اَلْحَمْدُ
ِللهِ الَّذِى خَلقَ الموْتَ وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا،
َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ
أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ
عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ
بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا
بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى
اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang bermaksud: Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan
apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku sidang
jumaat yang dikasihi,
Saya berpesan kepada diri
saya dan tuan-tuan, marilah sama-sama kita
bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah
perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan
tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat
hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya.
Saudara-saudaraku sidang
jumaat yang dikasihi,
Setiap manusia yang hidup
di atas muka bumi ini tidak sama nasibnya. Ada yang hidup dengan penuh kemewahan dan ada
pula yang terpaksa meneruskan hidup mereka dalam serba kesusahan. Firman Allah
s.w.t,
Yang bermaksud : Sesungguhnya
Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia
jugalah yang menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha mendalam pengetahuannya,
lagi Maha melihat akan hamba-hambanya. [1]
Golongan yang dikurniakan kekayaan
dan kemewahan biasanya hidup dalam keadaan serba mewah dan memiliki wang yang serba
cukup untuk mendapatkan apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Sesetengah
golongan kaya yang jahil mendakwa bahawa nikmat kekayaan yang dimiliki adalah
merupakan tanda kemuliaan dan rahmat Tuhan kepada mereka dan biasanya golongan
ini sentiasa mempamerkan kelebihan mereka sama ada dalam bentuk kenderaan,
pakaian, makanan dan tempat kediaman mereka. Termasuk di dalam golongan ini
ialah mereka yang dikurniakan kedudukan dan kemenangan dalam merebut jawatan
pemimpin sesebuah organisasi mahupun negara. Sebenarnya, apa yang mereka miliki
ini adalah ujian dari Allah s.w.t untuk menguji apakah mereka sebenarnya
bersyukur dengan apa yang dikurniakan ataupun sebaliknya.
Allah s.w.t menceritakan kepada kita
tentang sikap manusia seperti ini di dalam Surah Al-Fajr ;
Maksudnya : Adapun manusia
apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakannya dan diberinya kesenangan,
maka dia akan berkata: “Tuhanku Telah memuliakanku”. Adapun bila
Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”.
[2]
Meneliti kandungan ayat di atas
Allah s.w.t. telah memandu kita dalam memahami situasi kehidupan manusia dengan
lebih tepat dan betul. Ini kerana sememangnya manusia sering menyalah tafsir
apa yang terjadi di sekelilingnya. Antara perkara yang disalah tafsirkan ialah
soal kaya dan miskin, senang dan susah.
Dua ayat dari surah Al-Fajr di atas
secara jelas telah mendedahkan tentang dua kumpulan manusia yang selalunya
wujud dalam masyarakat. Golongan itu ialah:
Pertama: Golongan yang dikurniakan
kekayaan. Golongan ini adalah lapisan masyarakat yang hidup dalam keadaan serba
mewah dan memiliki wang yang serba cukup untuk membeli apa sahaja yang
terlintas di fikiran mereka. Mereka mendakwa bahawa nikmat kekayaan yang
dimiliki adalah merupakan tanda kemuliaan dan rahmat Tuhan kepada mereka.
Oleh itu biasanya golongan ini
sentiasa mempamerkan kelebihan mereka dari aspek material sama ada kenderaan,
pakaian, makanan dan tempat kediaman mereka. Mereka juga hidup di kawasan yang
setaraf dengan mereka dan jauh dari golongan miskin.
Daripada aspek sebuah masyarakat dan
negara, kekayaan dan sumber alam yang melimpah ruah juga didakwa sebagai
lambang rahmat dan punca kemajuan negara. Justeru para pemimpin seringkali
mengaitkan kekayaan tersebut sebagai bukti kebaikan dan kebijaksanaan
memerintah negara.
Namun demikian Allah s.w.t. telah
membetulkan persepsi di atas dengan firman-Nya yang bermaksud: Adapun manusia
apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberikan kesenangan,
Maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”. (Al-Fajr:15).
Ayat ini menjelaskan tabiat majoriti
manusia yang menilai kekayaan dan kesenangan yang dimiliki sama ada dari aspek
material mahupun pangkat. Ia menjadi satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah
kepada mereka, sedangkan semuanya adalah merupakan satu ujian kepada mereka. Apakah kekayaan itu diurus
berpandukan syariat Allah atau sebaliknya?. Allah s.w.t. menempelak mereka
yang membuat dakwaan seperti di atas. Kerana pada hakikatnya kemuliaan di sisi
Allah bukanlah diukur dari sudut kekayaan tetapi diukur menurut ketakwaan dan
keimanan seseorang.
Jika kaya sepatutnya seseorang itu
bersyukur dengan menambahkan amal kebajikan dan ibadah. Ini kerana kekayaan dan
kesenangan biasanya akan menghanyutkan manusia dan membawa mereka kepada
kekufuran.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada
Qarun. Akibat dari kekayaan melimpah ruah yang dikurniakan kepadanya telah
menjerumuskannya ke lembah kekufuran kepada Allah.
Sebagai muslim sewajarnya kita
menyedari bahawa nikmat kekayaan dan kesenangan adalah ujian yang amat sukar
untuk dihadapi oleh manusia. Ini kerana biasanya golongan kayalah yang
selalunya hanyut dengan kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja demi
menjamin keselamatan harta benda mereka.
Dalam sejarah kebangkitan Islam kita
dapati golongan yang paling kuat menentang dakwah Nabi Muhammad s.a.w adalah
datang dari kalangan bangsawan dan mereka yang berkedudukan di dalam
masyarakat. Ini kerana kekayaan menyebabkan mereka sombong dan bongkak lantas
tidak mahu menerima kebenaran.
Kedua: Golongan kedua pula ialah golongan
miskin. Biasanya golongan ini mempunyai tanggapan bahawa kesempitan hidup dan
kesusahan yang menimpa mereka adalah merupakan satu bentuk penghinaan yang
telah ditakdirkan ke atas mereka.
Selalunya mereka akan merasa rendah
diri, tidak mahu berusaha dan sering meminta-minta. Akibat dari tanggapan sedemikian
menyebabkan adanya kalangan golongan miskin yang tidak mahu mengabdikan diri
kepada Allah kerana mereka buruk sangka kepada-Nya.
Kemiskinan bukanlah tanda kebencian Tuhan atau penghinaan tetapi ia merupakan
satu bentuk ujian kepada manusia. Sama ada ia dapat bersabar atau sebaliknya di
dalam berhadapan dengan ujian ini. Ujian berbentuk kemiskinan juga amat sukar
dihadapi oleh manusia kerana dengannya menyebabkan manusia terlalu bergantung
kepada manusia yang lain dan hilang pergantungan dengan Yang Maha Pencipta.
Kemiskinan boleh menyebabkan
seseorang itu melakukan apa sahaja demi mendapat sesuap nasi. Meskipun apa yang
dilakukan adalah haram. Kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang menurut apa
sahaja kehendak orang yang berkuasa ke atasnya meskipun jelas ia adalah
bertentangan dengan syariat Allah.
Kesimpulannya, kekayaan dan
kemiskinan kedua-duanya adalah merupakan ujian kepada manusia di dunia ini.
Bagi yang kaya, kekayaan boleh menghanyutkan mereka dalam arus kemurkaan Allah.
Namun sebaliknya, jika kekayaan digunakan sebaik-baiknya, ia boleh menjadi
pendorong kepada ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Sebabnya, dengan kekayaan akan
memberikan seseorang ruang seluas-luasnya untuk bersedekah dan mendermakan
harta ke jalan meningkatkan syiar Islam. Kemiskinan pula boleh menjadikan
seseorang terdorong melanggar larangan Allah semata-mata untuk memperolehi harta
kekayaan.
Namun kemiskinan juga boleh
menjadikan seseorang sentiasa insaf, ingat kepada Allah dan bergantung
dengan-Nya sepanjang masa. Malah Rasulullah s.a.w amat suka berdampingan dengan
golongan miskin kerana ia boleh melembutkan hati dan menyuburkan sifat tawaduk
dan rendah diri.
بَارَكَ اللهُ لِيْ
وَلَكُمْ بالقُرْءَانِ العَظِيْمِ،
وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ،
وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ،
أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ
المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ،
فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
Khutbah Kedua
الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر. أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا
شريكَ له. وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه. اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا
محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين.
أما بعد، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر
وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر. فقال تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم.
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن
الله خبيرٌ بما تعملون.
وقال تعالى : إن الله وملائكته
يصَلون على النبي، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على
سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين. وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا
أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات
إنك سميع قريب مجيب الدعوات، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين وأن
تُعْلِى بفضلك كلمة الحق والدين. اللهم
اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما
بطن.
وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ
الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه، وولىَّ عهده سموَّ الأمير
تنكو الحاج عبد الملك بن المرحوم السلطان بدليشه. اللهم امنحنهما الرشاد ووفقهما
للسداد وأصلح بهما العباد والبلاد واجعل التقوى لهما خير زاد، إنك رؤوف رحيم جوَاد
يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين.
عبادَ الله، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن
الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم، واشكروه
على نعمه يزدكم واسئلوه من فضله يعطكم، ولذكر الله أكبر ,اللهُ يعلم ما تصنعون.
No comments:
Post a Comment