Tuesday 23 October 2012

Khutbah : Patah Tak Mungkin Tumbuh, Hilang Tak Mungkin Berganti


اَلْحَمْدُ لِلَّه رَبِّ الْعَالَمِيْنَ ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ ، وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ . أَشْهَدُ أَنْ لآ َإِلهَ إِلاَّالله ُوَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ ، َالَمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، الصَّادِقُ الْوَعْدِ الأمِيْنُ . اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوقِيْنَ ، وَعَلى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ .

أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ الله ، إِتَّقُوا الله ! أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله ،ِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى ، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ،


Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar, kerana taqwa itulah sebaik-baik bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah. Berbahagialah mereka yang bertaqwa kepadaNya, kerana sesungguhnya kebahagian dan kejayaan hidup sama ada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat adalah ditentukan oleh ketaqwaan dan keimanan kita kepadaNya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin A'mr bin Al-A'sh r.a katanya, "Aku mendengar Rasulallah s.a.w bersabda,"

إنَّ اللهَ لا يَقْبِضُ العِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ قُلُوْبِ الرِّجَالِ ، ولكِنْ يَقْبِضُ العِلْمَ بِمَوْتِ العُلَمَاءِ حَتَّى إذَا لمَ يَبْقَ عَالمٌ اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤوْسًا جُهَّالا فَسُئِلُوا فأفْتَوْا بغيرِ علمٍ فَضَلُّوا وأضَلُّوا .

Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah s.w.t tidak mencabut ilmu itu secara sekaligus dari dada-dada manusia, akan tetapi Allah s.w.t mencabut ilmu itu dengan mematikan para ulama', sehinggakan apabila sudah tidak ada lagi orang a'lim di kalangan manusia maka manusia memilih ketua-ketua yang jahil, maka apabila ketua (pemimpin) yang jahil itu ditanya, lalu mereka memberi fatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka telah sesat dan menyesatkan orang lain.

Dunia hari ini menyaksikan bahawa benarnya sebagaimana yang telah diucapkan oleh Baginda Nabi s.a.w lebih 1400 tahun yang lalu. Golongan-golongan ulama' semakin berkurangan. Satu demi satu telah pergi meninggalkan kita. Pemergian yang tidak mungkin dapat dicari ganti. Walaupun pepatah melayu ada menyebut "patah tumbuh hilang berganti", namun pepatah ini amat tidak tepat dalam kes ini. Ulama' yang patah tak mungkin tumbuh kembali dan yang hilang tidak mungkin dapat dicari ganti. Bahkan akan sampai suatu masa dan ketika nanti kita akan melihat bagaimana permukaan bumi ini akan kosong daripada alim ulama'. Kehidupan pada waktu itu sudah tidak ada kebaikan dan keberkatannya lagi kerana dunia sudah dipenuhi dengan kesesatan.

Kita dapat merasai suasana ini pada hari ini di mana bilangan para ulama' atau tok-tok guru yang benar-benar a'lim dalam ilmu agama hanya tinggal sedikit sahaja dan usaha–usaha untuk melahirkan para ulama' pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Kalangan ibu bapa pula kurang berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kerana mungkin pada pandangan mereka pondok-pondok dan sekolah agama ini tidak mampu menjamin masa depan yang cemerlang buat anak-anak mereka. Sedangkan kita melihat bagaimana besarnya jasa pondok-pondok tradisional ini terhadap agama Islam. Sepatutnya institusi pondok ini diberi pembelaan oleh pihak kerajaan samaada dalam bentuk bantuan kewangan ataupun pengiktirafan. Walaupun mereka tidak memiliki sijil-sijil yang diiktiraf oleh kerajaan, namun ilmu yang ada dalam dada mereka jauh lebih tinggi dari ilmu yang dimiliki oleh mereka yang memiliki sijil dan kelulusan-kelulusan yang yang diiktiraf serata dunia. 

Sesetengah ibu bapa lebih mengutamakan pendidikan di dalam bidang urusan keduniaan untuk mereka meraih kemewahan dunia yang sementara. Akhirnya, sekalipun anak-anak ini berjaya dalam bidang dunianya sehingga ke tahap tertinggi sekalipun tetapi sayang mereka buta agama,  tidak boleh membaca al-Quran, bahkan yang amat menyedihkan lagi ialah mereka jahil tentang ilmu-ilmu fardhu a'in. Apabila matinya ibu bapa maka sepatutnya anaklah yang lebih utama menjadi imam untuk solat jenazah mereka kerana itulah yang afdhalnya, namun disebabkan tidak ada ilmu, anak-anak bukan sahaja tidak mampu untuk mengimamkan solat jenazah ibu dan bapanya bahkan lansung tidak menunaikan solat jenazah untuk ibu dan ayahnya kerana jahil.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w,

عن علي رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :  يُوشِكُ أن يأتِيَ على الناسِ زمَانٌ لا يَبْقَى مِن الإسلام إلا اسْمُهُ ، ولا يَبْقَى من القُرآن إلا رَسْمُه ، مسَاجِدُهُم عامِرَةٌ وهي خَرَابٌ من الهُدَى ، عُلَمَاؤُهم شَرُّ مَنْ تحتَ أدِيْمِ السَّمَاءِ ، مِن عندِهم تخرُجُ الفتنةُ ، وفيهم تَعُودُ - رواه البيهقي في شعب الإيمان

Yang bermaksud : Daripada A'li bin Abi Tholib r.a berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w : "Sudah hampir tiba satu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya sahaja, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah. Ulama'-ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah naungan langit, dari mereka berpuncanya fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali".
                                                        ( Riwayat Baihakhi )

Jika kita perhatikan dengan penuh keinsafan maka keadaan kita pada hari ini tidaklah begitu jauh daripada apa yang telah digambarkan oleh Baginda Nabi s.a.w ini. Kalau pun belum sampai ke tahap sebagaimana yang disebut oleh Baginda tetapi kita sudah terlalu dekat dengan zaman tersebut.

Manusia pada akhir zaman yang mengaku dirinya muslim namun cara hidupnya tidak sedikit pun menggambarkan bahawa dia seorang muslim. Muslimnya hanya pada nama dan kad pengenalan sahaja. Solatnya tidak dijaga, auratnya didedah merata-rata, rasuah semakin melata, maruah saudara seagama tidak dijaga dan hak jiran tetangga tidak dipelihara, sifat jujur dan amanah sudah tiada, perasaan malu juga semakin hilang dari dalam jiwa . Benarlah sebagaimana yang telah disebut oleh Baginda Nabi s.a.w,

يأتى على الناس زمانٌ لا تُطَاقُ المعيشةُ فيهم إلا بالمعصية حتى يَكْذِبَ الرَّجلُ ويَحْلِفُ ، فإذا كان ذلك الزمانُ فعليكم بالهرب ، قيل : يا رسولَ الله ! وإلى أين المهرب ؟ ، قال : إلى الله تعالى ، وإلى كتابه ، وإلى سنة نبيه .

Yang bermaksud : Akan tiba satu zaman di mana kamu tidak lagi mampu hidup melainkan akan terjebak juga dengan maksiat sehingga akan ada manusia yang sanggup menipu kemudian dia bersumpah mengatakan bahawa dia bercakap benar. Apabila tiba zaman itu maka hendaklah kamu lari. Ditanya kepada Rasulullah “ke mana kami hendak lari ya Rasulallah?. Lalu jawap Nabi, “larilah kepada Allah, kepada kitabNya al-Quran dan juga sunnah NabiNya”.

Baginda juga menyatakan bahawa al-Quran hanya akan tinggal pada tulisannya sahaja dan tidak lagi mampu dibaca. Bagaimana hendak membacanya jika tidak mempelajari ilmu Tajwid. Akibat tidak mempelajarinya menyebabkan seseorang itu buta al-Quran dan akhirnya lansung tidak mampu untuk membaca al-Quran, maka al-Quran hanya kekal pada mushaf atau tulisan tetapi tidak lagi mampu dibaca. Ayat-ayat al-Quran hanya untuk digantung didinding-dinding sebagai perhiasan. Didiklah anak-anak kita dengan ilmu al-Quran. Sesetengah ibu bapa lebih berbangga dengan anak-anak mereka yang pandai menyanyi dan menari. Kebanyakan kita susah hati jika anak-anak tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi berapa ramai kalangan kita  yang susah hati jika anak-anak kita buta al-Quran?.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Masjid-masjid yang ada pada hari ini dibina dengan begitu hebat hinggakan menelan kos berjuta-juta ringgit tetapi sayang, ahli jamaah yang hadir ke masjid lebih sedikit jumlahnya dari jumlah anak tangga yang ada. Amat menyedihkan lagi apabila majlis-majlis ilmu yang dianjurkan juga tidak mendapat sambutan daripada anak-anak qariah. Masing-masing lebih suka duduk di rumah bermain dengan anak cucu serta melayan rancangan televisyen yang melalaikan. Akhirnya ramai yang mati dalam keadaan jahil ilmu agama. Kita sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk bersembang di keda-kedai kopi, mengayuh basikal berpuluh-puluh kilometer jauhnya tanpa rasa penat, memancing dari malam sampai ke pagi walaupun kadang-kadang seekor ikan pun tak dapat, pergi ke pasar malam atau pasar tani sehingga kadang-kadang terlepas waktu solat, tapi kita tidak mampu untuk memperuntukkan sedikit ruang dan masa untuk hadir ke masjid bagi solat jamaah serta mendengar kuliah-kuliah agama. Sedangkan itulah antara bekalan untuk di bawa ke akhirat. Sabda Nabi s.a.w,

إِذا مَرَرْتُم برِيَاضِ الْجنَّةِ فَارْتَعُوْا . قَالُوا : يَا رَسُولَ الله ، وَمَا رياضُ الْجنَّةِ ؟ قَالَ : حِلَقُ الذِّكْرِ

Yang bermaksud : Apabila kamu melalui kawasan kebun-kebun syurga maka hendaklah kamu singgah. Sahabat bertanya, “apakah yang dimaksudkan dengan kebun-kebun syurga itu ya Rasulallah?”. Lalu Nabi bersabda, “kebun-kebun syurga itu ialah halaqah-halaqah zikir (yakni majlis-majlis ilmu).
Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman :
أعوذ بالله من الشيطن الرجيم


Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



No comments:

Post a Comment