Tuesday 30 October 2012

Khutbah : Gempa Yang Menakutkan


اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ جَعَلَ الْمَوْتَ اِسْتِرَاحَةً لِلْمُوْءمِنِيْنَ مِنْ تَعَبِ الدُّنْيَا بَعْدَ مَا كَانُوْا يَعْبُدُوْنَ اللهَ لِنَيْلِ السَّعَادَةِ الْعُلْيَا. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ مَنِ اتَّقَى.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطن الرجيم،
 
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t dengan kita melaksanakan setiap titah perintahNya dan menjauhi setiap  larangan dan tegahanNya, sesungguhnya berjayalah mereka yang bertakwa dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.
بسم الله الرحمن الرحيم
  
Mafhumnya :  Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?", Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (Al-Zalzalah)

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Akan tiba masa dan saatnya nanti bumi yang kita diami pada hari ini akan bergoncang disebabkan gempa yang dahsyat yang akan menyebabkan ketakutan yang amat sangat dalam hati dan fikiran setiap manusia. Kegoncangan itu tidak akan reda sama sekali bahkan akan menjadi semakin kuat dan semakin kuat hingga meruntuhkan apa yang ada di atas permukaannya samaada gunung-ganang, hutan rimba, bangunan-bangunan pencakar langit hingga kubu-kubu yang teguh dan kuat pun turut akan hancur hingga menjadi debu-debu yang berterbangan. Pada saat dan ketika itu juga bumi akan memuntahkan segala isinya yang terdiri dari galian-galian dan juga mayat-mayat manusia. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah r.a Baginda Nabi s.a.w menceritakan tentang apa yang dimaksudkan dengan khabar oleh bumi yang disebutkan oleh Allah s.w.t pada ayat ke-4 dalam Surah Al-Zalzalah.

عن أبي هريرة قال : قرأ رسول الله صلى الله عليه وسلم هذه الآية : ( يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا ) قال : "أتدرُون ما أخبارها ؟ ". قالوا : الله ورسوله أعلم . قال : "فإن أخبارها أن تشهد على كل عبد وأمة بما عَمِل على ظهرها، أن تقول : عَمِل كذا وكذا، يوم كذا وكذا، فهذه أخبارُها"                                                       حديث حسن صحيح غريب

Yang bermaksud : Dari Abi Hurairah r.a katanya, “Telah membaca oleh Rasulullah s.a.w firman Allah s.w.t “Pada hari itu bumipun akan menceritakan khabar beritanya”, Baginda bersabda, “tahukah kamu apakah beritanya?”, Sahabat menjawap, “Allah dan RasulNya yang mengetahui”. Lalu sabda Nabi s.a.w, “adapun perkhabarannya ialah bumi akan bersaksi di hadapan hamba laki-laki dan hamba perempuan mengenai amalan yang telah dikerjakan di atas muka bumi. Bumi berkata, “si polan telah melakukan demikian-demikian perbuatan, pada hari sekian-sekian, maka itulah khabar bumi itu”.

Kiamat adalah sesuatu yang pasti akan berlaku dan wajib diimani oleh setiap mu’min. Dalil yang jelas samaada dari al-Quran mahupun hadis-hadis Nabi s.a.w. Antaranya firman Allah s.w.t pada ayat yang ke-7 dalam surah al-Hajj,
 
Mafhumnya : Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak (ragu-ragu) padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur. 
 
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang suasana hampirnya kiamat. Antaranya ialah peristiwa gempa bumi yang menjadi tanda hampirnya kiamat. Firman Allah s.w.t pada ayat ke 4 dalam surah Al-Waaqiah,

Mafhumnya : Dan apabila bumi diratakan, serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong.

Suasana yang amat menggerunkan ini juga diceritakan oleh Allah s.w.t pada firmanNya dalam surah Al-Hajj ayat 1 dan 2,
بسم الله الرحمن الرحيم
 
Mafhumnya :  Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Di saat itu manusia akan tertanya-tanya dalam kebingungan kenapakah bumi ini bergoncang dengan begitu dahsyat. Manusia pada waktu itu ke sana ke mari seolah-olahnya mereka dalam keadaan pening dan mabuk tetapi sebenarnya bukanlah mereka mabuk disebabkan minum minuman keras, darah tinggi atau sebagainya, tetapi sebenarnya peristiwa gempa itu terlalu dahsyat sehingga menyebabkan seolah-olah mereka hilang akal. Dahsyatnya peristiwa kiamat ini sehinggakan ibu-ibu melupakan anak yang disusukannya. Adakah sesuatu yang lain yang lebih berharga dan lebih disayangi oleh seorang ibu selain dari anak yang disusukannya?. Sudah tentu tidak, namun dek kerana dahsyatnya suasana gempa kiamat maka manusia sudah tidak ingat lagi sekalipun kepada sesuatu yang amat dia sayangi.  Ini adalah sebahagian dari seksaan dan amaran keras dari Allah s.w.t terhadap manusia agar kita semua kembali mentaati perintah Allah dan jangan terus-menerus menderhaka kepadaNya.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Masih terbayang suasana Tsunami yang berlaku pada tahun 2004 yang telah mengorbankan hampir setengah juta nyawa manusia di seluruh dunia. Belumpun lenyap dan hilang dari ingatan kita tentang peristiwa tersebut, satu lagi gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter telah berlaku di Selatan Sumatera, Indonesia 2 hari yang lalu. Walaupun kedudukan pusat berlakunya gempa kali ini berada agak jauh dari Malaysia, namun kesan gegaran tersebut turut dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia sehingga telah mencetuskan rasa cemas, takut dan bimbang kalau-kalau peristiwa Tsunami 2004 akan berulang lagi. Walaupun amaran Tsunami bagi negeri Perlis, Kedah termasuk Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang dikeluarkan pada jam 6.55 petang Rabu 11 April yang lalu telah ditamatkan oleh pihak berkuasa pada jam 10.00 malam kelmarin, namun ianya bukanlah jaminan bahawa ianya tidak akan berulang kembali, sehinggakan ada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan pantai bimbang untuk pulang ke rumah masing-masing kerana takut peristiwa 2004 berulang kembali.

Apa yang berlaku dua hari yang lalu dan juga Tsunami 2004 hanyalah gempa yang kecil sahaja jika nak dibandingkan dengan gegaran kiamat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t, namun hanya dengan gempa yang sekecil ini manusia sudah menjadi cemas dan takut hingga lari untuk menyelamatkan diri masing-masing tanpa memperdulikan rumah, harta dan ternakan mereka. Betapa dahsyatnya gempa kiamat ini digambarkan oleh Allah s.w.t melalui firmanNya pada ayat 4-6 dalam surah Al-Waaqiah,

Mafhumnya : (kiamat berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.

Gempa bumi adalah sebahagian dari tanda-tanda besar hampir tibanya kiamat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ummi Salamah r.anha bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ ، قَالَ : سَمِعْتُ أُمَّ سَلَمَةَ ، تَقُولُ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : " سَيَكُونُ بَعْدِي خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ " ، فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَيُخْسَفُ بِالأَرْضِ وَفِيهِمُ الصَّالِحُونَ ؟ قَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " نَعَمْ إِذَا كَانَ أَكْثَرُ أَهْلِهَا الخُبُثُ

Maksudnya : Akan berlaku sesudah kewafatanku nanti gempa bumi di wilayah timur, gempa bumi di wilayah barat dan gempa bumi di Jazirah Arab. Aku bertanya, “Ya Rasulallah! Apakah bumi akan digempakan padahal di dalamnya masih ada orang-orang yang soleh?”, Baginda menjawap, “Ya, apabila kebanyakan penduduknya melakukan kekejian (yakni apabila dunia telah dipenuhi dengan maksiat dan kemungkaran maka akan berlakulah gempa kiamat)”.

Tiga jenis gempa yang disebutkan oleh Baginda Nabi s.a.w dalam hadis tersebut belum terjadi sebagaimana halnya tanda-tanda kiamat besar yang lain meskipun ada sebahagian ulama mengatakan bahawa ianya telahpun berlaku. Pandangan yang kuat mengatakan bahawa meskipun banyak gempa bumi yang berlaku di merata tempat namun itu semua baru petanda-petanda kiamat yang kecil sahaja namun kita sudah melihat bagaimana huru-haranya manusia dengan gempa yang sekecil ini. Tidak dapat dibayangkan betapa huru-haranya nanti di saat berlakunya gempa yang besar.

Ibnu Hajar menyebut, “Sesungguhnya telah dijumpai pelbagai gempa bumi dan tanah runtuh di pelbagai tempat (negeri dan Negara), tetapi tiga gempa yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w  pada hadis ini adalah jauh lebih besar dan lebih luas kawasannya daripada gempa-gempa yang telahpun berlaku”.
     (Fathul Bari 13:84)
Sidang Jumaat yang dikasihi,

Munculnya tanda-tanda kiamat menjadi bukti tentang kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w dan ianya juga menjadi petunjuk bahawa alam semesta ini sudah terlalu hampir dengan saat-saat kehancurannya. Namun di sana perlu kita ingat bahawa pintu taubat sentiasa terbuka selama mana matahari belum muncul dari pihak barat dan nyawa belum sampai di halkum. Apabila munculnya matahari dari pihak barat maka pintu taubat tertutup sehingga datangnya hari kiamat. Marilah sama-sama kita kembali mentaati titah perintah Allah s.w.t dan meninggalkan setiap tegahanNya. Kejadian gempa bumi, Tsunami dan sebagainya adalah salah satu peringatan dari Allah s.w.t yang sayangkan hamba-hambaNya agar kita kembali hidup di atas landasan yang Dia redhoi. Bagi orang-orang yang beriman, maka kejadian seperti ini akan menambahkan lagi keimanannya kepada Allah dan bertambah lagi ketaatannya kepada Allah. 
 
Mafhumnya : Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya, -. Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya, - Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), - Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, -  Maka sesungguhnya neraka Jahannamlah tempat kediamannya - Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, - Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.                        (An-Naaziaa’t 35-41)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ أقول قولى هذا ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ ، وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ .


No comments:

Post a Comment