Tuesday 23 October 2012

Khutbah : Pemuda Hari Ini Pemimpin Hari Esok



اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
 قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah SWT dalam ayat 41 surah al-Hajj :

Maksudnya:  Mereka adalah orang-orang yang apabila kami berikan kekuasaan di muka bumi ini maka mereka sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Dan kepada Allah jualah tempat kembali segala urusan.

Tujuan Allah SWT mencipta umat manusia antaranya ialah untuk dilantik menjadi khalifah bagi menjaga kesucian agama dan mengurus urusan dunia berdasarkan kehendak dan ketetapan Allah SWT di atas muka bumi ini. Amanah yang begitu besar dan berat ini terpaksa dipikul oleh umat manusia sehingga ada yang mampu menunaikan segala tanggungjawab mereka dengan baik yang membolehkannya meraih keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Tidak kurang juga mereka yang mengabaikan amanah kepimpinan yang dipikul di atas bahunya yang menyebabkan banyak berlakunya kerosakan di muka bumi ini sehingga menjerumuskannya ke lembah kehinaan di dunia dan akhirat.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ العَاصِ قَالَ : قَالَ الرَّسُوْلُ صلى الله عليه وسلم : أَرْبَعٌ  إِذَا كُنَّ فِيْكَ فَلا عَلَيْكَ مَا فَاتَكَ مِنَ الدُّنْيَا  : حِفْظُ أَمَانَةٍ ، وَصِدْقُ حَدِيْثٍ ، وَحُسْنُ خَلِيْقَةٍ ، وَعِفَّةُ طُعْمَةٍ    – رواه الإمام أحمد والطبراني

Maksudnya : 4 perkara di mana jika engkau pelihara sebaiknya maka kayalah engkau walaupun banyak kemegahan dunia tidak mampu engkau capai iaitu : ( 1 ) memelihara amanah,     ( 2 ) berkata jujur, ( 3 ) perangai yang baik, ( 4 ) dapat mengawal diri daripada makan terlalu lahap.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Menyedari tentang betapa  penting dan besarnya amanah kepimpinan maka perlu ada suatu usaha yang bersungguh-sungguh dalam memastikan tampuk pemerintahan dipegang oleh orang yang selayaknya mengikut timbangan wahyu bukannya nafsu, dan apa yang lebih penting lagi ialah usaha ke arah menyediakan barisan pelapis kepada kepimpinan dari kalangan generasi muda. Keadaan generasi muda hari ini banyak mencerminkan keadaan arah tuju negara pada masa hadapan di mana jika baiknya  keadaan generasi muda pada hari ini maka baiklah negara pada masa akan datang, sebaliknya jika rosaknya generasi muda yang ada pada hari ini maka suasana negara kita bakal porak peranda. 

Khalifah Harun ar-Rasyid pernah bertanya kepada seorang lelaki tua tentang usahanya menanam pokok tamar sedangkan usianya telah tua di mana dia sendiri sudah pasti tidak mampu lagi untuk merasai hasil buahnya nanti. Lelaki tua itu mengatakan bahawa dia menanam pokok tamar itu untuk dinikmati hasilnya oleh anak cucunya sebagaimana dia sekarang ini merasai hasil pokok tamar yang ditanam oleh ayah dan datuknya. Mendengar jawapan daripada lelaki tua tersebut lalu Khalifah Harun ar-Rasyid memujinya sebagai tanda kagum dengan wawasan yang ada pada lelaki tua itu.

Melalui kisah ini maka kita dapat mengambil iktibar bahawa usaha kita pada hari ini bukan semuanya dapat dirasai hasilnya dengan serta-merta tetapi dalam banyak keadaan ianya bakal dinikmati oleh generasi-generasi yang akan datang. Jika kita menanam benih yang baik kemudian dijaga pula dengan rapi maka hasilnya nanti adalah baik. Begitulah juga jika kita berjaya membina keperibadian anak-anak muda berasaskan kehendak syarak maka kita bakal melihat urusan pemerintahan negara mampu dilaksanakan dengan baik oleh generasi pelapis yang soleh, sebaliknya jika tahap pembinaan peribadi generasi muda diabaikan maka kita sebenarnya telah mengatur perancangan untuk menghancurkan Negara di masa akan datang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Generasi muda sentiasa diberi perhatian oleh Islam. Rasulullah SAW sendiri sebelum jatuh sakit pada penghujung bulan Sofar tahun ke-11 Hijrah telah mengumpul sepasukan tentera Islam untuk dihantar ke Syam (Syria), Baginda mengarahkan agar pasukan ini mara hingga ke suatu tempat yang bernama Al-Balqa’ البلقاء dan Ad-Darum الداروم di bumi Palestin, di mana baginda telah melantik Usamah bin Zaid yang baru berusia sekitar 17 atau 18 tahun untuk menjadi panglima perang dalam angkatan tersebut. Walaupun kebanyakan tentera Islam yang lain terdiri daripada para sahabat yang besar dan mereka yang lebih tua serta berpengalaman tetapi Usamah bin Zaid tetap dipilih untuk menjadi panglima perang yang menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menaruh harapan yang tinggi kepada golongan pemuda. Ketika bala tentera pimpinan Usamah berada di luar kota Madinah bersiap-siap untuk memulakan perjalanan, mulailah Baginda jatuh sakit yang membawa kepada kewafatan Baginda.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW maka Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq RA yang menjadi khalifah pertama telah meneruskan arahan baginda sebelum ini agar meneruskan peperangan tersebut di mana Usamah bin Zaid tetap dikekalkan sebagai panglima perang walaupun ada di kalangan para sahabat yang meminta agar Usamah digantikan dengan sahabat yang lebih tua dan berpengalaman darinya. Sayyidina Abu Bakar bukan sahaja menolak permintaan itu malah turut memberikan kata-kata semangat  dan pengharapan yang tinggi kepada Usamah bin Zaid agar dapat menunaikan amanah kepimpinan tersebut sehingga tentera Islam Berjaya memperolehi kemenangan yang besar dalam peperangan tersebut di bawah kepimpinan Usamah bin Zaid yang baru berusia sekitar 17 atau 18 tahun.

