Wednesday, 13 November 2013

Khutbah : Kembalikan Fungsi Masjid



اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ، وَلاَعُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ، وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ َإِلهَ إِلاَّالله ُوَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ، َالَمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الصَّادِقُ الْوَعْدُ الاَمِيْنُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَفْضَلِ الْمَخْلُوقِيْنَ، وَعَلى أَلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.


أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا الله، أُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله،ِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

قال الله تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar, kerana taqwa itulah sebaik-baik bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah. Berbahagialah mereka yang bertaqwa kepadaNya, kerana sesungguhnya kebahagian dan kejayaan hidup sama ada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat adalah ditentukan oleh ketakwaan dan keimanan kita kepadaNya.

Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah ayat 108:  

Bermaksud: Sesungguhnya Masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Sirah perjuangan Rasulullah SAW telah membuktikan betapa pentingnya fungsi masjid kepada perkembangan syiar Islam. Dalam persinggahan Rasulullah SAW di Quba’ pada peristiwa hijrah, Baginda SAW telah membina masjid yang pertama di sana. Kemudian Baginda SAW singgah pula di perkampungan Bani Salim bin A’uf bertepatan dengan waktu solat Jumaat, lalu dibina pula sebuah lagi masjid di sana. Setibanya Baginda SAW di Madinah Al-Munawwarah kerja yang mula-mula dilakukan oleh Baginda SAW ialah memilih tapak untuk dibina masjid padanya [1]. Masjid dijadikan sebagai sebuah institut unggul di dalam pembangunan ummah dan menyuburkan ukhuwwah di kalangan Muhajirin dan Ansar.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Masjid merupakan Pusat Dakwah dan Pusat Pemerintahan di zaman Rasulullah SAW. Masjid di zaman Rasulullah SAW juga merupakan pusat kegiatan jamaah muslimin. Ia bukan setakat tempat beribadah dan sembahyang sahaja bahkan ianya juga merupakan markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah SAW membuat pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah SAW menyampaikan khutbah dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatan dan pentadbiran. Di dalam kehidupan Rasulullah SAW tidak ada pemisahan di antara urusan agama dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahan agama selain daripada masjid. 

Begitu juga fungsi masjid di zaman Khulafa’ Ar-Rashidin selepas Rasulullah SAW. Masjid dijadikan sebagai tempat pelbagai aktiviti samada aktiviti politik dan sebagainya. Saidina Abu Bakar As-Siddiiq RA menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama setelah dilantik sebagai khalifah di masjid. Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya. Beliau berkata:

“Wahai manusia! aku dilantik untuk memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, perbetulkanlah aku.” 

Saidina Umar bin Al-khattab RA juga menyampaikan ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah di masjid, beliau berkata:

“Wahai manusia! sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku!” Lalu seorang makmum berkata: “Demi Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami!” Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedangnya.” 

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Masjid telah berfungsi dengan sebaiknya di zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan juga di zaman-zaman kegemilangannya.

Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Al-I’badah Fi Al-Islam ada menyebut bahawa :

"Masjid Rasulullah SAW itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat negara Islam. Padanya Rasulullah SAW memberikan kerja bagi yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan perang juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian." [2]

Malangnya kita pada hari ini, masjid-masjid kita kebanyakannya masih gagal untuk berfungsi sedemikian rupa. Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak masjid kita masih tidak mesra kepada remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang-orang masjid kepada mereka. Takut-takut dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka kurang diberi layanan yang sewajarnya.

Ada juga pihak masjid yang tidak suka jika kanak-kanak terlalu ramai ke masjid kononnya bimbang nanti mengganggu keheningan jamaah dan membuat bising. Dukacita sikap yang demikian tersimpan dalam perasaan sesetengah orang. Ini kerana sesetengah kita lebih ingin menjaga warna karpet baru dari berkempen untuk mendapatkan jamaah yang baru.

Dalam hadis Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud:
 
"Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya".                (Riwayat al-Bukhari)

Lihatlah bagaimana sikap mesra rakyat yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Maka tidak hairanlah kenapa masjid di zaman Rasulullah SAW menjadi tempat terpautnya hati setiap generasi. Hadis ini juga memberi maksud bahawa imam hendaklah meringankan solatnya seandainya makmum ramai yang mempunyai tugas bersolat di belakangnya. Demikianlah Nabi SAW menjaga perasaan ahli jamaahnya. Adapun kita, jika ada anak-anak kecil yang menangis di belakang maka sudah semestinya ibu bapa anak tersebut akan dipandang sinis. Maka ini menjadi antara faktor penyebab kurangnya tarikan masyarakat untuk ke masjid.

