Wednesday 23 October 2013

Khutbah : Sekat Bukan Berubat



الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.(الحشر 18  )

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan lebih-lebih lagi kepada diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t selain daripada ketaqwaan kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،ƒ

Maksudnya : Dan sesiapa yang berpaling (yakni ingkar daripada ingatan dan petunjukKu) maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Dan Kami akan himpunkannya pada hari qiamat dalam keadaan buta matanya. (Pada hari itu) dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya celik ketika di dunia?” Allah berfirman : “ Demikianlah keadaannya di mana (ketika di dunia dahulu) telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu tetapi engkau melupakan serta meninggalkannya (tidak percaya). Dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.
                                                   (Thaha 124-126)

Manusia yang mahukan ketenangan dalam hidupnya di dunia dan juga kejayaan di akhirat adalah manusia yang sentiasa memastikan hidupnya berada di bawah petunjuk Allah s.w.t tidak kira samada ketika hidupnya senang ataupun susah, ketika dia kaya atau miskin, ketika dia sihat atau sakit dan ketika dia lapang ataupun sibuk. Manakala manusia yang terus menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan akan sentiasa hidup dalam keadaan keluh kesah dan jauh daripada ketenangan yang diidamkan walaupun pada hakikatnya dia memiliki segala-galanya termasuk harta yang bertimbun-timbun, pangkat kedudukan yang tertinggi serta pengikut yang berduyun-duyun.

Pada hari ini umat manusia seolah-olah menjadi hamba kepada harta sehingga tidak lagi menghiraukan peraturan-peraturan Allah s.w.t tentang halal dan haram, dosa dan pahala, syurga dan neraka asalkan poket dapat dipenuhkan dan nafsu dapat dipuaskan. Sebagai manusia yang mengucap dua kalimah syahadah, kita patut sedar bahawa harta adalah rezeki daripada Allah s.w.t di mana harta yang kita miliki ini ada kemampuan yang amat terbatas. Harta yang diperolehi dengan cara yang halal dan dilaburkan kepada perkara yang halal maka ianya boleh memberikan pulangan pahala dan balasan yang baik kepada tuannya, tetapi jika disalahgunakan harta tersebut maka harta tersebut boleh mendatangkan dosa dan kemudharatan kepada pemiliknya. Semua kita sedar bahawa harta bukanlah segala-galanya walaupun banyak daripada urusan dan hajat kita memerlukan kepada harta. Di antara kelemahan-kelemahan harta yang mungkin kita tidak sedar ialah :

1. Dengan harta kita mampu membeli sebanyak mungkin kitab atau buku-buku yang penuh dengan ilmu pengetahuan, tetapi dengan harta tidak ada sesiapa pun yang mampu membeli akal fikiran dan kecerdikan untuk memahami isi kandungan kitab atau buku tersebut.
2.   Dengan harta kita mampu membeli makanan yang murah ataupun mahal, tetapi dengan harta tidak ada seorang pun manusia yang mampu untuk membeli selera makan bagi menikmati makanan tersebut sehingga kadang-kadang makanan yang sedap pun dirasakan tawar.
3. Dengan harta kita mampu untuk membeli emas dan perak sebagai perhiasan tetapi dengan harta kita tidak mampu untuk membeli kecantikan dan keindahan budi bahasa.
4.   Dengan harta kita mampu untuk membeli ubat-ubatan ketika sakit bahkan kita juga mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta yang mahal bayarannya, tetapi dengan harta kita sama sekali tidak mampu untuk membeli kesihatan dan kesembuhan penyakit.
5.   Dengan harta kita mampu untuk mencari hiburan dan keseronokan tetapi dengan harta kita sama sekali tidak mampu membeli ketenangan dalam  kehidupan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
           
Antara maksud Zikr atau peringatan Allah yang tersebut pada ayat 124 dalam surah Thaaha yang dibacakan sebentar tadi yang pertamanya ialah al-Quran sebagaimana Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Hijr,
  
Maksudnya :  Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kami benar-benar memeliharanya.                               (al-Hijr 9)           

Berapa ramai di kalangan umat Islam kini yang buta al-Quran bahkan tidak pernah merasa bersalah dan rugi sedikitpun sekalipun mereka tidak mampu membaca Kitab Allah ini. Golongan yang pandai serta mahir membaca pula kadang-kadang tidak menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan pilihan harian atas alasan sibuk, kalut, takdan dan sebagainya, sedangkan waktu untuk membaca update-update terkini di laman facebook, whassap, twitter dan akhbar-akhbar sentiasa pula diperuntukkan. Ada juga kalangan kita yang membaca al-Quran tetapi tidak faham maksud al-Quran sehingga segala perintah atau larangan Allah hanya sekadar dibaca dan dilagukan sahaja. Bilakah kemenangan dan kemuliaan umat Islam dapat dicapai sekiranya kita sendiri yang bertindak menjauhkan diri daripada al-Quran sedangkan al-Quran itulah yang merupakan ubat penawar yang paling mujarab dalam menangani pelbagai penyakit umat manusia. Apa yang lebih malang lagi ialah apabila ada kalangan umat Islam sendiri yang sanggup bangun untuk menentang perintah dan larangan al-Quran.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah
           
Maksud kedua bagi Zikr ialah ilmu agama, sebagaimana Firman Allah dalam ayat 43 surah an-Nahlu : 
Ÿ
Maksudnya : Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrikin) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya.                                    (an-Nahlu 43)

Umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah tetapi jahil tentang agama mereka sendiri sudah pasti akan terlibat dengan perkara-perkara munkar dan jenayah. Begitu juga golongan yang 'meluat atau benci' terhadap golongan ulama' ataupun pengajian-pengajian yang berteraskan Islam akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merbahaya dan merosakkan. Gejala keruntuhan akhlak yang pada hari ini menjadi barah dalam masyarakat adalah berpunca apabila anak-anak kita yang belajar di sekolah pada peringkat awal lagi sudah tidak ditanam nilai-nilai keislaman dalam diri mereka.

Berapa sangat masa yang diperuntukkan dalam jadual pengajian harian mereka pelajaran-pelajaran agama berbanding masa yang diperuntukkan untuk aktiviti-aktiviti yang lain. Apabila peranan agama dibelakangkan dalam kehidupan kita serta golongan ulama' diketepikan maka kita seolah-olah menjadi penyebab kepada berkembangnya kejahilan dalam masyarakat, dan sudah pastinya masyarakat yang ada akan hidup dalam suasana yang dipenuhi dengan jenayah disebabkan jauhnya kita daripada petunjuk agama.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
           
Maksud ketiga bagi Zikr ialah solat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Jumaah :
  

Maksudnya : Maka apabila telah diseru bagi mendirikan solat pada hari Jumaat maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan olehmu akan jualbeli.                                        (al-Jumuah 9)
               
Pada hari ini akibat ceteknya ilmu agama maka umat Islam semakin berani melawan perintah Allah s.w.t dengan meningalkan dan mengabaikan solat yang merupakan tiang dalam agama Islam. Sebagai seorang pemimpin dalam sebuah keluarga, masyarakat mahupun Negara kita sepatutnya lebih runsing sekiranya anak-anak ataupun rakyat yang kita pimpin tidak solat dan masjid-masjid menjadi semakin kurang ahli jemaahnya walaupun masjid-masjid pada hari ini dibina dengan begitu indah dan menelan kos jutaan ringgit. Apa yang berlaku hari ini ialah ibu bapa lebih runsing dan pening kepala jika anak-anak mereka gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak pernah risau jika anak-anak tidak pernah solat ataupun menutup aurat. Solatlah yang akan menjamin seseorang itu selamat daripada perkara-perkara keji dan munkar. Tidak akan berlaku masalah zina, ragut, rasuah, bunuh dan sebagainya jika masyarakat yang ada pada hari ini adalah masyarakat yang mendirikan solat dalam kehidupan mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Maksud keempat bagi Zikr ialah zikrullah dengan banyak menyebut nama Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ahzab,
  
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.
      (al-Ahzab 41)           

Akibat hati yang dipenuhi dengan lagu-lagu dan irama-irama syaitan serta hiburan yang melampau, dan lidah pula sentiasa dibasahi dengan penghayatan muzik-muzik yang melalaikan maka ianya telah menyebabkan hati menjadi mati dan jauh daripada petunjuk Allah s.w.t. Apabila hati seseorang itu telah mati, maka apa jua nasihat, hidayah mahupun ilmu pengetahuan tidak akan bertapak di dalam hati seperti ini. Realitinya sebahagian besar kehidupan kita pada hari ini dipenuhi dan disumbat dengan suasana hiburan yang melalaikan samada melalui televisyen, majalah, akhbar dan sebagainya.

Maksud kelima bagi Zikr ialah peringatan atau nasihat sebagaimana Firman Allah dalam ayat  55 surah az-Zaariyat :
  
Maksudnya : Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang  yang beriman.
           
Kegagalan kita untuk membudayakan amalan nasihat-menasihati kearah kebaikan dalam masyarakat pada hari ini, maka ianya telah menyebabkan kehidupan kita menjadi rosak dan terus bertambah rosak. Budaya "jangan menjaga tepi kain orang lain" terlalu kuat diamalkan oleh masyarakat kita hinggakan kadang-kadang maksiat dan jenayah dilakukan di hadapan mata kepala kita, tetapi kita lansung tidak ambil peduli atau berusaha untuk menghalangnya. Apa yang perlu dilakukan oleh kita pada hari ini ialah sekat sebelum ianya melarat dan berubat sebelum ianya merebak. Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud,
  

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


الخطبة الثانية :
الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر. أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له. وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه. اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين.
أما بعد، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر. فقال تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن الله خبيرٌ بما تعملون.

وقال تعالى :  إن الله وملائكته يصَلون على النبي، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين. وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين   ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات إنك سميع قريب مجيب الدعوات، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين وأن تُعْلِى بفضلك  كلمة الحق والدين. اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.

وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه، وولىَّ عهده سموَّ الأمير تنكو الحاج عبد الملك بن المرحوم السلطان بدليشه. اللهم امنحنهما الرشاد ووفقهما للسداد وأصلح بهما العباد والبلاد واجعل التقوى لهما خير زاد، إنك رؤوف رحيم جوَاد يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين.

عبادَ الله ، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم، واشكروه على نعمه يزدكم واسئلوه من فضله يعطكم، ولذكر الله أكبر ,اللهُ يعلم ما تصنعون.    

No comments:

Post a Comment