Tuesday 21 January 2020

Khutbah Jumaat : Kasih Seorang Rasul

Tajuk : Kasih Seorang Rasul

الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق،  ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون، 

أشهد أن لآ إله إلا الله وحده لا شريك له،  وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله،

اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا ونبينا محمد، وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد، 

فيا أيها الحاضرون، اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله، فقد فاز المتقون،

قال الله تعالى،

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

ياأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Mafhumnya;

"Wahai sekalian manusia yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap kamu melihat apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok, dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa, mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hambanya yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Ketika dalam peristiwa hijrah ke Habsyah umat Islam diberi perlindungan dan pembelaan oleh Raja Al-Najasyi sekalipun wakil daripada Quraisy Makkah datang membawa berbagai hadiah meminta Al-Najasyi agar menyerahkan kembali orang-orang Islam kepada mereka.

Antara perbualan yang masyhur di antara Al-Najasyi dan Jaafar bin Abi Thalib RA ketika dalam peristiwa hijrah ke Habsyah ini ialah, baginda bertanya kepada mereka kenapakah mereka sanggup meninggalkan tanah air kelahiran mereka dan lari mendapatkan perlindungan dan pembelaan darinya. Lalu jawap Jaafar bin Abi Thalib RA berkata;

"Wahai Tuanku, kami dahulunya adalah merupakan kaum yang hidup dalam keadaan jahiliah. Kami dahulunya menyembah berhala, makan bangkai, berzina, menyakiti jiran tetangga, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya menindas yang miskin. Kami hidup dalam keadaan demikian sehinggalah datang kepada seorang lelaki dari kalangan kami yang sememangnya kami kenal dia.

Lalu dia mengajak kami untuk menyembah Allah, dia melarang kami memakan bangkai, dia menegah kami dari berzina, di juga menyeru kami untuk berbuat baik sesama jiran dan tidak menindas sesama manusia. Lalu kami pun mengikutnya dan kami beriman dengannya.

Tiba-tiba kaum kami tidak berpuas hati dengan kami, lalu ada dikalangan kami yang ditangkap dan diseksa hanya kerana kami beriman dengannya. Maka kami datang untuk memohon perlindungan daripada Tuanku".

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Inilah tugas berat seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah kepada umatnya. Bukan suatu tugas yang mudah, bukan suatu beban yang ringan untuk mengajak umat manusia supaya meninggalkan kepercayaan serta cara hidup yang sesat kepada kepercayaan dan cara hidup yang benar. Lebih-lebih lagilah masyarakat Arab Quraisy pada waktu itu sudah pun hidup di dalam suasana jahiliah sejak ratusan tahun sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW.

Bayangkan betapa sukarnya baginda Nabi SAW berseorangan dalam menyebarkan dakwah kepada bangsa Arab Quraisy Makkah.

Sebab itulah dakwah baginda dimulakan secara sembunyi-sembunyi selama hampir tiga tahun. Selepas daripada tempoh tiga tahun, barulah Nabi SAW diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan kepada penduduk Makkah.

Segala kesukaran dan kepayahan itu ditempuhi dan diharungi oleh baginda Nabi SAW dengan penuh kesabaran demi untuk menyelamatkan kita semua daripada panas dan azab bakaran api neraka. Tidak ada istilah penat atau letih dalam diri baginda sepanjang menjalankan kerja dakwah. Kasih dan sayang baginda kepada kita tidak ada tolok bandingannya. Allah SWT menceritakan kepada kita betapa besarnya keinginan dan cita-cita baginda untuk melihat seluruh umatnya mendapat kebaikan dan beriman kepada Allah SWT. Firman Allah SWT;

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم ، فإن تولوا فقل حسبي الله لا إله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم.

Mafhumnya:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman".

"Kemudian jika mereka berpaling engkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar".

(Al-Taubah ‪128-129‬)

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saban tahun kita memperingati bulan Rabiul Awal sebagai bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai satu tanda kasih dan cinta serta sebagai tanda terima kasih kita kepada baginda di atas jasa-jasa dan budi baik baginda buat kita semua.

Dengan pengorbanan baginda dan para sahabat, maka pada hari ini kita dapat merasai  nikmat iman dan Islam, yang mana iman dan Islam ini menjadi jaminan untuk keselamatan kita di dunia dan di akhirat.

Oleh kerana inilah Allah SWT berpesan kepada kita agar kita memastikan bahawa mati kita ialah mati di dalam keadaan Islam. Firman Allah SWT;

يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون

Mafhumnya;

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu semua kepada Allah, dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam"

(Ali Imran - 102)

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Jarak masa kita dengan baginda Nabi dan para sahabat sudah terlalu jauh. Baginda telah pergi meninggalkan kita semua sudah lebih 1400 tahun. Adalah amat penting untuk kita semua mempelajari ilmu sirah kehidupan dan perjuangan baginda dan para sahabat. Ini semua akan mendekatkan kembali jarak kita yang semakin hari semakin jauh dengan baginda dan para sahabat.

Dengan mempelajari dan mendalami ilmu sirah, kita juga akan lebih mengerti dan menghargai jasa dan budi mereka. Kita juga akan lebih mengenali keperibadian insan mulia yang paling banyak berjasa buat kita semua. Akhirnya, akan bertambah kasih dan sayang kita buat baginda dan para sahabat, akan bertambah rasa cinta dan rindu kita kepada mereka sekalipun kita tidak pernah bersua muka dengan mereka di alam nyata. Semoga dengan cinta inilah akan menyebabkan kita dihimpun bersama-sama mereka di akhirat sana.

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,


(روى البخاري - 3688 ، ومسلم - 2639)

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : " أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّاعَةِ ،

فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ ؟ ،

قَالَ: وَمَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا  ؟

قَالَ : لاَ شَيْءَ ، إِلَّا أَنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .

فَقَالَ: أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ.

قَالَ أَنَسٌ: فَمَا فَرِحْنَا بِشَيْءٍ ، فَرَحَنَا بِقَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ,

قَالَ أَنَسٌ: " فَأَنَا أُحِبُّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ بِحُبِّي إِيَّاهُمْ ، وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِمِثْلِ أَعْمَالِهِمْ " .

Mafhumnya;

Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hari kiamat. Lelaki itu berkata;

"Bilakah hari kiamat itu?"

Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya;

"Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapi hari itu?"

Lalu lelaki itu menjawab;

"Tidak ada apa, hanya sesungguhnya aku mencintai Allah dan aku mencintai RasulNya".

Lalu Rasulullah bersabda kepadanya;

"Engkau akan dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang engkau cintai".

Anas bin Malik RA yang meriwayatkan hadis ini berkata;

“Kami tidak pernah merasakan bahagia dan gembira sebagaimana bahagia dan gembiranya kami ketika mendengar sabda Rasulullah SAW "Engkau akan dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang engkau cintai".

Anas RA berkata lagi;

"Aku mencintai Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar. Aku berharap agar aku dapat bersama-sama dengan mereka di akhirat sana dengan sebab kecintaanku kepada mereka, meskipun aku tidak mampu melakukan amalan sebanding yang mereka lakukan".

Mudah-mudahan kita semua juga akan dihimpunkan bersama-sama baginda dan para sahabat di akhirat kelak.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم

Mafhumnya;

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

(Ali Imran 31)


بارك الله لي ولكم بالقرءان العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات، والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه فيا فوز المستغفرين، ويا نجاة التائبين.

No comments:

Post a Comment