Wednesday 25 December 2013

Khutbah : Tahun Baru, Di manakah Kita?



اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ َإِلهَ إِلاَّالله ُوَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ، َالَمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الصَّادِقُ الْوَعْدُ الاَمِيْنُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوقِيْنَ، وَعَلى أَلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.


أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله،ِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar, kerana taqwa itulah sebaik-baik bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah. Berbahagialah mereka yang bertaqwa kepadaNya, kerana sesungguhnya kebahagian dan kejayaan hidup sama ada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat adalah ditentukan oleh ketakwaan dan keimanan kita kepadaNya.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam surah al-‘Asr:

Maksudnya: Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Hari ini kita berada di penghujung tahun 2013 Masihi. Tahun 2013 akan berlalu pergi meninggalkan kita bersama-sama pelbagai kisah suka duka, pahit manis dalam diari kehidupan kita.  Peralihan hari, minggu, bulan dan tahun meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri manusia samada kesan yang positif seperti bertambahnya bekalan untuk dibawa akhirat, atau meninggalkan kesan yang negatif seperti bertambahnya dosa dan maksiat terhadap Allah SWT yang menjadi penyebab manusia dihumban ke neraka.

Surah al-‘Asr yang dibacakan tadi membayangkan segalanya kepada kita perbezaan yang antara dua golongan manusia. Golongan yang pertama ialah mereka yang mendapat kerugian dan golongan yang kedua pula ialah golongan manusia yang beroleh keuntungan di dunia dan juga di akhirat. Imam as-Syafi’e RH pernah berpesan bahawa, sekiranya manusia berfikir dan memahami mengenai kandungan surah al-Asr, maka ianya sudah mencukupi untuk dia meletakkan dirinya pada jalan yang betul serta menghindarkan dirinya daripada tergelincir ke lembah kerugian. Ibnu Mas’ud RA juga turut meninggalkan wasiatnya yang berbunyi:

“Demi Allah, aku tidak menyesali sesuatu pun sepertimana aku menyesal terhadap suatu hari yang matahari terbit di dalamnya, di mana ajalku semakin dekat sedangkan amalanku tidak bertambah”.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Dunia ini adalah tempat untuk kita menyemai amalan soleh yang mana hasilnya akan kita tuai dan kita petik di akhirat nanti. Dunia hanyalah tempat persinggahan untuk kita mencari bekalan yang nak dibawa ke alam akhirat nanti. Pada suatu hari Baginda Nabi SAW berpesan kepada Abdullah Ibnu Umar RA sambil Baginda memegang bahunya,

أَخَذَ رَسُولُ اللهِ صلی الله عليه وسلم بِمَنْكِبِي فَقَالَ: كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ   - رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ

Maksudnya : Daripada Ibn Umar r.a. katanya : ” Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau (pedagang), atau pengembara (yakni seseorang yang melalui satu jalan). Maka Ibnu Umar berkata : “Jika engkau berada (hidup) di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu-nunggu akan waktu pagi. Dan jika engkau berada (hidup) di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu-nunggu akan waktu petang. (Oleh itu) gunakanlah waktu sihatmu sebelum datangnya waktu sakitmu, dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datangnya waktu matimu. “

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berbeza dengan sambutan tahun baru Hijrah yang biasanya disambut dengan program-program keagamaan, sedangkan sambutan tahun baru Masihi biasanya dipenuhi dengan program-program yang berbentuk maksiat serta melalaikan. Apa yang lebih malang ialah program maksiat ini bukan sahaja diberi galakkan dan kebenaran, malah ianya kadang-kadang dianjurkan sendiri oleh mereka yang beragama Islam. Ini semua hanya akan menambah lagi kerosakan akhlak serta melambakkan lagi kadar jenayah yang akhirnya menjemput bala’ yang dahsyat daripada Allah SWT. Teguran dan nasihat yang diberikan oleh ahli-ahli agama sudah tidak dihiraukan lagi apabila nafsu sudah menguasai diri. Benarlah sebagaimana kata ulama’ bahawa, memberi nasihat kepada manusia yang degil atau ‘ketegaq’ adalah sama seperti memberi emas berlian yang begitu berharga kepada seseorang yang tidak tahu apa-apa nilai barangan tersebut. Allah SWT telah menghantar isyarat kemurkaannya kepada umat seluruh dunia seperti Tsunami pada tahun 2004 dan beberapa siri banjir besar yang melanda tanah air baru-baru ini sebagai peringatan kepada umat manusia untuk kembali ke jalan yang diredhoiNya. Ingatlah pesanan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud: 

“Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam”.

Apa yang lebih malang lagi ialah, akibat daripada ketandusan ilmu agama maka lahirlah lebih ramai manusia yang suka melakukan dosa dan maksiat terhadap Allah SWT kemudiannya berbangga pula dengan perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukannya itu samada melalui percakapannya ataupun melalui penggunaan teknologi maklumat yang ada pada hari ini seperti laman sosial facebook, twitter, whatsapp dan lainnya semata-mata untuk memberitahu kepada dunia tentang maksiat dan dosa yang telah dilakukannya. Mereka tidak sedar bahawa mereka telah melakukan dosa yang besar terhadap Allah SWT dan telah menayang dosa yang mereka lakukan di dunia lagi sebelum ianya ditayangkan semula pada hari akhirat kelak. Sabda Nabi SAW,

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ – متفق عليه

Maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya (dosa-dosa kecil) kecuali orang yang mujaharah (berterang-terangan dalam melakukan dosa) dan termasuk dalam kalangan mujaharah itu adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam harinya, kemudian hingga pagi hari Allah sudah menutupi (mengampuni) dosa tersebut, kemudian dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah berbuat ini dan berbuat itu (dan disebutkan dosanya itu). Padahal Allah SWT sudah menutupi dosanya itu semalaman (dengan diberi keampunan kepadanya), tetapi pada pagi hari esoknya dia membuka semula dosa yang telah ditutup (diampuni) oleh Allah.

Sidang Jumaat moga-moga dirahmati Allah,

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ pada ayat 110-111:
 
Maksudnya : Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (110) Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Ingatlah kita bahawa, di antara bahayanya dosa dan maksiat ialah dicabut cahaya dan seri keimanan dari jiwa seseorang itu, terutamanya apabila seseorang itu melakukan dosa besar. Muka atau wajah yang tidak pernah dibasahi dengan air wudhuk atau tidak pernah sujud kepada Allah SWT akan hilang serinya dan tertutup dia daripada kebenaran sehinggakan dia tahu yang mana yang baik tetapi dia tidak mengikut akan kebaikan, kemudian dia juga tahu yang mana buruk tetapi dia tetap melakukan keburukan itu. Akan dicabut rasa ghairah dari hatinya terhadap amal kebaikan serta tawaran pahala dari Allah, maka tidak nampak pada dirinya kesungguhan yang dia mahukan syurga, dan tidak pula nampak kesungguhan pada dirinya yang dia takut akan neraka.

Dosa dan maksiat membuatkan hati manusia menjadi keras dan degil. Manusia yang banyak melakukan dosa amat susah untuk mendengar serta menerima nasihat-nasihat yang baik. Suka berbalah dan bertengkar, dan tidak menghormati orang lain. Dosa juga menjadi penghalang kepada doa seseorang itu diterima oleh Allah SWT. Terkadang dosa juga menjadi penghalang daripada kita dikurniakan rezeki dan menemui jalan penyelesaian terhadap masalah hidup. Dosa juga menjadi penyebab turunnya bala’ dari Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 187 surah al-A’araf :
   
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari qiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari qiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari qiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

Kedatangan tahun baru 2014 yang akan menjelang tidak berapa lama lagi sepatutnya mampu menyedarkan kita tentang betapa cepatnya masa berlalu pergi dan ini juga bererti bahawa waktu dan saat untuk kita dijemput pulang mengadap Allah SWT sudah semakin hampir. Maka persiapkanlah diri kita dengan amal yang sebanyak mungkin sebagai bekalan kita untuk bertemu dengan Allah SWT yang sudah pasti akan menyoal setiap kita tentang apa yang telah kita lakukan semasa kita hidup. Gunakanlah umur kita ini untuk mencari bekal sebanyak mungkin. Sabda Rasulullah SAW,

لا تزول قدما عبد حتى يسئل عن عمره فيما أفناه ، وعن علمه فيما عمل فيه ، وعن ماله من أين اكتسبه وفيما أنفقه ، وعن جسمه فيما أبلاه .

Yang bermaksud : Tidak berganjak kedua-dua kaki seseorang manusia di hadapan Allah sehinggalah dia selesai disoal dengan beberapa perkara. (Pertama)  disoal tentang umurnya ke manakah dihabiskan umurnya itu (adakah dihabiskan dengan melakukan ketaatan kepada Allah ataupun dihabiskan pada jalan maksiat), (kedua) disoal tentang ilmunya, pada apakah dia beramal ilmu yang dia dapat, (ketiga) disoal tentang harta kekayaannya, dari manakah dia perolehi hartanya itu dan kemanakah dibelanjakan hartanya (adakah pada jalan kebajikan atau jalan maksiat?), (keempat) disoal tentang anggota tubuh badannya, kepada apakah dibinasakan atau digunakan tubuh badannya itu (adakah digunakan anggota tubuh badannya untuk mentaati Allah ataupun untuk menderhakainya?).

Apa yang paling penting ialah marilah sama-sama kita menyertai majlis-majlis ilmu agama samaada di masjid-masjid, surau-surau dan sebagainya. Hanya dengan ilmu manusia akan dapat menilai yang mana baik dan yang mana yang buruk, yang mana yang betul dan yang mana yang sesat. Hidup tanpa ilmu ibarat berjalan di malam hari yang gelap gelita tanpa suluhan cahaya, maka kita terdedah kepada bahaya. Sebaliknya orang yang berilmu hidupnya diterangi cahaya  yang menyuluh kehidupannya untuk dia membezakan antara dosa dan pahala, antara halal dan haram, antara maksiat dan taat dan antara syurga dan neraka.

Yang bermaksud : Wahai orang-orang ang beriman ! apabila diminta kepada kamu melapangkan dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu, dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – akan beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua


الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر. أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له . وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه . اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين .

أما بعد ، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر. فقال تعالى ، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ، يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن الله خبيرٌ بما تعملون.

وقال تعالى :  إن الله وملائكته يصَلون على النبي ، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين . وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين   ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات ، الأحياء منهم والأموات ، إنك سميع قريب مجيب الدعوات ، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين ، وأن تُعْلِى بفضلك     كلمة الحق والدين. اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.

وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه ، اللهم امنحنه الرشاد ووفقه للسداد وأصلح به العباد والبلاد واجعل التقوى له خير زاد، إنك رؤوف رحيم جوَاد ، يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين.

عبادَ الله ، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم ، واشكروه على نعمه يزدكم ، واسئلوه من فضله يعطكم ، ولذكر الله أكبر , واللهُ يعلم ما تصنعون.    

No comments:

Post a Comment