Thursday 30 January 2020

Khutbah Solat Al-Istisqa'

*خطبة صلاة الإستسقاء*


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

أستغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه
(٩ كالي)

الحمد لله حمداً طيباً كما أمر , أحمدُه تعالى وأشكره وقد تأذَّن بالزيادة لمن شكر , وبالخسارة لمن كفر ,

وأشهد ألا إله إلا الله وحده لا شريك له , إرضاءً له وإرغاماً لمن جحد به وكفر , وأشهد أن سيدنا محمداً عبده ورسولهُ سيدُ البشر , والشافعُ المشفَّعُ في المحشر ,

اللهم صل على سيدنا وحبيبنا محمد , وعلى آله وأصبحابه ومن تبع سبيلهم وسار على نهجهم إلى يوم الدين , وسَلم تسليماً كثيراً.

أما بعد , فاتقوا الله يا عباد الله حق التقوى , وراقبوه في السر والنجوى .

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

[البقرة:281]

Saudara-saudaraku sidang hadirin yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah dengan kita melaksanakan setiap titah perintahNya, serta meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepadaNya.

Saudara-saudaraku sidang hadirin yang dikasihi,

Air adalah satu nikmat yang cukup besar di antara nikmat-nikmatNya yang banyak. Ia juga merupakan anugerah dariNya yang tidak ada sesiapa pun di kalangan kita melainkan amat perlu kepada air untuk terus hidup di atas muka bumi ini.

Turunnya hujan dari langit juga adalah merupakan satu nikmat dan rahmat yang cukup besar dariNya. Allah SWT mengingatkan kita semua melalui ayat 28 dalam surah As-Syura;

وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ
Maksudnya;

"Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ehsanNya), lagi Yang Maha Terpuji".

Tertahannya hujan dari langit untuk turun ke bumi adalah merupakan satu bala' daripada Allah SWT terhadap manusia. Bala' yang turun adalah berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang tak henti-henti melakukan dosa dan maksiat kepada Allah sekalipun telah diberi peringatan dan amaran oleh para alim ulama' yang mewarisi tugas para anbiya'. Dalam sepotong hadis, baginda Nabi SAW memperingatkan kita dengan sabdanya :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ أَقْبَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ , خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلَّا فَشَا فِيهِمْ الطَّاعُونُ وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمْ الَّذِينَ مَضَوْا , وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلَّا أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ , وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلَّا مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ , وَلَوْلَا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا , وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلَّا سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ , وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ.

[رواه ابن ماجة والحاكم]

Maksudnya :

“Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (jika kamu telah mengerjakannya), maka, tidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT, semoga kamu tidak melalui zaman itu.

 *Pertama* : Tidak terjadi perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terangan melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Ta’un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu.

 *Kedua* : Tidak mereka mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan (dalam perniagaan), kecuali mereka akan diuji dengan kemarau yang panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

 *Ketiga* : Dan tidak mereka menahan zakat harta benda, kecuali ditahan untuk mereka air hujan daripada langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.

 *Keempat* : Dan tidaklah mereka menyalahi janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka.

 *Kelima* : Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Quran dan mereka memilih ayat atau hukum yang mereka mahu, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri.”

Saudara-saudaraku sidang hadirin sekalian,

Hari ini kita sekali lagi berdepan dengan bala' kemarau yang agak membimbangkan. Kita juga sedangkan berdepan dengan bala' yang disebarkan melalui udara iaitu virus influenza A yang telah mengorbankan beberapa nyawa dan mengancam nyawa-nyawa yang lain terutamanya anak-anak yang masih di persekolahan.

Semua ini sudah tentu ada puncanya sehingga Allah SWT menghantar kemurkaannya kepada kita semua. Maka apabila telah turun kemurkaan dan bala' dari Allah SWT, ianya akan turun secara umum, yakni akan menimpa semua manusia samada yang baik atau yang jahat. Allah SWT menjelaskan kepada kita melalui firmanNya;

واتقوا فتنة لا تصيبن الذين ظلموا منكم خاصة واعلموا أن الله شديد العقاب

Maksudnya;

"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala' bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus, (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya"

(Al-Anfal 25)

Al-Istisqa' atau minta hujan atau meminta air adalah merupakan amalan dan sunnah para Nabi AS. Nabi Musa AS pernah meminta hujan dari Allah SWT sebagaimana dalam ayat 60 surah Al-Baqarah;

وإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ فَقُلْنَا اضْرِب بِّعَصَاكَ الْحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَتْ مِنْهُ اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا ۖ قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَّشْرَبَهُمْ ۖ كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Maksudnya;

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman ;
"Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi"

(Al-Baqarah 60)

Baginda Nabi SAW juga pernah memohon hujan kepada Allah di saat hujan tidak turun dan bumi kering kontang.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA;

أَنَّ رَجُلاً دَخَلَ الْمَسْجِدَ يَوْمَ جُمُعَةٍ مِنْ بَابٍ كَانَ نَحْوَ دَارِ الْقَضَاءِ , وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَائِمٌ يَخْطُبُ , فَاسْتَقْبَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَائِمًا , ثُمَّ قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ , هَلَكَتِ الأَمْوَالُ , وَانْقَطَعَتِ السُّبُلُ ، فَادْعُ اللَّهَ تَعَالَى يُغِثْنَا , قَالَ : فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدَيْهِ ثُمَّ قَالَ : اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا. قَالَ أَنَسٌ : فَلا وَاَللَّهِ مَا نَرَى فِي السَّمَاءِ مِنْ سَحَابٍ وَلا قَزَعَةٍ , وَمَا بَيْنَنَا وَبَيْنَ سَلْعٍ مِنْ بَيْتٍ وَلا دَارٍ . قَالَ : فَطَلَعَتْ مِنْ وَرَائِهِ سَحَابَةٌ مِثْلُ التُّرْسِ . فَلَمَّا تَوَسَّطَتِ السَّمَاءَ انْتَشَرَتْ ، ثُمَّ أَمْطَرَتْ , قَالَ : فَلا وَاَللَّهِ مَا رَأَيْنَا الشَّمْسَ سَبْتًا .

Maksudnya:

“Seorang lelaki memasuki masjid pada hari Jumaat melalui pintu yang bertentangan dengan Dar al-Qadha. Ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah dalam keadaan berdiri. Lelaki itu berkata: ‘Hai Rasulullah, harta-harta telah binasa dan jalan-jalan terputus (banyak orang kelaparan dan kehausan). Mohonlah kepada Allah agar menurunkan hujan!’. Rasulullah SAW lalu mengangkat kedua tangannya dan mengucapkan: “اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا” (Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan.). Anas berkata: ‘Demi Allah, sebelum itu kami tidak melihat sedikit pun awan tebal mahupun yang nipis. Awan-awan juga tidak ada di antara tempat kami, di bukit, rumah-rumah atau satu bangunan pun”. Anas berkata, “Tetapi tiba-tiba dari arah bukit tampaklah awan bagaikan sebuah perisai. Ketika sudah berarak sampai ke tengah langit, awan pun berpisah dan hujan pun turun”. Anas melanjutkan, “Demi Allah, sungguh kami tidak melihat matahari selama tujuh hari (ini kerana banyaknya hujan)”

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Saudara-saudaraku sidang hadirin sekalian,

Maka, di saat seperti ini, amat perlu sangatlah untuk kita sama-sama bermunajat kepada Allah dalam keadaan merendahkan diri kita di hadapanNya, mengakui kekurangan dan kesilapan kita, memohon keampunan dariNya, mudah-mudahan, Dia kembali menurunkan hujan kepada kita semua dan buat seluruh makhluk yang lain termasuk binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah keluar untuk solat istisqa' memohon hujan dengan keadaan tawadhuk, berpakaian biasa, khusyuk, berlemah lembut, dan merendah diri. Kemudian Baginda solat dua rakaat yakni solat istisqa' sebagaimana Baginda solat pada dua hari raya.

Saudara-saudaraku sidang hadirin sekalian,

Allah SWT mengingatkan kita tentang betapa lemahnya kita sebagai makhluk. Kita tidak mampu untuk mencipta atau mendatangkan air yang sangat kita perlukan di saat air kering dan hujan tidak turun. Tidak ada satu kuasa atau kerajaan mana-mana pun yang mampu mendatangkan air kepada makhluk selain dari Allah SWT.

Firman Allah SWT;

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ أَصْبَحَ مَاؤُكُمْ غَوْرًا فَمَن يَأْتِيكُم بِمَاءٍ مَّعِينٍ

Maksudnya;

"Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?"

(Al-Mulk 30)

Alhamdulillah, kelmarin bumi Kedah khususnya telah mula disirami hujan walaupun sedikit. Kita masih amat memerlukan limpahan hujan dari langit demi untuk kebaikan kita dan seluruh makhluk di bumi.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita kembali mentaati Allah dalam segenap segi kehidupan kita. Laksanakan apa yang Allah perintahkan, tinggalkan setiap larangan dan tegahanNya, menyesalilah di atas dosa dan maksiat kita yang telah lalu, pohonlah keampunan kepadaNya dan teruskan berdoa, mudah-mudahan kita akan dilimpahi dengan hujan rahmat yang mencurah-curah dariNya.

فقلت استغفروا ربكم إنه كان غفارا , يرسل السماء عليكم مدرارا

Maksudnya:

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): "Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Diaa Maha Pengampun.

"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu"

بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم, ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم , وتقبل مني ومنكم تلاوته , إنه هو السميع العليم , أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم , ولسائر المسلمين والمسلمات , فاستغفروه فيا فوز المستغفرين , ويا نجاة التائبين .

No comments:

Post a Comment