Wednesday 1 May 2013

Khutbah : Syahidnya Umar Al-Khattab RA


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
 
Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan lebih-lebih lagi kepada diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t selain daripada ketaqwaan kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Umar al-Khattab r.a, khalifah Islam yang kedua daripada kalangan khulafa’ ar-rashidin merupakan khalifah yang pertama gugur syahid setelah dibunuh oleh seorang majusi yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran beliau. Di kalangan khulafa' ar-rasyidin yang empat, hanya Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a sahaja yang wafat kerana sakit, manakala tiga yang lain wafat kerana dibunuh oleh pihak musuh. Sayyidina Umar al-Khattab r.a semasa hayatnya samada sebelum memeluk Islam mahu pun selepas keislamannya begitu terkenal dengan keberanian dan ketegasannya. Keberanian dan ketegasan Umar diakui oleh kawan dan lawan. Hebatnya khalifah yang bernama Umar ini sehinggakan musuh tidak mampu untuk menikam beliau dari arah hadapan bahkan lorong atau jalan yang dilalui oleh Umar tidak akan dilalui oleh iblis dan syaitan.

Sejarah menceritakan bagaimana semasa beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke kota Madinah, Umar secara terang-terang mengisytiharkan tentang niatnya itu kepada kafir Quraisy Makkah yang berada di kawasan Ka’bah pada waktu itu. Sambil pedangnya terhunus Umar bertempik : ” Wahai kafir Quraisy! aku ingin berhijrah ke Madinah. Sesiapa di kalangan kamu yang ingin melihat isterinya menjadi janda dan anaknya menjadi yatim maka cubalah sekat penghijrahan Umar ini”.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Jasa Umar al-Khattab r.a terlalu besar buat Islam. Semasa era pemerintahan Umar, Islam tersebar dengan luasnya dan juga bertambahnya pembukaan kota-kota Islam yang baru. Antaranya ialah pembebasan qiblat umat Islam yang pertama iaitu Masjid al-Aqsa di bumi Palestin. Semasa peristiwa penyerahan  anak  kunci  Masjid  al-Aqsa  yang  berjaya  di buka oleh  tentera  Islam kepada beliau,  ketika dalam perjalanan  menuju  ke Palestin, Sayyidina  Umar  bergilir-gilir  dengan  khadamnya menunggang kuda. Apabila  semakin menghampiri Masjid al-Aqsa  maka tiba  giliran Sayyidina Umar untuk  menarik  kuda dan giliran khadamnya pula untuk duduk di atas kuda tersebut. Orang  ramai  yang  melihat  keadaan  tersebut  terus  meminta  agar  Sayyidina  Umar  menggantikan  khadamnya  untuk  menunggang dan khadamnya turun untuk menarik beliau demi menjaga  kedudukan dan maruah  beliau  sebagai  khalifah  di hadapan  khalayak  ramai.  Lalu  Sayyidina  Umar al-Khattab r.a dengan  suaranya  yang  lantang  mengeluarkan  kata-katanya  yang  masyhur  :

نَحْنُُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بالإسْلامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِيْ الْعِزَّةَ بِغَيْرِ مَا أَعَزَّنَا اللهٌ أَذَلَّنَا اللهُ

Maksudnya  :  Kita  adalah  satu  kaum  yang  dimuliakan  oleh  Allah  dengan sebab Islam.   Selama  mana  kita  mencari  kemuliaan  selain daripada  apa  yang  dimuliakan  kita  dengannya   oleh Allah maka  kita  akan  dihina oleh  Allah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Di antara jasa beliau yang penting terhadap Islam ialah cadangan beliau kepada Sayyidina Abu bakar as-Siddiq yang memegang tampok pemerintahan pada waktu itu agar dikumpulkan al-Quran atau dibukukan setelah hampir 70 orang sahabat yang mengahafaz al-Quran gugur syahid dalam peperangan Yamamah menentang golongan nabi palsu. Sayyidina Abu Bakar yang pada mulanya keberatan untuk melaksanakan cadangan Umar kerana tidak pernah dilakukan oleh Baginda Nabi s.a.w akhirnya bersetuju dan memerintahkan Zaid bin Thabit untuk menerajui tugas penting ini. Kata beliau kepada Zaid,

“Wahai Zaid, sesungguhnya kamu adalah seorang pemuda yang pintar. Kamu adalah penulis wahyu kepada Rasulullah, usahakanlah mencari ayat-ayat al-Quran dan kumpulkanlah. Demi Allah! Jika dikumpulkan beberapa buah bukit kemudian diletakkan di atas bahuku, ianya adalah jauh lebih mudah dan ringan bagiku daripada meminta kamu mengumpulkan al-Quran (kerana ianya tidak pernah dilakukan oleh baginda Nabi s.a.w).”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Beberapa hari sebelum berlakunya peristiwa pembunuhan Umar al-Khattab, Abu Lu’luah yang merupakan seorang Majusi, telah bertemu dengan Umar al-Khattab dan mengadu kepada beliau tentang jumlah kharaj atau cukai yang dikenakan ke atasnya untuk dijelaskan kepada tuannya iaitu Mughirah bin Syu’bah agak terlalu tinggi dan membebankan. Dia dikenakan kharaj sebanyak 4 dirham setiap hari.

Khalifah Umar al-Khattab berpendapat bahawa jumlah itu agak bersesuaian dan baginya bukanlah sesuatu yang membebankan. Ini kerana hasil yang diperolehi oleh Abu Lu’luah agak lumayan daripada beberapa kerja yang dilakukannya. Apabila rayuannya itu ditolak oleh Khalifah Umar al-khattab, dia terus berlalu dalam keadaan marah dan menyimpan dendam terhadap Khalifah Umar al-Khattab serta bercadang untuk membunuh beliau.

Niat jahat Abu Lu’luah sampai ke pengetahuan Sayyidina Umar, lalu beliau meminta pandangan Sayyidina Ali r.a mengenai perkara ini lalu kata Sayyidina Ali : “Apakah perlu kami mengawal engkau wahai Amiral Mu’minin?”. Jawab Sayyidina Umar dengan tegas : “Cukuplah Allah bagiku sebagai pengawal”. Akhirnya Umar tidak melantik pengawal peribadi bagi mengawal beliau daripada sebarang kemungkinan yang akan berlaku kerana bimbang tindakan ini akan diikuti oleh khalifah-khalifah yang datang selepas beliau nanti. Apabila budaya ini diamalkan oleh pemimpin Islam maka rakyat yang dizalimi tidak akan berpeluang lagi menemui khalifah dan pemimpin mereka untuk mengadu sebarang masalah dan kezaliman yang mereka hadapi.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Pada suatu hari ketika Sayyidina Umar al-Khattab bersama para sahabat yang lain bersiap sedia untuk mendirikan solat Subuh, Abu Lu’luah turut sama-sama berada di dalam masjid dan berdiri dicelah-celah para sahabat yang lain sambil membawa pisau yang bermata dua dan terus menerpa ke arah Sayyidina Umar lalu menikamnya sebanyak enam tikaman. Salah satu tikaman tersebut terkena di bahagian perut Sayyidina Umar dan tikaman inilah yang menyebabkan Sayyidina Umar rebah dan cedera parah yang membawa kepada syahid. Amukan Abu Lu’luah juga menyebabkan beberapa orang sahabat yang lain turut gugur syahid. Setelah dirinya terkepung, akhirnya dia mengambil tindakan membunuh dirinya.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian

Dalam keadaan parah ditikam, Sayyidina Umar al-Khattab masih sempat menyeru kepada para sahabat dengan berkata :” Adakah di kalangan kamu ini Abdul Rahman bin ‘Auf?”. Para sahabat menjawap : ”Ya! Dia ada bersama-sama kami wahai Amiral Mukminin”. Kata Umar lagi: ”Khabarkan kepadanya untuk dia mengimamkan para muslimin dalam menunaikan solat Subuh pagi ini!. Ia merupakan solat fardhu yang diwajibkan ketika ini”. SubhanAllah! Inilah sikap yang ditunjukkan oleh seorang pemimpin yang sebenar. Beliau meletakkan kewajipan dan ketaatan terhadap Allah s.w.t mengatasi kepentingan dirinya sendiri yang pada waktu itu sedang berperang dengan kematian.

Abdul Rahman bin ‘Auf mengimamkan para muslimin dalam solat Subuh pada pagi tersebut, sedang beberapa orang sahabat yang lain pula sibuk menguruskan Sayyidina Umar sehinggalah beliau diusung masuk ke rumahnya. Setelah pagi agak meninggi, beliau sedar daripada koma dan terus bertanya kepada para sahabat di kelilingnya : “Adakah para muslimin telah mendirikan solat?”. Jawab Ibnu Abbas :” Ya!”. Lalu kata Sayyidina Umar :” Tidak Islam bagi orang yang meninggalkan solat”. Selepas itu beliau berwudhu’ dan terus menunaikan solat.

Sayyidina Umar kemudiannya memanggil pakar-pakar perubatan pada waktu itu yang mana ramai daripada kalangan mereka yang berada di Madinah datang untuk memberikan rawatan kepadanya. Umar diberi minum ubat yang mengandungi madu dan susu tetapi kedua-dua minuman tersebut mengalir keluar melalui lubang-lubang luka di perutnya. Mereka menyatakan bahawa kecederaan yang dialami oleh beliau agak parah dan tidak mampu untuk dirawat lagi. Mendengar kata-kata ahli perubatan itu, para sahabat berasa amat sedih dan menangis  kerana pastinya tidak lama lagi mereka terpaksa berpisah dengan seorang pemimpin yang adil dan sangat mereka kasihi. Mendengar tangisan itu lalu Sayyidina Umar  terus menegahnya. Beliau merasakan sudah tiba masanya untuk kembali menemui Allah s.w.t. Beliau memandang kepada sekalian sahabat yang ada, lalu berwasiat agar mereka bertaqwa kepada Allah s.w.t dan mendirikan solat serta bersikap adil kepada rakyat jelata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hening subuh tahun ke-23 hijrah bersamaan 644 Masihi, seluruh penduduk langit dan bumi menyaksikan kesyahduan suasana pagi tersebut apabila Khalifah Islam kedua, Umar al-Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah hampir 10 tahun memegang tampok pemerintahan ketika berusia 63 tahun, sama dengan umur Rasulullah s.a.w dan juga Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Setelah selesai pengurusan jenazah, maka Suhaib ar-Rumi telah mengimamkan para sahabat menyembahyangkan jenazah Khalifah Islam kedua itu. Jenazah beliau kemudiannya dikebumikan di dalam bilik Sayyidatina ‘Aisyah r.a berhampiran jasad Baginda Nabi s.a.w setelah mendapat keizinannya.

Tempat itu yang pada mulanya telah dicadangkan oleh Sayyidatina Aisyah r.a untuk dirinya, namun atas permintaan Umar sebelum kewafatannya maka Sayyidatina Aisyah r.a dengan rela hati membenarkan jenazah Umar disemadikan di tempat tersebut. Cukup tinggi nilai pengorbanan yang telah dilakukan oleh Sayyidatina Aisyah r.a dalam peristiwa ini. Pada hari itu juga ahli majlis Syura telah bermesyuarat dan sebulat suara bersetuju untuk melantik Sayyidina Uthman bin al-’Affan sebagai khalifah Islam yang ketiga bagi menggantikan Sayyidina Umar al-Khattab sebagai pemimpin Daulah Islamiah. Firman Allah dalam ayat 10 dan 11 surah al-Munafiqun :


Maksudnya : dan belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada kamu sebelum sampainya ajal maut kepada seseorang daripadamu. (jika tidak) maka dia akan  merayu-rayu dengan katanya :” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau tangguhkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang yang soleh. Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlewatkan ajal seseorang apabila telah tiba masanya, dan Allah amat mengetahui akan apa yang kamu lakukan.     (al-Munafiqun 10-11)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



1 comment:

  1. Terima kasih ustaz. Sungguh terharu membaca teks khutbah ni

    ReplyDelete