Wednesday 1 May 2013

Khutbah : Ramadhan Bulan Ibadah


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ، أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ  .

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Renungilah firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara hak dan batil. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya maka hendaklah ia berpuasa padanya. Sesiapa yang sakit atau bermusafir maka wajib dia ganti sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain selepas Ramadhan. Allah S.W.T mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan agar kamu membesarkan Allah di atas petunjukNya kepada kamu. Dan supaya kamu bersyukur.

Kita bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan buat sekian kalinya dalam hidup kita mulai esok, di mana bulan ini dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya, diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya, serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, digandakan pahala, diampunkan dosa, dimakbulkan doa, dirantai segala syaitan derhaka, ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya laillatul qadar di mana kelebihan beribadah pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan, maka mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya. Raikanlah kehadiran Ramadhan kali ini untuk menambah amal ibadah dan bukannya dengan makanan-makanan yang lazat yang menambah lagi berat badan serta penyakit. Selagi umat Islam banyak tidur daripada ibadah, banyak berhibur daripada memikirkan tanggungjawab, banyak rehat daripada bekerja maka selagi itulah kita tidak akan maju dalam meneguhkan agama dan menguasai dunia. Bersama-samalah kita rebut keistimewaan Ramadhan yang bakal kita lalui bagi menyahut tawaran Allah yang diberitahu oleh Nabi Muhammad s.a.w melalui suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Sahli bin Sa’ad :

إنَّ فِي الَجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ لا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُوْنَ؟ فَيَدْخُلُوْنَ مِنْهُ : فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ – رواه ومسلم
Maksudnya : Sesungguhnya pada syurga itu ada satu pintu yang dipanggil Rayyan di mana akan masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari qiamat. Tidak akan masuk bersama mereka seorang pun selain mereka yang berpuasa. Akan diseru dimanakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka akan masuk syurga melaluinya. Maka apabila telah masuk orang terakhir daripada orang berpuasa nescaya ditutup pintu itu dan tidak boleh lagi memasukinya walau pun seorang.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

Taqwa itulah matlamat utama yang mesti dicapai oleh umat Islam yang berpuasa. Perkataan taqwa begitu mudah disebut dimulut tetapi begitu susah untuk diperolehi tanpa usaha yang bersungguh dan sikap acuh tidak acuh. Kita mesti memilki 4 ciri utama taqwa melalui tarbiah madrasah Ramadhan yang bakal kita lalui sebagaimana yang pernah disebut oleh Sayyidina Ali Karramallahu wajhah :

التَّقْوَى هُوَ الخَوْفُ مِنَ الجَلِيْلِ وَالرِّضَا بِالقَلِيْلِ وَالعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ وَالاسْتِعْدَادِ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ

Maksudnya : Taqwa ialah : [1] takut kepada Allah dalam setiap perkara, [2] sentiasa redha dengan pemberian Allah walaupun sedikit, [3] sentiasa melaksanakan sistem Islam sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran [4] dan sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Oleh itu sempena kedatangan Ramadhan hendaklah kita sama-sama hidupkannya dengan seberapa banyak amalan soleh disamping menjauhi segala bentuk maksiat. Kita wajib memperkemaskan ilmu berkenaan puasa zahir dan batin agar puasa kita menjadi ibadah yang diterima Allah bukan hanya setakat adat yang sia-sia. Kita tidak mahu ibadah yang penting ini hanya dilaksanakan dalam keadaan teraba-raba setakat mengikut orang bukannya berdasarkan ilmu yang dipelajari. Jangan biarkan puasa kita setakat berlapar dahaga di dunia sahaja sedangkan di akhirat nanti hampa tanpa ganjaran atas apa yang dikerjakan. Jangan malu untuk belajar apatah lagi untuk bertanya agar kualiti puasa tahun ini lebih baik dari sebelumnya. Jika perkara dunia kita mahu yang terbaik, maka sepatutnya perkara akhirat lebih-lebih lagilah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Apabila sebuah negara melahirkan individu, keluarga, masyarakat bermula daripada pemimpin sehingga rakyat jelata daripada kalangan orang bertaqwa, maka dijanjikan keberkatan kepada negara tersebut dan inilah yang semua manusia idamkan. Tanpa masyarakat yang bertaqwa maka pelbagai masalah terus datang silih berganti bermula daripada kerosakan aqidah, keruntuhan akhlak, masalah jenayah, penyakit berjangkit dan sebagainya. Pemikiran dan tindakan umat yang bertaqwa berbeza jauh daripada golongan yang memisahkan agama daripada sistem kehidupan seharian. Umat yang bertaqwa sentiasa beriman bahawa setiap apa yang berlaku berdasarkan Qadha’ dan Qadar Allah, di mana kita tidak boleh lari daripada bergantung harap kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku disamping sentiasa memikirkan tentang setiap bala’ ujian yang menimpa merupakan peringatan daripada Allah dalam menyedarkan hambaNya yang banyak melakukan perderhakaan disamping untuk menguji tahap keimanan kita kepada Allah. 

Manusia yang tidak bertaqwa menganggap apa yang berlaku hanya disebabkan fenomena alam di mana hanya perlu dicari ubat untuk mengubatinya tanpa memikirkan bahawa penyakit yang menimpa merupakan kesan daripada kesalahan diri dan masyarakat yang banyak menolak kekuasaan dan kehebatan Allah. 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Ramadhan yang hampir tiba ini sepatutnya menjadi tarbiah lanjutan kepada Ramadhan tahun-tahun sebelum ini iaitu biarlah ia untuk meningkatkan lagi usaha dalam memperbaiki mutu amalan dan peribadi mulia. Jangan biarkan ibadah puasa hanya khusus untuk menjaga perkara yang membatalkan puasa sahaja sebaliknya ia mesti dikembangkan dalam kehidupan seharian seperti menjaga perut daripada makanan dan sumber yang haram. Umat Islam wajib menjaga makan minum harian kerana ia bukan sahaja bakal disoal di akhirat malah ramai yang dibakar dengan api neraka kerana tidak cermat dalam menjaga masalah halal haram. Jika daripada pemimpin hingga rakyat jelata menjaga halal haram maka tidak lagi berlaku masalah pecah amanah, rasuah, penipuan, riba, rompak. Inilah sebenarnya yang ingin dilahirkan daripada madrasah Ramadhan bukannya hanya untuk meramaikan golongan yang tidak makan minum sepanjang berpuasa tetapi tidak menjaga halal haram dalam kehidupan seharian. Ramai kalangan umat Islam sibuk menganjurkan atau menghadiri majlis-majlis berbuka puasa di hotel-hotel mewah dengan makanan yang syubhah dan haram yang dipandang ringan. Amat malang sekali apabila ada kalangan kita yang hanya sibuk dengan menu juadah berbuka puasa sedangkan solat Maghrib dilewat bahkan kadang-kadang diabaikan. Selagi lebih ramai yang berpuasa adat iaitu tahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja, maka selagi itulah semakin kurangnya graduan Ramadhan yang bertaqwa dapat dilahirkan saban tahun. Akhirnya lebih banyak kerosakan yang berlaku dan hilangnya keberkatan dalam negara. Oleh itu jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai suatu anjakan paradigma ke arah perubahan yang lebih baik untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum :

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ

Maksudnya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

1 comment: