الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ ، لِيُظْهِرَهُ
عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ
لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ
أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ
وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ،
أَمَّا
بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،.
Yang
bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah
(dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah
setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk
menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah,
sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku
sidang Jumaat yang dikasihi,
Saya
berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati
segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap
larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia
mahupun di akhirat hanyalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepada
Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang dihormati
sekalian,
Sabda Nabi SAW,
عن أبى رقية تميم بن أوس الداري رضى الله عنه أن
النبى صلى الله عليه وسلم قال : الدين النصيحة ، قلنا لمن ؟ ، قال : لله ، ولكتابه
، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم .[1]
Maksudnya : Diriwayatkan daripada
Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Daariy RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda :
“Agama itu nasihat”. Kami berkata, “Bagi siapa?”. Sabda Nabi SAW, “Bagi Allah,
bagi kitabNya, bagi RasulNya, dan bagi Imam (pemerintah) kaum muslimin dan bagi
orang ramai mereka”.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang
dikasihi,
Pada hadis tersebut Rasulullah
SAW menerangkan perkara yang berkenaan
nasihat dalam agama. Kata Rasulullah SAW agama itu adalah nasihat. Kenyataan
Nabi SAW mencetuskan pertanyaan daripada para sahabat kerana mereka ingin
mengetahui kepada siapakah nasihat itu dalam hubungan dengan agama?. Rasulullah
SAW menjelaskan kepada para sahabat tentang maksud nasihat. Perkataan nasihat
mengandungi maksud supaya yang dinasihati mendapat keuntungan atau faedah serta
kebaikan.
Pertamanya Rasulullah SAW menjelaskan
bahawa nasihat bagi Allah SWT yang bererti beriman kepadaNya menurut pengertian
yang sebenar tanpa mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain. Melaksanakan
setiap titah perintahNya serta meninggalkan setiap laranganNya. Mensyukuri
setiap nikmat yang dikurniakanNya dengan menggunakan setiap nikmat pada jalan
yang diredhoi oleh Allah SWT.
Keduanya Rasulullah SAW menyebut
nasihat bagi kitabnya ialah beriman dengan al-Quran serta kitab-kitab yang
diturunkan tanpa meraguinya walaupun satu ayat. Berusaha mempelajari al-Quran
serta menjadikan al-Quran sebagai kitab bacaan harian dan panduan serta rujukan
dalam kehidupan. Sabda Nabi SAW,
اقرؤوا القرءان فإنه يأتى يوم القيامة شفيعا
لأصحابه .
Maksudnya : Bacalah al-Quran, sesungguhnya
al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.
Setelah kita mampu untuk membaca
al-Quran dengan baik maka ajarkanlah al-Quran kepada orang lain agar mereka juga
mampu membaca al-Quran sebagaimana kita. Sabda Nabi SAW,
خيركم من تعلم القرءان وعلمه
Maksudnya : Sebaik-baik kamu ialah
mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada manusia.
Seterusnya berusaha untuk memahaminya
dan apa yang paling penting ialah mengamalkan serta menegakkan setiap isi
kandungannya tanpa meraguinya walau sedikit pun.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang
dikasihi,
Nasihat yang ketiga adalah untuk
untuk Rasulullah SAW iaitu membenarkan risalahnya, beriman dengan semua perkara
yang didatangkan oleh Baginda sama ada melalui al-Quran mahupun as-Sunnah.
Seterusnya mencintai dan mengasihi Baginda Nabi SAW. Firman Allah SWT,
Maksudnya : Katakanlah (Wahai
Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya
Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [2]
Nasihat untuk Rasulullah SAW selepas
kewafatan Baginda menuntut kita semua untuk mengkaji sirah perjalan hidup
Baginda Nabi SAW, berakhlak serta beradab dengan akhlak dan adab-adabnya.
Begitu juga menolak dan menentang setiap tuduhan jahat yang dilemparkan oleh
musuh-musuh Islam terhadap keperibadian Rasulullah SAW. Mencintai mereka yang
mencintai Baginda dan memusuhi mereka yang memusuhi Baginda SAW.
Seterusnya Baginda menyebut nasihat
untuk para imam muslimin. Yang dimaksudkan dengan imam muslimin ialah para
pemerintah umat Islam dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh mereka. Termasuk
juga dalam pengertian imam muslimin ialah para ulama.
Nasihat untuk golongan ini ialah
dengan kita menyukai serta menyokong kebaikan dan keadilan mereka. Bukannya
kita mencintai mereka kerana kepentingan peribadi mereka ataupun untuk
kepentingan peribadi kita. Bahkan apa yang kita mahukan ialah kebaikan ummah
berada di bawah kepimpinan mereka yang adil dan taat kepada Allah dan RasulNya.
Nasihat buat mereka juga bermakna
kita menolong mereka selama mana mereka berada ada jalan kebenaran dan
memperbetulkan mereka jika sekiranya mereka lari dari jalan yang sebenar.
