Tuesday 25 September 2012

Khutbah : Miskin Harta Kaya Jiwa


اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ جَعَلَ الْمَوْتَ اِسْتِرَاحَةً لِلْمُوْءمِنِيْنَ مِنْ تَعَبِ الدُّنْيَا بَعْدَ مَا كَانُوْا يَعْبُدُوْنَ اللهَ لِنَيْلِ السَّعَادَةِ الْعُلْيَا. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ مَنِ اتَّقَى.

قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
 
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t dengan kita melaksanakan setiap titah perintahNya dan menjauhi setiap  larangan dan tegahanNya, sesungguhnya berjayalah mereka yang bertakwa dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.


Yang bermaksud : Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia mereka, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedangkan mereka berada dalam keadaan kafir (untuk mendapat pula azab di akhirat).                                                                                                             ( at-Taubah-55 )

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Sudah menjadi resam dunia, mereka yang memiliki kekayaan dan dikurniakan anak-anak serta kekuasaan akan mudah dihinggapi perasaan megah dan berbangga-bangga dengan harta dan anak-anak serta kuasa yang dimiliknya. Apabila kekayaan serta nikmat kuasa ini tidak disertai dengan rasa syukur kepada Allah, maka ianya akan menimbulkan perasaan bongkak dan takabbur yang akhirnya akan menyebabkan seseorang itu lupa terhadap nikmat dan amanah yang telah diberikan kepadanya.
Apabila manusia tidak memahami kebesaran Allah dan menyangka bahawa harta dan kuasa adalah segala-galanya, lalu dia menganggap sesiapa yang tidak kaya dan tidak berkuasa itu tidak mendapat nikmat kebahagiaan daripada Allah s.w.t, dan menganggap kurniaan Allah itu hanya tertumpu kepada yang berkuasa dan berharta sahaja, maka itu adalah satu tanggapan yang sesat sama sekali. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh Bani Israel ketika mereka meminta Nabi Allah Syamwil  berdoa memohon kepada Allah s.w.t agar dilantik seorang raja di kalangan mereka bagi mengetuai mereka untuk memerangi Raja Jalut yang zalim. Hal ini diceritakan oleh Allah s.w.t melalui firmanNya,
  

Yang bermaksud : Dan Nabi mereka berkata kepada mereka: "Bahawa sesungguhnya Allah s.w.t telah melantik Thalut menjadi raja bagi kamu. Lalu mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa untuk menjadi raja kami sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu berbanding dia, dan dia pula tidak memiliki harta kekayaan sedikit pun?" Lalu Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih Thalut menjadi raja bagi kamu, dan Allah juga telah mengurniakannya kelebihan dalam bidang ilmu pengetahuan serta tubuh badan yang gagah perkasa". dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah maha luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.                                                                  (al-Baqarah 247)

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Keengganan Bani Israel untuk mengiktiraf Thalut sebagai Raja mereka hanyalah disebabkan kerana Thalut bukan dari kalangan hartawan bahkan Thalut tidak memiliki sedikit harta pun, kerana pada tanggapan Bani Israel, sesiapa yang mahu menjadi pemimpin mereka mestilah terdiri dari kalangan hartawan. Namun di akhir ayat ini Allah s.w.t menjelaskan bahawa, Dialah yang memberikan kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki bahkan Dia jugalah yang menjatuhkan sesiapa yang Dia kehendaki kerana Dialah yang lebih mengetahui siapa yang layak dan siapa yang tidak.
Memang tidak dinafikan, harta dan kuasa boleh menjadi faktor yang membawa ketenangan dan kebahagiaan jika ianya dikendalikan dengan betul. Namun jika tidak, ia boleh bertukar menjadi punca kepada penderitaan dan penyesalan bahkan boleh menjerumuskan pemiliknya ke lembah kehinaan. Entah berapa ramai penguasa dan si kaya yang tidak dapat tidur lena dalam mahligai mewahnya ketika si miskin sedang berdengkur menikmati nikmat tidur dalam rumah usangnya. Entah berapa ramai penguasa atau si kaya yang tidak berselera untuk menjamah hidangan mewah yang dihidangkan kepadanya ketika si miskin dengan begitu enak menikmati sebungkus nasi yang hanya dibungkus dengan daun pisang sahaja. Maha Kaya Allah s.w.t, Dia memberi kurniaanNya kepada hamba-hambanya dengan berbagai cara dan tanpa kita duga.

Satu kisah menarik yang pernah diceritakan oleh Buya Hamka  dalam satu siri ceramahnya. Hamka menceritakan bagaimana pada suatu hari ketika beliau menaiki kenderaan mewah bersama seorang hartawan melalui sawah padi, tiba-tiba mereka terlihat seorang petani sedang berehat kerana kepenatan bekerja, sambil isterinya menghidangkan makan tengahari. Walaupun hidangan yang dihidangkan itu hanyalah hidangan biasa sahaja, tetapi dimakan oleh petani tadi dengan penuh berselera. Lalu hartawan yang bersama Buya Hamka di dalam kereta mewah itu berkata: “Buya, saya memiliki rumah besar serta kenderaan mewah, tetapi saya tidak pernah berpeluang makan dengan begitu berselera seperti petani itu”.

Demikianlah Allah s.w.t membahagi-bahagikan nikmatNya kepada setiap hambaNya. Sesiapa yang diberikan makanan yang lazat dan mewah, belum tentu akan dapat menikmati keenakan itu di lidahnya. Sesiapa yang diberikan tempat tinggal yang mewah, belum tentu lagi dia akan dikurniakan ketenangan untuk tinggal di dalamnya. Maka tidak hairanlah jika ada orang kaya atau orang yang berkuasa kurang selera makannya bahkan terpaksa berpantang kerana menghidap kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya. Atau tidak hairanlah jika ada anak si kaya yang lari meninggalkan mahligai indah bapanya kerana tidak ada ketenangan dan kebahagiaan di dalamnya. Janganlah pula kita merasa pelik jika ada seorang petani yang sederhana sahaja hidupnya tetapi setiap hari dapat menikmati setiap suapan yang masuk ke dalam mulutnya, serta nyenyak pula  tidurnya di malam hari walaupun hanya di sebuah pondok usang tanpa bantal dan tilam yang empuk. 

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Jika kita menganggap tangan yang mempunyai kuasa dan kekayaan itulah punca kepada kebahagiaan dan ketenangan maka kita akan menjadi hamba kepada manusia selama-lamanya. Namun jika kita yakin bahawa Allah s.w.t sahaja yang mampu memberi ketenangan dan kebahagian, maka jiwa kita akan merdeka. Sesiapa yang menjadi hamba manusia, dia tidak akan menjadi hamba Allah yang sebenar tetapi sesiapa yang menjadi hamba Allah yang sebenar maka dia akan bebas daripada menjadi hamba kepada manusia. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang menjadikan akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah s.w.t akan memberikan kekayaan dalam jiwanya. Allah s.w.t akan memudahkan segala urusannya, bahkan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Tetapi sesiapa yang menjadikan kemewahan dunia itu tujuan utama dalam kehidupannya, maka Allah s.w.t akan meletakkan kefakiran antara kedua matanya. Allah juga mencerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)”.                                    (Riwayat al-Tirmizi)

Apa yang dapat kita petik daripada hadis ini ialah, sesiapa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka jiwanya akan kekal merdeka dan mulia. Kemewahan dunia juga akan sampai kepadanya tanpa menjatuhkan maruah dan harga dirinya di sisi Allah. Sebaliknya, bagi sesiapa yang bergantung kepada manusia, kemewahan dunia mungkin juga akan sampai ke tangannya, tetapi dia akan terus hidup dalam penuh kehinaan dan sentiasa keluh kesah walaupun hidupnya dikelilingi harta dan kuasa. Mukmin yang sebenar akan bergantung hidupnya kepada Allah s.w.t semata-mata dalam apa jua keadaan sekalipun kerana Dialah yang merupakan Raja segala raja dan Dialah tempat bergantung yang kukuh. Sementara bagi mereka yang menjadikan manusia tempat pergantungannya maka dia sebenarnya telah bergantung dengan sesuatu yang amat lemah. Firman Allah s.w.t,


Yang bermaksud : Misal perbandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk dijadikan tempat perlindungannya), padahal sesungguhnya tempat perlindungan yang paling reput (paling tidaktidak selamat) ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka itu mengetahui akan kebenaran.                                                            
                                                      (al-‘Ankabut-41)

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,
Islam mengajar kita untuk berjiwa merdeka sekalipun kita miskin harta, gelaran dan kuasa. Jiwa yang merdeka daripada perhambaan sesama manusia dan hanya tunduk dan patuh kepada Allah, maka itulah yang menjadi punca kepada kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar. Jangan kita menjadi manusia yang berharta dan berkuasa, tetapi menjadi hamba sesama manusia. Petani yang miskin harta tetapi kaya dan merdeka jiwanya adalah lebih mulia daripada si kaya atau penguasa yang miskin jiwanya.

Yang bermaksud : Apa yang ada pada kamu (harta atau pun kuasa) akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah akan tetap kekal selamanya, dan sesungguhnya Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.                             
                                                                                                 (al-Nahli 96)

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments:

Post a Comment