Saturday 12 January 2013

Khutbah : Hari Kekasih Merosakkan Akidah


اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى خَلقَ الموْتَ وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
 
Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan menanti buat mereka yang bertakwa kepadaNya di dunia dan juga di akhirat.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Dalam satu pesanan Baginda Nabi s.a.w pernah mengingatkan kita melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a dengan katanya,

عَنْ أَبِى سَعِيْدٍ الْخُدْرِى رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوْا فِى جُحْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوْهُمْ، قُلْنَا يَا رَسُوْلَ اللهِ ! الْيَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ فَمَنْ؟

Yang bermaksud : Diriwayatkan daripada Abi Sa’id al-Khudri r.a berkata, telah bersabda Nabi s.a.w , “Kamu akan mengikut jejak langkah (atau amalan dan adat-adat) umat-umat yang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu tetap akan mengikuti mereka. Lalu kami bertanya, “Apakah Yahudi dan Nasrani wahai Rasulallah yang engkau maksudkan?” lalu jawap Nabi s.a.w, “Siapa lagi jika bukan mereka”.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Umat Islam kini berhadapan dengan cabaran dan ujian yang semakin mencabar. Biarpun serangan atau penjajahan yang berbentuk ketenteraan dan kekerasan hanya berlaku di negara-negara Islam yang lain dan tidak berlaku di negara kita khususnya, tetapi hakikatnya kita tetap berhadapan dengan berbagai jenis serangan lain yang disebut sebagai serangan pemikiran atau غَزْوَةُ الْفِكْرِ yang mampu merosakkan akidah umat Islam. Antara perancangan musuh dalam usaha merosakkan akidah umat Islam ialah sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai Valentine’s Day yang disambut pada setiap 14 Februari setiap tahun.

Adalah amat penting untuk kita memahami dan mengetahui tentang sejarah bagaimana bermulanya perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day ini. Melalui catatan sejarah meskipun mempunyai pelbagai versi dan riwayat, jelas ianya dapat disabitkan dengan agama Kristian yang menyatakan Valentine’s Day adalah hari untuk memperingati dan mengagungkan kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dihukum bunuh kira-kira akhir kurun kedua Masihi. 

Beliau hidup dalam kerajaan yang dipimpin oleh Raja Claudius yang terkenal dengan sifat kejamnya. Raja Claudius memiliki bala tentera yang besar dan beliau mengerahkan setiap pemuda di bawah pemerintahannya untuk menjadi tentera bagi tujuan mengukuhkan lagi kekuatan yang telah sedia ada. 

Namun hasrat Raja Claudius mendapat tentangan rakyat jelatanya. Para pemuda enggan terlibat dalam kancah peperangan kerana mereka tidak sanggup meninggalkan keluarga dan kekasih-kekasih mereka. Hal ini membuatkan Raja Claudius sangat marah, lalu  diperintahkan supaya diharamkan perkahwinan bagi rakyatnya.
  
Masyarakat menganggap keputusan ini adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan ini adalah undang-undang yang tidak boleh diterima secara fitrahnya oleh mereka, maka St. Valentine yang merupakan paderi besar pada ketika itu menolak undang-undang tersebut dan enggan untuk melaksanakannya. Sebaliknya beliau tetap melaksanakan tugasnya sebagai paderi. St. Valentine berkahwin dengan kekasihnya bahkan dia tetap mengahwinkan pasangan-pasangan yang lain secara rahsia. 

Namun tindakan St. Valentine sampai ke pengetahuan Raja Claudius, lalu beliau ditangkap dan dihumban ke dalam penjara, dan ada yang menyatakan bahawa beliau dijatuhi hukuman mati dengan dipenggal kepalanya. Sambutan Valentine’s Day pada setiap 14 Februari adalah sambutan untuk memperingati hari kematian seorang paderi yang kononnya dianggap sebagai ikon dan lambang pejuang kasih sayang. Beliau dianggap syahid oleh penganut-penganut Kristian sehinggakan namanya banyak digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik kerana mengenangkan jasanya yang besar terhadap agama mereka.

Menurut satu versi yang lain, tanggal 14 Februari dirayakan sempena hari kejatuhan Kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada tahun 1942 Masihi. St. Valentine adalah merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada ketika itu. Dengan jasanya itu maka St. Valentine dianggap sebagai kekasih oleh masyarakatnya. 

