Wednesday 1 May 2013

Khutbah : Gempa Yang Menakutkan


اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ جَعَلَ الْمَوْتَ اِسْتِرَاحَةً لِلْمُوْءمِنِيْنَ مِنْ تَعَبِ الدُّنْيَا بَعْدَ مَا كَانُوْا يَعْبُدُوْنَ اللهَ لِنَيْلِ السَّعَادَةِ الْعُلْيَا. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ مَنِ اتَّقَى.

قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطن الرجيم،

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t dengan kita melaksanakan setiap titah perintahNya dan menjauhi setiap  larangan dan tegahanNya, sesungguhnya berjayalah mereka yang bertakwa dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

بسم الله الرحمن الرحيم

Mafhumnya :  Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?", Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Akan tiba masanya nanti bumi yang kita diami pada saat ini akan bergoncang disebabkan gempa yang dahsyat yang akan menyebabkan ketakutan yang amat sangat dalam hati dan fikiran setiap manusia. Kegoncangan itu tidak akan reda sama sekali bahkan akan menjadi semakin kuat hingga meruntuhkan apa yang di atas permukaannya samaada gunung-ganang, hutan rimba, bangunan-bangunan pencakar langit hingga kubu-kubu yang teguh dan kuat juga akan hancur hingga menjadi debu-debu yang berterbangan. Pada saat dan ketika itu juga bumi akan memuntahkan isinya yang terdiri dari galian-galian dan juga mayat-mayat manusia. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a Baginda Nabi s.a.w menceritakan tentang apa yang dimaksudkan dengan khabar oleh bumi.

عن أبي هريرة قال : قرأ رسول الله صلى الله عليه وسلم هذه الآية : ( يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا ) قال : "أتدرُون ما أخبارها ؟ ". قالوا : الله ورسوله أعلم . قال : "فإن أخبارها أن تشهد على كل عبد وأمة بما عَمِل على ظهرها، أن تقول : عَمِل كذا وكذا، يوم كذا وكذا، فهذه أخبارُها"                                                       حديث حسن صحيح غريب

Yang bermaksud : Dari Abi Hurairah r.a katanya, “Telah membaca oleh Rasulullah s.a.w firman Allah s.w.t “Pada hari itu bumipun akan menceritakan khabar beritanya”, Baginda bersabda, “tahukah kamu apakah beritanya?”, Sahabat menjawap, “Allah dan RasulNya yang mengetahui”. Lalu sabda Nabi s.a.w, “adapun perkhabarannya ialah bumi akan bersaksi di hadapan hamba laki-laki dan hamba perempuan mengenai amalan yang telah dikerjakan di atas muka bumi. Bumi berkata, “ si polan telah melakukan demikian-demikian perbuatan, pada hari sekian-sekian, maka itulah khabar bumi itu”.

Banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang hal yang sama, antaranya ialah ayat ke 4 dalam surah Al-Waaqiah,
  
Mafhumnya : Dan apabila bumi diratakan, serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong.

Suasana yang amat menakutkan ini juga diceritakan oleh Allah s.w.t pada firmanNya dalam surah Al-Hajj ayat 1 dan 2,
بسم الله الرحمن الرحيم
  
Mafhumnya :  Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Di saat itu manusia akan tertanya-tanya dalam kebingungan kenapakah bumi ini bergoncang dengan begitu dahsyat. Manusia pada waktu itu ke sana ke mari seolah-olahnya mereka dalam keadaan mabuk tetapi sebenarnya bukanlah mereka mabuk disebabkan minum minuman keras atau sebagainya, tetapi sebenarnya peristiwa gempa itu terlalu dahsyat sehingga menyebabkan seolah-olah mereka hilang akal. Dahsyatnya peristiwa kiamat ini sehinggakan ibu-ibu melupakan anak yang disusukannya. Adakah barang lain yang lebih berharga dan lebih disayangi oleh seorang ibu selain dari anak yang disusukannya?. Namun dek kerana dahsyatnya suasana gempa kiamat maka manusia sudah tidak ingat lagi sekalipun kepada sesuatu yang amat dia sayangi.  Ini adalah sebahagian dari seksaan dan amaran keras dari Allah s.w.t terhadap manusia yang degil dan terus-menerus menderhaka kepada Allah s.w.t.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Masih terbayang suasana Tsunami yang berlaku pada tahun 2004 yang telah mengorbankan hampir setengah juta nyawa manusia di seluruh dunia. Belumpun lenyap dari ingatan kita tentang peristiwa tersebut, satu lagi gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter telah berlaku di Selatan Sumatera, Indonesia 2 hari yang lalu. Walaupun kedudukan pusat berlakunya gempa kali ini berada agak jauh dari Malaysia, namun kesan gegaran tersebut turut dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia sehingga telah mencetuskan rasa cemas, takut dan bimbang kalau-kalau peristiwa Tsunami 2004 akan berulang lagi. Walaupun amaran Tsunami bagi negeri Perlis, Kedah termasuk Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang dikeluarkan pada jam 6.55 petang Rabu 11 April yang lalu ditamatkan pada jam 10.00 malam kelmarin, namun tidak mustahil ianya akan berulang kembali pada bila-bila masa sahaja sehinggakan ada kalangan mereka yang tinggal berhampiran kawasan pantai bimbang untuk pulang ke rumah masing-masing kerana takut peristiwa 2004 berulang kembali.

Apa yang berlaku dua hari yang lalu dan juga Tsunami 2004 hanyalah gempa yang kecil sahaja jika nak dibandingkan dengan gegaran kiamat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t, namun hanya dengan gempa yang kecil ini manusia sudah menjadi cemas dan takut hingga lari untuk menyelamatkan diri masing-masing tanpa memperdulikan rumah, harta dan ternakan mereka. Betapa dahsyatnya gempa kiamat ini digambarkan oleh Allah s.w.t melalui firmanNya pada ayat 4-6 dalam surah Al-Waaqiah,
   
Mafhumnya : (kiamat berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.

Dan firmanNya lagi,

 Mafhumnya : Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak (ragu-ragu) padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.   (Al-Hajj 7)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ أقول قولى هذا ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ ، وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ .


No comments:

Post a Comment