Sunday 10 January 2016

Khutbah : Agama Itu Adalah Nasihat



الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ، 
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،.

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita  bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Sabda Nabi SAW,

عن أبى رقية تميم بن أوس الداري رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه وسلم قال : الدين النصيحة ، قلنا لمن ؟ ، قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم .[1]

Maksudnya : Diriwayatkan daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Daariy RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : “Agama itu nasihat”. Kami berkata, “Bagi siapa?”. Sabda Nabi SAW, “Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi RasulNya, dan bagi Imam (pemerintah) kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka”.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Pada hadis tersebut Rasulullah SAW  menerangkan perkara yang berkenaan nasihat dalam agama. Kata Rasulullah SAW agama itu adalah nasihat. Kenyataan Nabi SAW mencetuskan pertanyaan daripada para sahabat kerana mereka ingin mengetahui kepada siapakah nasihat itu dalam hubungan dengan agama?. Rasulullah SAW menjelaskan kepada para sahabat tentang maksud nasihat. Perkataan nasihat mengandungi maksud supaya yang dinasihati mendapat keuntungan atau faedah serta kebaikan.

Pertamanya Rasulullah SAW menjelaskan bahawa nasihat bagi Allah SWT yang bererti beriman kepadaNya menurut pengertian yang sebenar tanpa mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain. Melaksanakan setiap titah perintahNya serta meninggalkan setiap laranganNya. Mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakanNya dengan menggunakan setiap nikmat pada jalan yang diredhoi oleh Allah SWT.

Keduanya Rasulullah SAW menyebut nasihat bagi kitabnya ialah beriman dengan al-Quran serta kitab-kitab yang diturunkan tanpa meraguinya walaupun satu ayat. Berusaha mempelajari al-Quran serta menjadikan al-Quran sebagai kitab bacaan harian dan panduan serta rujukan dalam kehidupan. Sabda Nabi SAW,
اقرؤوا القرءان فإنه يأتى يوم القيامة شفيعا لأصحابه .

Maksudnya : Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.

Setelah kita mampu untuk membaca al-Quran dengan baik maka ajarkanlah al-Quran kepada orang lain agar mereka juga mampu membaca al-Quran sebagaimana kita. Sabda Nabi SAW,
خيركم من تعلم القرءان وعلمه

Maksudnya : Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada manusia.
 
Seterusnya berusaha untuk memahaminya dan apa yang paling penting ialah mengamalkan serta menegakkan setiap isi kandungannya tanpa meraguinya walau sedikit pun. 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Nasihat yang ketiga adalah untuk untuk Rasulullah SAW iaitu membenarkan risalahnya, beriman dengan semua perkara yang didatangkan oleh Baginda sama ada melalui al-Quran mahupun as-Sunnah. Seterusnya mencintai dan mengasihi Baginda Nabi SAW. Firman Allah SWT,

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [2]

Nasihat untuk Rasulullah SAW selepas kewafatan Baginda menuntut kita semua untuk mengkaji sirah perjalan hidup Baginda Nabi SAW, berakhlak serta beradab dengan akhlak dan adab-adabnya. Begitu juga menolak dan menentang setiap tuduhan jahat yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap keperibadian Rasulullah SAW. Mencintai mereka yang mencintai Baginda dan memusuhi mereka yang memusuhi Baginda SAW.

Seterusnya Baginda menyebut nasihat untuk para imam muslimin. Yang dimaksudkan dengan imam muslimin ialah para pemerintah umat Islam dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh mereka. Termasuk juga dalam pengertian imam muslimin ialah para ulama.

Nasihat untuk golongan ini ialah dengan kita menyukai serta menyokong kebaikan dan keadilan mereka. Bukannya kita mencintai mereka kerana kepentingan peribadi mereka ataupun untuk kepentingan peribadi kita. Bahkan apa yang kita mahukan ialah kebaikan ummah berada di bawah kepimpinan mereka yang adil dan taat kepada Allah dan RasulNya.
Nasihat buat mereka juga bermakna kita menolong mereka selama mana mereka berada ada jalan kebenaran dan memperbetulkan mereka jika sekiranya mereka lari dari jalan yang sebenar. Saidina Umar al-Khattab RA dengan tegasnya menyampaikan ucapan sulungnya sewaktu dilantik sebagai khalifah yang kedua yang antara isi ucapannya ialah,

“Dalam menunaikan tugas ini (sebagai khalifah), kitab suci al-Quran adalah panduanku dan aku akan menuruti jejak langkah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq RA. Sehubungan dengan itu maka aku memerlukan bantuan dari kamu semua. Sekiranya aku di atas jalan yang benar maka turutilah dan taatilah aku, tetapi sekiranya aku menyimpang dari jalan kebenaran maka hendaklah kamu perbetulkan aku agar aku tidak kehilangan arah” [3]
 
Jika umat manusia menjadi seperti tunggul kayu, tidak melaksanakan tugas menasihati dan menegur pemerintah, dan pemerintah pula menjadi toghut (melampau) tidak lagi menerima teguran dan nasihat dari rakyat jelata ini bererti kehinaan, kehancuran dan kekalahan akan menimpa ke atas mereka. Sebagai pemerintah maka apabila dia ditegur sekalipun teguran itu datang dari rakyat atau orang bawahan maka terimalah teguran itu dengan baik jika teguran itu teguran yang benar.

Sejarah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW sendiri bersedia menerima teguran dan nasihat dari para sahabatnya. Sebagai contoh apa yang berlaku dalam peristiwa peperangan Badar al-Kubra. Apabila Baginda Rasulullah SAW memilih kawasan mata air yang paling dekat sebagai kubu mereka lalu seorang sahabat yang bernama al-Hubbab bin al-Munzir RA datang bertemu dengan sambil melontarkan pandangannya, “Ya Rasulallah, apakah tempat yang kita singgah ini telah ditetapkan oleh Allah (wahyu) yang tidak dapat kita pertikaikan lagi atau ianya hanya semata-mata satu pandangan dan strategi kamu dalam peperangan?”, lalu jawap Nabi SAW, “bahkan ianya adalah pandangan dan strategi dalam peperangan”. Lalu tegas al-Hubbab lagi, “Ya Rasulallah, ini bukanlah tempat yang sesuai untuk disinggahi, ayuh bawalah tentera-tentera Islam beredar hingga sampai ke kawasan mata air yang paling hampir dengan kaum Quraisy lalu kita singgah di situ dan kita musnahkan telaga-telaga yang ada di belakangnya. Kemudian kita bina satu kolam yang kita penuhkan dengan air. Nanti kita akan memerangi mereka dalam keadaan kita dapat minum dan mereka tidak dapat minum”. Lalu jawap Nabi SAW, “ wahai Hubbab sesungguhnya kamu telah memberi pandangan yang baik”. Lalu diarahkan tentera Islam ke tempat tersebut. [4]
 
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Yang terakhir kata Nabi SAW, nasihat untuk sekalian kaum muslimin iaitu dengan memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada mereka demi kepentingan serta kebaikan akhirat dan dunia mereka. Apa yang menyedihkan ialah umat Islam hari ini memandang remeh di dalam melaksanakan hak an-Nasihah terhadap saudara Islam yang lain khususnya dalam masalah bekalan mereka menuju ke akhirat. Menjadi tugas kita untuk memperbetulkan apa yang tidak betul dan memperelokkan apa yang tidak elok. Dengan itu an-Nasihah akan berperanan dalam masyarakat Islam sebagai penutup keaiban, penyekat kepada kecacatan, pencegah kemungkaran serta melahirkan kebaikan dan keberkatan dari Allah SWT. 

Walau bagaimanapun, seseorang itu hendaklah memberi nasihat dan menegur saudaranya secara rahsia kerana sesiapa yang menutup keaiban saudaranya maka Allah SWT akan menutup keaibannya. Sebahagian ulama berkata, “Sesiapa yang menegur saudaranya dengan sesuatu perkara yang hanya diketahui olehnya dan saudaranya sahaja, maka itu adalah nasihat. Sesiapa yang menegur saudaranya di hadapan khalayak ramai maka sesungguhnya dia telah mengaibkannya”. [5] 

Fudhail bin I’yadh menegaskan bahawa, “Mu’min yang sebenar ialah mereka yang menutup keaiban dan memberi nasihat, tetapi si jahat ialah mereka yang membuka keaiban dan memalukan saudaranya”.

Dalam sesebuah masyarakat itu ada beberapa golongan yang masing-masing dengan tanggungjawab masing-masing. Ada imam yakni pemerintah atau kerajaan yang dipatuhi, ada pemimpin-pemimpin yang diikuti, ada ulama’-ulama’ yang dituruti dan ada rakyat jelata yang mentaati. Maka semuanya perlu kepada nasihat menasihati, hormat menghormati dan sayang menyayangi agar hidup kita diberkati dan dirahmati.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



[1] Hadis Riwayat Imam Muslim (Hadis ke 7 dalam Hadis 40 Imam Nawawi)
[2] Surah Ali-Imran ayat 31
[3] Umar bin Al-Khattab Pembina Empayar Islam, Tarikuddin bin Haji Hassan MS 138
[4] Ar-Rahiq Al-Makhtum MS 305 Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
[5] Al-Wafi Syarah Hadis 40 Imam Nawawi MS 64

No comments:

Post a Comment