Thursday 2 April 2015

Khutbah Gerhana Bulan



الحمد لله الذى خلق السموات والأرض وجعل الظلمت والنور ثم الذين كفروا بربهم يعدلون ، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله ، اللهم صل وسلم على عبدك ورسولك محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين ،
أما بعد ،
فيا أيها الحاضرون ! اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله ، فقد فاز المتقون .

Saudara-saudaraku sidang hadirin sekalian,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah [swt] dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan kita melaksanakan setiap titah perintahNya, dan pada masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Setiap apa yang berlaku di atas muka bumi ini membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah [swt] Tuhan yang mengurus dan mentadbir alam ini. Di setiap apa yang berlaku ini juga sudah semestinya mengandungi hikmah dan pengajaran buat mereka yang menggunakan mata hatinya untuk berfikir. Di antara bukti kekuasaan Allah [swt] ialah pertukaran malam dan siang sebagaimana firman Allah [swt] dalam surah Yaasin ayat 37 :

وءاية لهم اليل نسلخ منه النهار فإذا هم مظلمون

Yang bermaksud : Dan satu lagi bukti bagi mereka tentang adanya malam yang Kami  [Allah] selakkan siang daripadanya, tiba-tiba mereka berada dalam kegelapan [malam].
Apa yang dapat kita fahami di sini ialah, pertukaran malam dan siang yang berlaku di atas muka bumi ini  ialah sebesar-besar bukti tentang kekuasaan Allah [swt] untuk menjadi teladan bagi orang-orang yang mahu berfikir dan mahu memahami tentang kekuasaan Allah [swt].

Saudara-saudaraku sidang hadirin sekalian,

Pada malam ini dan juga pada saat ini, Allah [swt] sekali lagi memperlihatkan kepada kita semua akan keesaan dan kekuasaanNya, iaitu fenomena Gerhana Bulan Penuh yang dapat dilihat oleh kita di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara. Kejadian seperti ini akan menambahkan lagi keimanan kepada Allah buat mereka yang beriman. Ketika hayat Baginda Nabi [saw] pernah berlaku gerhana matahari ketika mana anak Baginda Nabi [saw] iaitu Sayyidina Ibrahim, anak dari perkahwinan Baginda Nabi [saw] dengan Sayyidatina Maryah al-Qibtiyyah, meninggal dunia pada tahun ke 10 hijrah iaitu ketika berusia 16 bulan 8 hari menurut satu pandangan, maka ada cakap-cakap di kalangan para sahabat bahawa gerhana matahari tersebut berlaku disebabkan kematian Ibrahim. Lalu Nabi [saw] bersabda yang bermaksud;

“Bahawasanya matahari dan bulan itu adalah dua tanda daripada segala tanda yang menunjukkan akan keesaan dan kekuasaan Allah [swt], tiada gerhana keduanya kerana mati seseorang atau kerana hidupnya. Maka apabila kamu lihat akan yang demikian itu, maka hendaklah kamu sembahyang hingga hilang gerhana tersebut”. [1]

Saudara-saudaraku sekalian,

Menjadi kepercayaan karut di sisi masyarakat Arab jahiliyyah sejak sekian lama, kononnya apabila berlakunya fenomena gerhana matahari atau bulan, maka mereka beranggapan bahawa ianya ada kaitan dengan kematian seseorang ataupun kekalahan tentera mereka di dalam peperangan. Maka Nabi [saw] menegaskan bahawa ianya tidak ada kaitan dengan mati atau hidup seseorang, tetapi ianya adalah salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan Allah [swt].

Peristiwa gerhana ini sudah tentu menyebabkan rasa takut dan gerun di dalam hati setiap kita sebagai hamba kepada Allah [swt]. Maka dengan sebab itulah Allah memerintahkan kepada kita melalui lidah RasulNya supaya kita melakukan solat sunat gerhana, berdoa, beristighfar, dan bersedekah bagi menghilangkan rasa takut dan gerun di dalam hati kita dengan sebab fenomena ini. Kata ulama’, mula disyariatkan solat gerhana matahari pada tahun kedua hijrah Nabi [saw], manakala solat sunat gerhana bulan pula mula disyariatkan pada bulan Jamadil Akhir, tahun kelima hijrah Nabi [saw] menurut pandangan yang rajih.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa [ra] katanya;

“Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi [saw] , lalu Baginda bangun berdiri dalam keadaan terkejut bimbang [takut] berlakunya qiamat sehinggalah Baginda tiba ke masjid, lalu Baginda berdiri untuk bersolat dengan sepanjang-panjang qiyam dan rukuk dan sujud. Aku tidak pernah sama sekali melihat Baginda melakukan sedemikian dalam solatnya yang lain. Kemudian Baginda bersabda, “sesungguhnya tanda-tanda ini yang diutuskan oleh Allah, tidaklah berlaku disebabkan kematian seseorang ataupun hidupnya, akan tetapi Allah mengutuskannya untuk menimbulkan rasa takut dalam hati hambanya kepadaNya. Maka apabila kamu lihat yang demikian, maka bangunlah bersegera untuk mengingatiNya [dengan solat], berdoa dan beristigfar kepadaNya”. [2]

Saudara-saudaraku sekalian,

Fenomena gerhana ini juga membuktikan kepada kita bahawa seluruh makhluk Allah [swt] yang ada di bumi dan di langit, samada Malaikat, jin dan manusia dan juga lain-lainnya, kesemuanya sujud dan patuh kepada perintah Allah. Mereka tidak pernah membantah apa yang telah disusun dan diatur oleh Allah kepada mereka. Di sana ada dua macam cara ketaatan dan kepatuhan makhluk kepada Allah kata ulama’;

1.    Menyembah Allah secara tunduk, taat dan beribadat. Inilah cara kepatuhan Malaikat, jin dan manusia kepada Allah.

2.    Menyembah secara menghambakan diri dengan patuh kepada perintahNya dan mengikut setiap peraturan yang ditetapkan olehNya tanpa mengingkari dan menyalahinya peraturanNya. Inilah cara bagi makhluk seperti matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pohon kayu dan sebagainya sujud dan patuh kepada Allah [swt]. [3]

Firman Allah [swt] pada ayat yang ke-18 dalam surah al-Hajj,

ألم تر أن الله يسجد له من فى السموات ومن فى الأرض والشمسُ والقمرُ والنجومُ والجبالُ والشجرُ والدوآبُّ وكثيرٌ من الناس ، وكثيرٌ حقَّ عليه العذابُ ، ومن يُهِنِ اللهُ فما له من مُكْرمٍ ، إن الله يفعل ما يشاءُ .

Yang bermaksud : “Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah itu disembah oleh makhluk yang ada dilangit dan juga di bumi, matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pohon-pohon kayu, binatang-binatang, dan ramai dari kalangan manusia, dan ramai pula di kalangan manusia yang sudah pasti akan menerima azab seksaan. Dan sesiapa yang dihinakan oleh Allah, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki”.

Saudara-saudara sidang jamaah sekalian,

Marilah sama-sama kita insafkan diri kita. Sedarlah bahawasanya kedatangan kiamat sudah terlalu hampir dengan kita. Pelbagai tanda-tanda kecil kiamat sudah pun diperlihatkan oleh Allah [swt] kepada kita semua sebagai amaran dan peringatan untuk kita semua supaya segera kembali bertaubat kepadaNya. Bukan masanya lagi untuk kita terus melekakan diri kita dengan mainan dunia. Bukan masanya lagi untuk kita terus melalaikan diri kita dengan tipuan dunia. Marilah sama-sama kita bermuhasabah, menghitung amalan kita masing-masing apakah bekal yang nak kita bawa ke akhirat nanti sudah benar-benar mencukupi ataupun sebaliknya. Kembalilah kita patuh dan tunduk menjunjung setiap perintah Allah ke atas kita, sebagaimana makhluk-makhluk yang lain juga sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah [swt]. Beruntunglah mereka yang sudah cukup bekalannya, tetapi rugilah mereka yang mati dalam keadaan tidak ada bekalan yang dibawa bersama-sama.

أعوذ بالله من الشيطن الرجيم
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون
 
Yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu semua kepada Allah, dan hendaklah setiap daripada kamu melihat apakah [bekalan] yang telah dia sediakan untuk hari esok [kiamat], dan bertaqwalah kamu semua kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan”. 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

  

Khutbah Kedua

الحمدُ لله الذى خلق الشمس ضياء والقمر نورا ، وأشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له ، وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه ، اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين.
أما بعد ، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر.  
فقال تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن الله خبيرٌ بما تعملون.
Sidang jamaah yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal baik kita dari masa ke semasa, lebih-lebih lagilah pada saat-saat seperti ini sebagaimana yang disarankan oleh Baginda Nabi [saw] kepada kita. Tidak ada sesiapa yang akan dapat menolong dan membantu kita di akhirat sana melainkan amal baik yang telah kita kerjakan semasa hidup kita di dunia ini. Seperti mana kata Nabi [saw], orang yang bijak ialah mereka yang sentiasa bermuhasabah akan dirinya serta memastikan dirinya sentiasa mematuhi perintah Allah serta beramal dia untuk kehidupan selepas daripada kematiannya [akhirat]. Manakala orang yang jahil atau bodoh ialah mereka yang sentiasa mengikut kehendak hawa nafsunya serta melanggar perintah Allah [swt] dalam masa yang sama dia berangan-angan untuk mendapat syurga dan kehidupan yang bahagia di akhirat sana. [4]

وقال تعالى :  إن الله وملائكته يصَلون على النبي، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين. وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين   ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات إنك سميع قريب مجيب الدعوات وقاضي الحاجات  ، وألف بين قلوبهم ، وأصلح ذات بينهم ، وانصرهم على عدوك وعدوهم ،  اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين وأن تُعْلِى بفضلك كلمة الحق والدين ، اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.

عبادَ الله ، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي ، يعظكم لعلكم تذكرون ، فاذكروا الله العظيم يذكركم ، واشكروه على نعمه يزدكم ، واسئلوه من فضله يعطكم ، ولذكر الله أكبر ، واللهُ يعلم ما تصنعون .   



[1] _Hadis riwayat Imam Muslim. Rujuk kitab Bughuyah al-Thullab, juzuk 1, m/s : 234
[2] _Hadis Muttafaqun `Alaih. Rujuk www.al-eman.com
[3] _Tafsir al-Quran di Radio `Abru al-Asir, Juzuk 17, m/s : 3168
[4] _Penawar Bagi Hati, m/s : 66

1 comment:

  1. Yuk Gabung Bersama Kami Hanya di RoyalQQ

    Minimal Deposit Hanya Rp 15.000

    RoyalQQ juga membagikan Bonus TO 0.5% SETIAP HARI!

    HADIA JACKPOT Menanti anda^^

    Daftarkan segera hanya di RoyalQQ

    LINK : https://goo.gl/dQPyud

    ReplyDelete