Sidang Jumaat moga-moga di rahmati Allah,

Pengajaran atau kuliah-kuliah di masjid pada hari ini masih terikat dengan beberapa mata pelajaran tertentu sahaja yang dianggap hanya itulah yang berkait dengan agama. Yang selainnya tidak diberi ruang untuk diajar di masjid. Maka hanya ilmu Tauhid, Fekah, Tafsir, Tasauf dan seumpamanya sahaja yang diajar di masjid.  Persoalannya, mengapa tidak mata pelajaran akademik moden seperti sains, matematik, geografi juga diajar di masjid-masjid? Tidakkah agama itu merangkumi dunia dan akhirat. Jika ilmu Fekah boleh diajar di dalam masjid, mengapa ilmu sains tidak?. Fekah berkhidmat untuk umat dalam ibadah mereka, tetapi tanpa mengetahui ilmu sains juga, maka banyak fatwa terhadap permasalahan moden tidak dapat dirumuskan. Tidakkah generasi kita yang mempelajari sains dengan penuh keimanan boleh menjadi benteng dan asset bernilai kepada umat?. 

Justeru itu, jika masjid memperuntukan kelas-kelas akademik percuma, maka para pelajar kita akan terasa kesyumulan agama ini. Di samping untuk peperiksaan, ia mendidik mereka lebih berdisplin dan ingatkan Allah mengenai ilmu yang dipelajari. Ia mampu menjadikan guru yang mengajar lebih mengingati Allah mengenai tanggungjawab dan kaitannya dengan Islam.

Ini kerana semuanya beroperasi di dalam masjid. Jika kelas-kelas tambahan percuma dalam pelajaran-pelajaran tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid pula, maka anak-anak akan dihantar oleh ibubapa ke masjid. Lalu hati mereka dan ibu bapa mereka akan dekat dengan masjid dan sentiasa mengenang masjid. Waktu solat, mereka akan bersolat. Jika mereka ingin melakukan sesuatu yang salah, mereka teringat mereka berada dalam masjid. Maka makmurlah masjid dan berfungsilah peranannya.

Jika tiada ruang masa antara Maghrib dan Isyak kerana kuliah-kuliah agama yang formal, maka masjid kita masih banyak lagi waktu kosong yang lain seperti antara Zohor dan Asar dan antara Asar dan Maghrib. Duit tabungan masjid yang ditabungkan oleh orang ramai bukan sekadar untuk dipaparkan di papan kenyataan tentang peningkatan jumlah kutipannya, tetapi sebaliknya untuk dibelanjakan bagi membangunkan Islam yang syumul ini serta untuk manfaat umat.

Kuliah-kuliah di masjid juga mestilah ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan perkembangan masyarakat setempat. Pengajaran yang diadakan di masjid mesti memberi kesan kepada kehidupan insan yang ke masjid. Jangan kita hanya membahaskan tentang tajuk kebersihan tetapi malangnya dalam masa yang sama tandas atau bilik air di masjid dipenuhi dengan bau dan kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam. Islam bukan sahaja menyuruh kita bersih ketika dalam solat, namun juga di luar solat.

Demikian juga isi pengajarannya hendaklah dalam bentuk yang mampu menarik generasi baru. Saingan di luar masjid yang menarik manusia moden terlalu banyak. Pusat-pusat hiburan yang tumbuh bagaikan cendawan sentiasa menggamit generasi muda dengan tarikan yang pelbagai. Maka sudah semestinya masjid perlu memainkan peranan yang lebih kuat. Kempen-kempen ke masjid mestilah segar dan baru. Untuk itu, kita perlukan pihak pengurusan yang segar hasil gabungan daripada orang lama dan orang baru yang mampu membawa manusia ke masjid dan seterusnya memakmurkan rumah Allah di atas muka bumi ini.

Oleh itu, perlulah ditingkatkan kelicinan dalam pentadbiran masjid dalam menyampaikan suara dakwah Islamiah. Hentikanlah karenah birokrasi dalam pengurusan masjid agar ianya dapat melicinkan pentadbiran dan mengelakkan kekeliruan masyarakat dalam usaha menggalakkan pelbagai aktiviti ilmu dan kemasyarakatan diadakan di masjid. Kerjasama yang berkesan antara semua pihak diperlukan dalam usaha mengimarahkan masjid. Penjelasan perlu dibuat supaya kedudukan masjid yang sebenarnya disebarkan kepada masyarakat melalui seminar, bengkel dan sebagainya. Sistem pendidikan Islam hendaklah dihidupkan semula di masjid-masjid untuk masyarakat umum samada kanak-kanak dan juga wanita yang melibatkan pendekatan yang terbaik dari guru-guru yang berwibawa dan mahir. Sikap dan pandangan masyarakat terhadap pendidikan di masjid perlu dianjakkan supaya ianya dihormati dan disokong oleh semua masyarakat. Oleh yang demikian, peningkatan ilmu, iman dan amal amatlah diperlukan untuk setiap mukmin bagi memartabatkan institusi masjid dalam mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan umat Islam di mata dunia.
  
Mafhumnya :  Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (At-Taubah 18)

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ. 


Khutbah Kedua


الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر. أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له . وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه . اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين .

أما بعد ، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر. فقال تعالى ، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ، يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن الله خبيرٌ بما تعملون.

وقال تعالى :  إن الله وملائكته يصَلون على النبي ، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين . وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين   ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات ، الأحياء منهم والأموات ، إنك سميع قريب مجيب الدعوات ، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين ، وأن تُعْلِى بفضلك     كلمة الحق والدين. اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.

وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه ، اللهم امنحنه الرشاد ووفقه للسداد وأصلح به العباد والبلاد واجعل التقوى له خير زاد، إنك رؤوف رحيم جوَاد ، يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين.

عبادَ الله ، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم ، واشكروه على نعمه يزدكم ، واسئلوه من فضله يعطكم ، ولذكر الله أكبر , واللهُ يعلم ما تصنعون.    





[1] As-Sirah An-Nabawiyyah Durusun Wa I’barun Dr Mustafa As-Sibai’e
[2] Al-Qaradawi, Al-`Ibadah Fi Al-Islam, " m/s 233, Beirut: Muassasah Al-Risalah

Wednesday, 23 October 2013

Khutbah : Sekat Bukan Berubat



الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.(الحشر 18  )

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan lebih-lebih lagi kepada diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t selain daripada ketaqwaan kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،ƒ

Maksudnya : Dan sesiapa yang berpaling (yakni ingkar daripada ingatan dan petunjukKu) maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Dan Kami akan himpunkannya pada hari qiamat dalam keadaan buta matanya. (Pada hari itu) dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya celik ketika di dunia?” Allah berfirman : “ Demikianlah keadaannya di mana (ketika di dunia dahulu) telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu tetapi engkau melupakan serta meninggalkannya (tidak percaya). Dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.
                                                   (Thaha 124-126)

Manusia yang mahukan ketenangan dalam hidupnya di dunia dan juga kejayaan di akhirat adalah manusia yang sentiasa memastikan hidupnya berada di bawah petunjuk Allah s.w.t tidak kira samada ketika hidupnya senang ataupun susah, ketika dia kaya atau miskin, ketika dia sihat atau sakit dan ketika dia lapang ataupun sibuk. Manakala manusia yang terus menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan akan sentiasa hidup dalam keadaan keluh kesah dan jauh daripada ketenangan yang diidamkan walaupun pada hakikatnya dia memiliki segala-galanya termasuk harta yang bertimbun-timbun, pangkat kedudukan yang tertinggi serta pengikut yang berduyun-duyun.

Pada hari ini umat manusia seolah-olah menjadi hamba kepada harta sehingga tidak lagi menghiraukan peraturan-peraturan Allah s.w.t tentang halal dan haram, dosa dan pahala, syurga dan neraka asalkan poket dapat dipenuhkan dan nafsu dapat dipuaskan. Sebagai manusia yang mengucap dua kalimah syahadah, kita patut sedar bahawa harta adalah rezeki daripada Allah s.w.t di mana harta yang kita miliki ini ada kemampuan yang amat terbatas. Harta yang diperolehi dengan cara yang halal dan dilaburkan kepada perkara yang halal maka ianya boleh memberikan pulangan pahala dan balasan yang baik kepada tuannya, tetapi jika disalahgunakan harta tersebut maka harta tersebut boleh mendatangkan dosa dan kemudharatan kepada pemiliknya. Semua kita sedar bahawa harta bukanlah segala-galanya walaupun banyak daripada urusan dan hajat kita memerlukan kepada harta. Di antara kelemahan-kelemahan harta yang mungkin kita tidak sedar ialah :

1. Dengan harta kita mampu membeli sebanyak mungkin kitab atau buku-buku yang penuh dengan ilmu pengetahuan, tetapi dengan harta tidak ada sesiapa pun yang mampu membeli akal fikiran dan kecerdikan untuk memahami isi kandungan kitab atau buku tersebut.
2.   Dengan harta kita mampu membeli makanan yang murah ataupun mahal, tetapi dengan harta tidak ada seorang pun manusia yang mampu untuk membeli selera makan bagi menikmati makanan tersebut sehingga kadang-kadang makanan yang sedap pun dirasakan tawar.
3. Dengan harta kita mampu untuk membeli emas dan perak sebagai perhiasan tetapi dengan harta kita tidak mampu untuk membeli kecantikan dan keindahan budi bahasa.
4.   Dengan harta kita mampu untuk membeli ubat-ubatan ketika sakit bahkan kita juga mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta yang mahal bayarannya, tetapi dengan harta kita sama sekali tidak mampu untuk membeli kesihatan dan kesembuhan penyakit.
5.   Dengan harta kita mampu untuk mencari hiburan dan keseronokan tetapi dengan harta kita sama sekali tidak mampu membeli ketenangan dalam  kehidupan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
           
Antara maksud Zikr atau peringatan Allah yang tersebut pada ayat 124 dalam surah Thaaha yang dibacakan sebentar tadi yang pertamanya ialah al-Quran sebagaimana Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Hijr,
  
Maksudnya :  Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kami benar-benar memeliharanya.                               (al-Hijr 9)           

Berapa ramai di kalangan umat Islam kini yang buta al-Quran bahkan tidak pernah merasa bersalah dan rugi sedikitpun sekalipun mereka tidak mampu membaca Kitab Allah ini. Golongan yang pandai serta mahir membaca pula kadang-kadang tidak menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan pilihan harian atas alasan sibuk, kalut, takdan dan sebagainya, sedangkan waktu untuk membaca update-update terkini di laman facebook, whassap, twitter dan akhbar-akhbar sentiasa pula diperuntukkan. Ada juga kalangan kita yang membaca al-Quran tetapi tidak faham maksud al-Quran sehingga segala perintah atau larangan Allah hanya sekadar dibaca dan dilagukan sahaja. Bilakah kemenangan dan kemuliaan umat Islam dapat dicapai sekiranya kita sendiri yang bertindak menjauhkan diri daripada al-Quran sedangkan al-Quran itulah yang merupakan ubat penawar yang paling mujarab dalam menangani pelbagai penyakit umat manusia. Apa yang lebih malang lagi ialah apabila ada kalangan umat Islam sendiri yang sanggup bangun untuk menentang perintah dan larangan al-Quran.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah
           
Maksud kedua bagi Zikr ialah ilmu agama, sebagaimana Firman Allah dalam ayat 43 surah an-Nahlu : 
Ÿ
Maksudnya : Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrikin) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya.                                    (an-Nahlu 43)

Umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah tetapi jahil tentang agama mereka sendiri sudah pasti akan terlibat dengan perkara-perkara munkar dan jenayah. Begitu juga golongan yang 'meluat atau benci' terhadap golongan ulama' ataupun pengajian-pengajian yang berteraskan Islam akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merbahaya dan merosakkan. Gejala keruntuhan akhlak yang pada hari ini menjadi barah dalam masyarakat adalah berpunca apabila anak-anak kita yang belajar di sekolah pada peringkat awal lagi sudah tidak ditanam nilai-nilai keislaman dalam diri mereka.

Berapa sangat masa yang diperuntukkan dalam jadual pengajian harian mereka pelajaran-pelajaran agama berbanding masa yang diperuntukkan untuk aktiviti-aktiviti yang lain. Apabila peranan agama dibelakangkan dalam kehidupan kita serta golongan ulama' diketepikan maka kita seolah-olah menjadi penyebab kepada berkembangnya kejahilan dalam masyarakat, dan sudah pastinya masyarakat yang ada akan hidup dalam suasana yang dipenuhi dengan jenayah disebabkan jauhnya kita daripada petunjuk agama.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
           
Maksud ketiga bagi Zikr ialah solat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Jumaah :
  

Maksudnya : Maka apabila telah diseru bagi mendirikan solat pada hari Jumaat maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan olehmu akan jualbeli.                                        (al-Jumuah 9)
               
Pada hari ini akibat ceteknya ilmu agama maka umat Islam semakin berani melawan perintah Allah s.w.t dengan meningalkan dan mengabaikan solat yang merupakan tiang dalam agama Islam. Sebagai seorang pemimpin dalam sebuah keluarga, masyarakat mahupun Negara kita sepatutnya lebih runsing sekiranya anak-anak ataupun rakyat yang kita pimpin tidak solat dan masjid-masjid menjadi semakin kurang ahli jemaahnya walaupun masjid-masjid pada hari ini dibina dengan begitu indah dan menelan kos jutaan ringgit. Apa yang berlaku hari ini ialah ibu bapa lebih runsing dan pening kepala jika anak-anak mereka gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak pernah risau jika anak-anak tidak pernah solat ataupun menutup aurat. Solatlah yang akan menjamin seseorang itu selamat daripada perkara-perkara keji dan munkar. Tidak akan berlaku masalah zina, ragut, rasuah, bunuh dan sebagainya jika masyarakat yang ada pada hari ini adalah masyarakat yang mendirikan solat dalam kehidupan mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Maksud keempat bagi Zikr ialah zikrullah dengan banyak menyebut nama Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ahzab,
  
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.
      (al-Ahzab 41)           

Akibat hati yang dipenuhi dengan lagu-lagu dan irama-irama syaitan serta hiburan yang melampau, dan lidah pula sentiasa dibasahi dengan penghayatan muzik-muzik yang melalaikan maka ianya telah menyebabkan hati menjadi mati dan jauh daripada petunjuk Allah s.w.t. Apabila hati seseorang itu telah mati, maka apa jua nasihat, hidayah mahupun ilmu pengetahuan tidak akan bertapak di dalam hati seperti ini. Realitinya sebahagian besar kehidupan kita pada hari ini dipenuhi dan disumbat dengan suasana hiburan yang melalaikan samada melalui televisyen, majalah, akhbar dan sebagainya.

Maksud kelima bagi Zikr ialah peringatan atau nasihat sebagaimana Firman Allah dalam ayat  55 surah az-Zaariyat :
  
Maksudnya : Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang  yang beriman.
           
Kegagalan kita untuk membudayakan amalan nasihat-menasihati kearah kebaikan dalam masyarakat pada hari ini, maka ianya telah menyebabkan kehidupan kita menjadi rosak dan terus bertambah rosak. Budaya "jangan menjaga tepi kain orang lain" terlalu kuat diamalkan oleh masyarakat kita hinggakan kadang-kadang maksiat dan jenayah dilakukan di hadapan mata kepala kita, tetapi kita lansung tidak ambil peduli atau berusaha untuk menghalangnya. Apa yang perlu dilakukan oleh kita pada hari ini ialah sekat sebelum ianya melarat dan berubat sebelum ianya merebak. Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud,
  

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


الخطبة الثانية :
الحمدُ لله حمدًا كثيرًا كما أمر. أشهد أنْ لا إله إلا اللهُ وحدَه لا شريكَ له. وأشهدُ أنّ سيدَنا محمدًا عبدُه ورسولُه. اللهمّ صلِّ وسلِّم على سيدِنا محمدٍ وعلى ءاله وأصحابه أجمعين.
أما بعد، فيا عبادَ الله ! اتقوا اللهَ مِنْ سِمَاعِ اللغوِ وفضول الخَبَر وانْتهُوا عمَّا نهاكم عنه وزَجَر. فقال تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظُرْ نفسٌ مَّا قدَّمتْ لغدٍ واتقوا الله إن الله خبيرٌ بما تعملون.

وقال تعالى :  إن الله وملائكته يصَلون على النبي، يأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليماً. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى ءاله وأصحابه أجمعين. وَارْضَ اللهم عن الخلفاء الراشدين ساداتنا أبى بكر وعمرَ وعثمانَ وعلىٍّ وعن بقية الصحابة والقرابة والتابعين   ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات إنك سميع قريب مجيب الدعوات، اللهم إنا نسئلك أن تؤيِّد الإسلامَ والمسلمين وأن تُعْلِى بفضلك  كلمة الحق والدين. اللهم اهدنا سبلَ السلام وأخرجنا من الظلمات إلى النور وجنبنا الفواحشَ ما ظهر منها وما بطن.

وأن تشمل بعنايتك وتوفيقك مولانا الملك المعتصم بالله محبَّ الدين السلطانَ الحاج عبدَ الحليم معظم شاه بن المرحوم السلطان بدليشه، وولىَّ عهده سموَّ الأمير تنكو الحاج عبد الملك بن المرحوم السلطان بدليشه. اللهم امنحنهما الرشاد ووفقهما للسداد وأصلح بهما العباد والبلاد واجعل التقوى لهما خير زاد، إنك رؤوف رحيم جوَاد يا لطيفاً بالعباد يا أرحم الراحمين.

عبادَ الله ، إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذى القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي، يعظكم لعلكم تذكرون. فاذكروا الله العظيم يذكركم، واشكروه على نعمه يزدكم واسئلوه من فضله يعطكم، ولذكر الله أكبر ,اللهُ يعلم ما تصنعون.