Saturday 12 January 2013

Khutbah : Dunia Oh Dunia !


اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى خَلقَ الموْتَ وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Yang bermaksud : Wahai umat manusia, bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari itu kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan), tiap-tiap ibu yang menyusu akan melupakan dan meninggalkan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan mengugurkan anak yang dikandungnya, dan engkau akan melihat manusia seolah-olah dalam keadaan mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah pada hari itu amatlah berat lagi mengerikan.                                     (al-Hajj 1 & 2)

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Dalam peristiwa Isra' dan Mi’raj, Nabi s.a.w telah diperlihatkan oleh Allah s.w.t tentang gambaran umur dunia pada ketika itu. Dunia digambarkan seperti seorang wanita tua yang bongkok sedang memakai perhiasan. Wanita tua yang bongkok ini walaupun telah berada dihujung usianya namun masih kelihatan cantik kerana  disolek dan dihiasi dengan berbagai hiasan yang mahal dan indah. Namun hakikat yang sebenarnya, batang tubuh wanita tua ini telah menjadi lubuk pelbagai jenis penyakit kronik sejak sekian lama. Ibarat telur dihujung tanduk atau retak menanti belah. Pada bila-bila masa sahaja wanita tua ini akan menemui ajalnya. Begitulah gambaran yang telah diperlihatkan oleh Allah s.w.t kepada Baginda Nabi s.a.w tentang usia dunia bagi memberitahu kepada Baginda dan umatnya bahawa dunia ini telah hampir kepada kiamatnya. Namun kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah berlakunya tanda-tanda kiamat dan di antara tanda yang paling besar ialah kebangkitan Nabi s.a.w sebagai Rasul dan Nabi yang terakhir. Ianya akan diiringi dengan berbagai tanda lain sama ada kecil ataupun besar, dan ada di antara tanda-tanda kiamat yang telah pun berlaku dan sedang berlaku serta akan berlaku. 

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

2008 telah mencatatkan satu lagi sejarah hitam buat masyarakat di Vietnam khususnya apabila ratusan ribu rakyatnya menjadi korban taufan Nargis. Suami kehilangan isteri, ayah kehilangan anak, anak-anak yang dulunya beribu dan berayah kini menjadi yatim piatu, bahkan mereka yang terselamat pula belum tentu dapat meneruskan hidup mereka disebabkan ancaman pelbagai jenis penyakit yang merbahaya serta kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Selang beberapa hari kemudian dunia sekali lagi dikejutkan dengan gempa bumi yang kuat melanda negara China dan mengorbankan hampir 100 ribu rakyatnya. Kini, belum pun hilang trauma gempa bumi tersebut, lebih daripada 1.27 juta masyarakat Cina sudah diarahkan berpindah untuk meninggalkan kediaman masing-masing akibat daripada ancaman banjir besar yang dijangka menenggelamkan kampung halaman mereka. Juga dilaporkan hampir 5.76 juta penduduk di 17 bandar yang lain kini terdedah kepada bahaya banjir yang terbesar itu.

Negara kita Malaysia juga tidak terlepas daripada mengalami berbagai bencana alam akhir-akhir ini walaupun tidak sedahsyat apa yang dialami oleh Myanmar dan China, bencana Tsunami kira-kira 4 tahun yang lalu masih segar dalam ingatan kita, kejadian banjir besar di Johor dan juga beberapa negeri yang lain beberapa tahun yang lalu, gegaran gempa bumi yang masih dirasai hingga kini serta berbagai jenis ancaman-ancaman yang lain, ini semua adalah simptom ataupun gejala yang lahir daripada kesakitan yang dialami oleh dunia yang telah tua usianya sejak puluhan ribu tahun dahulu, dan nampaknya sakit yang dialami oleh dunia semakin kuat akhir-akhir ini. Dunia ini bagaikan wanita tua yang pernah jelita dan digilai oleh pemuda-pemuda ketika zaman mudanya dahulu, namun sekarang dia sedang terbaring nazak sambil memandang kelangit serta memerhatikan gelagat manusia yang masih gila mengutip kekayaan di hujung usianya seolah-olah mereka tidak tahu yang dia bakal menemui hari kehancurannya pada bila-bila masa sahaja. 

