اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ َإِلهَ إِلاَّالله ُوَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ، َالَمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الصَّادِقُ الْوَعْدُ الاَمِيْنُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوقِيْنَ، وَعَلى أَلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا
عِبَادَ الله، إِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله،ِ فَقَدْ
فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Mafhumnya: Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan
apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.
Saudara-saudaraku sidang
jumaat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita
bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar, kerana taqwa itulah
sebaik-baik bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah. Berbahagialah mereka
yang bertaqwa kepadaNya, kerana sesungguhnya kebahagian dan kejayaan hidup sama
ada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat adalah ditentukan oleh ketakwaan
dan keimanan kita kepadaNya.
Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah ayat
108:
Bermaksud: Sesungguhnya
Masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas
dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.
Di dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat)
membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang
membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
Sirah perjuangan Rasulullah SAW telah
membuktikan betapa pentingnya fungsi masjid kepada perkembangan syiar Islam. Dalam
persinggahan Rasulullah SAW di Quba’ pada peristiwa hijrah, Baginda SAW telah
membina masjid yang pertama di sana. Kemudian Baginda SAW singgah pula di
perkampungan Bani Salim bin A’uf bertepatan dengan waktu solat Jumaat, lalu
dibina pula sebuah lagi masjid di sana. Setibanya Baginda SAW di Madinah
Al-Munawwarah kerja yang mula-mula dilakukan oleh Baginda SAW ialah memilih
tapak untuk dibina masjid padanya [1].
Masjid dijadikan sebagai sebuah institut unggul di dalam pembangunan ummah dan
menyuburkan ukhuwwah di kalangan Muhajirin dan Ansar.
Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,
Masjid merupakan Pusat Dakwah dan Pusat
Pemerintahan di zaman Rasulullah SAW. Masjid di zaman Rasulullah SAW juga
merupakan pusat kegiatan jamaah muslimin. Ia bukan setakat tempat beribadah dan
sembahyang sahaja bahkan ianya juga merupakan markaz ilmu, kelab sastera,
parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang datang
dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah SAW membuat
pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah SAW menyampaikan khutbah dan
tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan,
kemasyarakatan dan pentadbiran. Di dalam kehidupan Rasulullah SAW tidak ada
pemisahan di antara urusan agama dan politik. Baginda tidak mempunyai satu
tempat yang lain bagi politik dan permasalahan agama selain daripada masjid.
Begitu juga fungsi masjid di zaman Khulafa’
Ar-Rashidin selepas Rasulullah SAW. Masjid dijadikan sebagai tempat
pelbagai aktiviti samada aktiviti politik dan sebagainya. Saidina Abu Bakar As-Siddiiq
RA menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama setelah dilantik sebagai khalifah
di masjid. Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi
pemerintahannya. Beliau berkata:
“Wahai manusia! aku dilantik
untuk memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan kamu.
Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku
menyeleweng, perbetulkanlah aku.”
Saidina Umar bin Al-khattab RA juga menyampaikan
ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah di masjid, beliau berkata:
“Wahai manusia! sesiapa yang
melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku!” Lalu seorang makmum berkata: “Demi
Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan
mata pedang kami!” Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang
menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan
Umar dengan mata pedangnya.”
Saudara-saudaraku sidang
Jumaat yang dikasihi,
Masjid telah berfungsi dengan sebaiknya di zaman Rasulullah
SAW, para sahabat dan juga di zaman-zaman kegemilangannya.
Dr
Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Al-I’badah Fi Al-Islam ada menyebut
bahawa :
"Masjid
Rasulullah SAW itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat
negara Islam. Padanya Rasulullah SAW memberikan kerja bagi yang menganggur,
ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan
dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan
para diplomat asing, mengatur tentera di medan perang juga menghantar pendakwah
dan perwakilan untuk perdamaian." [2]
Malangnya
kita pada hari ini, masjid-masjid kita kebanyakannya masih gagal untuk berfungsi
sedemikian rupa. Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak
masjid kita masih tidak mesra kepada remaja dan kanak-kanak. Golongan ini
sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang-orang masjid
kepada mereka. Takut-takut dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka
kurang diberi layanan yang sewajarnya.
Ada
juga pihak masjid yang tidak suka jika kanak-kanak terlalu ramai ke masjid
kononnya bimbang nanti mengganggu keheningan jamaah dan membuat bising.
Dukacita sikap yang demikian tersimpan dalam perasaan sesetengah orang. Ini
kerana sesetengah kita lebih ingin menjaga warna karpet baru dari berkempen untuk
mendapatkan jamaah yang baru.
Dalam
hadis Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud:
"Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya". (Riwayat al-Bukhari)
Lihatlah
bagaimana sikap mesra rakyat yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Maka
tidak hairanlah kenapa masjid di zaman Rasulullah SAW menjadi tempat terpautnya
hati setiap generasi. Hadis ini juga memberi maksud bahawa imam hendaklah
meringankan solatnya seandainya makmum ramai yang mempunyai tugas bersolat di
belakangnya. Demikianlah Nabi SAW menjaga perasaan ahli jamaahnya. Adapun kita,
jika ada anak-anak kecil yang menangis di belakang maka sudah semestinya ibu
bapa anak tersebut akan dipandang sinis. Maka ini menjadi antara faktor
penyebab kurangnya tarikan masyarakat untuk ke masjid.
Sidang
Jumaat moga-moga di rahmati Allah,
Pengajaran
atau kuliah-kuliah di masjid pada hari ini masih terikat dengan beberapa mata
pelajaran tertentu sahaja yang dianggap hanya itulah yang berkait dengan agama.
Yang selainnya tidak diberi ruang untuk diajar di masjid. Maka hanya ilmu
Tauhid, Fekah, Tafsir, Tasauf dan seumpamanya sahaja yang diajar di masjid. Persoalannya, mengapa tidak mata pelajaran
akademik moden seperti sains, matematik, geografi juga diajar di masjid-masjid?
Tidakkah agama itu merangkumi dunia dan akhirat. Jika ilmu Fekah boleh diajar di
dalam masjid, mengapa ilmu sains tidak?. Fekah berkhidmat untuk umat dalam ibadah
mereka, tetapi tanpa mengetahui ilmu sains juga, maka banyak fatwa terhadap permasalahan
moden tidak dapat dirumuskan. Tidakkah generasi kita yang mempelajari sains
dengan penuh keimanan boleh menjadi benteng dan asset bernilai kepada umat?.
Justeru
itu, jika masjid memperuntukan kelas-kelas akademik percuma, maka para pelajar
kita akan terasa kesyumulan agama ini. Di samping untuk peperiksaan, ia
mendidik mereka lebih berdisplin dan ingatkan Allah mengenai ilmu yang
dipelajari. Ia mampu menjadikan guru yang mengajar lebih mengingati Allah
mengenai tanggungjawab dan kaitannya dengan Islam.
Ini
kerana semuanya beroperasi di dalam masjid. Jika kelas-kelas tambahan percuma
dalam pelajaran-pelajaran tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid
pula, maka anak-anak akan dihantar oleh ibubapa ke masjid. Lalu hati mereka dan
ibu bapa mereka akan dekat dengan masjid dan sentiasa mengenang masjid. Waktu
solat, mereka akan bersolat. Jika mereka ingin melakukan sesuatu yang salah,
mereka teringat mereka berada dalam masjid. Maka makmurlah masjid dan
berfungsilah peranannya.
Jika
tiada ruang masa antara Maghrib dan Isyak kerana kuliah-kuliah agama yang
formal, maka masjid kita masih banyak lagi waktu kosong yang lain seperti antara
Zohor dan Asar dan antara Asar dan Maghrib. Duit tabungan masjid yang
ditabungkan oleh orang ramai bukan sekadar untuk dipaparkan di papan kenyataan
tentang peningkatan jumlah kutipannya, tetapi sebaliknya untuk dibelanjakan bagi
membangunkan Islam yang syumul ini serta untuk manfaat umat.
