الحمد
لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره
المشركون، أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدنا
محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا وحبيبنا محمد وعلى آله وصحبه
ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد،
فيا أيها المؤمنون، اتقوا الله أوصيكم ونفسي بتقوى الله فقد فاز المتقون،
قال الله تعالى:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون
"Wahai
sekalian manusia yang beriman, bertaqwalah kamu semua kepada Allah, dan
hendaklah setiap kami melihat (memikirkan) apakah yang telah kamu
sediakan untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah,
sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan"
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Allah
SWT menyuruh kita semua untuk sama-sama mencari bekalan di akhirat
melalui kesenangan dunia yang Allah kurniakan kepada kita. Firman Allah
SWT:
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ
الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا
أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ
إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
القصص77)
Maksudnya:
"Dan
tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu
akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu di dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik
kepadamu, dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi,
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan "
Allah SWT mengajar kepada kita semua beberapa perkara dalam ayat yang dibacakan tadi.
Pertamanya;
Allah
SWT menyuruh kita semua untuk sama-sama mencari bekal pahala akhirat
melalui kesenangan dan kemewahan dunia yang Allah SWT kurniakan kepada
kita.
Sebagai contoh, Allah kurniakan kepada
kita rezeki dalam bentuk duit ringgit. Maka dengan duit ringgit tadi
kita belanjakan kepada jalan Allah seperti bersedekah, berwaqaf, dan
sebagainya untuk mencari pahala akhirat.
Paling
tidak pun seminggu sekali setiap Jumaat kita sumbangkan ke dalam tabung
masjid kita sebanyak yang kita mampu. Maka ini akan menjadi bekal pahal
kita di akhirat sana.
Rata-rata kutipan
tabung masjid-masjid di negeri kita pada hari ini alhamdulillah,
nampaknya ada peningkatan dari tahun-tahun yang lalu. Namun alangkah
baiknya, jika kita dapat meningkatkannya lagi dari masa ke semasa.
Sumbangan kita semua akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak
masjid, insyaAllah.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Ramadhan
sudah hampir sebulan pergi meninggalkan kita. Tidak bererti kebajikan
kita hanya terhenti setakat Ramadhan sahaja bahkan sepatutnya amal
kebajikan kita teruskan juga pada bulan-bulan yang lain.
Dengan
duit yang kita ada maka kita buatkan kebajikan, berilah dan infaqlah
sebanyak-sebanyaknya untuk kebajikan bukan sahaja di bulan Ramadhan
tetapi juga pada bulan-bulan yang lain.
Rata-rata masjid menyediakan tabung sumbangan dan derma demi untuk menggalakkan anak-anak qaryah sama-sama melakukan kebajikan.
Berilah
sumbangan untuk sama-sama kita menghidupkan masjid dan surau kita
dengan pelbagai program. Tunjukkan sokongan kita semua, walaupun hanya
dengan seringgit namun ianya sudah cukup untuk menunjukkan bahawa kita
sentiasa menyokong program-program kebajikan yang dianjurkan oleh pihak
masjid.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Perkara
kedua yang Allah SWT ajarkan kepada kita dalam ayat yang dibacakan tadi
ialah jangan kita lupa tentang dan bahagian kita di dunia. Ini bermakna
kita disuruh untuk bekerja dan berusaha mencari kekayaan dan kehidupan
dunia. Tetapi jangan sampai lupa akan akhirat, atau jangan sampai
lupakan tanggungjawap kita dengan Allah SWT terutamanya solat kita. Maka
apabila kita telah mendapat kemewahan dunia, kita cari pulak akhirat
dengan cara membelanjakan kemewahan tersebut pada jalan Allah SWT.
Perkara
ketiga yang Allah SWT ajarkan kepada kita dalam ayat yang dibacakan
tadi ialah, berbuat baiklah sesama makhluk, terutamanya sesama manusia
sebagaimana Allah SWT telah berbuat kebaikan yang banyak kepada kita
semua. Kebaikan sesama manusia boleh dilakukan dalam berbagai cara,
mungkin dalam kebaikan dalam bentuk kewangan, tenaga, buah fikiran,
masa, dan sebagainya. Selama mana kita mampu untuk melakukan kebaikan
maka lakukanlah, kerana kebaikan walau sekecil mana sekalipun tetap akan
dibalas dengan kebaikan.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Perkara
keempat yang diajar oleh Allah SWT kepada kita semua melalui ayat tadi
ialah jangan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini, kerana Allah SWT
tidak suka kepada mereka yang melakukan kerosakan.
Memang
tidak dinafikan, punca berlakunya kerosakan, kehancuran, peperangan,
kemusnahan adalah tangan-tangan manusia itu sendiri. Demi kepentingan
diri, demi kepuasan nafsu, demi mengaut kekayaan dan keuntungan, maka
manusia sanggup merosakkan bumi Allah samada melalui pembunuhan,
peperangan, pencemaran, makan rasuah dan sebagainya.
Maka
Allah SWT menegaskan bahawa Dia tidak suka kepada mereka yang melakukan
kerosakan. Maka kita sebagai manusia yang menjadi khalifah Allah di
atas muka bumi ini, sepatutnya kita mengindahkan bumi dan menyelamatkan
muka bumi ini daripada kemusnahan, bukan sebaliknya.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Bersempena
dengan kita baru sahaja meninggalkan bulan Ramadhan dan kita masih lagi
berada di bulan Syawwal, marilah sama-sama kita tanamkan keazaman yang
kuat dalam diri kita masing-masing bahawa kita akan memanfaatkan tarbiah
Ramadhan baru-baru ini dengan sebaik mungkin.
Semoga
kita semua diberi kekuatan oleh Allah untuk terus istiqamah dalam
melaksanakan ketaatan kepada Allah, semoga kita akan terus menjadi
seorang manusia yang sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk sentiasa
menjunjung titah perintahNya dan meninggalkan setiap laranganNya.
Semoga Ramadhan baru-baru ini pergi bersama-sama dengan keampunan dari Allah untuk kita semua.
بارك
الله لي ولكم بالقرءان العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر
الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا
وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين
والمؤمنات فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين
No comments:
Post a Comment