Saturday 24 January 2015

Tokoh Al-Quran - Haji Mat Pintu Geng (1889-1967 Masihiyy)



RIWAYAT HIDUP PENGARANG, TUAN GURU HAJI MUHAMMAD BIN AHMAD AL-KELANTANI (HAJI MAT PINTU GENG 1889-1967 MASIHIYY)
Haji Muhammad bin Ahmad al-Kelantani atau Pak Cu Haji Mat bin Lebai Ahmad bin Tok Kweg Mat Yatim adalah seorang ulamã’ dan ahli dalam ilmu al-Qurãn. Beliau telah mengajar al-Qurãn mengikut kaedah Tajwĩd. Beliau ada menandakan Qirãat Tujuh di dalam al-Qurãn kegunaannya. Haji Muhammad telah mengarang sebuah kitab Tajwĩd penting bertajuk Muqaddimah al-Mubtadi Fĩ Tajwĩd al-Qurãn.
Haji Muhammad telah dilahirkan pada tahun 1307 Hijriyy, bersamaan tahun 1889 Masihiyy di Kampung Paloh, Pintu Geng, Kota Bharu Kelantan. Aminah, ibunya berasal dari Patani, Tahiland, manakala bapanya pula berasal dari Kelantan. Lebai Ahmad meninggal di Mekah pada musim haji, pada waktu itu Haji Muhammad masih kecil lagi. Oleh hal yang demikian beliau di pelihara oleh sepupunya, bernama Halĩmah.
Pada masa kecilnya, Haji Muhammad belajar al-Qurãn dengan Tuan Guru Haji Idrĩs Pasir Kota yang ‘ãlim dalam ilmu al-Qurãn, ilmu Fiqh, ilmu Nahu, ilmu Usũl dan lain-lain.  Haji Idrĩs ini tinggal tidak jauh daripada rumah Haji Muhammad. Jaraknya hanya kira-kira ½ batu saja.
Setelah beliau belajar al-Qurãn dan kitab-kitab kepada Tuan Guru Haji Idrĩs itu, beliau menyambung pelajarannya ke tanah suci Mekah al-Mukarramah. Beliau belajar di sini selama kira-kira lima tahun. Di antara guru-gurunya ialah Tok senggora (Haji Abdullah) dan Haji ‘Umar, seorang ulamã’ dan ahli al-Qurãn yang berasal dari Kampung Kota, Kelantan. Dengan Haji Omar inilah Haji Muhammad mendapat ilmu al-Qurãn yang banyak.
Setelah kembali dari Mekah, beliau membuka sebuah pondok di Kampung Pintu Geng, Kota Bharu pada tahun 1920 Masihiyy. Pondok ini berkembang dan maju, kerana beliau mempunyai kemampuan mengajar dalam bahasa Arab dan Melayu. Di samping mengajar kitab beliau juga mengajar al-Qurãn. Ketika itu kebanyakan guru agama mengajar kitab sahaja, tanpa mengajar al-Qurãn.
Haji Muhammad mengajar al-Qurãn biasa lepas sembahyang Zuhur sehingga waktu asar pada tiap-tiap hari selain daripada hari Jumaat. Oleh kerana kemahsyurannya dalam ilmu Qirãat, maka ramai juga murid-murid yang datang belajar Qirãat dengan beliau, termasuk murid-murid dari Pondok Bunut Payong, Pondok Kenali dan lain-lain.
Kebanyakan mereka yang datang belajar dengannya belajar secara mengaji berbalik. Namun demikian ada juga yang datang berbeluh. Murid-murid yang belajar berbeluh beliau mengajar dengan membaca al-Qurãn kemudian diikuti oleh murid beberapa kali. Tetapi mengajar berbalik, dua atau tiga murid membaca dalam satu masa, jika ada yang tersilap baca beliau menegurnya. Pada akhir hayatnya beliau hanya mengajar secara berbalik sahaja kerana guru-guru yang dapat mengajar berbeluh sudah ramai.
Naskhah al-Qurãn kepunyaan Haji Muhammad ini ditandai dengan tanda-tanda Qirãat kepada para pelajarnya. Al-Qurãn ini ada disimpan oleh anaknya, Hajjah Zainab binti Muhammad yang juga seorang guru al-Qurãn. Haji Muhammad mengajar al-Qurãn selama empat puluh tahun lebih.
Di samping mengajar al-Qurãn beliau juga mengarang sebuah buku Tajwĩd seperti disebut di atas. Buku ini digunakan untuk menjadi panduan dalam pelajaran Tajwĩd. Buku ini selesai dikarang pada tahun 1341 Hijriyy, hari Selasa bersamaan dengan 8 Jumãdilawwal.
Di dalam bukunya itu beliau menulis :
“Ketahui olehmu hai thãlib (murid), bahawasanya menuntut ilmu Tajwĩd itu fardhu ‘ain atas tiap-tiap orang Islam, lelaki dan perempuan yang mukallaf keduanya pada jumlah atas tiap-tiap yang mempunyai qirãah, yakni jika bacaan itu sunat sekalipun atas orang yang tiada baik bacaannya”.
Beliau juga telah memetik kata-kata Syeikh Abũ al-‘Uzza al-Qalãnsyi yang berkata :
“Bahawa Tajwĩd akan al-Qurãn itu fardhu seperti sembahyang, telah datang oleh akhbãr (hadis) dan ayat. Dan yang mengingkari akan Tajwĩd itu maka iaitu kãfir”.
Haji Muhammad juga menjelaskan :
“Bahawasanya wajib atas orang yang membaca al-Qurãn itu bersungguh-sungguh pada memeliharakan segala hurufnya daripada makhrajnya dan sifatnya. Maka tiada hasil yang demikian itu dengan semata-mata mendengar dan melihat daripada kitab atau fikiran melainkan dengan menerima daripada mulut guru yang sahĩh bacaan”.
Haji Muhammad juga telah menjelaskan hukum bacaan al-Qurãn cara berlagu dengan katanya :
“Sunat mengelokkan suara dengan membaca al-Qurãn dan menghiaskan dia atas muafakat dengan Tajwĩd, dan telah menas oleh Imãm al-Syãfi’eyy [rh] di dalam Mukhtasarnya akan bahawasanya tiada mengapa dengan berlagu selama tiada keluar bacaan daripada had al-Qurãn. Dan jika tiada maka adalah berlagu itu haram”.
Haji Muhammad al-Kelantani juga telah menyebut nama-nama Imãm Qurrã’ Tujuh yang masyhur, iaitu :
1.      Nãfi’ Abĩ Nu’aim di Madĩnah al-Munawwarah.
2.      Ibnu Kathĩr Abĩ ‘Abdillah di Mekah al-Mukarramah.
3.      Abu ‘Amru bin al-‘Alã di Basrah.
4.      Ibnu ‘Ãmir Abdullah di Syãm.
5.      Ãsim bin Abĩ al-Najũd di Kũfah.
6.      Hamzah bin Habĩb al-Zayyat di Kũfah.
7.      Kisãi ‘Ali al-Nahwiyy di Kũfah.
Haji Muhammad bin Ahmad al-Kelantani meninggal dunia pada jam 8.53 pagi Selasa 11 Ramadhan tahun 1387 Hijriyy bersamaan 12 Disember 1967 Masihiyy di rumahnya ketika berusia 80 tahun. Beliau meninggalkan beberapa orang muridnya yang menjadi guru al-Qurãn iaitu anak-anaknya sendiri, Haji Daud (Imam Masjid Mukim Pintu Geng), Haji Abdul Rahman dan Hajah Zainab, dan juga Haji Harun Ahmad, (Imam Masjid Pulau Panjang) dan ramai lagi [1].




[1] _Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2), Ismail Che Daud, Terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, m/s : 101

No comments:

Post a Comment