Suatu kisah yang lain yang menunjukkan bagaimana usia muda tidak menghalang dalam menyatakan kebenaran dan pendapat yang berguna di mana Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika menjadi khalifah telah didatangi oleh beberapa orang utusan dari Hijaz, di mana salah seorang daripadanya terdapat seorang pemuda yang usianya paling muda di antara mereka, lalu Umar berkata kepadanya, “Wahai pemuda! saya berharap yang menjadi juru bicara dalam perbincangan ini adalah orang yang lebih tua umurnya daripadamu”.

Mendengar ucapan seperti itu lantas pemuda tersebut berdiri dan berkata, ”Wahai Amiral Mu’minin, sesungguhnya seseorang itu disebabkan dua anggota yang paling kecil pada tubuhnya, iaitu hati dan juga lidahnya. Jika Allah telah menjaga hatinya dari maksiat dan memberikan lidah yang fasih dan sopan  maka dia berhak untuk berbicara. Dan seandainya segala perkara itu dinilai pada usia seseorang, maka yang lebih berhak untuk duduk di tempat khalifah sekarang ini adalah orang yang lebih tua umurnya daripadamu.” Mendengar ucapan tersebut lalu Khalifah Umar bin Abdul Aziz merasa kagum dan mengakui kebenarannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Melihat kepada pentingnya pembentukan peribadi generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara maka suatu usaha yang lebih serius dan bersungguh-sungguh mesti diambil dengan seberapa segera bermula daripada keluarga sehinggalah kepada kepimpinan negara.  Kerosakan dan keruntuhan akhlak generasi muda bakal mencacatkan kemajuan dan keamanan negara di mana pada hari ini budaya samseng dan buli di sekolah-sekolah semakin teruk bahkan semakin ganas. Begitu juga dengan penglibatan generasi muda dengan aktiviti tidak sihat yang membahayakan seperti najis dadah, ketagihan arak, mencuri, merogol dan sebagainya.

Dasar pendidikan negara dan pelaksanaannya berasaskan Islam mesti disegerakan bukan setakat teori tanpa pengamalan, bukan setakat mengejar kejayaan akademik dengan mengenepikan kejayaan dalam pembinaan peribadi mulia. Begitu juga dengan  perundangan Islam yang dijamin oleh Allah SWT mesti ditegakkan segera bagi memastikan kerosakan generasi muda dapat dibendung dengan lebih berkesan. Program yang dianjurkan kepada generasi muda mestilah bertepatan dengan Islam agar mereka sentiasa bergerak dalam suasana mengikut kehendak wahyu bukannya nafsu. Jangan pula akibat terlalu bimbang generasi muda akan kembali berpegang kepada ajaran Islam yang menyeluruh menyebabkan kita yang berkuasa terus berusaha menjauhkan mereka daripada kehidupan beragama dengan terus melalaikan generasi muda dengan program hiburan yang merosakkan, percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan. Jangan kita menurut rentak irama yahudi dan kristian yang sentiasa berusaha merosakkan generasi muda Islam dengan menyediakan program-program yang menaikkan nafsu sehingga mereka tidak lagi menghiraukan kehendak wahyu. Kita mesti menyediakan generasi muda yang berilmu dan beramal serta ikhlas dalam berjuang untuk Islam sehingga membolehkan Islam menjadi agama yang memerintah dan menerajaui dunia.

Firman Allah dalam ayat 23 surah Ahzab :

Maksudnya : Di antara orang mukmin itu ada mereka yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah maka di antara mereka ada yang gugur syahid. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikit pun tidak merubah pun janji mereka itu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

No comments:

Post a Comment