الحمد
لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق، ليظهره على الدين كله ولو كره
المشركون، أشهد أن لآ إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا
محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا ونبينا محمد، وعلى آله
وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،
فيا أيها الحاضرون، اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله، فقد فاز المتقون،
قال الله تعالى،
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
ياأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون
Mafhumnya;
"Wahai
sekalian manusia yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan
hendaklah setiap kamu melihat apakah yang telah kamu sediakan untuk
menghadapi hari esok, dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya
Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Marilah
sama-sama kita bertaqwa kepada Allah (swt) dengan sebenar-benar taqwa,
mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hambanya yang berjaya
di dunia dan di akhirat.
Ulama'
dan umara' yakni pemimpin adalah merupakan dua golongan manusia yang
sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Kedua-dua golongan ini perlu
bersatu dan bernaung di bawah naungan yang satu iaitu di bawah naungan
agama atau "Ad-Din". Kedua-dua golongan ini juga adalah merupakan
pewaris kepada Nabi Muhammad (saw). Ulama' mewarisi ilmu daripada Nabi,
manakala umara' pula mewarisi kepimpinan atau politik daripada Nabi.
Ilmu dan politik tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada Islam,
begitu jugalah ulama' dan umara'. Merekalah 'ilmu' dan 'politik' bagi
seluruh umat Islam.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Ulama'
merupakan golongan yang memikul amanah dari Allah untuk menyampaikan
ilmu, mendidik serta membimbing umat manusia ke jalan yang benar. Tanpa
ulama' manusia akan menjadi jahil dan sesat, dan akhirnya mereka akan
bertindak dalam menguruskan kehidupan mereka mengikut kehendak hawa
nafsu semata-mata. Rasulullah (saw) pernah menyifatkan para ulama'
seperti bintang-bintang di langit dengan sabdanya yang bermaksud :
"Bandingannya
para ulama' di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit. Ia
menjadi pedoman atau panduan dalam kegelapan di laut dan di darat. Jika
bintang-bintang itu pudar , maka mereka yang berpandukannya juga akan
sesat".
(Riwayat Imam Ahmad)
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Umara'
atau pemerintah pula adalah suatu keperluan yang pasti bagi umat
manusia. Tanpa umara' masyarakat akan menjadi kacau bilau, malah
syariat tidak akan dapat ditegakkan atau dilaksanakan. Rasulullah (saw)
pernah menyatakan bahawa umara' merupakan perisai kepada ummah. Sabda
baginda yang bermaksud:
"Sesungguhnya
seorang pemimpin itu adalah perisai, rakyat akan berperang di
belakangnya dan berselindung di sebaliknya. Apabila dia memerintahkan
rakyatnya untuk bertaqwa kepada Allah serta bertindak adil, maka dia
akan mendapat pahala. Tetapi jika dia memerintah dengan selain daripada
itu, maka dia akan mendapat akibat yang buruk hasil dari perbuatannya
itu".
(Riwayat Muslim, 9/376, no: 3428)
Di antara ciri-ciri yang perlu ada pada diri seseorang ulama' ialah;
1.
Ulama' jangan sesekali merasa hina atau tersisih. Ini kerana mereka
adalah golongan yang mulia. Masyarakat jangan sesekali
memperkecil-kecilkan atau merendah-rendahkan kedudukan mereka. Ini
kerana mereka adalah merupakan golongan mulia dan yang wajib dihormati
oleh seluruh masyarakat.
2.
Ulama' jangan sesekali tunduk kecuali kepada kebenaran. Jangan tunduk
kepada kuasa atau kebatilan. Para ulama' perlu menyatakan kebenaran
walaupun kebenaran itu pahit untuk diperkatakan.
3.
Ulama' jangan takut kepada pemimpin yang berkuasa dalam menyatakan
kebenaran. Para ulama' mesti sentiasa memberi nasihat dan panduan serta
tunjuk ajar kepada pemimpin atau umara'. Jangan sesekali lari dan
membiarkan kejahatan dan kezaliman berleluasa dan bermaharajalela. Maka
ulama' tidak boleh meninggalkan umara' berseorangan dalam memimpin
masyarakat.
Inilah sebahagian daripada ciri-ciri yang sepatutnya ada dalam diri ulama'.
Antara
contoh terbaik ulama' ialah Al-Imam Malik bin Anas (rh). Seorang Imam
dan ulama' yang tegas dalam menyatakan kebenaran. Sentiasa menjaga
kemuliaan ilmu dan jati diri sebagai seorang ulama'. Beliau bukan saja
disegani dan dihormati dengan ketinggian ilmunya, bahkan digeruni oleh
khalifah dan umara' ketika itu.
Manakala
antara contoh yang terbaik di kalangan umara' atau pemimpin pula adalah
Saidina Umar bin Al-Khattab (ra). Sentiasa menjaga syariat Allah (swt)
serta menjaga hubungannya dengan Allah dan sesama manusia. Merendah diri
dan tidak pernah merasakan jawatan khalifah atau ketua yang dimilikinya
sebagai satu kemegahan dan kebanggaan. Bahkan merasakan ia merupakan
satu tanggungjawab besar yang perlu dijaga, dipikul, dipelihara dan
dijalankan serta dilaksanakan dengan baik.
Saidina Umar Al-Khattab (ra) pernah memberi nasihat kepada gabenornya, Abu Musa Al-Asy'ari (ra) ;
"Pemimpin
yang paling bahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia dan
gembira dengannya. Manakala pemimpin yang paling celaka pula ialah
mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dengannya. Ingat, jangan hidup
mewah. Kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingan kamu sama
seperti binatang ternakan. Apabila berada di padang rumput yang
menghijau ia akan makan dengan banyaknya sehingga menjadi gemuk.
Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya, kerana ia akan
disembelih untuk dimakan oleh tuannya".
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Ulama' dan umara' disifatkan secara bersama sebagai faktor kebaikan ummah. Sabda Rasulullah (saw) ;
اثنان من الناس اذا صلحا صلح الناس، واذا فسدا فسد الناس, العلماء والأمراء.
''Ada
dua golongan di dalam kalangan manusia, apabila mereka baik maka
seluruh manusia akan menjadi baik, apabila mereka rosak maka seluruh
manusia akan menjadi rosak, iaitulah ulama' dan umara'''
Pesanan buat para ulama' dan umara'. Renungi dan amatilah petikan daripada kata-kata Hujjatu Al-Islam, Al-Imam Al-Ghazali (rh) ;
''Sesungguhnya
rakyat rosak disebabkan pemerintah (yang zalim), dan pemerintah pula
rosak disebabkan ulama' (yang jahat). Sementara ulama' pula akan rosak
jika mereka tamakkan harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh
kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun
kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar''.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
والعصر، إن الإنسان لفي خسر، إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر
بارك
الله لي ولكم بالقرءان العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر
الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا
وأستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات، والمؤمنين
والمؤمنات، فاستغفروه فيا فوز المستغفرين، ويا نجاة التائبين.
No comments:
Post a Comment