Apabila fakta ini sudah dijelaskan, maka masyarakat Islam yang sebelum ini pernah ataupun hendak menyambut Hari Kekasih sepatutnya memahami mengapakah Islam mengharamkan sambutan ini. Ini dijelaskan lagi apabila fatwa tentang pengharaman sambutan Hari Kekasih oleh umat Islam telah pun dikeluarkan beberapa tahun yang lalu di samping pandangan-pandangan peribadi ulama’-ulama’ terkenal bukan sahaja di dalam Negara bahkan di kebanyakan Negara-negara Islam. Alasan yang diberikan adalah kerana sambutan tersebut mempunyai unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta mengagungkan kematian seorang paderi yang dianggap syahid oleh pengikutnya. 

Perayaan Hari Kekasih ini juga boleh mendorong seseorang untuk melakukan maksiat. Buktinya ialah apa yang pernah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada tahun 2000 bahawa pihak berkuasa telah membuat satu serbuan ke atas sebuah ‘parti buih’ yang diraikan tanpa sebarang pakaian oleh muda-mudi Islam bersempena dengan sambutan Hari Kekasih. Pendek kata, umat Islam sama sekali tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t,

Yang bermaksud : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadah secara kamu beribadah. Dan kamu pula tidak mahu beribadah secara aku beribadah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".                                                                  (Al-Kaafirun 1-6)

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang mendakwa kononnya sambutan Hari Kekasih ini hanyalah sekadar budaya dan suka-suka sahaja dan bukannya melibatkan soal akidah. Pendapat sebegini adalah berdasarkan nafsu semata-mata. Namun apa yang amat menyedihkan ialah pada masa yang sama kedapatan juga pihak-pihak yang mempromosikan sambutan hari ini yang mana kumpulan sasarannya adalah golongan belia Islam. Ibarat satu pihak berusaha membina sebuah kota tetapi satu pihak yang lain pula berusaha untuk merobohkan kota yang dibina.

Dalam situasi sosial yang boleh dianggap membimbangkan ini, jalan yang terbaik buat masyarakat Islam hari ini adalah dengan membina kekuatan dalaman yang berlandaskan faktor keilmuan dan keimanan dan bukannya berlandaskan budaya tiru-meniru membabi buta. Namun ada juga yang tetap meraikan Hari Kekasih walaupun setelah mereka mengetahui penjelasan berkenaan isu tersebut. Sudah menjadi kelaziman, mereka yang sedang bercinta atau dilamun penyakit angau akan mengenepikan soal hukum agama asalkan hawa nafsu mereka dapat dipuaskan. Benarlah kata-kata cerdik pandai,

حُبُّكَ لِشَئٍ يُعْمِيْكَ وَ يُصِمُّكَ

Yang bermaksud : Kasih dan cintanya kamu kepada sesuatu itu akan membutakan dan memekakkan kamu.

Jika ada sedikit niat untuk sama-sama kita meraikannya ataupun ada di kalangan kita yang pernah meraikannya maka bertaubatlah dan pohonlah keampunan dari Allah s.w.t. Jangan biarkan diri kita terus diperdaya oleh musuh-musuh Islam dan juga syaitan yang telah bersumpah di hadapan Allah s.w.t untuk memperelokkan dan menghiasi maksiat kepada anak-anak Adam dalam usahanya untuk menyesatkan seluruh keturunan Adam a.s. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t melalui firmanNya, 

Yang bermaksud : Iblis berkata, " Wahai Tuhanku! kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriat keturunannya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya seperti mana aku                                                                                        (al-Hijr 39)                                                                 

Ijma’ ulama’ telah memutuskan bahawa keterlibatan seseorang dalam amalan agama lain adalah salah satu unsur fasik dan boleh merosakkan akidah seseorang muslim.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Realitinya, Islam adalah agama yang adil dan tidak mengongkong, bahkan Islam tidak pernah menghalang hubungan kasih sayang di antara umatnya, tetapi apa yang dituntut oleh Islam ialah kasih sayang itu mestilah  melalui saluran dan cara yang dibenarkan oleh syara’ serta tidak melampaui garis sempadan yang telah ditetapkan.
 

Yang bermaksud : Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang sebenar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
                                                    (al-Baqarah 120)

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments:

Post a Comment