Wednesday 2 October 2013

Khutbah : Pengorbanan Agung



اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ مَنَحَ أَحْبَابَهُ حَلاَوَةَ الطَّاعَةِ، وَعَصَمَهُمْ مِنَ اللَّغْوِ وَاللَّهْوِ وَالإِضَاعَةِ، وَدَعَاهُمْ اِلَى حَجِّ بَيْتِهِ فَأَقْبَلُوْا عَلَيْهِ بِالإِسْتِطَاعَةِ، فَنَالُوْا بِذَلِكَ النَّعِيْمَ الْمُقِيْمَ. أَحْمَدُهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالىَ حَمْدَ مَنْ حَمِدَ اللهَ، فَأَسْبَغَ عَلَيْهِ جُوْدَهُ وَإِنْعَامَهُ، وَأَشْكُرُهُ شُكْرَ مَنْ أَخْلَصَ للهِ حَجَّهُ فَصَانَ قِيَامَهُ، فَوَقَاهُ اللهُ عَذَابَ الْجَحِيْمِ.  

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى هَذاَ النَّبِيِّ الْكَرِيْمِ، سَيِّدِنَا وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.      
أما بعد، فياعِبَادَ الله، إِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ، وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan lebih-lebih lagi kepada diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT selain daripada ketaqwaan kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada tahun ke sembilan hijriah, satu ketetapan telah diisytiharkan kepada masyarakat Arab Mekah pada ketika itu, iaitu mengenai perhubungan diplomatik antara masyarakat  Islam dan bukan Islam. Kota Makkah telah diisytiharkan dengan rasminya pada tahun tersebut sebagai tanah haram. Maka tidak lagi dibenarkan kepada musyirikin Quraisy untuk menziarahi Baitillahi Al-Haram. Serentak dengan ketetapan ini, Kota Makkah dan juga kawasan-kawasan di sekelilingnya telah dibersihkan daripada perkara-perkara syirik. Manakala kalimah tauhid telah ditegakkan dengan gagahnya di bawah naungan Ka’bah dengan satu pemerintahan Islam di bawah pimpinan Baginda Nabi SAW.

Kota Makkah yang selama ini digelapkan dengan kebiadapan dan peradaban liar telah diganti dengan sinar Islam dan peradaban yang penuh hidayah dan berakhlak. Undang-undang  dan  peraturan yang dicipta dan direka oleh fikiran dan hawa nafsu manusia kini telah ditukar ganti dengan undang-undang  dan peraturan syariat Allah SWT. Kota Makkah diberi gelaran kota suci yang telah bersih dari sebarang bentuk syirik dan kekufuran yang selama ini membanjiri Kota Makkah dan sekeliling Ka’bah. Laungan " Allah Akbar " dan talbiah " لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ " berkumandang di segenap penjuru kota Makkah. Firman Allah SWT,

Yang bermaksud : "Apabila datang pertolongan dari Allah dan kemenangan, dan engkau melihat manusia secara beramai-ramai masuk ke agama Allah. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya sesungguhnya Tuhanmu sangat-sangat  menerima taubat daripada hambaNya".                                                                                              
( Surah al-Nasr : 1-3 )

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

I’dil Adha yang bakal disambut seluruh umat Islam beberapa hari lagi tidak dapat dipisahkan daripada ibadah korban.  Ibadah ini juga merupakan kemuncak  ketaqwaan seorang hamba kepada Penciptanya. I’dil Adha juga sebenarnya merupakan sambutan ulang tahun pelancaran gerakan tahunan korban yang telah dimulakan sejak ribuan tahun dahulu oleh Nabi Allah Ibrahim AS. Peristiwa ini bermula dengan pergorbanan Nabi Allah Ibrahim AS ketika Baginda hendak menyembelih anaknya  Nabi Allah Ismail AS, dan inilah pengorbanan teragung yang tercatat dalam lipatan sejarah manusia.

Telah  diketahui bahawa Nabi Allah Ismail AS adalah merupakan anak kesayangan Nabi Ibrahim, dan Baginda dikurniakan Ismail dalam usia Baginda yang telah lanjut. Tetapi apabila diperintahkan oleh Allah SWT supaya Ismail dikorbankan, Nabi Ibrahim dengan rela bersedia melaksanakan tugas ini, dan Nabi  Ismail sebagai anak pula penuh kerelaan dan sabar menurut perintah Allah SWT. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah SWT melalui firmanNya,
  

Yang bermaksud : " Maka tatkala  anaknya ini sampai  (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata : " Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? anaknya menjawab : " Wahai ayah, jalankanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang  yang bersabar. Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (kami sifatkan Ibrahim dengan sesungguhnya telah menjalankan perintah kami), serta kami menyerunya : “Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". demikianlah  sebenarnya kami membalas orang-orang  yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya  perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang sebenar ".
( Surah al–Shaafat ayat : 102 - 107)

Peristiwa kepatuhan  Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih putera kesayangannya, dan kepatuhan Nabi Ismail AS untuk dikorbankan oleh bapanya sendiri telah memaparkan kekuatan iman dan keteguhan mental yang perlu kita contohi. Peliharalah iman di dalam dada kita dengan sebaiknya kerana sesungguhnya iman adalah dasar penting yang menjadi paksi kehidupan manusia. Ia juga merupakan asas pemerimaan sesuatu amalan di sisi Allah SWT. 

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang berbahagia,

Sejarah pengorbanan agung itu tidak tertinggal dalam lipatan sejarah sahaja, malah ianya terus dihayati sepanjang zaman demi menegakkan agama Ilahi. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW bersama para sahabatnya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam juga adalah pengorbanan yang cukup tinggi nilainya. Baginda dan para sahabat telah mempertahankan Islam bukan sahaja dengan harta benda dan kekayaan mereka, bahkan mereka juga turut mengorbankan nyawa mereka. Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, para sahabat terus menerus mempertahankan Islam dengan nyawa dan darah mereka.  Begitulah sepanjang zaman, dan sehingga kini ramai yang telah syahid kerana mempertahankan kesucian agama Allah.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Mereka yang berjaya sebenarnya ialah mereka yang sanggup melakukan pergorbanan. Sanggup berkorban masa, wang ringgit,  jiwa raga, kepentingan diri, perasaan dan sebagainya kerana kejayaan dan kecemerlangan itu tidak akan datang dengan mudahnya, sebaliknya tanpa pergorbanan sesuatu kejayaan dan kecemerlangan itu tidak mungkin akan dapat dicapai. Jelaslah kepada kita tentang falsafah dan kepentingan pergorbanan. Ingatlah bahawa sesungguhnya kejayaan dan kecemerlangan dalam apa jua bidang sekalipun tidak akan dapat dicapai melainkan setelah kita sanggup dan bersedia untuk berkorban.

Memang sukar untuk digambarkan bagaimana hebatnya peribadi manusia yang sanggup mengorbankan seluruh harta benda, nyawa dan darah mereka demi Allah SWT, tetapi inilah hakikat yang berlaku. Saidina Abu Bakar RA pernah mengorbankan kesemua hartanya semata-mata untuk Islam dan umatnya, sehinggakan Rasulullah SAW bertanya kepada beliau,

" مَا تَرَكْتَ لِعِيَالِكَ؟، تَرَكْتُ لَهُمْ اللهَ وَرَسُوْلَهُ. "

Yang bermaksud : "  Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?    " lalu  jawab Abu Bakar : " Aku tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya " .  

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Di kesempatan ini juga mimbar ingin menyeru kepada mereka yang berkemampuan, marilah sama-sama kita memeriahkan lagi kedatangan I’dil Adha pada kali ini dengan sama-sama melaksanakanlah ibadah korban dalam usaha mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Tidak ada ibadah lain yang paling disukai oleh Allah pada hari raya korban selain menumpahkan darah sembelihan korban ke bumi. Lakukanlah ibadah korban ini dengan penuh keikhlasan agar ianya tidak sia-sia dan diterima oleh Allah SWT sebagai amal yang soleh. Semoga semangat pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Nabi Allah Ismail, dan juga semangat pengorbanan junjungan besar kita Nabi Muhammad SWT bersama para sahabat dan pejuang-pejuang Islam akan menjadi ikutan dan pedoman kita semua dalam usaha kita untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam apa jua lapangan dan bidang yang kita ceburi.

Yang bermaksud : Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi apa yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya, dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada mereka yang berusaha supaya baik amalnya.(al-Hajj 37)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ  بالقُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


No comments:

Post a Comment