Saidina Umar al-Khattab RA dengan tegasnya menyampaikan ucapan sulungnya
sewaktu dilantik sebagai khalifah yang kedua yang antara isi ucapannya ialah,
“Dalam menunaikan tugas ini (sebagai
khalifah), kitab suci al-Quran adalah panduanku dan aku akan menuruti jejak
langkah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq RA. Sehubungan
dengan itu maka aku memerlukan bantuan dari kamu semua. Sekiranya aku di atas
jalan yang benar maka turutilah dan taatilah aku, tetapi sekiranya aku
menyimpang dari jalan kebenaran maka hendaklah kamu perbetulkan aku agar aku
tidak kehilangan arah” [3]
Jika umat manusia menjadi seperti
tunggul kayu, tidak melaksanakan tugas menasihati dan menegur pemerintah, dan
pemerintah pula menjadi toghut (melampau) tidak lagi menerima teguran dan
nasihat dari rakyat jelata ini bererti kehinaan, kehancuran dan kekalahan akan
menimpa ke atas mereka. Sebagai pemerintah maka apabila dia ditegur sekalipun
teguran itu datang dari rakyat atau orang bawahan maka terimalah teguran itu
dengan baik jika teguran itu teguran yang benar.
Sejarah menceritakan bagaimana
Rasulullah SAW sendiri bersedia menerima teguran dan nasihat dari para
sahabatnya. Sebagai contoh apa yang berlaku dalam peristiwa peperangan Badar
al-Kubra. Apabila Baginda Rasulullah SAW memilih kawasan mata air yang paling
dekat sebagai kubu mereka lalu seorang sahabat yang bernama al-Hubbab bin
al-Munzir RA datang bertemu dengan sambil melontarkan pandangannya, “Ya
Rasulallah, apakah tempat yang kita singgah ini telah ditetapkan oleh Allah
(wahyu) yang tidak dapat kita pertikaikan lagi atau ianya hanya semata-mata
satu pandangan dan strategi kamu dalam peperangan?”, lalu jawap Nabi SAW,
“bahkan ianya adalah pandangan dan strategi dalam peperangan”. Lalu tegas al-Hubbab
lagi, “Ya Rasulallah, ini bukanlah tempat yang sesuai untuk disinggahi, ayuh
bawalah tentera-tentera Islam beredar hingga sampai ke kawasan mata air yang
paling hampir dengan kaum Quraisy lalu kita singgah di situ dan kita musnahkan
telaga-telaga yang ada di belakangnya. Kemudian kita bina satu kolam yang kita
penuhkan dengan air. Nanti kita akan memerangi mereka dalam keadaan kita dapat
minum dan mereka tidak dapat minum”. Lalu jawap Nabi SAW, “ wahai Hubbab
sesungguhnya kamu telah memberi pandangan yang baik”. Lalu diarahkan tentera
Islam ke tempat tersebut. [4]
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang
dikasihi,
Yang terakhir kata Nabi SAW, nasihat
untuk sekalian kaum muslimin iaitu dengan memberi tunjuk ajar dan nasihat
kepada mereka demi kepentingan serta kebaikan akhirat dan dunia mereka. Apa
yang menyedihkan ialah umat Islam hari ini memandang remeh di dalam
melaksanakan hak an-Nasihah terhadap saudara Islam yang lain khususnya dalam
masalah bekalan mereka menuju ke akhirat. Menjadi tugas kita untuk memperbetulkan
apa yang tidak betul dan memperelokkan apa yang tidak elok. Dengan itu
an-Nasihah akan berperanan dalam masyarakat Islam sebagai penutup keaiban,
penyekat kepada kecacatan, pencegah kemungkaran serta melahirkan kebaikan dan
keberkatan dari Allah SWT.
Walau bagaimanapun, seseorang itu
hendaklah memberi nasihat dan menegur saudaranya secara rahsia kerana sesiapa
yang menutup keaiban saudaranya maka Allah SWT akan menutup keaibannya.
Sebahagian ulama berkata, “Sesiapa yang menegur saudaranya dengan sesuatu
perkara yang hanya diketahui olehnya dan saudaranya sahaja, maka itu adalah
nasihat. Sesiapa yang menegur saudaranya di hadapan khalayak ramai maka
sesungguhnya dia telah mengaibkannya”. [5]
Fudhail bin I’yadh menegaskan bahawa,
“Mu’min yang sebenar ialah mereka yang menutup keaiban dan memberi nasihat,
tetapi si jahat ialah mereka yang membuka keaiban dan memalukan saudaranya”.
Dalam sesebuah masyarakat itu ada
beberapa golongan yang masing-masing dengan tanggungjawab masing-masing. Ada
imam yakni pemerintah atau kerajaan yang dipatuhi, ada pemimpin-pemimpin yang
diikuti, ada ulama’-ulama’ yang dituruti dan ada rakyat jelata yang mentaati.
Maka semuanya perlu kepada nasihat menasihati, hormat menghormati dan sayang
menyayangi agar hidup kita diberkati dan dirahmati.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ
العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ
فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment