Thursday 30 January 2020

Khutbah Jumaat : Korona Virus

Tajuk : Virus


الحمد لله حمداً طيباً كما أمر , أحمدُه تعالى وأشكره , وقد تأذَّن بالزيادة لمن شكر , وبالخسارة لمن كفر ,

وأشهد ألا إله إلا الله وحده لا شريك له , إرضاءً له وإرغاماً لمن جحد به وكفر , وأشهد أن سيدنا محمداً عبده ورسولهُ , سيدُ البشر , والشافعُ المشفَّعُ في المحشر ,

اللهم صل على سيدنا وحبيبنا محمد , وعلى آله وأصبحابه ومن تبع سبيلهم وسار على نهجهم إلى يوم الدين , وسَلم تسليماً كثيراً ,

أما بعد , فاتقوا الله يا عباد الله حق التقوى , وراقبوه في السر والنجوى .

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Pada tahun ke 18 hijrah, bersamaan tahun 640 masihi, sewaktu Saidina Umar Al-Khattab RA menjadi khalifah, dan selepas beliau membuka kota Batulmaqdis, beliau bersama deligasi  telah berangkat menuju ke Syam iaitu untuk memantau keadaan rakyatnya dan gabenor Syam iaitu Abu Ubaidah Al-Jarrah RA.

Setelah beberapa hari menempuh perjalanan mereka telah sampai khabar bahawa sejenis  wabak penyakit iaitu wabak Taun 'Amwas (عمواس) telah melanda negara Syam. 'Amwas ialah nama bagi sebuah kota kecil di dalam negara Palestin. Wabak taun ini telah bermula di kota tersebut dan kemudian tersebar ke tempat-tempat yang lain.

Saidina Umar RA terus berbincang dengan para sahabat tentang apakah tindakan yang perlu diambil. Maka akhirnya mereka bersepakat untuk berpatah balik kembali ke Madinah.
Keputusan Saidina Umar RA dipersoalkan oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah RA dengan katanya:

يا أميرَ المؤمنينَ!! أفِراراً مِن  قدَر الله؟
Maksudnya:

"Adakah anda lari dari takdir Allah ?”

Saidina Umar RA menjawab:

لو غيرك قالَها يا أبا عبيدة، نعم نفِر ّ مِن قدر اللهِ الى قدر اللهِ

Maksudnya:

"Aku tidak menyangka kamu sanggup berkata demikian wahai Abu Ubaydah, benar, kami lari dari takdir Allah menuju kepada takdir Allah yang lain”

Lalu datang Abdul Rahman bin A’uf RA berkata:

"Sesungguhnya aku mengetahui jakan penyelesaian bagi masalah ini kerana aku telah mendengar Nabi SAW bersabda:

"إذا سمعْتم بهِ بأرضٍ فلا تقَدّموا عليه، واذا وقعَ بأرضٍ وأنتم فيها فلا تخرجوا منها"

Maksudnya:

“Apabila kalian mendengar tentang wabak dan virus melanda sesebuah negeri, maka janganlah kalian memasukinya, dan seandainya wabak tersebut melanda di sesebuah negeri sedangkan kalian berada di dalamnya, maka janganlah kalian keluar meninggalkan negeri tersebut”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut sejarah, virus 'Amwas yang melanda negara Syam pada ketika itu telah mengorbankan hampir 25,000 ke 30,000 kaum muslimin termasuk para sahabat nabi. Antara mereka adalah Abu Ubaydah bin Al-Jarrah, Muaz bin Jabal, Yazid bin Abi Sufyan, Suhail bin 'Amru, dan lain-lain lagi dari kalangan sahabat nabi yang mulia.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Islam adalah satu-satunya agama yang direstui oleh Allah SWT. Islam agama yang benar. Allah SWT mengurniakan kepada kita Islam, dibawa oleh RasulNya yang mulia bersama-sama kitab suci yang mengandungi kalamNya yang suci dan maha tinggi. Kitab suci ini menjadi panduan untuk kehidupan kita dalam segenap segi perkara. Sebagai contoh dalam bab makan dan minum. Al-Quran sangat-sangat menganjurkan agar kita makan dan minum yang halal lagi baik. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya:

"Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu"

(Al-Baqarah 168)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman;

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya:

"Wahai anak-anak Adam! pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas"

(Al-A'raf 31)

Walaupun demikian, sikap manusia seringkali suka membantah dan tidak mahu patuh kepada perintah Allah. Berapa banyak makanan dan minuman yang dihalalkan, tetapi yang haram juga yang dicarinya. Akibatnya daripada kerakusan manusia inilah, maka hari ini seluruh dunia terpaksa hidup dalam ketakutan apabila diserang oleh wabak virus Korona yang amat mudah merebak. Virus yang dipercayai berpunca dari haiwan terutamanya kelawar ini semakin membimbangkan seluruh dunia.

Para ulama telah lama membahaskan tentang hukum makan kelawar. Antaranya Al-Imam Al-Nawawi RH dalam kitabnya Al-Majmuk berkata;

والخفاش حرام قطعا

Maksud;

"Kelawar hukumnya haram secara mutlak"

( المجموع شرح المهذب ج ١ ص ٢٢)

Demikian juga disebut oleh Al-Syeikh Qalyubi dan 'Umairah ;

ويطلق الخطاف على الخفاش وهو الوطواط وهو حرام أيضا

Maksud;

"Dikatakan Al-Khuttaf itu seperti Al-Khuffasy iaitu jenis kelawar dan ianya adalah Al-Wathwath, hukumnya haram juga"

(حاشيتا قليوبي وعميرة ج ٤ ص ٢٦١)

Pengharamannnya sudah semestinya bersebab dan mempunyai hikmah. Allah SWT yang mencipta alam ini, maka Allah amat mengetahui apakah yang baik untuk kita makan, dan apakah yang buruk. Apabila manusia melanggar batasan yang telah diletakkan, maka manusia terpaksa menanggung akibatnya.

Wabak Koronavirus yang sedang melanda ini dikatakan lebih menakutkan daripada wabak SARS yang pernah melanda dunia antara November 2002 hingga Julai 2003 yang hanya melibatkan 8,098 kes diseluruh dunia. Sedangkan wabak Koronavirus kini sudah mencatat sebanyak 9480 kes dalam masa kurang dari sebulan. Laporan media menyebut bahawa wabak Koronavirus ini mengambil masa beberapa bulan lagi untuk pulih. Satu keadaan yang amat membimbangkan kita semua.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin telah mengumumkan bahawa wabak koronavirus yang telah mengakibatkan kematian lebih 200 orang di China sebagai satu darurat kesihatan awam global apabila ianya telah merebak ke hampir 18 negara di dunia.

Sebahagian besar daripada lebih 7,800 kes dikesan di peringkat global, menurut data terbaru WHO, di mana virus itu mula dikesan di sebuah pasar hidupan liar haram di bandaraya Wuhan.

WHO juga telah mengesahkan bahawa telah berlaku kes jangkitan dari manusia kepada manusia di Jepun, Jerman, Vietnam dan yang terbaru di Amerika Syarikat. Ini menunjukkan bahawa virus ini mampu untuk merebak dengan lebih cepat dan lebih meluas.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Islam sangat menitikberatkan kebersihan samada pada makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala-galanya. Ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT melalui firmanNya;

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya;

"SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri"

(Al-Baqarah 222)

Begitu juga sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ

Maksudnya:

"Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan, maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi"

(Riwayat Al-Tirmizi)

Saudara-saudaraku sidang jumaat sekalian,

Bala atau musibah adalah bertujuan untuk menyedarkan kita agar segera kembali mentaati Allah SWT dalam segenap segi kehidupan kita. Disebabkan Allah masih sayangkan kita semua, maka didatangkan bala dan musibah untuk kita kembali sedar dari kelalaian dan kealpaan.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita masing-masing. Mohon perlindungan dari Allah yang merupakan sebaik-baik pelindung buat kita semua. Perbaiki setiap kekurangan, perbetulkan setiap kesilapan, perelokkan setiap kecacatan, mudah-mudahan kita semua akan sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya;

"Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya. Cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan) mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

(Al-Tahrim 8)

بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم , ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم , وتقبل مني ومنكم تلاوته , إنه هو السميع العليم , أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم , ولسائر المسلمين والمسلمات , فاستغفروه فيا فوز المستغفرين , ويا نجاة التائبين .

No comments:

Post a Comment