الحَمْدُ للهِ
الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى
الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا
اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
…أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu
kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan
hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan
untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah,
sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-Hasyr 18)
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan lebih-lebih lagi kepada diri saya
sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan
sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang
lebih tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t selain daripada ketaqwaan seorang
hamba kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan beroleh kebahagiaan hidup di dunia
dan juga di akhirat.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah s.w.t pada ayat 124-126 dalam Surah Thaaha,
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya
: Dan sesiapa yang berpaling (yakni ingkar daripada ingatan dan petunjukKu)
maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Dan Kami akan
himpunkannya pada hari qiamat dalam keadaan buta matanya. (Pada hari itu) dia
berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta,
padahal aku dahulunya celik ketika di dunia?” Allah berfirman : “ Demikianlah
keadaannya di mana (ketika di dunia dahulu) telah datang ayat-ayat keterangan
Kami kepadamu tetapi engkau melupakan serta meninggalkannya (tidak percaya). Dan
demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.
(Thaha 124-126)
Manusia
yang benar-benar mahukan ketenangan dalam hidupnya di dunia dan juga di akhirat
adalah manusia yang sentiasa memastikan hidupnya berada di bawah petunjuk dan
perintah Allah s.w.t tidak kira samada ketika hidupnya senang ataupun susah,
ketika dia kaya atau miskin, ketika dia sihat ataupun sakit dan ketika dia
lapang mahupun sibuk. Manakala manusia yang terus menjadi hamba kepada nafsu
dan syaitan akan sentiasa hidup dalam keadaan kesesatan dan jauh daripada
ketenangan yang diimpikan walaupun pada hakikatnya dia telahpun memiliki
segala-galanya termasuk harta yang bertimbun-timbun, pangkat kedudukan yang
tertinggi serta pengikut yang berduyun-duyun.
Pada
hari ini kebanyakan manusia seolah-olah sudah menjadi hamba kepada harta benda
sehingga tidak lagi menghiraukan peraturan-peraturan Allah s.w.t tentang halal
dan haram, dosa dan pahala, syurga dan neraka asalkan poket dapat dipenuhkan
dengan wang ringgit dan kehendak nafsu dapat dipuaskan. Sebagai manusia yang
beriman kepada Allah, kita sepatutnya sedar bahawa harta adalah rezeki daripada
Allah s.w.t dan harta yang kita miliki ini ada kemampuan yang amat terbatas
sekali. Harta yang diperolehi dengan cara yang halal dan dilaburkan pula kepada
perkara yang halal maka ianya akan memberikan pulangan pahala dan balasan yang
baik kepada tuannya, tetapi jika disalahgunakan harta tersebut pada jalan yang
haram maka harta tersebut boleh mendatangkan dosa dan kemudharatan kepada
pemiliknya. Semua kita sedar bahawa harta bukanlah segala-galanya walaupun
banyak daripada urusan dan hajat kita memerlukan kepada harta. Di antara kelemahan-kelemahan
harta yang mungkin kita tidak sedar ialah :
1.
Dengan harta kita
mampu membeli sebanyak mungkin kitab atau buku-buku yang penuh dengan ilmu
pengetahuan, tetapi dengan harta tidak ada sesiapa pun yang mampu membeli akal
fikiran dan kecerdikan untuk memahami isi kandungan kitab atau buku tersebut.
2.
Dengan harta kita
mampu membeli makanan yang murah ataupun mahal, tetapi dengan harta tidak ada
seorang pun manusia yang mampu untuk membeli selera makan bagi menikmati
makanan tersebut sehingga kadang-kadang makanan yang sedap pun dirasakan tawar.
3.
Dengan harta kita
mampu untuk membeli emas dan perak sebagai perhiasan tetapi dengan harta kita
tidak mampu untuk membeli kecantikan dan keindahan akhlak dan budi bahasa.
4.
Dengan harta kita
mampu untuk membeli ubat-ubatan ketika sakit bahkan kita juga mampu untuk
mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta yang mahal bayarannya, tetapi
dengan harta kita sama sekali tidak mampu untuk membeli kesihatan dan
kesembuhan penyakit.
5.
Dengan harta kita
mampu untuk mencari hiburan dan keseronokan tetapi dengan harta kita sama
sekali tidak mampu membeli ketenangan dalam
kehidupan.
Sidang
Jumaat yang dihormati sekalian,
Antara
maksud Zikr atau peringatan Allah yang tersebut pada ayat 124 dalam
surah Thaaha yang dibacakan di awal khutbah tadi ialah, yang pertamanya adalah al-Quran
sebagaimana Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Hijr,
Maksudnya
: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan
al-Quran dan Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr
9)
Berapa
ramai di kalangan umat Islam kini yang buta al-Quran bahkan tidak pernah merasa
bersalah dan rugi sedikitpun sekalipun mereka tidak mampu membaca Kitab Allah
ini. Golongan yang pandai serta mahir membaca pula kadang-kadang tidak
menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan pilihan harian atas alasan sibuk,
kalut, takdan dan sebagainya, sedangkan waktu untuk membaca update-update
terkini di laman facebook, whassap, twitter dan akhbar-akhbar sentiasa pula
diperuntukkan. Ada juga kalangan kita yang membaca al-Quran tetapi tidak faham
maksud al-Quran sehingga segala perintah atau larangan Allah hanya sekadar
dibaca dan dilagukan sahaja. Bilakah kemenangan dan kemuliaan umat Islam dapat
dicapai sekiranya kita sendiri yang bertindak menjauhkan diri daripada al-Quran
sedangkan al-Quran itulah yang merupakan ubat penawar yang paling mujarab dalam
menangani pelbagai penyakit umat manusia. Apa yang lebih malang lagi ialah apabila
ada kalangan umat Islam sendiri yang sanggup bangun untuk menentang perintah
dan larangan al-Quran.
Sidang
Jumaat yang diberkati Allah
Maksud
kedua bagi Zikr ialah ilmu agama, sebagaimana Firman Allah dalam ayat 43
surah an-Nahlu :
Maksudnya
: Dan tidaklah Kami
mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan
orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu bertanyalah kamu
(wahai golongan musyrikin) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika
kamu tidak mengetahuinya. (an-Nahlu
43)
Umat
Islam yang mengucap dua kalimah syahadah tetapi jahil ilmu agama, sudah pasti akan
terlibat dengan perkara-perkara munkar, dosa dan jenayah. Begitu juga golongan
yang 'meluat atau benci' terhadap golongan ulama' ataupun tidak suka
kepada pengajian-pengajian yang berteraskan Islam akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti
yang merbahaya dan merosakkan. Gejala keruntuhan akhlak yang pada hari ini
menjadi barah dalam masyarakat adalah berpunca apabila anak-anak kita yang
belajar di sekolah pada peringkat awal lagi sudah tidak ditanam nilai-nilai
keislaman dalam diri mereka.
Berapa
jam sangat masa yang diperuntukkan dalam jadual pengajian sekolah mereka
pelajaran-pelajaran agama berbanding masa yang diperuntukkan untuk
aktiviti-aktiviti yang lain. Apabila peranan agama dibelakangkan dalam
kehidupan kita serta golongan ulama' diketepikan maka kita seolah-olah menjadi
penyebab kepada berkembangnya kejahilan dalam masyarakat, dan sudah pastinya
masyarakat yang ada akan hidup dalam suasana yang dipenuhi dengan jenayah
disebabkan jauhnya kita daripada petunjuk agama.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah,
Maksud
ketiga bagi Zikr ialah solat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 9 surah
al-Jumaah :
Maksudnya
: Maka apabila telah diseru bagi mendirikan solat pada hari Jumaat maka
bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan olehmu akan jualbeli. (al-Jumuah
9)
Pada
hari ini akibat ceteknya ilmu agama maka umat Islam semakin berani melawan perintah
Allah s.w.t dengan meningalkan dan mengabaikan solat yang merupakan tiang dalam
agama Islam. Sebagai seorang pemimpin dalam sebuah keluarga, masyarakat mahupun
negara kita sepatutnya lebih runsing sekiranya anak-anak ataupun rakyat yang
kita pimpin tidak solat dan masjid-masjid menjadi semakin kurang ahli jemaahnya
walaupun masjid-masjid pada hari ini dibina dengan begitu indah dan menelan kos
jutaan ringgit. Apa yang berlaku hari ini ialah ibu bapa lebih runsing dan
pening kepala jika anak-anak mereka gagal mendapat keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan tetapi tidak pernah risau jika anak-anak tidak pernah solat
ataupun menutup aurat. Solatlah yang akan menjamin seseorang itu selamat
daripada perkara-perkara keji dan munkar. Tidak akan berlaku masalah zina,
ragut, rasuah, bunuh dan sebagainya jika masyarakat yang ada pada hari ini
adalah masyarakat yang mendirikan solat dalam kehidupan mereka.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah,
Maksud
keempat bagi Zikr ialah zikrullah dengan banyak menyebut nama Allah
sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ahzab,
Maksudnya
:
Wahai orang-orang yang beriman! ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan
ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.
(al-Ahzab 41)
Akibat
telinga dan hati yang dipenuhi dan disumbat dengan lagu-lagu dan irama-irama
syaitan serta hiburan yang melampau, dan lidah pula sentiasa dibasahi dengan penghayatan
muzik-muzik yang melalaikan maka ianya telah menyebabkan hati menjadi mati dan
jauh daripada petunjuk Allah s.w.t. Apabila hati seseorang itu telah mati, maka
apa jua nasihat, hidayah mahupun ilmu pengetahuan tidak akan bertapak di dalam
hati seperti ini. Realitinya sebahagian besar kehidupan kita pada hari ini
dipenuhi dan disumbat dengan suasana hiburan yang melalaikan samada melalui
televisyen, majalah, akhbar dan sebagainya.
Maksud
kelima bagi Zikr ialah peringatan atau nasihat sebagaimana Firman Allah
dalam ayat 55
surah az-Zaariyat :
Maksudnya
: Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya
peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.
Kegagalan
kita untuk membudayakan amalan nasihat-menasihati kearah kebaikan dalam
masyarakat pada hari ini, maka ianya telah menyebabkan kehidupan kita menjadi rosak
dan terus bertambah rosak. Budaya "jangan menjaga tepi kain orang
lain" terlalu kuat diamalkan oleh masyarakat kita hinggakan
kadang-kadang maksiat dan jenayah dilakukan di hadapan mata kepala kita, tetapi
kita lansung tidak ambil peduli atau berusaha untuk menghalangnya. Apa yang
perlu dilakukan oleh kita pada hari ini ialah sekat sebelum ianya melarat dan berubat
sebelum ianya merebak. Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud,
Maksudnya
: Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan
sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan
sesama sendiri.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ
العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ
فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment