Saturday 29 September 2012

Khutbah : Si Tanggang Moden


اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى خَلقَ الموْتَ وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
  
Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah swt dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan menanti buat mereka yang bertakwa kepadaNya di dunia dan juga di akhirat.
  
Yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu-bapamu. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur yang tua dan berada dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan yang kasar) sekalipun perkataan "Ah!", dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).Dan hendaklah engkau merendahkan dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmatmu kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang mereka memelihara dan mendidikku semasa kecilku". Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang Yang bertaubat.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Setiap manusia yang lahir ke dunia sudah semestinya mempunyai ayah dan ibu. Kesibukan bekerja dan mengumpul harta dunia kadang-kadang menyebabkan kita lalai serta lupa kepada kedua insan yang amat banyak berjasa kepada kita. Sesuatu yang amat menyedihkan jika kita telah berjaya dalam kehidupan dunia kita tetapi gagal untuk memberikan sedikit ruang untuk ayah dan ibu kita sama ada dalam bentuk masa, wang ringgit serta yang lebih pentingnya adalah perhatian dan kasih sayang di saat mereka meniti usia tua.

Kadang-kadang pelbagai alasan dan masalah dicipta dan direka-reka oleh si anak untuk mengelakkan diri daripada terpaksa menjaga kedua orang tuanya yang mungkin sudah tua ataupun uzur. Sibuk dengan kerja, tidak ada masa, anak-anak bersekolah dan sebagainya merupakan alasan yang selalu dilontarkan oleh si anak jika sekiranya tidak berkesempatan untuk menjenguk kedua mereka di kampung.

Mungkin ada benarnya kata orang tua-tua zaman dahulu, 

"Seorang ibu mampu menjaga 10 orang anaknya tetapi 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu atau ayahnya". 

Siapa sangka anak-anak yang dibela dan dimanja-manjakan dari sebesar tapak tangan dan ditatang bagaikan minyak yang penuh tapi apabila mereka dewasa ada yang gamak dan sanggup menaikkan tangan kepada orang tua mereka. Amat memilukan hati bilamana ada kalangan anak-anak yang berjaya dalam hidupnya hasil daripada penat lelah serta pengorbanan ayah dan ibu yang membesar serta mendidiknya tetapi sanggup membiarkan si ibu atau si ayah keseorangan di kampung halaman tanpa berteman menunggu saat-saat kematiannya. Tidak kurang juga yang lupa daratan sehingga sanggup menghantar ayah dan ibunya ke rumah kebajikan dengan alasan masa mereka amat berkualiti dan tidak sepatutnya dibazirkan untuk menjaga kedua orang tuanya.

Satu kisah untuk kita jadikan tauladan bersama yang berlaku ketika Saidina Umar al-Khattab r.a menjadi Khalifah. Satu hari ketika Saidina Umar keluar berjalan-jalan di sekitar Kota Madinah, beliau ternampak seorang perempuan menanggung di atas belakangnya seorang laki-laki tua yang telah uzur dan nyanyuk. Setiap apa kehendak dan kemahuan laki-laki tua itu akan ditunaikan oleh perempuan tadi sedaya mungkin. Melihat kepada gelagat mereka berdua maka Saidina Umar pergi bertanya kepada perempuan tersebut, "Siapakah lelaki ini bagi kamu?", lalu jawap perempuan itu, "Dia adalah ayahku dan umurnya telah lanjut serta nyanyuk pula, apa jua kehendaknya akan aku tunaikan sedaya upayaku". Kata Umar kepada perempuan itu, "Sesungguhnya kamu telah menunaikan tanggungjawap kamu sebagai seorang anak bahkan terlebih pula". Lalu kata perempuan itu kepada Umar, "Tidak ya Amiralmu'minin, dahulu ketika aku kecil dia memeliharaku dan sentiasa mengharapkan agar aku terus hidup dengan sihat sejahtera, tapi kini walaupun aku menjaga dan melayannya setiap hari sebenarnya dalam hati kecilku mengharapkan agar dia segera mati supaya senang hidupku". 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Melihat kepada kisah tersebut maka tidak pelik apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat menyatakan bahawa mereka terpaksa menggalas bantu tugas memberi nafkah Bantuan Orang Tua kepada lebih 70,000 warga emas setakat September 2009 sahaja. Lebih mengejutkan lagi apabila 30 peratus daripada penghuni rumah-rumah kebajikan orang tua di Malaysia dihantar oleh anak-anak kandung mereka sendiri kerana tidak sanggup untuk menanggung beban perubatan serta enggan untuk menjaga ayah atau ibu mereka yang telah tua dan nyanyuk.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi ad-Darda' katanya, Rasulullah saw telah mewasiatkan kepadaku 9 perkara, (1) Jangan kamu syirikkan Allah dengan sesuatu pun sekalipun kamu dicincang atau dibakar, (2) Jangan sekali-kali meninggalkan solat 5 waktu, barangsiapa yang meninggalkannya maka terlepaslah dia daripada tanggungan dan keamanan Allah, (3) Jangan sekali-kali kamu minum arak kerana itulah punca segala maksiat, (4) Taatlah kamu kepada kedua orang tuamu sekalipun mereka menyuruh kamu meninggalkan kehidupan duniamu maka tinggalkanlah untuk mereka, (5) Jangan sekali-kali kamu berebut jawatan atau kuasa sekalipun kamu layak untuknya, (6) Jangan kamu lari dari medan peperangan sekalipun kamu kalah dan telah lari kawan-kawanmu, (7) Nafkahkanlah sebahagian daripada hasil pendapatanmu kepada ahli keluargamu, (8) Jangan kamu pukul anak isterimu tanpa kebenaran syarak, (9) Takutkanlah mereka kepada Allah swt.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Seorang anak tidak mungkin dapat membalas jasa kedua orang tuanya. Itulah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh kita semua, namun kadang-kadang disebabkan leka dan lalai dengan kesenangan dunia dan kemewahannya maka kita terlupa untuk membahagiakan mereka di penghujung usia mereka. Daripada Said bin Abi Burdah katanya, 

"Aku telah mendengar ayahku berkata, dia melihat Ibnu Umar dan juga seorang lelaki dari Yaman sedangkan melakukan tawaf di Baitullah. Lelaki Yaman itu melakukan tawaf sambil membawa ibunya di atas belakangnya dan sambil berkata kepada Ibnu Umar, "Wahai Ibnu Umar, apakah engkau melihat bahawa aku telah membalas jasa-jasa ibuku kepadaku?". Lalu jawap Ibnu Umar, "Tidak sekali-kali, bahkan apa yang kamu lakukan itu masih belum mampu untuk  membalas sekali kesakitan ibumu sewaktu dia mahu melahirkanmu".  

Mimbar ingin mengambil kesempatan, menyeru diri saya dan juga saudara-saudara sidang Jumaat sekalian, janganlah kita melangkah keluar dari rumah Allah yang mulia ini, melainkan setelah kita berjanji kepada Allah swt dan kepada diri kita sendiri, andainya ada di antara kita dan kedua ibu bapa kita perselisihan faham atau bermasam muka, maka rebutlah peluang yang masih ada ini untuk sama-sama kita memperbetulkannya. Jangan tertunggu-tunggu untuk memperbetulkan kesalahan kita terhadap mereka kerana ajal mereka, atau mungkin ajal kita akan datang pada bila-bila masa sahaja. Jika masih ada di kalangan kita yang sering melukakan hati kedua-dua insan mulia ini, maka berjanjilah di dalam tempat yang mulia ini yang kita akan berbakti kepada mereka selepas ini selagi hayat mereka ada. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada kita di hari tua kita nanti, begitulah juga perlunya kita berbakti kepada kedua orang tua kita pada hari ini. Tidak ada maknanya kejayaan dan kemewahan yang kita kecapi pada hari ini andainya kejayaan dan kemewahan tersebut tidak diiringi dengan doa dan restu mereka berdua.

Rebutlah peluang yang masih ada untuk menjaga dan memelihara mereka, lebih-lebih lagi di saat mereka meniti usia tua, kerana pada saat inilah mereka amat memerlukan kasih sayang dan perhatian dari kita. Janganlah biarkan hati mereka tertutup untuk tinggal atau singgah di rumah kita yang seindah istana disebabkan layanan buruk kita atau isteri kita, atau anak-anak kita  terhadap mereka.

Ingatlah sedikit pesanan berguna dari Rasulullah saw ini, kata Baginda,

"Celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia (sebanyak 3 kali), para sahabat bertanya, "Siapakah dia ya Rasulallah?", lalu jawap Nabi saw, "Dia ialah siapa yang sempat hidup sehingga ayah dan ibunya tua atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia menjadi ahli neraka (kerana tidak berbakti kepada orang tuanya sekalipun dia berpeluang untuk berbuat demikian)."

Barangsiapa di kalangan kita yang telah melakukan ketaatan dan kebaikan kepada mereka berdua, maka teruskanlah. Jika kedua-dua mereka sudah pergi menghadap ilahi, maka perbanyakkanlah sedekah untuk pihak mereka di samping hadiahkanlah mereka dengan doa. Ini sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan bebanan mereka dan moga-moga mereka bahagia di sana, amin.

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ  بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.







No comments:

Post a Comment