Kuliah-kuliah
di masjid juga mestilah ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan perkembangan
masyarakat setempat. Pengajaran yang diadakan di masjid mesti memberi kesan
kepada kehidupan insan yang ke masjid. Jangan kita hanya membahaskan tentang
tajuk kebersihan tetapi malangnya dalam masa yang sama tandas atau bilik air di masjid dipenuhi dengan
bau dan kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam. Islam bukan
sahaja menyuruh kita bersih ketika dalam solat, namun juga di luar solat.
Demikian
juga isi pengajarannya hendaklah dalam bentuk yang mampu menarik generasi baru.
Saingan di luar masjid yang menarik manusia moden terlalu banyak. Pusat-pusat
hiburan yang tumbuh bagaikan cendawan sentiasa menggamit generasi muda dengan
tarikan yang pelbagai. Maka sudah semestinya masjid perlu memainkan peranan
yang lebih kuat. Kempen-kempen ke masjid mestilah segar dan baru. Untuk itu,
kita perlukan pihak pengurusan yang segar hasil gabungan daripada orang lama
dan orang baru yang mampu membawa manusia ke masjid dan seterusnya memakmurkan
rumah Allah di atas muka bumi ini.
Oleh
itu, perlulah ditingkatkan kelicinan dalam pentadbiran masjid dalam
menyampaikan suara dakwah Islamiah. Hentikanlah karenah birokrasi dalam
pengurusan masjid agar ianya dapat melicinkan pentadbiran dan mengelakkan
kekeliruan masyarakat dalam usaha menggalakkan pelbagai aktiviti ilmu dan
kemasyarakatan diadakan di masjid. Kerjasama yang berkesan antara semua pihak
diperlukan dalam usaha mengimarahkan masjid. Penjelasan perlu dibuat supaya
kedudukan masjid yang sebenarnya disebarkan kepada masyarakat melalui seminar,
bengkel dan sebagainya. Sistem pendidikan Islam hendaklah dihidupkan semula di
masjid-masjid untuk masyarakat umum samada kanak-kanak dan juga wanita yang
melibatkan pendekatan yang terbaik dari guru-guru yang berwibawa dan mahir.
Sikap dan pandangan masyarakat terhadap pendidikan di masjid perlu dianjakkan
supaya ianya dihormati dan disokong oleh semua masyarakat. Oleh yang demikian,
peningkatan ilmu, iman dan amal amatlah diperlukan untuk setiap mukmin bagi
memartabatkan institusi masjid dalam mengembalikan kecemerlangan dan
kegemilangan umat Islam di mata dunia.
Mafhumnya
: Hanyasanya yang layak memakmurkan
(menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan
tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut)
maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(At-Taubah 18)
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ
بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ
وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ
هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ
الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ,
وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ
الرَّحِيْمُ.
Khutbah
Kedua
الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر. أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا
شريكَ له . وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه . اللهمّ صلِّ وسلِّم على
سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين .
أما بعد ، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر
وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر. فقال تعالى ، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ،
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن
الله خبيرٌ بما تعملون.
وقال تعالى : إن الله وملائكته
يصَلون على النبي ، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم
على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين . وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين
ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات ، الأحياء منهم
والأموات ، إنك سميع قريب مجيب الدعوات ، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ
والمسلمين ، وأن تُعْلِى بفضلك كلمة
الحق والدين. اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا
الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.
وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ
الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه ، اللهم امنحنه الرشاد
ووفقه للسداد وأصلح به العباد والبلاد واجعل التقوى له خير زاد، إنك رؤوف رحيم
جوَاد ، يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين.
عبادَ الله ،
إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي،
يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم ، واشكروه على نعمه يزدكم ، واسئلوه
من فضله يعطكم ، ولذكر الله أكبر , واللهُ يعلم ما تصنعون.
No comments:
Post a Comment