اَلْحَمْدُ
ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ
عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ،
َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ،
أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ.
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ
شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ
وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا
مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ
إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون
( الحشر 18 )
Yang
bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada
Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan
hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu
sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Saya
berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama
kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan kita mentaati segala titah
perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan
dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita diberikan kejayaan dan keselamatan
hidup di dunia dan juga di akhirat.
( رواه مسلم والترمذي )
عن
أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أتدرون ما
المفلس؟" قالوا: المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع فقال:" إن المفلس من
أمتي من يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة، ويأتي وقد شتم هذا وقذف هذا
وأكل مال هذا وسفك دم هذا و ضرب هذا فيعطى هذا من حسناته، وهذا من حسناته
فإن فنيت حسناته قبل أن يقضي ما عليه أُخذ من خطاياهم فطرحت عليه ثم طرح في
النار".
Maksudnya,
"Tahukah
kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?", lalu jawap para sahabat,
"orang yang muflis di kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki
wang dan juga harta". Lalu kata Nabi SAW, "sesungguhnya mereka yang
muflis di kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat
kelak membawa pahala dari solatnya, puasa dan zakatnya. Namun dalam masa
yang sama dia juga membawa dosa memaki hamun sesama manusia, dosa
menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang
lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul
atau mencedera sesama manusia. Maka diberikan pahalanya kepada mereka
yang dizaliminya ketika di dunia dahulu, maka jika habis pahalanya
sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya maka diambil
dosa-dosa manusia tersebut lalu ditanggungkan ke atasnya dan akhirnya
dia dihumban ke dalam api neraka".
Allah
SWT menyuruh kita mencari bekal sebanyak mungkin untuk dibawa balik ke
akhirat sana, dan sebaik-baik bekalan itu ialah ketaqwaan kita kepada
Allah SWT. Maka kita disuruh beramal dan melakukan kebajikan sebanyak
mungkin, mudah-mudahan semua itu akan menjadi bekalan untuk kita hidup
di akhirat sana.
Namun
di sana akan terdapat satu golongan manusia yang pahala amal kebajikan
yang diusahakannya di dunia tidak diberikan kepadanya, tetapi diberikan
kepada orang lain. Bahkan lebih dahsyat dari itu, dia terpaksa pula
menanggung dosa-dosa yang dilakukan oleh orang lain. Golongan ini yang
digelar oleh Baginda Nabi SAW sebagai golongan yang muflis di akhirat
sana.
Pada asalnya
banyak pahala yang dibawa balik ke akhirat sana samada pahala dari
solatnya, puasanya, zakatnya dan juga kebajikan-kebajikan yang lain.
Namun semuanya habis diberikan kepada orang lain disebabkan dosa-dosa
yang dia lakukan terhadap mereka. Manusia semua akan menuntut pembalasan
daripadanya di atas setiap kezaliman yang dilakukannya ketika di dunia
dahulu.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Antara
dosa sesama manusia sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi
tadi ialah dosa yang disebabkan oleh lidah. Lidah yang tidak bertulang
ini kadang-kadang disalahgunakan untuk memaki hamun, mencela, memfitnah,
dan menuduh orang lain dengan tuduhan yang jahat. Begitu juga mengadu
domba, mengumpat dan yang seumpamanya.
Dosa
sesama manusia yang kedua pula ialah mengambil hakmilik orang lain
tanpa kebenaran atau dengan cara yang salah dan zalim, samada mencuri,
menipu, merampas, meragut, menyamun dan sebagainya. Walaupun nilai yang
diambil itu mungkin sedikit sahaja, namun tetap akan dituntut oleh
tuannya di akhirat kelak. Mungkin di dunia kita terlepas daripada
hukuman, tetapi di akhirat kelak tidak akan ada ruang untuk seseorang
yang bersalah melarikan diri daripada hukuman Allah SWT.
Dosa
ketiga sesama manusia ialah menumpahkan darah atau membunuh ataupun
memukul dan mencederakannya. Berapa banyak kes-kes pukul dan bunuh yang
kita dengar dan baca saban hari berlaku di dalam dunia hari ini
termasuklah di dalam negara kita. Pembunuhan berlaku secara berleluasa
seolah-olah nyawa sudah tidak bernilai lagi, sehinggakan nyawa mereka
yang tidak bersalah turut menjadi mangsa. Kadang-kadang si pembunuh
mungkin terlepas daripada hukuman dunia mungkin disebabkan kelemahan
undang-undang ciptaan manusia, mungkin juga disebabkan pengaruh kuasa
atau wang ringgit dan sebagainya. Namun yakinlah di akhirat sana mereka
sama sekali tidak akan dapat melepaskan diri daripada hukuman dan
balasan Allah SWT yang sudah tentunya jauh lebih dahsyat daripada
hukuman dunia.
Buat
mereka yang bersekongkol atau merelakan kezaliman yang berlaku juga
tidak akan terlepas daripada balasan Allah SWT. Keadilan wajib
ditegakkan lebih-lebih apabila kita berkuasa. Maka jangan sekali-sekali
kita membiarkan diri kita termasuk dalam kalangan mereka yang
bersekongkol dengan sebarang bentuk kezaliman.
Firman Allah SWT,
وَلَا
تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم
مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
(113) هود
Maksudnya,
"Dan
janganlah kamu cenderung (memihak atau bersekongkol) dengan orang-orang
yang berlaku zalim, maka (jija kamu berlaku demikian), api neraka akan
membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain
dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak
akan mendapat pertolongan.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Allah
SWT mengharamkan kezaliman ke atas diriNya, dan Allah SWT juga
mengharamkan kezaliman sesama makhlukNya. Oleh kerana itulah, jika
seseorang itu dizalimi pasti dia akan dibela oleh Allah SWT sekalipun
tidak ada seorang pun manusia yang mahu membelanya. Sudah tentulah
pembelaan dari Allah lebih mulia. Maka jangan sekali-kali kita melakukan
kezaliman terhadap sesama manusia, kerana doa orang yang dizalimi tidak
akan ditolak oleh Allah SWT dan sudah pastinya dia akan dibela oleh
Allah, maka orang yang menzaliminya tidak akan dapat lari daripada
hukuman dan balasan dari Allah SWT. Sabda Nabi SAW,
عن ابن عباس أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بعث معاذ بن جبل إلى اليمن فقال : اتق دعوة المظلوم فإنها ليس بينها وبين الله حجاب
Maksudnya,
"Takutlah
kamu akan doa orang yang dizalimi. Maka sesungguhnya tidak ada hijab
atau penghalang di antara doa orang yang dizalimi dengan Allah SWT"
بَارَكَ
اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ
بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي
وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ
اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ
وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا
فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment