الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ ، لِيُظْهِرَهُ
عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ
لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له ، وَأَشْهَدُ
أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ ، اللّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ
وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ،
أَمَّا
بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah
kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan
sekalian, marilah sama-sama kita
bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita mentaati segala titah
perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan
tegahanNya. Sesungguhnya kebahagiaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat
adalah berdasarkan kepada keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang dihormati
sekalian,
Firman Allah dalam pada 18-19
dalam surah Luqman :
Maksudnya : "Dan
sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa
berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". [1]
Kemenangan atau kejayaan dalam
sesuatu perkara adalah merupakan antara nikmat yang
dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita yang
sepatutnya kita sambut dengan penuh rasa rendah diri
dan kesyukuran kepadaNya. Antara sifat yang sepatutnya
ada dalam diri seseorang muslim dalam kehidupannya
ialah sifat tawadhu’ atau merendah diri.
Sifat Tawadhu’
ini mengikut pandangan beberapa orang tokoh ulama’,
di antaranya al-Fudhail bin ‘Iyadh ketika
ditanya apakah erti tawadhu’?, lalu kata beliau :-
“Tawadhu’ ialah tunduk
kepada kebenaran dan menerima segala
anjuran Allah dan rasulNya”.
Al-Junaid pula
berkata bahawa :-
“Tawadhu’ ialah
merendahkan diri kepada Khalik (pencipta) dan
merasa kemanisan berhubung dengan Allah”.
Antara pengertian lain yang disebut
oleh ulama’ ialah :
“Menerima kebenaran daripada sesiapa
sahaja jika sekiranya apa yang
diperkatakan itu adalah benar, sekalipun kebenaran itu datang dari orang yang
lebih muda darinya atau lebih rendah pangkat kedudukannya atau datang dari
orang yang lebih miskin darinya”. [2]
Dari sini bolehlah
dirumuskan bahawa tawadhu’ adalah ibarat
daripada khusyu’ hati dan rendah
diri seluruh anggota tubuh badan dengan tunduk serta
patuh kepada perintah Allah SWT sepenuhya. Islam melarang
umatnya daripada bersifat dengan sifat al-kibr atau sombong,
kerana orang yang sombong akan mengingkari dan menolak
kebenaran sebagaimana sabda Nabi SAW,
عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : لاَ
يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِى قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ . قَالَ
رَجُلٌ : إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ
أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً. قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ ،
الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ . [3]
Maksudnya : “Tidak akan masuk ke
syurga barangsiapa yang di dalam hatinya ada sifat al-kibr (sombong) sekalipun
sebesar zarrah”. Lalu seorang lelaki berkata, “sesungguhnya seorang laki-laki
itu suka pakaiannya cantik, kasutnya cantik (apakah ini termasuk dalam sifat
sombong?)”, lalu jawap Nabi SAW, “Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka pula
akan kecantikan, sifat al-kibr (sombong) itu ialah menidakkan akan kebenaran
(tidak menerima sesuatu sekalipun benar) serta menghina manusia lain”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita dapat lihat
bagaimana Rasulullah SAW telah memerintahkan
agar sebarang bentuk kesyirikan kepada
Allah mestilah dihapuskan terlebih dahulu di
sekitar Ka’bah apabila baginda memerintah
agar para sahabat menghancurkan berhala-berhala yang
ada di sekitar kota Makkah ketika Islam berjaya menguasai Kota
Makkah. Baginda tidak sama sekali menyambut kemenangan yang
gemilang itu dengan perayaan-perayaan yang
melalaikan.
Begitu juga dengan
peristiwa penyerahan anak kunci masjid
al-Aqsa yang berjaya di buka oleh tentera
Islam pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab RA.
Ketika menuju ke Palestin, Sayyidina Umar RA
bergilir-gilir dengan khadamnya dalam menaiki
kuda tunggangan. Apabila sampai berhampiran
masjid al-Aqsa maka ketika itu tiba
giliran Sayyidina Umar menarik kuda
manakala khadamnya menunggang keldai tersebut. Orang
ramai yang melihat peristiwa tersebut terus
meminta agar Sayyidina Umar menggantikan
khadamnya untuk menunggang kuda tersebut demi menjaga
kedudukan beliau sebagai khalifah di hadapan
khalayak ramai. Lalu Sayyidina Umar dengan
suaranya yang lantang mengeluarkan kata-katanya
yang masyhur :
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة
بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
Maksudnya : Kita
adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh
Allah dengan Islam. Selama mana kita
mencari kemuliaan yang bukan apa yang
memuliakan kita dengannya oleh
Allah, maka Allah SWT pasti akan menghina kita
Sejarah juga menceritakan
bagaimana Sultan Muhammad al-Fateh setelah
berjaya membuka kota Konstantinapol iaitu dikenali
dengan kota Istanbul, Turki sekarang ini di
mana beliau telah memasuki sebuah gereja
yang terbesar pada masa itu yang dinamakan Sofia
lalu menunaikan solat sunat dua
rakaat sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan tersebut.
Kemudian beliau menukarkan gereja tersebut
menjadi sebuah masjid.
Sidang Jumaat yang
dihormati sekalian,
Orang-orang yang
bersifat tawadhu’ adalah orang yang
dapat melayakkan dirinya dalam pelbagai bidang
terutamanya untuk menjadi pemimpin dalam masyarakat. Sifat tawadhu’
bukanlah bererti seseorang itu lemah, merasa
hina diri atau rendah diri terhadap
orang atas, ataupun merasa diri kurang
berbanding orang lain . Ini adalah kerana
sifat tawadhu’ yang sebenar adalah sifat
yang mulia yang mampu menimbulkan ketenangan dan kekuatan
jiwa serta melemahkan pihak musuh.
Sebagaimana yang disebut dalam
sejarah, bahawa Baginda Rasulullah SAW menjahit
kasut dengan tangan Baginda sendiri dan menampung pakaiannya
yang koyak tetapi dalam masa yang sama
baginda tetap mampu melaksanakan urusan rumahtangga
dan kepimpinan negara dengan baik dan
saksama. Sekalipun baginda merupakan seorang
pemimpin negara dan ketua agama namun
baginda juga melakukan kerja-kerja kecil samaada
berbentuk peribadi mahupun negara. Inilah di antara
contoh sifat tawadhu’ yang tinggi dalam peribadi Baginda Nabi SAW.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Sifat tawadhu’
ini bukanlah menjatuhkan martabat pemimpin
kepada kelas bawahan, malah sifat inilah
yang akan meningkatkan lagi martabat
kepimpinan yang mana mereka akan dihormati
oleh setiap lapisan masyarakat. Sabda Nabi SAW,
عن
أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : " ما نقصت صدقةٌ من مال ،
وما زاد الله عبداً بعفوٍ إلا عزّاً ، وما تواضع أحدٌ لله إلا رفعه الله " . [4]
Maksudnya : “Tidak mengurangi
sedekah daripada harta (yakni harta tidak akan kurang dengan sebab sedekah),
dan tidak menambah oleh Allah kepada seseorang dengan sebab mengampunkan
kesalahan orang lain terhadapnya melainkan kemuliaan untuknya, dan tidaklah
merendah diri seseorang itu kerana Allah melainkan Allah mengangkat
kedudukannya”.
Tidak syak lagi
bahawa sifat tawadhu’ ini adalah satu
sifat yang mulia di sisi Allah
dan dihormati oleh masyarakat umum. Ianya akan
melahirkan rasa kasih sayang antara sesama muslim,
lemah-lembut dan bertimbang rasa terhadap saudara
seagama, mudah mesra ketika berbicara serta
tidak ada rasa bangga diri dan sombong. Rakyat
di bawah akan lebih menyenangi dan mengasihi seorang pemimpin yang tawadhu’,
namun sebaliknya jika tidak ada sifat tawadhu’ ini dalam
diri seseorang itu maka dia tidak akan mampu
menjalankan usaha-usaha kepimpinan dan dakwah ke jalan
Allah, kerana manusia secara fitrahnya tidak suka
kepada orang-orang yang takabbur atau sombong bahkan
sifat takabbur itu sendiri akan lebih menjauhkan
manusia daripadanya disebabkan benci, meluat dan sebagainya. Firman Allah
SWT,
Maksudnya : Maka dengan sebab rahmat
(yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah
bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan
kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari
kelilingmu, oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan
terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu, kemudian apabila
engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka
bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
bertawakal kepadaNya. [5]
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ
العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ
فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment