pernah berpesan, 

“Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu.” 

Kata penyair : 

“Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh maka mereka pun akan lenyap.” 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Islam menyuruh kita supaya memelihara maruah serta melarang kita menjatuhkan maruah orang lain termasuklah tuduhan zina tanpa bukti dan sebagainya. Islam juga mewajibkan kita supaya menjaga akal daripada dirosakkan terutamanya dengan arak dan dadah serta perbuatan yang lain yang membawa kepada hilangnya akal. Begitu juga penjagaan syariat Islam terhadap harta supaya tidak dicerobohi sesuka hati termasuk mengambil tindakan yang tegas terhadap kesalahan mencuri dan merompak. 

Namun pada hari ini keamanan serta ketenangan hidup semakin hari semakin hilang dalam kehidupan kita. Siang dan malam hidup kita dihantui dan dibelenggu rasa takut. Takut kepada pencuri, takut kepada perogol, takut kepada perompak, takut kepada peragut, takut kepada pembunuh dan sebagainya. Manusia pada hari ini bukan setakat berani mencuri atau merompak di rumah atau di premis-premis perniagaan, bahkan mereka sudah sanggup dan berani mencuri di masjid-masjid yang merupakan rumah Allah SWT. Tanya diri kita sendiri, siapa di kalangan kita yang berani meninggalkan kenderaannya tanpa berkunci ketika datang ke masjid?. Siapa di kalangan kita yang berani tidur pada malam hari dengan membiarkan pintu rumahnya tidak berkunci?. Siapa di kalangan kita yang berani untuk membawa sejumlah wang yang besar tanpa kawalan keselamatan?. Jelas kepada kita bahawa hukuman terhadap jenayah yang ada pada hari ini tidak memberi apa-apa pengajaran buat mereka bahkan jenayah semakin menjadi-jadi. Bila kita renungi dengan penuh keimanan maka kita akan merasai kehebatan Allah SWT dan keadilan hukumanNya di mana semuanya itu adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan kita di dunia dan juga di akhirat, bukannya sebagai penyekat kebebasan atau penindasan yang menzalimi umat manusia sebagaimana yang didakwa oleh mereka yang jahil agama. Allah SWT menjanjikan keamanan serta ketenangan hidup apabila umat manusia menegakkan undang-undangNya. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan juga di akhirat.

Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah:

Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ  ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

No comments:

Post a Comment