Keadaan yang sama akan berlaku terhadap tubuh badan kita. Akan ada beberapa anggota yang akan menjadi lemah dan mungkin lumpuh menjelang hari tua kita nanti. Ada beberapa tempat di muka bumi ini yang telah kering hasilnya, lumpuh atau 'mogok' dan enggan berfungsi seperti biasa untuk menumbuhkan pohonan hijau merendang serta mengalirkan air yang bersih untuk manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Jangan kita fikir manusia sahaja yang pandai melancarkan mogok dan berpiket. Bumi yang kita pijak ini juga akan melancarkan mogok atau tidak mahu bekerja seperti biasa. Buktinya telah dapat kita lihat pada hari ini bagaimana ratusan ribu manusia menjadi korban ribut taufan, gempa bumi, kekurangan hasil tanaman dan sebagainya. Ini di antara mogok ataupun piket yang telah dilancarkan oleh bumi mungkin disebabkan oleh usianya yang telah tua dan mungkin juga disebabkan oleh kerakusan tangan-tangan manusia itu sendiri. 

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Kesan daripada mogok atau piket yang telah dilancarkan oleh bumi yang kita pijak ini semakin dapat kita rasai kesannya pada hari ini apabila seluruh penduduk bumi kini berhadapan dengan krisis kekurangan makanan yang agak membimbangkan. Kita juga terpaksa berhadapan dengan krisis kenaikan harga petrol dan diesel yang mendadak yang mungkin akibat kekurangan hasil dari perut bumi dan mungkin juga disebabkan oleh faktor-faktor yang lain. Akibatnya, kita terpaksa membayar harga yang berlipat kali ganda demi untuk mendapatkan makanan serta keperluan lain berbanding satu ketika dahulu. Kehidupan semakin hari menjadi semakin susah. Rakyat semakin terhimpit. Namun suka ataupun tidak, setuju ataupun membantah itulah hakikat yang terpaksa kita hadapi sekarang.

Berbagai punca dan sebab berlakunya krisis makanan dan harga bahan bakar hangat diperdebatkan. Antaranya ialah keadaan cuaca yang tidak menentu, kawasan yang dahulunya penuh dengan hasil bumi tetapi kini telah berkurangan, kawasan yang dulunya subur kini tidak lagi sesuai untuk dijadikan kawasan pertanian, kenaikan harga bahan bakar di pasaran antarabangsa. Namun apa pun jua sebab dan puncanya, perlu kita ingat bahawa dunia ini telah terlalu tua usianya dan mana mungkin ianya dapat berfungsi seperti dahulu kala dan sudah semestinya produktivitinya semakin berkurangan berbanding satu ketika dahulu.

Krisis makanan yang sedang kita hadapi ini juga merupakan satu ujian yang telah pun dijanjikan oleh Allah s.w.t melalui firmannya,

Yang bermaksud : Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa, serta kekurangan hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada mereka yang sabar, (Iaitu) mereka yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali." Mereka itulah golongan yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya, dan mereka itulah golongan yang mendapat petunjuk serta hidayahNya.(al-Baqarah 155-157)

Krisis makanan ini bukanlah perkara baru bahkan pernah berlaku di zaman Nabi Allah Yusuf a.s, tetapi rakyat Mesir pada ketika itu berjaya melaluinya selama 7 tahun apabila nasihat dan tunjuk ajar Nabi Allah Yusuf a.s diguna pakai. Mungkin ini jalan penyelesaian yang terbaik dan perlu kita ambil. Firman Allah s.w.t,

Yang bermaksud : Yusuf berkata: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh selama tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya (yakni simpan hasil tuaian kamu bersama tangkai-tangkainya), kecuali sedikit daripada hasil tuaian itu untuk kamu makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar yang akan menghabiskan bekalan makanan yang kamu simpan itu, kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih bagi penanaman seterusnya). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah dan mengutip (hasil anggur, zaitun dan sebagainya). (Yusuf 47-49)

Mungkin kita sekarang sedang berada di ambang tujuh tahun kemarau yang pernah dilalui oleh masyarakat Mesir ketika hayat Nabi Allah Yusuf a.s. Maka amat perlulah untuk kita berjimat cermat dan beringat-ingat kerana entah bila krisis yang sedang kita lalui ini akan berakhir. Sama-samalah kita menadah tangan memohon kepada Allah s.w.t agar diselamatkan kita semua daripada segala malapetaka dan diamankan kehidupan seharian kita.

Yang bermaksud : Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (yakni bersifat bakhil dan kedekut), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (yakni bersifat boros), supaya engkau tidak tercela lagi sengsara menderita.     (al-Isra' 29)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment